Baling merupakan salah sebuah daerah daripada kesebelasan daerah di 
Negeri Kedah Darul Aman. Daerah ini mempunyai keluasan 1,530 kilometer 
persegi atau 590.32 batu persegi ( 152,900.65 hektar ) yang merupakan 
daerah kedua terbesar di Negeri Kedah Darul Aman selepas Daerah Sik. 
Ianya terletak di selatan Negeri Kedah Darul Aman pada garis lintang 
539’U.
 Daerah Baling adalah bersempadan dengan Negara Thailand ( Betong ) dan 
negeri Perak di sebelah timurnya bersempadan dengan Daerah Sik dan 
Daerah Kuala Muda di sebelah baratnya manakala Daerah Kulim di sebelah 
selatannya. Sempadan antara Daerah Baling dengan Daerah Kulim bermula 
dari Kuala Sungai Sedim hingga ke sempadan Hutan Simpan Gunung Inas 
mengikut tebing kanan Sungai Sedim. Sempadan antara Daerah Baling dengan
 Daerah Kuala Muda pula adalah bermula dari Sungai Sedim mengikut 
pertengahan Sungai Muda ke utara hingga ke sempadan Daerah Baling dengan
 Daerah Sik. Keadaan muka bumi Daerah Baling adalah tanah pamah di 
kawasan tengah manakala berbukit bukau di kawasan sempadan Negara 
Thailand di mana kawasannya melebihi ketinggian 1,000 kaki.
 Daerah Baling menerima sebanyak 2,750 mm hujan setahun. Walau pun 
taburan hujannya tinggi namun taburan hujannya tidaklah sekata sepanjang
 tahun. Secara umumnya bentuk taburan hujan daerah ini mempunyai 2 
puncak iaitu Musim Hujan Lebat yang pertama berlaku di antara bulan Mac 
hingga bulan April dan diikuti oleh Musim Hujan Lebat kedua yang berlaku
 di antara bulan Ogos hingga bulan November. Musim hujan kedua ini akan 
diikuti oleh musim kemarau iaitu di antara bulan Disember hingga bulan 
Mac.
 Daerah Baling mempunyai 8 buah mukim iaitu Mukim Siong, Mukim Baling / 
Bongor, Mukim Pulai, Mukim Kupang, Mukim Tawar, Mukim Bakai dan Mukim 
Teloi Kanan. Pola penempatan penduduk adalah mengikut keadaan geografi, 
arah aliran perhubungan yang sedia ada adalah kesesuaian tempat tinggal 
dengan sumber pencarian. Sebelum merdeka, kepadatan penduduk adalah 
tertumpu kepada arah aliran perhubungan. Penduduk adalah lebih padat di 
kawasan yang berdekatan dengan sungai kerana ia adalah punca perhubungan
 utama. Selepas merdeka, didapati penempatan penduduk di Daerah Baling 
ini mula tertumpu ke tepi-tepi jalan apabila banyak jalan-jalan baru di 
buka oleh pihak kerajaan. Mengikut bancian tahun 1980, Daerah Baling 
mempunyai penduduk seramai 107,926 orang. Pada tahun 1991, jumlah 
penduduk Daerah Baling seramai 114,489 orang. Pada tahun 2000, jumlah 
penduduk Daerah Baling seramai 124,830 orang.
 Daerah Baling mempunyai pola kepelbagaian kaum dimana di samping 
kaum-kaum Melayu, Cina, India dan Thai terdapat juga kaum Orang Asli 
yang tinggal di Kampung Legong Mukim Siong iaitu satu-satunya 
perkampungan Orang Asli di Negeri Kedah Darul Aman ini. Menurut kajian 
Major P.D.R. Williams-Hurt, Advisor On Aborigines, Federation Of Malaya 
pada tahun 1952, Orang Asli ini adalah daripada keturunan Negritos.
 Kawasan sempadan pentadbiran daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah 
Baling adalah sama dengan sempadan daerah Polis yang diketuai oleh Ketua
 Polis Daerah. Tetapi sempadan ini adalah berbeza dengan sempadan daerah
 pilihan raya. Daerah Baling meliputi kawasan pilihan raya bagi seluruh 
kawasan Parlimen Baling yang mengandungi kawasan Dewan Undangan Negeri 
Kawasan Bayu dan Kupang. Manakala, Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala 
Ketil walaupun terletak di Daerah Baling tetapi ianya di bawah Parlimen 
Padang Serai.
BALING ANTARA UNSUR METOS DAN KATA-KATA THAI
 Panggilan ‘Baling’ boleh dikategorikan kepada dua. Pertama, berdasarkan
 metos Hikayat Merong Mahawangsa ( HMM ) dan yang kedua berdasarkan 
kata-kata Siam iaitu ‘Ban Ling’.
 Kata ‘Baling’ untuk kategori pertama dan kedua memang menjadi satu 
cerita warisan yang dipertuturkan daripada dahulu hingga kini. Walau 
bagaimanapun rencana ini bertujuan untuk memberi gambaran yang 
sebenarnya bagaimana nama Baling muncul iaitu berdasarkan kategori 
pertama atau kedua.
 Fakta-fakta lisan agak sukar untuk diterima dalam hakikat sebenarnya 
berhubung nama Baling. Sumber yang bersandarkan kepada HMM yang 
bermetoskan Raja Bersiong hanya wujud dalam tradisi lisan. Lebih-lebih 
lagi HMM diklasifikasikan sebagai salah satu karya historiografi yang 
mengandungi cerita-cerita khayalan.
 Walau bagaimnapun, kewujudan tradisi lisan tersebut tidak boleh 
dinafikan dalam masyarakat Melayu. Ismail Hamid dalam Dewan Sastera Jun 
1986 menyatakan walaupun unsur metos dan lagenda yang terkandung dalam 
karya tersebut dicatat sebagai suatu kebenaran menurut nilai-nilai 
masyarakat Melayu tradisional.
 Dengan itu asal-usul Baling yang didasarkan kepada Raja Ong Maha Perita
 Deria ( Raja Bersiong ) yang mencabut dan membaling giginya adalah 
metos dalam masyarakat Melayu. Lebih-lebih lagi hikayat tersebut tidak 
disebut dalam HMM, namun perkembangannya melalui tradisi lisan.
 Masyarakat Melayu hidup secara kolektif, sebagai perintang waktu 
kemungkinan episode HMM dikaitkan dengan cerita lisan Raja Bersiong 
kerana kebetulan nama-nama yang wujud di Daerah Baling mempunyai kaitan 
dan boleh dihubungkaitkan di antara satu tempat dengan tempat yang lain.
 Selain daripada itu tidak dapat dinafikan bahawa tingkah laku Raja 
Bersiong sebabai lagenda untuk menggambarkan kelaziman yang dilakukan 
oleh Raja Bersiong. Lebih-lebih lagi pada zaman dahulu hal-hal yang 
berkaitan dengan istana tidak boleh dicatat atau dibicarakan oleh 
golongan marhain.
 Hasrun Haron dalam Dewan Bahasa Disember 1971 menyatakan imej Raja 
Bersiong sebagai lagenda untuk menggambarkan kisah seorang raja yang 
zalim dan disingkirkan. Mlah, R.O. Winstedt dalam buku Sejarah 
Kesusasteraan Melayu Klasik HMM adalah sebuah hasil sastera sejarah yang
 menyimpang.
 Justeru, berdasarkan tulisan Abdul Rahman Ismail Warta Darulaman Julai 
1992, penulis berpendapat bahawa Baling mendapat nama berdasarkan 
kata-kata Siam yang bermaksud Kampung Kera ( Ban Ling ). Oleh itu untuk 
melihat asal-usul Baling mengikut konteks disiplin sejarah, penulis 
berpendapat kata-kata dari Siam boleh diyakini jika dibandingkan dengan 
metos HMM.
 Ini disebabakan penduduk Baling pada waktu ini terdiri daripada 
pelbagai kaum dan masyarakat. Kaum Siam merupakan golongan yang agak 
ramai yang tinggal di beberapa buah kampong sejak dari dahulu lagi. 
Antara kampung-kampung yang kini didiami oleh penduduk berketurunan Siam
 ialah Kampung Simpang Empat, Kampung Sirako, Kampung Watt, Kampung Tass
 dan sebagainya.
 Kedatangan orang Siam tidak dapat dipastikan tarikhnya dengan tepat. 
Mohd Shabarani Ghazali dalam Jurnal Purba Bil. 2 1983 menyatakan 
peringkat awal kedatangan orang Siam ke Baling terlalu sukar untuk 
dilihat dengan jelas, terutamanya tidak dapat dikesan bila dan oleh 
siapa satu-satu petempatan didirikan.
 Hubungan Siam ( rakyat dan kerajaan ) dengan Negeri-Negeri Melayu 
khususnya Kedah hanya dapat dijelaskan apabila berlakunya hubungan 
antara kerajaan dengan kerajaan. R.Bonney dalam bukunya Kedah 1771-1821.
 The Search For Security and Independence menyatakan orang Siam pernah 
memerintah Tanah Melayu tetapi sejarah kedudukan Siam di Semenanjung 
masih tidak begitu jelas, yang nyata hanyalah hubungan dengan kerajaan.
 Jelas menunjukkan bahawa kajian dan penulisan terdahulu mendapati 
bahawa asal-usul Baling lebih menepati dengan kedatangan orang Siam 
berdasarkan perkataan yang wujud. Seorang ahli bahasa dari Kedah, Dr. 
Asmah Haji Omar dalam tulisannya Kedah : Aspek Kebudayaan seperti yang 
terdapat dalam Sejarah dan Bahasa telah menulis bahawa nama-nama tempat 
di Kedah terutama sebelah Utara kebanyakan menunjukkan kesan pengaruh 
Thai zaman dahulu.
 Namun begitu persoalan yang timbul, bilakah nama Baling wujud?. Catatan
 bertulis hingga kini menyatakan kedatangan orang Siam hanya bermula 
pada awal abad ke-19. Penghijrahan ke Negeri-Negeri Melayu termasuk 
Kedah bermula apabila peperangan Burma-Siam berlaku pada akhir abad 
ke-18.  
 Hal ini perlu dikaji oleh pakar-pakar sejarah atau sejarawan tempatan. 
Petempatan awal di Baling, bermula lebih awal dari tarikh kemasulan 
Siam. Berdasarkan artifak yang ditemui di Baling, manusia pertama 
tinggal di sini pada Zaman Neolitik apabila tinggalan seperti kapak 
persegi dan kapak bahu ditemui di gua-gua batu kapur sekitar Baling. 
Kajian lanjut boleh dibaca dari Bulletin Of The Raffles 
Museum-I-3-1936-1937, khusus tentang penemuan kapak dan artifak lain di 
Baling.
 Oleh itu, Lin dalam bahasa Thai yang bermaksud kera memang ada kaitan 
dengan bidang pertanian. Sememangnya kera merupakan musuh utama 
hasil-hasil tanaman pada masa itu mahupun masa kini. Justeru, memang 
benar kedatangan orang Siam berkait rapat dengan bidang tersebut. 
Pertanian tradisional secara kekampungan masih diamalkan oleh masyarakat
 Siam di Baling hingga kini. Sebuah jurnal JMBRAS Part II 1970 menyebut 
secara jelas bidang pertanian mempunyai kaitan rapat dengan orang Siam 
di Kedah. Dengan itu tulisan Abdul Rahman Ismail, asal-usul Baling lebih
 tepat dengan pengarauh kedatangan Siam. Manakala cerita kera putih yang
 ditandatangani oleh Penghulu Nai Sinon lebih berbentuk metos dikalangan
 masyarakat.
 Kesimpulannya asal-usul Baling boleh disandarkan kepada unsure metos 
dalam kesusasteraan historiografi rakyat tempatan. Manakala Baling yang 
berdasarkan sebutan Siam lebih mendekati nilai sejarah dengan 
berpandukan kajian dan tulisan lalu.










