Terima
kasih pada teknologi terkini yang membolehkan kita, khususnya ibu bapa
melihat sendiri bagaimana ganas dan buruknya perlakuan buli membabitkan
pelajar sekolah. Sebenarnya isu buli bukan baru. Malah boleh dikatakan
seusia dengan institusi sekolah beraliran Inggeris sejak sebelum
merdeka. Bermula dengan ritual yang dianggap sebagai tradisi hubungan
antara pelajar senior-junior, buli kemudian menyimpang kepada gengsterisme dan jenayah.
Kes
buli dan deraan boleh berlaku di mana-mana sekolah berasaskan kepada
wujudnya peluang, niat pelaku serta sokongan kelompok. Deraan atau buli
biasanya tidak wujud secara perseorangan. Misalnya seorang pembuli
sangat jarang secara individu membuli pelajar lain kecuali dia mendapat
sokongan kumpulannya. Kesempatan melihat perlakuan ganas pelajar di
Internet sememangnya mencemaskan. Ia tidak sekadar menengking atau
memaki hamun tetapi kini sampai ke tahap mencedera sehingga ada yang
membawa kematian.
Dalam
kes-kes buli sehingga menyebabkan kematian sebelum ini, pelaku mengaku
mereka sekadar suka-suka dan tidak terniat sampai ke tahap membunuh.
Malangnya apabila nasi telah menjadi bubur, mereka akan menerima
hukuman. Maka pendidikan berkaitan keselamatan diri sangat penting.
Sebagai contoh apabila sekolah melaksanakan minggu suai kenal untuk
pelajar baru di asrama, dua perkara pokok perlu ditekankan ialah kasih
sayang dan perkongsian.
Selain
itu, keselamatan sekolah kita juga merujuk kepada masalah keracunan
makanan. Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat 448 kes keracunan
makanan pada tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 31% berlaku di
sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah. Malah dua bulan
pertama bagi tahun 2009 telah mencatatkan kes keracunan makanan di
sekolah sebanyak 31 kes yang melibatkan tiga buah sekolah rendah.
Kes-kes ini nampaknya semakin meningkat tanpa sebarang kenyataan yang
tegas daripada Kementerian Pelajaran tentang cara menanganinya.
Tahap
keselamatan sekolah juga diragui apabila wujud kes kelakuan pelajar
lelaki dan kes guru lelaki mencabul kehormatan pelajar perempuan.
Walaupun ia dikatakan kes terpencil tetapi tidak bermakna ia tidak akan
meningkat jika tiada usaha membendungnya dilakukan oleh pihak sekolah.
Soalannya sekarang, apakah kes-kes keselamatan sekolah ini boleh
diatasi? Apakah langkah segera, jangka pendek serta jangka panjang yang
harus diambil oleh pihak sekolah?
Di
pihak Kementerian Pelajaran, apakah pula dasar dan peraturan yang boleh
disemak semula agar tahap keselamatan sekolah menjadi keutamaan dan
dilihat sedang melakukan tindakan yang sewajarnya?
Berikut
mungkin beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan. Sebagai langkah
segera, pihak sekolah perlu mengenal pasti kawasan dan masa yang
berpotensi untuk sesuatu perlakuan yang boleh menggugat keselamatan di
sekolah berlaku. Sebagai contoh adakah tandas, stor, padang dan bilik
darjah selamat untuk pelajar tinggal berseorangan atau boleh dijadikan
tempat untuk pelajar melakukan buli dan sebagainya? Apakah ada peluang
untuk orang luar mencerobohi kawasan sekolah selain melalui pintu utama?
Guru
kaunseling misalnya perlu mempunyai pemerhatian yang tajam untuk membuat
jangkaan dan menyiasat pelajar yang mengalami perubahan tingkah laku
yang mendadak, penurunan markah akademik atau mula mengasingkan diri
daripada rakanrakan. Para pengawas sekolah merupakan mata dan telinga
pihak sekolah untuk memantau perjalanan serta aktiviti pelajar secara
harian dan ini sangat berkesan.
Bagi
jangka pendek, pihak sekolah perlu melengkapkan pengetahuan tentang
keselamatan diri kepada para semua pelajar khususnya pelajar perempuan.
Pengetahuan ini meliputi waktu di sekolah, di luar sekolah sewaktu pergi
dan pulang dari sekolah dan juga sewaktu aktiviti ko-kurikulum. Selain
taklimat dan pesanan lengkap, ada baiknya pihak sekolah meletakkan papan
tanda keselamatan dan bahan bacaan berkaitan petua keselamatan di bawah
plastik alas meja kantin sekolah dan papan kenyataan.
Bidang
kuasa pihak sekolah juga harus dikembangkan untuk mengawasi bas-bas
sekolah yang beroperasi di luar kawasan sekolah. Ini penting kerana
pemilik dan pemandu kenderaan bas perlu dipantau supaya mereka lebih
berhati-hati tentang keselamatan pelajar. Sepatutnya pemantauan
keselamatan pelajar tidak terhenti apabila pelajar keluar dari kawasan
pagar sekolah sahaja. Perkara ini perlu dilihat semula agar keselamatan
pelajar lebih terjamin. Bagi sesi sekolah petang, sepatutnya ada guru
atau pengawal keselamatan yang bertugas memastikan setiap pelajar
meninggalkan sekolah dengan selamat.
Pemerhatian
penulis menunjukkan ada pelajar yang ditinggalkan di luar pagar sekolah
walaupun hari mulai gelap kerana pihak sekolah bertindak mengunci pintu
pagar tanpa memberikan peluang untuk pelajar berada di dalam kawasan
sekolah atas dasar keselamatan pelajar. Adalah lebih baik jika satu
kawasan kecil berdekatan pondok pengawal sekolah diwujudkan supaya
pelajar yang masih menunggu ibu bapa dapat berkumpul di ruangan
tersebut. Selain itu, kementerian sepatutnya mempunyai dasar dan etika
yang lebih jelas berkaitan batasan guru lelaki dan pelajar perempuan.
Walaupun
tidak dinafikan ramai guru lelaki yang berjiwa murni dan tidak
terlintas melakukan perbuatan yang tidak senonoh pada pelajarnya, ia
tidak bermakna semua guru mempunyai sifat sedemikian. Etika ini penting
kerana sekiranya sudah berlaku perlakuan yang tidak bermoral, pelajar
yang menjadi mangsa akan berhadapan trauma seumur hidup.
Peranan
pihak sekolah sangat penting dalam menguruskan keselamatan sekolah.
Biarlah sebagai pentadbir, kita merancang untuk mengelakkan sesuatu yang
buruk menimpa pelajar kita. Ini tentunya lebih baik daripada terpaksa
membawa pelajar kita ke hospital atau ke balai polis. Adalah sesuatu
yang sangat menyedihkan apabila terpaksa berdepan dengan ibu bapa
pelajar untuk memberitahu bahawa anak mereka menjadi mangsa buli,
dicabul atau terlibat dalam kemalangan di sekolah. Ia merupakan situasi
yang paling sukar.
Isu
keselamatan sekolah bukan hanya di dalam sekolah. Ia juga bukan sesuatu
yang ringan dan boleh dipermudahkan. Anak-anak ini pewaris generasi
kita. Kebanyakan tindakan serta perbuatan salah laku pelajar di dalam
sekolah tidak diasaskan oleh pemikiran yang matang dan benar.
Sementara
itu, jenayah di luar kawasan sekolah pula lebih berbahaya dan tidak
dapat diramal bila dan bagaimana bentuknya. Oleh itu menyediakan
perancangan kontingensi keselamatan di sekolah adalah sangat penting dan
mendesak sekali ketika ini. Mungkin di sini pihak kerajaan melalui
Institut Latihan Keselamatan dan Kesihatan Kebangsaan boleh berperanan
untuk membina satu senarai semak tahap keselamatan sekolah di Malaysia
yang boleh dijadikan asas kepada pembinaan budaya sekolah selamat di
negara ini. Semoga sekolah menjadi lebih selamat untuk anak-anak kita
belajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan