Panduan solat di dalam kenderaan (kapal terbang)
Solat
merupakan perkara pertama yang akan disoal di alam barzakh nanti, dan
ia juga merupakan rukun Islam yang kedua setelah mengucap dua kalimah
syahadah. Kesemua kita yang bergelar Muslim, tidak terkecuali daripada
melaksanakan perintah Allah ini mahupun dalam keadaan senang apatah lagi
susah.
Pelbagai kemudahan atau dengan kata lainnya “rukhsah”
telah diberikan kepada kita agar dapat menunaikan solat. Jika kita
sedang bermusafir, Allah berikan kemudahan kepada kita dengan melakukan
solat secara Qasar dan Jamak.
Malahan,
jika seseorang itu sakit sekalipun, tetapi masih mampu untuk
melaksanakan solat, terdapat pelbagai cara untuk mereka melakukan solat
ini tidak kira dalam keadaan duduk, berbaring atau sekadar menggunakan
isyarat mata (bergantung pada keadaan seseorang).
Bersesuaian dengan sabda Rasulullah Salallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Hendaklah
kamu tunaikan solat dengan berdiri. Jika tidak mampu, tunaikan dengan
duduk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan mengiring di atas rusuk. Jika
tidak mampu, tunaikan dengan isyarat” (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari dari ‘Imran bin Hushain r.a.)
Jadi,
tidak ada alasan sebenarnya untuk kita meninggalkan waktu solat ini
dengan sengaja. Malah, tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk
bersolat juga bukanlah alasan untuk membenarkan kita meninggalkan solat.
Solat di atas/dalam kenderaan
Untuk artikel kali ini, saya ingin berkongsi mengenai panduan solat di dalam kapal terbang.
Abdullah ibnu Umar radhiallahu-anhu menceritakan, pernah seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah salallahu ‘alayhi wasallam:
“Bagaimanakah caranya saya tunaikan solat di dalam perahu? ” Baginda menjawab, “Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.” (Hadith Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Hakim. Menurut al-Baihaqi; hadis ini hasan. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5009).
Hadith
ini jelas menunjukkan bahawa kita dibolehkan untuk solat di dalam
kenderaan, tidak kira di dalam perahu, kereta, kapal terbang, ataupun di
atas binatang tunggangan sekalipun, tetapi dengan syarat jika waktu
itu, keadaan tidak mengizinkan untuk kita bersolat secara sempurna di
atas darat.
Menentukan waktu solat [1]
Persoalan
utama yang berlegar di dalam kepala adalah waktu solat. Bagaimana untuk
kita mengetahui waktu solat terutamanya jika berada di dalam kapal
terbang.
Bagi
waktu Maghrib, Isyak, dan Subuh kita mungkin dapat mengetahuinya dengan
melihat, iaitu apabila tenggelamnya matahari maka masuklah waktu
Maghrib, apabila hilang cahaya merah maka masuklah waktu Isyak dan
apabila terbitnya matahari, maka masuklah waktu Subuh.
Bagi
waktu Zohor dan ‘Asar, kita boleh tunaikan dengan cara berijtihad dan
berusaha mencari (untuk mengetahui masuknya waktu). Apabila kita
mengetahui waktunya di Negeri yang kita berada di atasnya, maka
hendaklah melewatkan sedikit solat dari tempoh itu, kemudian barulah
solat, kerana waktu di atas/dalam kapal terbang tidak sama seperti waktu
di bumi. Kita juga boleh menjamakkan antara Zohor dengan ‘Asar, dan
Maghrib degan ‘Isyak samaada jamak Taqdim ataupun jamak Ta’khir.
Dan
ketahuilah, sesiapa yang terlindung baginya (mana-mana) waktu solat,
Maka dia berijtihad dengan kadar kemampuannya, kemudian dia solat, maka
solatnya sah, melainkan apabila jelas padanya (selepas itu) dia solat
sebelum masuk waktu, maka hendaklah dia mengulangi solatnya, jika tidak
ada apa-apa, maka tidak mengapa.
Arah kiblat?
“Dan dari mana saja kamu keluar (datang), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram,
sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak dari Tuhanmu.
Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan. Dan
dari mana saja kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah
Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka
palingkanlah wajahmu ke arahnya, agar tidak ada hujjah bagi manusia atas
kamu, kecuali orang-orang yang zalim diantara mereka. Maka janganlah
kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku (saja). Dan agar
Ku-sempurnakan nikmat-Ku atasmu, dan supaya kamu mendapat petunjuk”.- Al-Baqarah; 149-150
Berdasarkan
dalil daripada al-quran ini, seseorang yang ingin menunaikan solat,
wajiblah menghadap ke arah kiblat. Namun, jika berada di dalam pesawat
dan kita telah berusaha untuk mencari arah kiblat yang betul, kita
dibolehkan untuk menganggarkan arah kiblat setepat mungkin. Terdapat hadith yang menerangkan tentang hal ini:
“Jabir
bin Abdillah radhiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah solat di satu
malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah qiblat. Tatkala kami
selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan
menghadap ke arah qiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah
sallallahu ‘alaihy wasallam lalu beliau berkata: Kamu telah melakukan
yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami
mengulanginya”
Berdasarkan
kepada hadis diatas,para Fuqaha telah bersepakat bahawa solat tetap
wajib dilaksanakan walaupun tidak menghadap kiblat [2].
Keadaan solat
Berdasarkan
hadith solat di atas perahu di atas, seseorang yang ingin menunaikan
solat di dalam kapal terbang hendaklah bersolat secara berdiri jika
mampu, tetapi jika dikhuatiri akan terjatuh ataupun tiada ruang yang
cukup untuk bersolat secara sempurna, insyaAllah dibenarkan untuk kita
bersolat secara duduk. Solat secara duduk dilakukan sama seperti solat
dalam keadaan berdiri. Untuk rukuk dan sujud, kita hendaklah membezakan
di antara keduanya. Seperti yang diajarkan oleh Rasulullah :
“Jika
mampu bersujudlah di atas tanah,dan jika tidak mampu maka berisyaratlah
dengan jelas atau jadikan sujudmu lebih rendah dari ruku’ mu.”
Solat
secara duduk (jika terdapat keuzuran untuk solat berdiri) diterima dan
solat tersebut adalah sempurna. Namun,pahalanya kurang separuh daripada
mereka yang solat dengan
berdiri.Ini bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud:
“Pahala orang yang solat duduk separuh daripada mereka yang solat dengan berdiri”
Sahkah solat? Perlu mengulangi solat apabila berada di darat?
Jika
kita telah sedaya mungkin menunaikan solat, walaupun dalam keadaan
duduk (kerana tidak terdaya melakukan dalam keadaan berdiri), insyaAllah
solat kita sah dan diterima Allah. Tetapi, kita harus berhati-hati kerana jika kita sengaja solat secara duduk tanpa ada keuzuran, solat kita menjadi tidak sah.
Adakah
seseorang yang solat secara duduk ketika beliau uzur (sakit) perlu
untuk mengulangi solat beliau secara berdiri selepas beliau sihat ?
Namun,
jika segala daya usaha telah dilakukan dengan kesungguhan, maka
dirikanlah solat semampu yang mungkin. Allah subhanahu-wa-ta’ala telah
berfirman dalam surah at-Taghabun ayat 16:
“Maka
bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya menurut kesanggupanmu dan
dengarlah serta taatlah; dan infakkanlah harta yang baik untuk dirimu.” (at-Taghabun; 16)
Rasulullah Sallahu ‘ alayhi wasallam juga bersabda yang bermaksud:
“Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu urusan, maka lakukanlah mengikut yang termampu oleh kamu” (Hadith Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah radhiallahu-anhu).
Solat yang telah kita lakukan sebaik yang mungkin itu juga tidak perlu lagi untuk diulang atau diqhada’kan.
Firman Allah:
“(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya.” (al-Jatsiyah: 13)
Berdasarkan
artikel ini, ketahuilah bahawa walau apa sekalipun keadaan kita, kita
masih diwajibkan untuk menunaikan ibadah solat. Saya sertakan beberapa
sumber untuk rujukan para pembaca dan harapan saya semoga artikel ini
dapat membantu anda yang ingin memulakan perjalanan ke tempat jauh
dengan menaiki kapal terbang.
Semoga mendapat manfaat darinya, insyaAllah. Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan