Isu-isu berkaitan dengan perkauman seolah-olah menjadi bahan paling laris bagi sesetengah pemimpin politik untuk menjajanya.
Bermula dengan sokongan kepada pertubuhan haram Hindraf, kini ia
'merebak' pula kepada isu menuntut kerajaan membenarkan bekas Setiausaha
Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke tanah air.
Isu kepulangan bekas ketua pengganas itu pada mula hanya dibangkitkan
oleh seorang pemimpin Parti Gerakan (salah satu komponen dalam Barisan
Nasional) tetapi apabila ia dilihat mampu memberikan keuntungan politik
maka parti-parti pembangkang pula menyokong saranan berkenaan.
Ternyata sekali, sokongan dan gesaan yang dibuat bukanlah atas dasar
kemanusiaan tetapi disebabkan ada agenda politik tersembunyi. Justeru
keputusan kerajaan menolak gesaan sebegitu adalah amat tepat. Puak-puak
yang menyokong kepulangan Chin Peng ini hakikatnya sengaja meletakkan
diri mereka untuk dianggap sebagai kelompok yang buta sejarah. Chin Peng
adalah pengganas dan pernah mengepalai sekumpulan manusia melakukan
pembunuhan dengan sewenang-wenangnya ke atas anggota keselamatan dan
rakyat negara ini semata-mata untuk menegakkan perjuangan komunisnya.
Oleh itu, apakah dosa-dosa tersebut harus dilupakan begitu sahaja
hanya semata-mata kerana berpendapat dia sudah uzur dan mahu mengakhiri
riwayatnya di negara ini? Bagaimana dengan pembunuhan yang dilakukan
olehnya sama ada secara langsung atau melalui arahan kepada
pengikut-pengikutnya ketika zaman darurat dahulu.
Ingatlah Chin Peng adalah pengganas kejam yang membunuh ribuan rakyat
negara ini, malah tanpa belas ihsan menyerang setiap sudut anggota
keselamatan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Justeru mengapakah
dengan mudah kekejamannya hendak dimaafkan begitu sahaja?
Dalam isu Chin Peng, soal kemanusiaan tidak harus sama sekali menjadi
pertimbangan kerana dia sendiri suatu ketika dulu tidak mempunyai
perasaan perikemanusiaan akibat taksub kepada perjuangan komunis.
Justeru janganlah mengeluarkan hujah dangkal dengan mengatakan kerajaan
boleh membenarkan Chin Peng pulang dengan syarat kerajaan memastikan dia
sudah meninggalkan doktrin komunisnya.
Pembunuhan
Kalau itulah hujahnya, bagaimana jika sesiapa juga yang melakukan
pembunuhan dan kini berada dalam penjara atau menanti hukuman mati boleh
dibebaskan dengan syarat mereka ditanya, apakah mereka mahu membunuh
lagi atau tidak?
Mungkin pihak-pihak terlibat menganggap ia suatu perbandingan tidak
wajar tetapi apa istimewanya Chin Peng, bukankah dia juga adalah seorang
pembunuh dan sudah banyak membawa kesengsaraan kepada negara ini.
Memang benar Chin Peng uzur dan sakit tetapi sekurang-kurangnya dia
masih insan yang tidak cacat anggota badannya. Ini berbeza dengan ribuan
anggota tentera yang kini masih hidup tetapi mengalami kecacatan
sepanjang hayat akibat jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas
komunis dari Padang Besar hinggalah ke Tanah Merah, Kelantan.
Adakah ketika Chin Peng melakukan semua kekejaman berkenaan dia
terfikir bahawa suatu hari kelak dia akan merempat dan mengemis untuk
kembali ke tanah air bernama Malaysia ini? Kenapa Chin Peng perlu
dilepaskan daripada segala perbuatan kejamnya?
Justeru kepada puak-puak yang masih mahu memperjuangkan Chin Peng
ingatlah bahawa bekas ketua pengganas itu tidak mempunyai sekelumit pun
jasa kepada negara ini. Daripada puak-puak yang buta sejarah itu
memperjuangkan nasib Chin Peng adalah lebih baik jika mereka berusaha
menggesa kerajaan mempertingkatkan lagi bantuan kepada bekas-bekas
anggota tentera dan keluarga yang menjadi mangsa akibat kekejaman
komunis.
Kalaupun hendak mencari keuntungan politik ia bukanlah melalui cara
hendak memperjuangkan nasib seorang bekas ketua pengganas, banyak lagi
insan-insan lain yang harus dibela. Kenapa perlu bercakap soal
kepulangan Chin Peng sedangkan terdapat banyak lagi isu lain yang perlu
diperjuangkan bagi memastikan rakyat negara ini yang terdiri daripada
pelbagai kaum hidup aman dan damai.
Percayalah, mungkin ada segelintir sahaja yang menyokong gesaan untuk
membenarkan Chin Peng kembali tetapi terdapat jutaan lagi rakyat
Malaysia menentang keras langkah tersebut. Puak yang menyokong itu
adalah terdiri daripada mereka yang bukan sahaja buta sejarah tetapi
berfahaman liberalisme, mereka tidak tahu apa itu komunis.
Apa pun, dalam memperkatakan soal ini, ia jelas membuktikan isu-isu
berkaitan perkauman semakin mendapat tempat di kalangan parti-parti
politik tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang. Masing-masing
berpendapat kononnya hanya melalui isu tersebut sahaja mereka akan
mendapat sokongan politik.
Lebih memualkan, dalam menghalalkan tindakan mereka, puak-puak itu
menggunakan slogan Satu Malaysia sebagai asas, seolah-olah melalui
pendekatan terbaru kerajaan itu segala-galanya harus dibenarkan untuk
semua kaum, termasuklah juga membenarkan Chin Peng pulang. Akibat
kedangkalan pemikiran pemimpin-pemimpin politik seperti itulah yang
menyebabkan dari semasa ke semasa wujud pelbagai pihak yang cuba menjadi
wira kepada kaum tertentu. Perkara seumpama ini jika dibiarkan ia akan
menjadi virus yang boleh menghancurkan perpaduan kaum di negara ini. Isu
Chin Peng hanyalah salah satu daripada keberanian tidak bertempat
sesetengah ahli politik dalam membangkitkan perkara berkaitan dengan
perkauman. Sebelum ini sudah banyak isu termasuklah yang melibatkan
kepentingan orang Melayu disentuh.
Kelompok yang membangkitkan isu berkaitan perkauman itu berbuat
demikian kerana mereka sudah tidak ada lagi perasaan untuk menjaga
sensitiviti mana-mana kaum terutamanya orang Melayu. Apatah lagi mereka
melihat ada sahaja pemimpin Melayu yang atas dasar kepentingan politik
sempit sanggup menyokong apa yang mereka lakukan. Kesudahannya, isu-isu
perkauman terus dimainkan seolah-olah ia bukanlah isu yang sensitif.
Dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang maka
semua pihak terutamanya dalam parti kerajaan harus patuh kepada
pendirian itu. Mereka tidak perlu membangkitkan lagi isu-isu sensitif
seumpama itu hanya semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan sesebuah
parti.
Fahamilah kekejaman komunis dan belajar memahami sejarah, jangan jadi
kelompok yang sengaja memadamkan sejarah semata-mata kerana kepentingan
politik kepartian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan