Hukum seorang ibu menggugurkan janin
atau kandungannya tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan hadis
Nabi. Namun apa yang jelas, al-Quran dan Hadis Nabi mengharamkan
pembunuhan kerana Islam adalah agama yang sangat mementingkan kehidupan
dan kesejahteraan manusia seluruhnya.
Antaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan
barang siapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka
balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya. Allah murka
kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya” (an-Nisa’: 93).
Malah, kejinya perbuatan membunuh juga dapat dilihat dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak
halal darah seorang Muslim (haram membunuhnya) kecuali disebabkan
berlakunya salah satu daripada tiga perkara: kafir setelah beriman
(murtad), zina setelah berkahwin, membunuh jiwa tanpa jiwa (membunuh
tanpa alasan yang benar)”.
Namun persoalannya, apabila seorang ibu terpaksa menggugurkan
kandungannya, adakah ini bermakna, ibu berkenaan dalam kategori
membunuh? Jadi, adakah pengguguran adalah jenayah yang sama dengan
pembunuhan? Adakah kandungan atau janin sama nilainya dengan nyawa
manusia yang sudah dilahirkan?
Bagi menjawab persoalan ini, ulama sudah
membahagikan janin kepada dua peringkat; iaitu peringkat janin sebelum
ditiupkan roh dan peringkat janin selepas ditiupkan roh berdasarkan
dalil hadis Nabi SAW.
Sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya
seorang kamu berada di dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai nutfah
(air mani), kemudian bertukar menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama
itu juga (40 hari), kemudian bertukar menjadi mudhghah (seketul daging)
selama itu juga (40 hari), lalu Allah SWT mengutuskan seorang malaikat,
maka diperintahkan dengan empat kalimat, dan dikatakan kepadanya:
tulislah amalnya, ajalnya, celaka atau bahagia, kemudian ditiupkan roh
ke dalamnya (janin)”.
Peringkat pertama ini adalah peringkat ketika janin baru terbentuk
sehinggalah ia berumur 120 hari yang bersamaan dengan empat bulan.
Ketika ini, janin tidak dianggap sebagai benda hidup, malah janin masih
dianggap sebagai benda yang tidak bernyawa kerana roh belum lagi
ditiupkan ke dalamnya.
Justeru, jika seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya atas
sebab tertentu yang dibenarkan hukum syarak maka inilah waktu yang
paling selamat untuk menggugurkan janin. Ia adalah pandangan, sebahagian
ulama daripada Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah.
Namun sebahagian besar ulama tetap
mengharamkan kecuali demi menjaga keselamatan ibu. Ada juga pandangan
dari sebahagian ulama Syaffi’iyah yang membenarkan pengguguran pada
peringkat ini walaupun janin itu adalah hasil daripada zina dan rogol.
Asas kepada pandangan ini ialah pengguguran janin sebelum umurnya
mencecah 120 hari tidak dianggap sebagai pembunuhan, kerana janin belum
lagi bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996 Ali Mahyuddin & Ali Yusuf.
(2006).
Walaupun, pengguguran janin ketika peringkat ini tidak dikira sebagai
pembunuhan, namun sebahagian ulama daripada Syafi’iyyah dan Hanabilah
mengharamkannya, malah mereka makin melarang perbuatan menggugurkan
janin apabila janin makin membesar. Dengan kata lain, dosa menggugurkan
janin, walaupun tidak sama dengan dosa membunuh jiwa seorang yang hidup,
namun perbuatan ini tetap berdosa, dan darjah dosanya semakin membesar
dengan meningkatnya umur janin (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Pada peringkat kedua pula, iaitu selepas janin ditiupkan roh (selepas
120 hari), semua ulama berpendapat bahawa hukum menggugurkan janin itu
berubah menjadi haram dan berdosa kerana janin sudah pun dianggap hidup
dan bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996).
Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan ibu menggugurkan
kandungannya ketika peringkat ini, kecuali dengan satu sebab saja; iaitu
jika janin mengancam nyawa ibu berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh
pakar perubatan, dan pengguguran janin adalah satu-satunya cara dan
jalan untuk menyelamatkan nyawa ibu. Asas kepada pendapat ini ialah
nyawa ibu lebih berharga daripada nyawa janin. Justeru, nyawa janin
terpaksa dikorbankan demi menjaga keselamatan ibu (Muhammad Naim Yasin,
1996).
Adapun alasan kerana malu, takut miskin, dan sebagainya tidak
membolehkan seorang ibu menggugurkan kandungannya sebaik saja janin
berusia 120 hari.
Menurut Imam Sayyid Qutb, terdapat pertalian yang amat erat antara
larangan membunuh anak dan larangan mendekati zina kerana daripada zina
lahirlah anak yang tidak diingini, lalu mereka dibunuh dan dibuang
begitu saja. Malah, perbuatan berkhalwat antara seorang lelaki dan
seorang wanita (berdua-duaan di tempat sunyi) dianggap sebagai
muqaddimah (permulaan) dan pintu kepada zina.
Oleh itu, berkhalwat dan segala perbuatan yang boleh membawa
seseorang kepada zina turut diharamkan dalam Islam. Asas kepada larangan
ini ialah Allah amat menyayangi hamba-Nya. Justeru, Dia yang Maha
Pengasih dan Penyayang melarang hamba-Nya daripada terbabit dalam zina
yang hanya akan membawa bahaya yang besar kepada diri dan masyarakat
seluruhnya (Sayyid Qutb, 2000).
Sayangnya, kebanyakan ibu yang terpaksa menggugurkan janin di
Malaysia khasnya adalah hasil daripada hubungan haram (zina). Jika janin
itu tidak digugurkan sudah menjadi rahsia umum bahawa bayi itu akan
dibuang ke dalam tong sampah, diletakkan di hadapan rumah orang malah
masjid tempat ibadat yang begitu suci juga pernah dijadikan sasaran
tempat buangan bayi.
Perbuatan membuang bayi pada masa kini menyamai perbuatan Wadulbanat
orang Arab pada zaman Jahiliyyah yang menanam hidup-hidup anak perempuan
mereka sebelum datangnya pembimbing agung Nabi Muhammad SAW. Malah,
perbuatan membuang bayi pada masa kini lebih jahiliah dari perbuatan
jahiliah terdahulu kerana pada zaman itu bayi dibezakan jantinanya.
Hanya anak perempuan yang ditanam dan bukan anak lelaki, namun sekarang
bayi lelaki juga menjadi bayi buangan yang dibuang oleh ibu kandungnya
sendiri.
Biasanya wanita yang terlanjur berada dalam dilema berhadapan dengan
dua pilihan, membuang bayi atau melakukan pengguguran janin. Ada yang
memilih pengguguran janin.
Walaupun pengguguran hasil zina sebelum janin berusia 120 hari
dibolehkan oleh sebahagian ulama, namun pengguguran ini bukan menjadi
suatu cara untuk mengharuskan atau menghalalkan zina. Wanita yang
terbabit dengan masalah zina mesti menyedari bahawa hidup dalam kitaran
dosa, zina dan pengguguran, adalah sebuah kehidupan yang penuh
kegelapan, penderitaan, penyiksaan, dan penghinaan. Mahukah kita terus
dibelenggu dengan dosa, kegelapan, dan penghinaan?
Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum kematian datang
menjemput sedangkan kita masih berada dalam kegelapan dan kealpaan.
Berusahalah sedaya upaya untuk keluar daripada kepompong sempit yang
penuh dengan najis dan kotoran jahiliah moden, dan carilah cahaya yang
dapat melenyapkan kegelapan hati nurani.
Imam al-Shafiie ada menyebut ilmu itu cahaya, dan cahaya yang dapat
menyinari kegelapan ini hanyalah dengan mencari ilmu pengetahuan yang
berguna.
Pengguguran janin dan pembuangan bayi yang semakin membarah hari ini
adalah punca daripada hilangnya rasa tanggungjawab dan rasa hormat
terhadap wanita pada tahap yang sepatutnya, dan juga kesan daripada
tandusnya penghayatan ilmu agama dalam masyarakat.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama menangani isu keruntuhan
akhlak dan gejala sosial yang semakin mengancam keamanan masyarakat dan
menjadi semakin parah seperti penyakit barah terutama isu-isu yang
membabitkan penghinaan terhadap wanita seperti masalah zina dan rogol.
Sikap menuding jari ke arah orang lain tidak akan menyelesaikan
masalah, malah sikap terpuji ialah setiap orang perlulah melaksanakan
amanah dan tanggungjawab masing-masing serta bersama-sama berusaha dalam
menyelesaikan masalah masyarakat dan sama-sama membangunkan masyarakat.
Antara sabda Nabi yang selayaknya menjadi pedoman orang beriman dulu, sekarang dan selamanya ialah: “Setiap
kamu adalah pemimpin (yang mempunyai tanggungjawab masing-masing), maka
setiap orang akan ditanya mengenai rakyatnya (orang atau tanggungjawab
yang diamanahkan kepadanya)�” (hadis muttafaq ‘alaih).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan