Khamis, 6 September 2012

AIS TELAH CAIR DI KUTUB UTARA


Baru-baru ini di akhbar-akhbar diipaparkan gambar bongkah ais yang berukuran 500 meter panjang dan tingginya 50 meter terapung-apung di lautan. Bongkah ais itu terpisah dari induknya. Apakah yang sebenarnya terjadi?
Faktor utamanya ialah pemanasan global yang menyebabkan pencairan bongkah ais itu.Sekumpulan pakar penyelidik yang menjelajah kutub utara (artik) untuk membuat penyelidikan benar-benar rasa bimbang dengan fenomena itu. Ekspedisi penyelidik yang diketuai Pen Hadow bersama rakan-rakannya Martin Hartley dan Ann Daniels itu meramalkan kemungkinan besar kutub utara tidak akan dilitupi ais dalam tempon satu dekad. Malah jika senario 'bongkah ais terapung' itu terjadi, pasti aia akan mencetuskan fenomena baru apabila Artik bertukar menjadi lautan tanpa susunan bongkah-bongkah ais. Penipisan ais berlaku dengan kadar yang cepat.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah disuarakan oleh pengkaji sejak bertahun-tahun yang lalu apabila manusia tidak lagi mengendahkan jeritan dan kesakitan bumi hingga planet ini mula bertindak balas terutama apabila pemanasan global sejak awal tahun 1940-an. Isu perubahan cuaca dunia merupakan ancaman besar kepada kehidupan bumi. Jika tidak ditangani dengan baik, maka kehidupan di bumi bakal berhadapan dengan pelbagai bencana alam yang sukar diramal. 
Simptom-simptom ini sebenarnya telah kelihatan. Antaranya, catatan suhu udara di Artik telah mencapai sehingga 4 darjah celsius di atas paras normal antara Oktober hingga Disember 2008. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Litupan ais pada musim panas tahun ini di Artik merupakan yang ketiga terkecil mengikut laporan berbanding pada tahun-tahun sekitar 1979-2006 dan laut Artik kini semakin menyusut kira-kira 11.2 peratus pada setiap dekad. 
Jumlah sebenar litupan ais telah semakin menipis dalam masa kurang dari satu tahun. Pada tahun 2008 kehilangan ais di Artik mencatatkan peratusan di angka sembilan, satu penurunan mendadak berbanding pada tahun 2007 (21%) yang dikatakan tahun dimana Artik mencair paling drastic. Bayangkan apa yang tinggal sekiranya permukaan ais di Artik berkurangan dari tahun ke tahun. Ais tua yang terdapat di Artik hanya tinggal 19 peratus sahaja berbanding pada tahun di antara 1981 hingga 2000 dimana kewujudannya masih tinggal sebanyak 52 peratus sebelum ketebalan ais semakin mengecil kepada 0.68 meter antara tahun 2004 hingga 2008. Ini betul-betul membimbangkan.
Lautan Artik merupakan posisi utama dalam sistem iklim bumi dan sama ada sedar atau tidak bongkah-bongkah ais yang semakin mencair kini turut memberi respons negatif kepada iklim bumi dan kesannya adalah jauh lebih daripada terhadap Artik semata-mata. Litupan ais paling minimum di Artik pada tahun ini hanya tinggal 4.13 juta kilometer persegi berbanding tahun lepas. Perubahan ini lambat laun jelas akan memberi kesan kepada manusia yang secara tradisi tinggal di Artik. 
Pastinya terlintas di fikiran kita bagaimanakah keadaan dan nasib penduduk dunia sekiranya ais di Artik dan di Antartika mencair dan lenyap daripada pandangan. Di masa itu, dunia mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada negara-negara yang terjejas seperti Bangladesh, utara Eropah, sebahagian Siberia, Amazon, tanah besar China dan termasuk sebahagian kawasan daratan di tenggara Amerika Syarikat. Menakutkan!!! 
Jadi kerajaan di seluruh dunia harus bersatu menubuhkan sebuah jawatankuasa bermula 2013 bagi merangka dasar berhubung langkah-langkah menangani perubahan iklim dunia memandangkan fasa pertama yang dikenali sebagai Protokol Kyoto bakal tamat pada Disember 2012. Pemimpin-pemimpin dunia perlu mendapatkan persetujuan daripada kesemua 191 buah negara berhubung perjanjian baru yang akan diadakan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copanhagen, Denmark pada Disember 2009. Dasar baru itu kelak dapat mewujudkan satu jalinan usahasama seluruh dunia untuk bersama-sama mengambil apa sahaja langkah bagi menangani isu ini. Kita dan seluruh umat manusia di muka bumi ini dapat memainkan peranan masing-masing walau sekecil hama sekali pun demi memastikan dunia tidak terus tenggelam. Bersediakah kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan