Merdeka, Merdeka, Merdeka ! - Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957
bertempat di Padang Kelab Selangor Bendera Union Jack diturunkan dan Bendera
Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan
kemerdekaan negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan
masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa
tersebut dengan penuh rasa bangga.
Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Satu
pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera
Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis
Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Seramai 373 karyawan telah mengambil
bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka
bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan
dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan
rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan
mengelilingi Keris Bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur
biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu Semasa Dikibarkan di Bangunan United Nation
Majlis
Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada
ketiga-tiga reka bentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh
akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pad 28 November 1949
menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk
tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad
bin Hamzah.
Reka
bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan
Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950
Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh
Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:
"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.
Sejarah Bendera Malaysia
Bendera
Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang
Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam
satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah
memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka
bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan
jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi
Persekutuan Malaysia.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Melaysia pada 16 September, 1963.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan