Isnin, 17 September 2012

SEJARAH KESULTANAN MELAYU

Untuk sejarah raja-raja Melayu kita ambil akan permulaan ialah masa bandar Singapura direbut oleh Paramisura ataupun Paramesywara dari tangan wakil raja Siam, yang pada zaman itu menguasai seluruh tanah Semenanjung sambil mendudukkan seorang-orang besarnya di pulau Singapura.

Adapun Paramisura ini ialah, seorang bangsawan yang meninggalkan tanah Jawa pada waktu mangkat maharaja Hayam Wuruk, batara Majapahit yang harum-masyur itu, serta dengan beberapa pengiringnya lalu menuju bandar Singapura.

Dengan muslihat dapatlah diambil beliau pulau itu dan iapun duduklah memerintah di situ, tetapi tentera Siam datang melanggar.

Paramisura undur ke Pagoh mendirikan kota di sana, kembali datang Siam melanggar, undur pula, lalu tiba di sebuah tempat di mana baginda dapat bersemayam dengan aman sentosanya ialah Malaka.

Adalah hal ini terjadi dalam abad XV.

Malaka ini adalah sebuah tempat kecil di tepi laut dan telah tersebut dalam sebuah kitab undang-undang Siam, yang bernama Kot Monthi¬raban dalam tahun 1360.

Paramisura bersemayam di Malaka itu adalah suatu pilihan yang amat sempurna, sebab segala kapal dagang yang datang dari benua Tionghoa dan Jawa singgah ke Malaka untuk berniaga dan menunggukan musim baik, pelabuhan Malaka tiada dilanggar musim gelombang sebab disangga oleh pulau-pulau yang ada di mukanya.

Karena naik cuaca Malaka kelamlah sinar Samudra, sebuah bandar di tanah Aceh. Dalam tahun 1403 datanglah utusan dari benua Tionghoa pada raja Malaka, inilah utusan yang pertama kali. Tetapi walaupun demikian baginda Paramisura masih juga lagi membayar upeti ke Siam.

Utusan Maharaja benua Tiongkok dibalas baginda pula dengan utusan, sambil membawa persembahan hasil bumi Malaka dengan membawa titah pula bahwa baginda Paramisura menyembahkan ne¬gerinya ke bawah lindungan maharaja Tionghoa. Hal ini terjadi dalam tahun 1405.

Maharaja Tionghoa menetapkan beliau raja di Singapura serta mengurniai baginda sebuah cap dan sekaki payung kuning.

Inilah suatu muslihat raja Paramisura, sebab dengan menundukkan dirinya pada maharaja Tiongha maka lepaslah baginda dari Siam, dan maharaja Tionghoa itu amat jauh tiada akan menyusahi baginda seperti raja Siam.

Dalam tahun 1411 datanglah baginda sendiri serta pengiringnya menghadap Maharaja Tionghoa itu. Dalam tahun 1414 datanglah anakda baginda Muhammad Iskandar Syah menyembah ke benua Tionghoa bahwa ayanda baginda telah berpulang ke rahmat Allah, dalam tarikh maharaja Tionghoa baginda ini disebutkan Mu-kan-sa¬u-tir-sha dalam tarikh Portugis baginda disebutkan Xaquem Darxa dan dalam sejarah Melayu Muhammad Iskandar Syah.

Dalam tahun 1411 baginda Paramisura telah memeluk agama Islam, walaupun sampai sekarang kita tiada ketahui apa nama baginda pada masa beliau memeluk agama suci.

Bagindalah mula-mula raja Melayu yang Syariah nabi Besar Muhammad s.a.w.

Ganti baginda ialah anakda beliau Mohammad Iskandar Syah dalam Sejarah Melayu disebutkan Raja Besar Muda, beliaulah yang bersemenda ke Pasai dan beliaulah yang diriwayatkan dalam tarikh Tionghoa, dituliskan Ma-Huan, bahwa baginda itu “berbaju kain sutera hijau yang berbunga-bunga, berkasut kulit serta berusung berumah kaca, sambil hamba-rakyatnya amat kuat beribadat”. Sepanjang d’Albuquerque beliau belajar ke benua Tionghoa dan bersemayam tiga tahun lamanya.

Baginda mangkat pada tahun 1424.

Tarikh Tionghoa meriwayatkan bahwa raja ketiga yang berkerajaan di Mekkah ialah Si-la-ma-ha-la atau dalam bahasa Melayu Sri Ma¬haraja, ini menunjukkan derajad kemuliaan baginda serta derajat kebesaran Malaka, Malaka bukanlah lagi sebuah kampung-perikan, tetapi sekarang telah mempunyai jajahan dan teluk rantau. Siapakah baginda ini? Sri Maharaja ini ialah menurut Sejarah Melayu Raja Kecil Besar, bagindalah yang bertemu dalam mimpi dengan Rasulullah serta diberi Rasulullah gelar Sutan Muhammad.

Sultan Muhammadlah yang pertama kali meletakkan adat-istiadat kerajaan Melayu yang sana sedikit masih tinggal lagi sampai sekarang ini, umpamanya: kekuningan itu warna larangan, tiada dapat dipakai orang kebanyakan; seandainya orang masuk menghadap ke dalam istana, hendaklah berkeris di hadapan, jika berkeris di belakang masuk ke dalam dirampas oleh penunggu pintu.

Kalau raja bergajah, temenggung di kepala gajah, laksamana di buntutnya, memikul pedang kerajaan.

Jika raja bekerja, penghulu bendaharalah yang memerintahkan di dalam, karena segala hamba raja, segala perbendaharaan raja, dan segala yang memegang hasil negeri raja dan Syahbandar semuanya itu dalam kira-kira penghulu bendahari.

Jika raja berkenduri adalah Bendahara itu makan seorangnya, yang lain itu empat sehidangan.

Pada bulan Ramadan, malam dua-puluh tujuh, tatkala siangnya mengarak sejadah ke mesjid, puan dan segala alat kerajaan dan gen¬dang semuanya diarak dahulu, malamnya maka rajapun berangkat ke mesjid.

Pada hari raya, maka bendahara dan segala orang besar-besar masuk berkampung ke dalam; usunganpun diarak masuk oleh penghulu bendahari.

Telah melihat usungan itu, segala orang di balai itupun turun berdiri bersaf-saf; maka gendangpun dipalu oranglah tujuh ragam, dan pada seragam sekali nafiri berbunyi. Genap tujuh kali maka rajapun berangkatlah di atas gajah ke balai, semua orang melihat raja, sekaliannya duduk di tanah, melainkan bendahara, beliau menyambut baginda lalu rajapun berpindah duduk dalam usungan, maka berangkatlah usungan itu, yang memegang kepala usungan di muka sebelah kanan bendahari, sebelah kiri laksamana, di belakang dua orang menteri, di muka dekat usungan berjalan bentara, di muka segala alat kerajaan, di muka ini pula orang bersenjata lembing. Di belakang bentara dibawa jogan, di muka inilah gong-gendang dengan segala bunyi-bunyian. Dan di muka sekali, di hadapan sekalian perarakan ini berjalanlah orang membawa tombak bercemara.

Di belakang usungan berjalan bendahara dengan kadi-malikuladil dan segala menteri yang tua-tua.

Demikianlah lakunya dan hebatnya raja Melayu itu pada zaman lampau berangkat.

Setelah mangkat Sultan Muhammad maka tumbuhlah dalam astana Malaka bencana perselisihan tentang pengganti raja hingga menumpahkan darah, astanapun dilanggar bendahara sebab beliau suka pada raja Kasim anakda Sultan Muhammmad Syah dan puakastana merajakan raja Ibrahim anakda marhum Sultan Mahmud juga.

Puak dalam kalah, raja Kasim ditabaikan serta digelar Sultan Mutlaffir Syah, dalam tarikh Tionghoa disebutkan Wu-ta-fu-na-sha serta dalam tarikh Portugal Malafar Sha.

Bagindalah yang mengharumkan nama Malaka sampai kini, tiada akan hilang-hilangnya selama ada lagi penulis dan penyelidik tambo serta sastera.

RAJA BERANGKAT

Penerangan :
1. pembawa tombak bercemara
2. penjurit bersenjatakan lembing
3. pembawa alat kerajaan
4. bentara
5. penabuh bunyi-bunyian
6. pembawa jogan
7. usungan duli yang maha-mulia
8. laksamana
9. bendahari
10. duli yang dipertuan
11., 12. dua orang menteri
13. kadi malikul adil
14. bendahara
15. menteri yang tua-tua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan