Isnin, 3 September 2012

SIAM MALAYSIA

Malaysia telah bertambah maju semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ini adalah kenyataan yang tidak dapat di nafikan. Negara ini telah maju.

Persoalannya ialah dimanakah kedudukan orang Siam atau Orang Malaysia berketurunan Thai di dalam negara ini? Saya tidak akan menghabiskan masa mempertikaikan perkataan Siam dan Thai. Apa yang ingin diperbincangkan hari ini apakah hak dan kedudukan orang Siam di negara ini.

Berdasarkan Perlembagaan negara ini semua rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama rata. Saya juga tidak ingin berdebat mengenai persetujuan yang memberikan kedudukan khas kepada kaum Bumiputra serta hal hal mengenai isu isu perkauman di negara ini. Kita biarkan sahaja perkara ini di debat oleh orang yang lebih berpengaruh dan berkuasa. Parti parti politik dinegara ini telah lama mengunakan isu-isu perkauman sebagai modal politik semenjak merdeka. Jadi kita tidak ingin masuk campur hal ini buat sementara. Ini tidak bermakna kita tidak berminat. Mungkin pada masa yang sesuai kita akan membincangkan perkara itu.

Apakah orang Siam rakyat kelas ketiga di Malaysia?. Ini adalah persoalan hari ini. Pertama biar saja jelaskan apa maksud kelas ketiga. Kita ambil contoh bagaimana perkataan ini digunakan. Di dalam Kapal terbang penumpang kelas ketiga ialah penumpang yang akan dibenarkan menaiki kapal terbang selepas penumpang Kelas Pertama dan Bisnes telah naik. Penumpang kelas ketiga kemungkinan juga menduduki barisan terakhir berdekatan tandas. Apabila makanan disediakan penumpang Kelas Ketiga atau Third Class atau nama lebih enak Economy Class biasanya akan diberi makan selepas orang lain mendapat habuan masing masing.

Penumpang Kelas Ketiga, atau Third Class atau nama lebih enak Economy Class juga akan mendapat tempat duduk yang tidak selesa dan sempit. Mereka terpaksa berkongsi tandas dengan ramai orang. Tandas kelas ketiga biasanya sesak kerana terlalu ramai orang ingin mengunakannya pada setiap masa. Selepas kapal terbang mendarat Penumpang Kelas Ketiga atau Third Class atau nama lebih enak Economy Class akan terpaksa berdiri dan tunggu sehingga semua penumpang Kelas Pertama dan Kedua telah turun. Inilah hak orang kelas ketiga atau Economy Class dalam penerbangan.

Di dalam kereta api penumpang kelas ketiga biasanya bebas untuk berebut tempat duduk. Kalau di lihat di dalam kereta api dari Haadyai ke Bangkok penumpang kelas ketiga agak gembira mendukung ayam laga di sebelah tangan kiri dan memegang botol samsu di sebelah kanan. Penumpang kelas ketiga bebas untuk makan pinang dan ludah, mabuk dan muntah atau menyanyi dan melalak bersama anjing dan kucing. Penumpang kelas ketiga juga menghidu asap dan habuk sepanjang perjalanan. Biasanya mereka tidak memakai baju putih atau cerah kerana asap dan habuk.

Demikianlah contoh penumpang kelas ketiga.

Berbalik kepada persoalan kita. Adakah orang Siam penumpang kelas ketiga di Malaysia. Tetapi saya tahu orang Siam di negara tidak ada parti politik. Selepas 50 tahun merdeka saya tidak pernah dengar nama orang Siam sebagai wakil rakyat atau calon pilihanraya. Jadi orang Siam akan berpolitik secara orang yang tidak ada parti. Samalah dengan cara orang yang tidak ada rumah, orang siam akan menumpang parti atau rumah orang lain. Sebagai penumpang di rumah orang lain, maka orang Siam tidak boleh bercakap dan belagak macam di rumah sendiri.

Penumpang tidak boleh naik ke atas rumah selagi tuan rumah tidak membuka pintu. Sekiranya mereka tidak diberi kunci rumah biasanya penumpang akan terpaksa menunggu di bawah rumah. Sekiranya tuan rumah tidak balik, maka penumpang terpaksalah tidur bersama anjing dibawah rumah atau di pondok yang biasanya menjadi tempat tidur anjing. Di kampung kampung orang Siam adalah kebiasaan melihat orang mabuk tidur bersama anjing. Sekiranya mereka juga mabuk dan muntah anjing akan berasa gembira kerana mereka akan dapat makan muntah sambil menjilat mulut orang yang telah mabuk dan tidur mati. Ini pemandangan biasa di kampung Siam.

Begitulah nasib penumpang rumah orang tanpa rumah sendiri.

Dari segi ekonomi orang Siam majoritinya adalah petani. Tanaman getah, padi dan dusun adalah warisan tradisi berzaman. Kebelakangan ini ramai juga mempunyai tanaman kelapa sawit. Kalau dahulu kebanyakkan petani mengusahakan tanah nenek moyang atau tanah yang diteroka. Pada masa ini mereka tidak ada lagi kawasan baru untuk diteroka. Ramai petani kini menjadi penoreh getah upahan di ladang orang lain. Mereka membahagikan hasil getah yang ditoreh dengan tuan empunya kebun. Di Kubang Pasu dilaporkan masalah utama penoreh getah ialah kecurian yang semakain berleluasa. Hampir semua penoreh getah mengaku bahawa tahi getah atau sekerap mereka di curi. Keadaan ini di katakan semakain menganas sehingga ada yang terpaksa tidur di dalam kebun untung mengelak tahi getah atau sekerap mereka di curi. Malah ada yang menceritakan bahawa pencuri semakin berani. Pencuri dilaporkan berani membawa cuka untuk mengeringkan susu getah didalam cawan atau plastik yang baru di toreh selepas penoreh pulang.

Penanaman padi kini semakin tidak ekonomi. Ini kerana sawah padi yang dahulunya dimiliki oleh ibu bapa atau nenek moyang mereka terpaksa di bahagikan dengan bilangan anak anak yang ramai.

Tidak kurang juga generasi muda yang terpaksa lari sektor pertanian kepada sektor lain yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi. Pemandu lori dan bas persiaran menjadi pilihan ramai.

Pekerja buruh binaan kini terpaksa bersaing denagn pekerja Bangladesh dan Indonesia yang sanngup menerima upah yang lebih rendah. Demikian juga pekerja kilang.

Kaum wanita yang keluar dari kampung biasanya akan bekerja di kedai gunting rambut atau nama glamour Hair Salon. Shampoo girl adalah jawatan mewah di dalam bilik hawa dingin. Supermarket juga menyediakan hawa dingin dan ramai anak gadis Siam bekerja di tempat tempat sedemikian.

Kebelakangan ini di katakan ramai yang telah keluar bekerja sebagai tukang urut badan dan kaki di sekitar Sungai Petani.

Sebilangan kecil anak anak Siam berjaya keluar dari kampung untuk bekerja di sektor awam. Kebanyakan bekerja sebagai polis, guru dan jururawat. Bilangan professional seperti peguam, dan doktor boleh dibilang dengan jari sebelah tangan.

Bilangan yang lebih kecil menceburi sektor perniagaan kebanyakkan sebagai pengusaha kedai runcit atau mekanik membaiki motosikal. Tidak ada satu pun orang Siam yang mempunyai syarikat besar yang boleh di senaraikan walaupun di papan Kedua pasaran saham. Malah tidak pernah terbaca orang Siam menjadi pengarah syarikat yang tersenarai. Demikianlah gagahnya orang Siam di bidang ekonomi selepas 50 tahun merdeka.

Di bidang pendidikan kini anak anak orang Siam tidak lagi mempunyai sekolah yang di bantu atau diiktiraf oleh kerajaan. Kebanyakan anak anak Siam yang bertuah boleh terus belajar bahasa Thai di wat. Mereka yang kurang bernasib baik akan terus buta huruf bahasa Siam.

Orang Siam masih bernasib baik kerana mempunyai wat untuk mereka mendekaki ajaran agama. Kebelakangan ini beberapa wat telah mendirikan rumah mayat atau tempat menyimpan abu mayat.

Ah...nampak nya cerita ini terlalu panjang dan telah berlarutan. Ini bukan lagi persoalan utama kita iaitu adakah orang Siam penumpang kelas ketiga, atau Third Class atau lebih enak Economy Class di negara ini. Mungkin ada cerdik pandai Siam yang lebih arif tentang hal hal ini semua. Lebih baik kita berhenti di sini dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan