Berbicara mengenai Budi
Bahasa Budaya Kita, kita sedia maklum bahawa sebagai masyarakat timur,
amalan budi bahasa merupakan satu amalan yang menjadi budaya masyarakat
kita sejak dahulu lagi. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi
supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani
kehidupan seharian. Hormat orang tua, memberi salam sebagai pembuka
kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih
atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi,
merupakan nasihat yang tidak asing bagi kita.
Amalan
berbudi bahasa merupakan warisan bangsa dan setiap institusi termasuk
keluarga, guru dan para pelajar sendiri bertanggungjawab untuk mendidik
diri dan setiap ahli keluarga mengenai perkara-perkara asas budi bahasa
seperti cara bertutur yang sopan, saling bertegur sapa, jujur, amanah,
berdisiplin, bersyukur dan sebagainya, agar menjadi manusia yang
berperibadi mulia.
Walau bagaimanapun, dalam zaman serba baru dengan kecanggihan teknologi dan era globalisasi, kita tidak boleh menafikan bahawa tempias budaya asing yang kian menular terutamanya melalui media elektronik sedikit sebanyak menjejaskan kemurnian budaya budi bahasa dalam masyarakat kita. Kehidupan cara moden disertai dengan cabaran dalam dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertata susila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun temurun. Buktikan kepada semua bahawa kita hebat dan dikenali kerana budi bahasa yang tinggi. Tuntutan untuk memikul tanggungjawab bersama-sama merupakan agenda penting untuk menyemarakkan amalan berbudi bahasa dalam jiwa anak-anak kita di setiap peringkat persekolahan demi memperkukuh peribadi dan jati diri. Hakikatnya, kita amat perlu menyedari betapa pentingnya pemupukan budi bahasa menerusi prinsip kelima rukun negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Demikian juga dalam konteks pendidikan, perkara ini telah dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita perlu melihat perkembangan seseorang itu dari segenap aspek termasuklah budi bahasanya yang menjadi lambang peradaban bangsa.
Alangkah
malangnya jika sesebuah masyarakat itu mencapai tahap kemajuan yang
tinggi tetapi kelakuan dan moral pendukungnya amat rendah sehingga
mencemarkan kualiti kehidupan. Tetapi saya amat yakin dan percaya bahawa
anak-anak Malaysia adalah dalam kalangan anak bangsa yang mendukung
murni cita-cita negara dalam melahirkan masyarakat yang berbudi tinggi
bak kata ungkapan “Orang Berbudi Kita Berbahasa”, “dan “Yang
Baik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa”. Ungkapan yang telah sinonim
dengan kita ini perlu juga dihayati makna yang tersirat.
Mungkin
ramai yang tidak sedar bahawa pelbagai gejala negatif boleh timbul
akibat daripada kepupusan budi bahasa. Orang timur pada kebiasaannya
memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan
dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa.
Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan
binasa".
Kita
mahu meraih kejayaan tanpa mengabaikan nilai berbudi bahasa. Kita juga
mahu melahirkan individu yang berhemah tinggi dan berketrampilan yang
boleh menjadi contoh kepada generasi akan datang. Semua orang perlu
terus memainkan peranan dalam usaha untuk menyemarakkan semula
pengamalan budi bahasa dalam kehidupan seharian tidak kiralah di
sekolah, di rumah atau di mana-mana sahaja. Usaha sebegini penting, agar
kita dapat melahirkan modal insan yang seimbang bukan
sahaja cemerlang dari aspek intelektual malah turut cemerlang dalam
aspek kerohanian dan memiliki nilai-nilai peradaban yang disanjungi oleh
semua warga. Kita
tidak harus berpuas hati dengan aspek pembangunan luaran atau fizikal
saja. Kita perlu memperbaiki aspek dalaman atau aspek peribadi untuk
menjadikan masyarakat kita sebuah masyarakat yang benar-benar
bertamadun. Pembangunan modal insan menjadi sangat penting kepada
negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan
sahaja dari segi pendidikan, kepakaran, tetapi juga dari segi moral
yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam
kehidupan.
Pemupukan budaya berbudi bahasa, berbudi mulia, beradab dan bersopan
santun adalah tanggungjawab semua. Usaha untuk menerapkan amalan
berbudi bahasa sebagai satu budaya akan mudah tercapai dan akhirnya
menjadi sebati dengan peribadi serta perilaku semua dalam kehidupan
seharian dan di persekitaran seandainya setiap indiividu menyedari dan
dapat menghayati kepentingan budi bahasa.
Generasi kita semakin hari semakin bijak. Namun kebijaksanaan itu perlu
dipelihara berlandaskan kepada budi bahasa yang menjadi budaya kita
kerana
Tiada ulasan:
Catat Ulasan