Sabtu, 6 Oktober 2012

MASYARAKAT THAI DI MALAYSIA

Umum mungkin sedia maklum tentang masyarakat Melayu di selatan Thailand, namun tidak ramai yang tahu tentang kewujudan masyarakat minoriti Thai di Malaysia terutama di utara Semenanjung. Masyarakat yang mendiami negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah & Perlis ini sebenarnya berbeza dari bumiputra Malaysia yang lain. Selain beza dari segi ethnologi, bahasa pertuturan mereka juga tergolong dalam kelompok berlainan iaitu dari kelompok Tai-Kadai.

Kelompok bahasa Tak-Kadai dikatakan berasal dari keluarga bahasa Sino-Tibetan.  Bagaimanapun kini ada pendapat mengatakan kelompok bahasa itu sebenarnya adalah subgroup dari keluarga bahasa austronesia (sekeluarga dengan bahasa-bahasa Malayo-polynesia) Saya secara peribadi menolak pendapat tersebut dan menganggap kelompok bahasa ini tetap merupakan subgroup dari keluarga bahasa Sino-tibetan. Ini memandangkan kedekatan bahasa ini dengan bahasa-bahasa di China (Kelompok Chinese) iaitu salah satu kelomok bahasa  di dalam keluarganya. Lihat perbandingan dibawah.

    AUSTRONESIA                                                               SINO-TIBETAN
                  Malayo-polynesia                Tai-kadai                                   Chinese   

 Melayu       Jawa        Tagalog                  Thai                               Mandarin    Kantonis  
 satu            siji                 isa                         neng                                 yi               yat              
 dua             loro               dulawa                 song                                  er                yi                
 tiga             telu               tatlu                      sam                                   san             sam            
 empat         papat            ampat                   si                                       xe               sei              
 lima             limo             lima                       ha                                      wu             em              
 enam          anam            anim                      hok                                    liew            lok             
 tujuh          pitu              pitu                       chet                                   chi              chat            
 lapan          walu            walu                      pet                                     pak             pak            
 sembilan    songo           siyam                    kau                                    shieo          kau              
 sepuluh     sepuluh        sampoh                 sip                                     se               sap             
  
Perhatikan bahasa Thai yang merupakan salah satu bahasa dari kelompok Tai Kadai di atas. Jelas dilihat kemiripannya dengan kelompok Chinese. Dibanding dengan kelompok Malayo-polynesia, bahasa Thai jelas berbeza.  Ini membuktikan  kelompok bahasa Tai- Kadai sekeluarga dengan kelompok Chinese sekaligus tergolong dalam keluarga bahasa Sino-Tibetan.

Berbalik kepada suku manoriti Thai di Malaysia. Menurut sejarah, Pengaruh Thai (Siam) pernah sampai hingga ke selatan Semenanjung Tanah Melayu semasa pemerintahan empayar Siam Ayudhya (1350 – 1760 TM). Beberapa buah kerajaan lama di sini pernah jatuh ke tangan Siam seperti Klangkiu (Johor) dan  Gangga Negara (Perak) tetapi merosot selepas kemunculan Melaka.  Bagaimanapun kekuasaan wilayah ini bukanlah bukti sahih menunjukkan kedatangan  orang-orang Siam ke Tanah Melayu.

Kemunculan kerajaan Siam Rattanakosin (Bangkok) membuka lembaran baru kepada hubungan Siam dan Tanah Melayu. Pada abad ke 18, Negeri-negeri Petani, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis meminta ‘perlindungan’ Kerajaan Siam bagi mengelak serangan dari luar. Sebagai penghormatan, kesemua kerajaan melayu ini diminta menghantar bunga emas setiap beberapa tahun sekali kepada raja Siam sebagai tanda terima kasih.

Tawaran perlindungan yang diberi kepada negeri-negeri melayu ini sebenarnya satu muslihat Siam untuk meluaskan wilayah mereka. Penghantaran bunga emas itu telah dianggap oleh Siam sebagai kesaksian raja-raja Melayu kepada ketuanan Siam. Kerajaan Siam mula memainkan peranannya di negeri-negeri melayu ini dengan menghantar angkatan tentera sebagai alasan ‘melindungi’.  Semanjak itu ramai orang-orang keturunan Siam dari utara berpindah (dipindahkan?) ke selatan dan mula mendiami negeri-negeri Petani, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Mereka turut membawa agama, budaya dan bahasa selain membuka kampung-kampung sendiri. Hakikat sebenarnya, lima negeri Melayu ini telah dikuasai tanpa disedari.

Penguasaan Siam keatas empat dari lima negeri Melayu ini berakhir apabila Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diserahkan kepada Inggeris menerusi perjanjian Siam-Inggeris 1909.  Bagaimanapun Negeri Petani tidak diserahkan bersama dan kekallah ia dibawah kekuasaan Siam secara rasmi. Daerah Tabal yang termasuk dalam negeri Kelantan turut berpindah tangan ke Negeri Petani dan secara automatik terletak dibawah kekuasaan Siam . Tabal mengikut sebutan Siam menjadi Tak Bai. 

Migrasi masuk orang-orang Siam semakin merosot selepas empat negeri Melayu ini diserah kepada Inggeris . Sebaliknya orang Siam yang tinggal di negeri-negeri tersebut pula yang lari ke Petani.  Bagi memudahkan pentadbiran, Siam memecahkan negeri Petani kepada 4 wilayah (province) iaitu Narathiwat, Pattani, Yala dan Setul (Saturn). Hinggalah ke hari ini, orang-orang Siam masih dihantar ke wilayah Melayu di selatan negara itu dengan membawa slogan perpaduan. Walhal mereka sebenarnya mengikis identiti Melayu dan dinafikan hak sebagai warganegara. Hasil slogan ‘perpaduan’, generasi muda Melayu Petani kini menggelar diri mereka sebagai Thai muslim. Ramai dikalangan mereka yang tidak lagi mampu berbahasa Melayu.

Sementara itu, serpihan orang Siam yang tidak ‘pulang’ ke Petani telah memilih untuk kekal di Negeri-negeri Melayu.  Semasa Era kolonial Inggeris, Masyarakat Siam tidak dilayan sama sebagaimana layanan terhadap orang Cina. Mereka kekal bertani di kampung-kampung sebagaimana orang-orang Melayu sedangkan orang-orang Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu ditempatkan di bandar, diberi bantuan berniaga dan mendapat kebenaran meneroka lombong-lombong timah. Seingat saya, tiada sumber yang menyebut tentang masyarakat Siam ketika zaman Kolonial Inggeris di Tanah Melayu.

Sehinggalah berdirinya sebuah negara bernama Malaysia, masyarakat Siam disini terus mengaku taat setia kepada nagara tanpa berbelah bagi. Walaupun dipisahkan beberapa kilometer dari tanah leluhur, mereka tetap mendaulatkan Malaysia tanpa sedikitpun rasa taksub pada Thailand, tanah asal-usul mereka. Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai  50,000 orang masyarakat Siam Malaysia dimana lebih separuh dari mereka tinggal di Kedah dan Kelantan. Sebagai menghormati hak-hak masyarakat berbilang kaum di Malaysia, Keturunan Siam Malaysia bebas mengamalkan bahasa, agama dan budaya mereka dalam kehidupan seharian. Kebebasan ini terlihat bilamana mereka masih mengekalkan ciri-ciri Siam pada nama keturunannya sama seperti nama keturunan mereka di negara Jiran.

Bagaimanapun, dewasa ini masyarakat Siam Malaysia lebih selesa berbahasa Melayu dalam pertuturan harian mereka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan