Jumaat, 9 November 2012

GEJALA MAT REMPIT SEMAKIN BERLELUASA


DEFINISI

Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motor kapcai atau skuter.

Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Mat Rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gengster, rompak berkumpulan, pergaduhan, laku musnah, kecurian dan buli. Kebanyakan motosikal yang digunakan Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Biasanya Mereka beraksi pada waktu senja , malam dan waktu pagi.

Lumba haram adalah satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Lumba haram sering diadakan di kawasan bandar, luar bandar ataupun di kawasan perindustrian tanpa mengira keadaan trafik, tetapi biasanya diadakan pada waktu tengah malam. Kegiatan lumba haram adalah salah di sisi undang-undang jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Di Malaysia, menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.



FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADI PUNCA WUJUDNYA “MAT REMPIT”

Perasaan ingin tahu dan mencuba

Oleh sebab desakan naluri remaja yang suka mencuba dan tidak takut kepada resiko yang bakal ditempuh, mereka berani melakukan apa sahaja. Mereka ini mudah berasa seronok dan ingin mencuba apa-apa yang dipaparkan oleh media.

“Remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Justeru apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka, akan mengundang perasaan ingin tahu di kalangan remaja. Secara tidak langsung membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara-perkara tersebut”.

“Perasaan begitu sebenarnya adalah baik untuk remaja, namun yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya, umpamanya para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa ingin dilakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara-perkara tersebut”.



Terpengaruh dengan rakan

Pengaruh rakan sebaya juga banyak memainkan peranan di dalam menentukan pemilihan aktiviti yang gemar dilakukan oleh sekelompok remaja ini. Remaja mudah terikut-ikut dengan apa-apa yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka tanpa memikirkan resiko yang bakal ditempuhi.“Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.”


Dahagakan Keseronokan

“Sikap remaja juga dahagakan keseronokan. Jadi apa sahaja benda-benda yang memberikan keseronokan kepada mereka akan dilakukan sama ada kerana terikut-ikut dengan sikap kawan-kawan atau pilihan sendiri. Hal ini menyebabkan remaja terlibat dengan rokok, pergaulan bebas, lepak, mat rempit, dadah dan sebagainya. Ketika ini apa yang terlintas di pemikiran mereka adalah keseronokan tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka itu kelak”.


Pengaruh Media Massa

“Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial di kalangan para remaja hari ini. Namun tidak semuanya apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas di kalangan remaja, program-program realiti televisyen serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat”


Gaya hidup dan taraf pendidikan

Gaya hidup remaja itu sendiri juga merupakan pendorong gejala “Mat Rempit” ini berlaku. Kebanyakkan remaja yang berpendidikan rendah yang terlibat dalam kancah gejala “Mat Rempit” ini. Pergaulan mereka hanya terdedah kepada kelompok yang sama dan memiliki pemikiran yang sama apatah lagi masing-masing memberi galakan ke arah negatif antara satu sama lain seperti cabar mencabar dan sebagainya. Keseronokan dan kepuasan merupakan tujuan utama dalam diri mereka. Mat Rempit terdiri daripada golongan miskin di mana ibu bapa mereka tidak mempunyai pendidikan yang sempurna. Mereka mempunyai adik beradik yang ramai di mana ibu bapa tidak mampu untuk menumpukan perhatian kepada kesemua anak-anak kerana terpaksa menumpukan perhatian kepada pencarian nafkah hidup.


Kurang kasih sayang dan perhatian ibu bapa

Kurangnya kasih sayang dan perhatian turut mempengaruhi tindakan serta sikap remaja. Apabila mereka merasa bosan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan mencari hiburan di luar rumah bersama rakan-rakan yang lain. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang suka berleter tatkala mereka berada dirumah. Hal ini membuatkan diri meraka merasa bosan dengan sikap ibu bapa tersebut. Terlalu banyak kegiatan hiburan yang melalaikan secara terbuka di waktu malam sehingga ibu bapa sukar untuk mengawal pergerakan anak-anak mereka. Suasana begini tidak mungkin bagi ibu bapa dapat mengawal pergerakan anak-anak terutama bagi golongan yang miskin kerana keletihan mencari nafkah hidup dan kurang keselesaan tempat tinggal untuk menghalang anak-anak remaja daripada berkeliaran di waktu malam. Kebanyakan daripada remaja yang terlibat dalam kegiatan lumba haram mengatakan ibu bapa mereka tidak mengetahui kegiatan mereka kerana mereka menipu berjumpa rakan dan seumpamanya.


Ada ibu bapa tersilap langkah dalam memberi kemudahan kepada anak mereka. Dalam kata lain, ibu bapa kurang mengambil berat perkembangan sahsiah anak tetapi mereka mendidik anak mereka dengan menggunakan wang ringgit sahaja. Mereka merasakan dengan memberi wang dan kesenangan serta kemudahan maka anak-anak mereka tidak akan membuat perkara yang tidak elok.

Ibu bapa terlalu membiasakan anak mereka memiliki motosikal dan membiarkan mereka melepak di sana-sini. Sesetengah alasan yang diberikan adalah untuk kemudahan anak ke sekolah. Mereka lebih suka menuruti apa sahaja kemahuan anak mereka kerana mereka terlalu sibuk dengan kerja atau mencari wang.

Cara melepaskan perasaan kekecewaan resah dan gelisah


Deruman enjin motosikal yang menyakiti telinga merupakan satu cara untuk mereka melepaskan perasaan kekecewaan resah dan gelisah. Reaksi remaja dalam perhimpunan tersebut dapat dilihat apabila mendengar enjin deruman motosikal. Deruman enjin itu bagaikan membangkitkan semangat mereka untuk menyahut bunyi enjin tersebut. Apabila ditanya kenapa suasana begini berlaku mereka menjawab bahawa ini adalah salah satu cara untuk melepaskan perasaan kekecewaan, keresahan dan kegelisahan.


Perpecahan bangsa Melayu akibat perbezaan parti politik

Perpecahan bangsa Melayu akibat perbezaan parti politik memberi kesan buruk kepada remaja yang dilahirkan dalam era perpecahan Melayu ini. Perkara ini amat ketara di kawasan luar bandar apabila pemimpin parti-parti politik Melayu lebih menumpukan perhatian kepada kegiatan untuk mendapat ahli dalam parti politik dengan pelbagai cara tanpa melihat kesan positif dan negatif terhadap masyarakat dan remaja. Suasana pergolakan parti-parti politik Melayu menyebabkan kurangnya kegiatan yang boleh membangkitkan semangat perpaduan dan pengisian jiwa yang boleh memantapkan akidah, syariah dan akhlak umat Islam. Syarahan dan ceramah-ceramah lebih menumpukan perhatian kepada pujian yang keterlaluan sehingga lupa bahawa pujian itu indah didengar tetapi pahit dilihat dan dirasai.

Ceramah-ceramah agama juga terlalu tertumpu kepada isu-isu parti politik sehingga terlupa bahawa dalam era globalisasi remaja terlalu dahagakan pengisian ilmu agama yang boleh membentuk jiwa dan pemikiran yang mantap bagi membentuk jati diri orang beriman.

Perbezaan parti politik di kalangan bangsa Melayu tidak sepatutnya memberi implikasi yang buruk kepada struktur kemasyarakatan umat Islam. Kementerian Belia dan Sukan perlu menumpukan perhatian kepada belia-belia di kawasan luar bandar dan di kawasan-kawasan golongan miskin di bandar dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti belia melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengelak sikap diskriminasi terhadap remaja. Sering berlaku dalam masyarakat Melayu, jika program kerajaan dianjurkan melalui wakil-wakil rakyat dan jawatan kuasa kampung, remaja yang bukan daripada anak-anak ahli parti politik tersebut sering terpinggir.



CARA MENGATASI DAN MEMBENDUNG VIRUS “MAT REMPIT”

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa

Ibu bapa seharusnya menyedari bahawa kasih sayang dan perhatian yang secukupnya perlu diberikan kepada anak-anak mereka agar mereka mersai diri mereka dikasihi dan dihargai. Jangan terus membiarkan anak-anak menjadi liar gara-gara kegagalan ibu bapa memberi perhatian secukupnya. Luangkan sedikit masa untuk bersama dengan anak-anak. Bertanyakan masalah, mendengar luahan dan rintihan hati mereka.

“Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu berperanan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik”.

“Ibu bapa juga digalakkan merancang aktiviti bersama anak-anak dan ahli-ahli keluarga. Contohnya, di bulan Ramadan ini, seboleh-bolehnya semua ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa ataupun bersama-sama ke surau atau masjid untuk menunaikan solat sunat Tarawih. Para ibu bapa juga perlu sentiasa memantau keadaan anak-anak, tidak boleh ‘just take for granted’. Mereka tidak boleh membiarkan anak-anak bersendirian menentukan jalan hidup mereka. Anak-anak perlu dibimbing. Selain itu, ibu bapa perlu mengenali rakan anak-anak remaja mereka. Jika perlu, sesekali minta supaya anak-anak membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat dipastikan dengan siapa anak kita berkawan. Doalah sentiasa agar anak-anak kita terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini seperti itu. Ingatlah, doa ibu bapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup anak-anak”.

Penguatkuasakan undang-undang dengan lebih efektif

Penguatkuasa undang-undang memang perlu untuk membendung virus ini. Di sarankan ianya agar lebih tegas daripada undang-undang yang sedia ada. Jangan biarkan mereka berasa lali dan tidak kisah dengan hukuman yang bakal mereka terima. Di antara cadangan yang patut dipertimbangkan termasuklah mengklasifikasikan mat rempit yang melakukan kesalahan berulang sebagai 'remaja bermasalah' yang kemudiannya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney, di mana mereka akan diberikan kaunseling dan latihan kemahiran.

Menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah lumba haram. iaitu hukuman penjara mandatori setelah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda. Ini berikutan hukuman yang sedia ada ke atas samseng jalan raya yang disabitkan kesalahan iaitu denda minimum RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun tidak mampu menyedarkan mereka.

Kerajaan juga perlu menyemak semula semua peruntukan undang-undang yang relevan untuk memperkuatkan penguatkuasaan undang-undang dan membendung gejala mat rempit dan perlumbaan haram.

Dekati mereka dengan berhemah dan hikmah

Dekatilah “Mat-mat Rempit” dengan berhemah dan hikmah. Mungkin dengan cara ini mereka akan berasa diri mereka dihargai. Kata-kata motivasi dan kaunseling juga diperlukan untuk membendung virus ini. Jangan terus memberi tekanan kepada mereka. Sepertimana kita ketahui zaman remaja memang penuh dengan tekanan dan gelora. Mereka sentiasa inginkan perhatian masyarakat. Oleh itu berinteraksilah secara matang dengan golongan remaja ini, jangan memperlakukan diri mereka seperti budak kecil.

Ahli-ahli NGO patut menumpukan lebih perhatian kepada kebajikan secara menyeluruh kerana mereka tidak terikat kepada sebarang parti politik. Oleh itu program kerajaan dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat tanpa mengira parti politik.

Menyediakan kemudahan litar lumba untuk muda-mudi

Memperbanyakkan aktiviti perlumbaan bermotor yang sah seperti Malaysia Cub Prix dan Pesta Pasti Honda. Di dalam kedua-dua perlumbaan tersebut penganjur perlumbaan mengenakan bayaran penyertaan yang rendah serta subsidi bagi peserta baru untuk menggalakkan remaja menyertainya.

Litar lumba motosikal perlu ditubuhkan di kawasan luar bandar supaya deruman enjin motosikal yang menghantui pemikiran peminat motosikal tidak membangkitkan kegelisahan dalam jiwa mereka sehingga tidak sedar diri ketika menunjukkan aksi di jalan raya. Bakat kebolehan dan keberanian mereka perlu diasah secara profesional di tempat yang lebih selamat dan tidak mengganggu lalu lintas awam. Psikologi remaja perlu dikaji supaya remaja merasai diri mereka dihargai dan dikasihi secara adil.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah perlu menumpukan perhatian dengan menggerakkan semua remaja menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi berkelompok dan memajukan tanah terbiar dengan kegiatan pertanian yang boleh memberi sumber rezeki kepada mereka yang menganggur. Aktiviti ekonomi secara berkelompok bukan sahaja boleh meringankan beban remaja dan masyarakat luar bandar malah ia juga boleh memupukkan semangat kerjasama dan persaudaraan sesama rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Ini juga merupakan satu aktiviti yang boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa mengawal pergerakan liar dan ganas di kalangan remaja supaya remaja dalam negara ini menumpukan perhatian kepada perkara yang boleh memberi kebaikan kepada diri mereka dan negara.

Menyediakan lebih banyak kemudahan sukan atau rekreasi

Pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan sukan atau rekreasi untuk kegunaan remaja dan anak-anak muda kita supaya mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan beriadah.

Kita memerlukan lebih banyak padang bola, gelanggang badminton dan bola keranjang, kemudahan sukan yang termampu oleh golongan remaja. Di bandar dan pekan kita perlu ada lebih banyak kemudahan bersukan dan beriadah.

Dalam hal ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan juga semua kerajaan negeri perlu memastikan pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan bersukan dan rekreasi yang mencukupi di bandar, pekan dan daerah.

Tujuannya untuk membantu membangunkan golongan remaja yang sihat tubuh badan dan mentalnya dan supaya mereka tidak menjadi mat rempit atau melakukan aktiviti yang negatif.


KESAN

Masyarakat tidak berasa selamat di tempat awam.


Ini Kerana orang awam telah ramai menjadi mangsa kepada golongan penjenayah mat rempit. Malah mat rempit dengan berani cederakan beberapa anggota polis atau penguatkuasa. Bagi mereka, tiada istilah takut dalam diri mereka. Malah mereka bangga melakukan jenayah.

Peningkatan kes jenayah di negara kita

Lumba haram juga adalah salah satu penyumbang utama kepada peningkatan kes kecurian kenderaan terutamanya motosikal dan kereta. Segelintir pelumba haram sanggup mencuri kenderaan kerana ingin dijadikan kenderaan perlumbaan serta kerana mahu mendapat kenderaan baru setelah kalah kerana dalam sesetengah kes, pelumba haram yang kalah terpaksa menyerahkan kenderaan mereka kepada pemenang.

Mat rempit juga melakukan jenayah seperti kegiatan gangster, rompak berkumpulan, pergaduhan, laku musnah, membunuh, kecurian, buli,, rogol, seks bebas, pengambilan dadah dan alcohol.

Penglibatan remaja dalam aktiviti buruk.

Remaja akan terdorong untuk melakukan sesuatu yang lebih buruk seperti mengambil dadah, meminum minuman keras, mengikuti perlumbaan motosikal secara haram, dan lain-lain. Keadaan ini berlaku kerana golongan remaja yang melepak biasanya merancang untuk melakukan sesuatu yang akan mendatangkan keseronokan. Contohnya, Kes Mat Rempit semakin berleluasa di negara

Mencemarkan imej negara.
 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pendidikan, sejak awal tahun ini tidak kurang daripada 500 orang pelajar telah dilaporkan ponteng sekolah dan melepak di kompleks-kompleks membeli belah di sekitar kawasan bandar raya Kuala Lumpur. Keadaan ini akan berlaku kerana para pelancong yang datang ke negara ini akan mendapat gambaran yang buruk tentang masyarakat di negara kita.

Kes Kemalangan Meningkat

Lumba haram sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya di kalangan pelumba haram motorsikal. Terdapat juga kes langgar lari yang berpunca daripada lumba haram. Oleh itu, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya.
 
Keruntuhan akhlak

Lumba haram turut menyumbang kepada gejala keruntuhan moral dan maksiat di kalangan remaja yang semakin serius kerana selain menyediakan hadiah wang yang sememangnya mempunyai kaitan dengan perjudian, penganjur perlumbaan haram juga turut menyediakan hadiah bohsia untuk ditiduri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan