Isnin, 5 November 2012

ISU PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH RENDAH

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” [Al- Maidah:49]
   Saban hari di media cetak mahupun media massa, berita tentang jenayah seks kerap kali diberi liputan seolah-olah ianya menjadi bahan ‘wajib’ dan rutin. Siapa yang tidak pernah terbaca berita tentang jenayah rogol,liwat, sumbang mahram, maknyah, homoseks, lesbian, seks siber dan lain-lain? Dari kes rogol yang berlaku di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kes remaja sekolah dirogol teman internet, kes bomoh merogol dan meraba pesakit, kes sumbang mahram melibatkan datuk rogol cucu, sepupu rogol sepupu, anak rogol ibu, kes pelacuran membabitkan maknyah, kes penderaan seksual suami-isteri, anak-bapak, kes gangguan seksual ditempat kerja dan seribu satu kes yang lain sudah seperti menjadi bahan bacaan tetap rakyat Malaysia tanpa kita menyedari sebab musabab yang berlaku.
   Kajian yang telah dibuat oleh Lembaga Penduduk dan. Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan remaja adalah amat memeranjatkan: di mana didapati 24 peratus dari kalangan remaja berusia 13-19 tahun mengaku pernah melakukan hubungan seks manakala 80 peratus daripada remaja berusia 13-18 telah terdedah kepada bahan-bahan lucah termasuk lebih kurang 50 peratus dari remaja 13-15 tahun mengaku membaca buku lucah dan 44 peratus pernah melihat bahan lucah seperti majalah dan video. Menurut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seramai 53,309 `anak tak sah taraf' telah didaftarkan dalam tempoh 1999 hingga 2001 [Utusan Malaysia, 13 Nov. 2002]. Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) pula mendapati bilangan pelajar yang terbabit dengan gejala bunuh seperti jenayah dan maksiat semakin meningkat. Ini berdasarkan kes kemasukan baru ke sekolah akhlak dan asrama kelolaan jabatan itu, contohnya seramai 675 remaja dimasukkan ke sekolah akhlak JKM Tunas Bakti. Sepanjang tahun 1993 kes kernasukan baru di asrama akhlak menunjukkan peningkatan yang begitu serius iaitu 1505 kes berbanding tahun sebelumnya 376 kes. Dari jumlah itu kebanyakan gadis yang membabitkan diri dalam kancah maksiat berumur antara 15 dan 18 tahun, rata-rata adalah mereka yang masih menuntut. Ini diperakui sendiri oleh Datin Paduka Zaleha Ismail iaitu sebanyak 1,199 atau 54 peratus daripada 2234 wanita yang terbabit dalam kegiatan maksiat di antara tahun 1990 - 1993 berumur kurang dari 18 tahun. [Watan, 13 Julai 1996]
   Melihat kepada peningkatan gejala seksual di negara kita dari dulu hingga kini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil menyatakan sudah tiba masanya pendidikan seks diberi pendedahan kepada kanak-kanak. Justeru, masyarakat terutama ibu-bapa tidak wajar berselindung mengenai hal itu.
   Seks. Bagi sebagian orang kata tersebut terdengar "menyeramkan", membicarakannya merupakan suatu hal yang terlarang atau ‘taboo', apalagi mengaitkannya dengan anak-anak. Memang menjadi stigma masyarakat kita dari dulu hingga sekarang perkara berkaitan seks tidak ‘elok’ dibincangkan secara terbuka. Namun percaya atau tidak mungkin subjek pendidikan seksual bakal dimuatkan di dalam jadual waktu anak-anak kita jika perbincangan peringkat akhir mengenainya, dibawa ke kabinet dan akhirnya diluluskan di Parlimen. - Tujuan Pendidikan seks diadakan adalah untuk memberi maklumat kepada pelajar dan mengelakkan mereka dari terjebak dalam gejala sosial. Bagi membantu usaha berkenaan, kementerian menyediakan draf Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan bagi menangani salah laku dan jenayah seksual yang membimbangkan di kalangan remaja. Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata draf berkenaan dihasilkan sebagai keprihatinan kementerian berkaitan isu sosial seperti rogol, sumbang mahram, penderaan seksual dan hubungan seks bebas. [Harian Metro, 7 April 2005]
   Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini dalam peringkat akhir mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan pendidikan seksual di sekolah seluruh negara Pelaksanaan pendidikan itu perlu disegerakan supaya remaja dapat dibimbing secara terancang dan sempurna, seterusnya membantu mereka lebih memahami isu berkaitan seksualiti dan menjadi benteng kepada mereka dari terbabit dalam kegiatan tidak bermoral. [Berita Harian,2 Mei 2005].

Berikut adalah sekilas pandangan umum tentang rancangan mewujudkan pendidikan seks di sekolah:


1. Saya tidak mengatakan ini sebagai satu idea yang tidak bernas, tetapi melihat kepada situasi dan status negara Malaysia sekarang idea ini seakan-akan menghina status Malaysia sebagai sebuah 'Negara Islam' sebagaimana yang diumumkan oleh mantan PM [Subki Latif, penulis akhbar Harakah].


2. “Kami telah lama menyokong usul ini. Pendidikan seks akan membantu menyalurkan maklumat dan mengajar muda-mudi tentang tanggung jawab dan akibat berkaitan seks. Ini akan membantu mengurangkan kehamilan yang tidak diingini dikalangan muda-mudi, yang antara lainnya mewujudkan anak-anak yang tidak sah taraf”[Jaclyn Lee, Peg. Komunikasi Woman’s Aid Organisation]


3. “Saya sungguh gembira kerajaan menfokuskan perhatiannya kepada pendidikan seks di negara kita dan saya yakin masyarakat umum terutama remaja menyedari bahawa ini adalah sangat mustahak. Saya terharu apabila isu berkaitan seks tidak lagi menjadi taboo sepenuhnya di kalangan masyarakat Malaysia”. [Francois Duparc,Pelajar, Star Education 24 April, 2005]


Pendidikan Seks di Barat


Di barat, pendidikan seks bukan sahaja diperkenalkan dengan menggunakan silibus pelajaran berpandukan buku dan bahan bacaan kerana mereka menganggap perlunya kepada pendedahan tentang praktikal perhubungan seks yang betul. Dengan peruntukan yang dimiliki, mereka menghuraikan pengajaran seks dengan menampilkan model yang berbogel untuk melakonkan teknik-teknik hubungan kelamin yang betul supaya ketelusan pelajaran seks diperkenalkan kepada masyarakat mereka. Malah kelas senilukis di Perancis pernah menampilkan seorang model wanita jelita yang berbogel di depan khalayak untuk dilukis para mahasiswa kerana itulah juga ketelusan yang ada dalam sistem pendidikan mereka. Seorang pensyarah bersara dari Oxford University mencadangkan agar pendidikan seks di sekolah sepatutnya lebih menjurus kepada pembelajaran’hands-on’ dimana pelajar diberi tunjuk ajar cara-cara untuk menyayangi satu sama lain [Edu. Guardian Co. UK news 9 Mei 2003].

   Kenyataannya, setelah diperkenalkan pelajaran seks di sekolah-sekolah dan kolej, kadar penyakit dan kematian akibat berpunca dari gejala seks meningkat mendadak. Ini kerana berkemungkinan setelah didedahkan di kelas, pelajar-pelajar akan mempraktikkannya di luar kelas. Kesannya mereka semakin 'maju' mengamalkan seks bebas kerana masyarakat barat sememangnya tidak bermoral dan menyanjung tinggi kebebasan bertingkahlaku. Satu kajian terbaru yang diadakan di UK mendedahkan kehamilan dikalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks [LifeSiteNews.com 15 Mac 2004].
   Bagaimana pula dengan sistem pendidikan kita? Mungkin jika kita juga ghairah hendak mengikut barat. Mungkinkah vcd lucah yang sebelum ini dianggap 'sampah' akan menjadi 'buku teks dan rujukan'? Pelakon-pelakon adegan ranjang akan lebih dikenali di kalangan pelajar berbanding para ilmuwan, ulamak dan pemimpin?. Jikalau pelajaran seks yang dilaksanakan di barat itu berjaya mengubah kehidupan seks mereka, pastinya ia boleh dijadikan model perlaksanaan di Malaysia. Namun, hakikatnya semakin diajar semakin melampau. Tidakkah di Malaysia juga akan terjadi perkara yang sama? Contoh lain, di sebuah negara jiran ketika kempen seks selamat menggunakan kondom diperkenalkan, industri kondom menjadi semakin maju. Jika pelajaran seks diperkenalkan di Malaysia, kemungkinan besar kelas-kelas tuisyen seks akan mendapat sambutan yang hebat. Sambutan pastinya akan lebih menggalakkan jika teknik pengajaran dipelbagaikan dan akan berlaku persaingan. Sudah tentu pada waktu itu kelas tuisyen juga ibarat kondom. Bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan.
   Persoalannya, adakah pendidikan seks yang bakal diketengahkan dianggap penyelesaian menyeluruh masalah seksual? Adakah gejala sosial dikalangan remaja sekarang disebabkan oleh ketidaktahuan mereka tentang seks atau mungkin ‘terlebih tahu’?

Naluri seksual manusia perlu bimbingan wahyu

   Allah menciptakan manusia dan sekaligus peraturan bagi menjawab segala persoalan manusia. Bahkan Islam muncul untuk memberikan cara penyelesaian dan cara pemenuhan yang benar termasuklah dalam hal pemenuhan naluri seksual (gharizah an-nau’). Islam mengatur bagaimana bentuk hubungan lelaki dan wanita yang dibolehkan, iaitu melalui pernikahan. Islam juga menutup dan menghapuskan semua unsur dan peluang yang boleh merangsang naluri ke arah kebebasan seksual. Islam melarang lelaki dan wanita berinteraksi secara bebas kecuali di dalam hal-hal yang dibolehkan oleh syara’. Bercampur-aduk antara lelaki dan perempuan ( ikhtilat) adalah termasuk perkara yang diharamkan oleh Islam. Hubungan lelaki dan wanita hanya terbatas kepada yang melibatkan hal-hal jual-beli, pendidikan, pengadilan, kesihatan dan bentuk interaksi lain yang memerlukan tolong-menolong antara kedua belah pihak. Sungguhpun interaksi-interaksi tersebut dibenarkan, ianya tetap tertakluk kepada batas-batasan yang ketat. Daripada cara berpakaian yang menutup aurat sehingga larangan tabarruj (berhias berlebihan di tempat awam) yang boleh merangsang kehendak lawan jenis.

Abu Musa al-Asy’ri meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:


“Siapa pun wanita yang memakai wangi wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mereka mencium baunya, bererti ia seorang penzina.”


Di dalam riwayat yang lain,


Ada dua golongan yang menjadi penghuni neraka , yang sebelumnya tidak pernah ku duga, iaitu: 1) sekelompok orang yang mempunyai cambuk yang bentuknya seperti ekor lembu yang digunakan untuk menyakiti umat manusia; 2) wanita yang membuka auratnya seraya berpakaian tipis merangsang berlenggang lenggok, dan banyak lagak. Mereka tidak dapat masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya padahal bau syurga dapat dicium dari jarak yang sangat jauh[ Nizham Al Ijtima’e, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani]

Kedua-dua dalil di atas dengan jelas membuktikan bahawa terdapat larangan melakukan tabarruj di dalam Islam. Oleh kerana itu, tabarruj adalah haram. Seterusnya ia menerangkan kepada kita bahawa setiap wanita yang menghias diri dengan pakaian yang tidak lazim, yang akan memancing pandangan kaum lelaki dan memperlihatkan kecantikan wanita, adalah termasuk apa yang dikatakan tabarruj.

   Islam melarang wanita berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Betapa indahnya Islam, dalam hal pemenuhan naluri seksual juga ada bimbingan wahyu. Sesiapa yang didapati melanggar aturan-aturan tersebut akan diberikan hukuman secara tegas dalam Islam. Bagi penzina ghairu muhshan(yang belum menikah), hukumannya adalah dirotan sebanyak 100 kali. Sementara bagi penzina muhshan(yang sudah menikah) direjam sampai mati. Bagi kesalahan liwat ( homoseksual), hukumannya adalah dibunuh tanpa mengambilkira samada ia sudah menikah atau belum.

Penzina lelaki dan perempuan jilidlah masing-masing keduanya dengan seratus kali jilid” [TMQ An Nur[24]:2]

Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:


Barangsiapa yang kalian dapati sedang melakukan perbuatannya kaum Luth, maka bunuhlah keduanya”

Bahaya serangan Kapitalis

   Islam datang dan memberi penyelesaian kepada pemenuhan naluri seksual manusia, maka apakah yang mendorong manusia untuk merogol, meliwat, melakukan sumbang mahram, terlibat homoseks, lesbian, dan pelbagai masalah seksual lainnya? Apakah yang mendorong seseorang yang dahulunya; menutup aurat kemudian terpengaruh lalu mendedahkan aurat, menjaga pergaulan lalu bebas bergaul tanpa batasan? menjauhi filem pornografi bertukar menjadi fanatik filem erotik dan majalah lucah? Apakah yang menjadikannya berubah? Hampir dapat dipastikan bahawa pemikirannyalah yang sudah berubah. Hal ini akan berlaku apabila pemikiran lama sememangnya lemah atau pemikiran baru kuat mengasak, ataupun gabungan kedua-duanya sekali. Inilah kesan serangan Kapitalis yang sentiasa mencari peluang merosakkan pemikiran dan menjauhkan Islam dari kehidupan penganutnya. Kehidupan masyarakat secara umum telah banyak dipengaruhi oleh teori ‘bapak’ Kapitalis (Adam Smith) iaitu ‘Survival of the Fittest’, atau yang senada dengannya seperti ‘Live life to the fullest’, ‘Life is enjoyment’ dan lain-lain.
   Ahli falsafah Barat Sigmud Freud menyatakan libido (sex) adalah pendorong aktiviti manusia, maka media dan hiburan sangat menekankan hal ini sebagai daya tarikan, tanpa memperhitungkan bahaya yang ditimbulkan. Inilah yang jelas dapat dilihat dimana membanjirnya vcd lucah, kegilaan terhadap filem-filem erotik Hindustan, Barat. Ditambah keengganan umat Islam untuk berfikir panjang (masa depan pesalah, mangsa, maruah keluarga, azab dan hisab serta akhirat). Walaupun tidak dinafikan sesetengah penjenayah seksual mengetahui dan mempercayai akhirat, namun mereka terpengaruh cara berfikir sekularistik atau pragmatik sehingga enggan berfikir panjang. Makanya mereka tidak nampak hubungan antara akhirat dan amalan sehari-hari. Hal ini diburukkan lagi dengan hukuman duniawi yang di’capitalised’kan (hanya dipenjara atau bayar denda) dan tidak terlalu menggerunkan. Akan tetapi perlaksanaan hukuman mengikut syariat Islam jika dilandasi dengan ketakwaan kepada Allah secara pasti akan menekan bilangan jenayah dan masalah seksual. Dan hukuman siapakah yang lebih baik dari hukuman Sang Pencipta? Secara garis besar, pemikiran Kapitalislah berperanan memesongkan masyarakat dari pemikiran dan perilaku Islam. Ianya sengaja diadakan oleh Barat yang justeru menciptakan keresahan jiwa dan membakar hawa nafsu dan kemudian terjebak-dimana manusia melakukan keroskan tanpa segan silu.

Khatimah

   Kegagalan sistem Kapitalisma dalam menyelesaikan masalah seksual (seperti yang termaktub di atas) seharusnya membuatkan umat Islam bertindak segera untuk tidak mengambil hukum dengan merujuk kepada barat serta menghancurkan serangan pemikiran kapitalistik dan sekularistik yang hanya menimbulkan kerosakan kehidupan manusia. Firman Allah swt:

“Tidakkah kamu melihat orang-orang yang mengira dirinya beriman kepada apa sahaja yang diturunkan kepadamu serta apa sahaja yang diturunkan sebelummu? Mereka ingin berhukum kepada ‘Taghut’, sedangkan mereka diperintahkan agar menolaknya. Dan sesungguhnya syaitan ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”
[ TMQ An-Nisa’ : 60]

Berhukum kepada ‘Taghut’ di dalam terjemahan ayat di atas bermaksud berhukum dengan hukum selain Allah. Iaitu selain daripada apa yang telah diajarkan di dalam Al Quran dan Sunnah. Dalil di atas dengan jelas mengecam orang-orang yang menggantikan hukum Allah swt dengan yang lain.

   Pendidikan seks hanyalah penyelesaian kepada simptom, bukan menyelesaikan masalah utama/pokok. Penyelesaian masalah seksual mesti melibatkan tiga pihak iaitu individu, kelompok dakwah dan pemerintah. Ketiga-tiga pihak mestilah menekankan kepada menguatkan pemikiran dan pelaksanaan hukum Islam serta mewaspadai dan menolak pemikiran selain Islam terutama Kapitalisma dengan segala bentuknya dan ini InsyaAllah akan segera terlaksana dibawah naungan Khilafah Islam. Marilah kita bahu-membahu dalam rangka mengembalikan semula kehidupan Islam yang mulia di bawah payung kesatuan umat Khilafah Minhaj ala Nubbuwwah...Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan