Rabu, 31 Oktober 2012

SEJARAH BALING,KEDAH



Baling merupakan salah sebuah daerah daripada kesebelasan daerah di Negeri Kedah Darul Aman. Daerah ini mempunyai keluasan 1,530 kilometer persegi atau 590.32 batu persegi ( 152,900.65 hektar ) yang merupakan daerah kedua terbesar di Negeri Kedah Darul Aman selepas Daerah Sik. Ianya terletak di selatan Negeri Kedah Darul Aman pada garis lintang 539’U.

Daerah Baling adalah bersempadan dengan Negara Thailand ( Betong ) dan negeri Perak di sebelah timurnya bersempadan dengan Daerah Sik dan Daerah Kuala Muda di sebelah baratnya manakala Daerah Kulim di sebelah selatannya. Sempadan antara Daerah Baling dengan Daerah Kulim bermula dari Kuala Sungai Sedim hingga ke sempadan Hutan Simpan Gunung Inas mengikut tebing kanan Sungai Sedim. Sempadan antara Daerah Baling dengan Daerah Kuala Muda pula adalah bermula dari Sungai Sedim mengikut pertengahan Sungai Muda ke utara hingga ke sempadan Daerah Baling dengan Daerah Sik. Keadaan muka bumi Daerah Baling adalah tanah pamah di kawasan tengah manakala berbukit bukau di kawasan sempadan Negara Thailand di mana kawasannya melebihi ketinggian 1,000 kaki.

Daerah Baling menerima sebanyak 2,750 mm hujan setahun. Walau pun taburan hujannya tinggi namun taburan hujannya tidaklah sekata sepanjang tahun. Secara umumnya bentuk taburan hujan daerah ini mempunyai 2 puncak iaitu Musim Hujan Lebat yang pertama berlaku di antara bulan Mac hingga bulan April dan diikuti oleh Musim Hujan Lebat kedua yang berlaku di antara bulan Ogos hingga bulan November. Musim hujan kedua ini akan diikuti oleh musim kemarau iaitu di antara bulan Disember hingga bulan Mac.

Daerah Baling mempunyai 8 buah mukim iaitu Mukim Siong, Mukim Baling / Bongor, Mukim Pulai, Mukim Kupang, Mukim Tawar, Mukim Bakai dan Mukim Teloi Kanan. Pola penempatan penduduk adalah mengikut keadaan geografi, arah aliran perhubungan yang sedia ada adalah kesesuaian tempat tinggal dengan sumber pencarian. Sebelum merdeka, kepadatan penduduk adalah tertumpu kepada arah aliran perhubungan. Penduduk adalah lebih padat di kawasan yang berdekatan dengan sungai kerana ia adalah punca perhubungan utama. Selepas merdeka, didapati penempatan penduduk di Daerah Baling ini mula tertumpu ke tepi-tepi jalan apabila banyak jalan-jalan baru di buka oleh pihak kerajaan. Mengikut bancian tahun 1980, Daerah Baling mempunyai penduduk seramai 107,926 orang. Pada tahun 1991, jumlah penduduk Daerah Baling seramai 114,489 orang. Pada tahun 2000, jumlah penduduk Daerah Baling seramai 124,830 orang.

Daerah Baling mempunyai pola kepelbagaian kaum dimana di samping kaum-kaum Melayu, Cina, India dan Thai terdapat juga kaum Orang Asli yang tinggal di Kampung Legong Mukim Siong iaitu satu-satunya perkampungan Orang Asli di Negeri Kedah Darul Aman ini. Menurut kajian Major P.D.R. Williams-Hurt, Advisor On Aborigines, Federation Of Malaya pada tahun 1952, Orang Asli ini adalah daripada keturunan Negritos.

Kawasan sempadan pentadbiran daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah Baling adalah sama dengan sempadan daerah Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah. Tetapi sempadan ini adalah berbeza dengan sempadan daerah pilihan raya. Daerah Baling meliputi kawasan pilihan raya bagi seluruh kawasan Parlimen Baling yang mengandungi kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu dan Kupang. Manakala, Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Ketil walaupun terletak di Daerah Baling tetapi ianya di bawah Parlimen Padang Serai.

 
BALING ANTARA UNSUR METOS DAN KATA-KATA THAI

Panggilan ‘Baling’ boleh dikategorikan kepada dua. Pertama, berdasarkan metos Hikayat Merong Mahawangsa ( HMM ) dan yang kedua berdasarkan kata-kata Siam iaitu ‘Ban Ling’.

Kata ‘Baling’ untuk kategori pertama dan kedua memang menjadi satu cerita warisan yang dipertuturkan daripada dahulu hingga kini. Walau bagaimanapun rencana ini bertujuan untuk memberi gambaran yang sebenarnya bagaimana nama Baling muncul iaitu berdasarkan kategori pertama atau kedua.

Fakta-fakta lisan agak sukar untuk diterima dalam hakikat sebenarnya berhubung nama Baling. Sumber yang bersandarkan kepada HMM yang bermetoskan Raja Bersiong hanya wujud dalam tradisi lisan. Lebih-lebih lagi HMM diklasifikasikan sebagai salah satu karya historiografi yang mengandungi cerita-cerita khayalan.

Walau bagaimnapun, kewujudan tradisi lisan tersebut tidak boleh dinafikan dalam masyarakat Melayu. Ismail Hamid dalam Dewan Sastera Jun 1986 menyatakan walaupun unsur metos dan lagenda yang terkandung dalam karya tersebut dicatat sebagai suatu kebenaran menurut nilai-nilai masyarakat Melayu tradisional.

Dengan itu asal-usul Baling yang didasarkan kepada Raja Ong Maha Perita Deria ( Raja Bersiong ) yang mencabut dan membaling giginya adalah metos dalam masyarakat Melayu. Lebih-lebih lagi hikayat tersebut tidak disebut dalam HMM, namun perkembangannya melalui tradisi lisan.

Masyarakat Melayu hidup secara kolektif, sebagai perintang waktu kemungkinan episode HMM dikaitkan dengan cerita lisan Raja Bersiong kerana kebetulan nama-nama yang wujud di Daerah Baling mempunyai kaitan dan boleh dihubungkaitkan di antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Selain daripada itu tidak dapat dinafikan bahawa tingkah laku Raja Bersiong sebabai lagenda untuk menggambarkan kelaziman yang dilakukan oleh Raja Bersiong. Lebih-lebih lagi pada zaman dahulu hal-hal yang berkaitan dengan istana tidak boleh dicatat atau dibicarakan oleh golongan marhain.

Hasrun Haron dalam Dewan Bahasa Disember 1971 menyatakan imej Raja Bersiong sebagai lagenda untuk menggambarkan kisah seorang raja yang zalim dan disingkirkan. Mlah, R.O. Winstedt dalam buku Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik HMM adalah sebuah hasil sastera sejarah yang menyimpang.

Justeru, berdasarkan tulisan Abdul Rahman Ismail Warta Darulaman Julai 1992, penulis berpendapat bahawa Baling mendapat nama berdasarkan kata-kata Siam yang bermaksud Kampung Kera ( Ban Ling ). Oleh itu untuk melihat asal-usul Baling mengikut konteks disiplin sejarah, penulis berpendapat kata-kata dari Siam boleh diyakini jika dibandingkan dengan metos HMM.

Ini disebabakan penduduk Baling pada waktu ini terdiri daripada pelbagai kaum dan masyarakat. Kaum Siam merupakan golongan yang agak ramai yang tinggal di beberapa buah kampong sejak dari dahulu lagi. Antara kampung-kampung yang kini didiami oleh penduduk berketurunan Siam ialah Kampung Simpang Empat, Kampung Sirako, Kampung Watt, Kampung Tass dan sebagainya.

Kedatangan orang Siam tidak dapat dipastikan tarikhnya dengan tepat. Mohd Shabarani Ghazali dalam Jurnal Purba Bil. 2 1983 menyatakan peringkat awal kedatangan orang Siam ke Baling terlalu sukar untuk dilihat dengan jelas, terutamanya tidak dapat dikesan bila dan oleh siapa satu-satu petempatan didirikan.

Hubungan Siam ( rakyat dan kerajaan ) dengan Negeri-Negeri Melayu khususnya Kedah hanya dapat dijelaskan apabila berlakunya hubungan antara kerajaan dengan kerajaan. R.Bonney dalam bukunya Kedah 1771-1821. The Search For Security and Independence menyatakan orang Siam pernah memerintah Tanah Melayu tetapi sejarah kedudukan Siam di Semenanjung masih tidak begitu jelas, yang nyata hanyalah hubungan dengan kerajaan.

Jelas menunjukkan bahawa kajian dan penulisan terdahulu mendapati bahawa asal-usul Baling lebih menepati dengan kedatangan orang Siam berdasarkan perkataan yang wujud. Seorang ahli bahasa dari Kedah, Dr. Asmah Haji Omar dalam tulisannya Kedah : Aspek Kebudayaan seperti yang terdapat dalam Sejarah dan Bahasa telah menulis bahawa nama-nama tempat di Kedah terutama sebelah Utara kebanyakan menunjukkan kesan pengaruh Thai zaman dahulu.

Namun begitu persoalan yang timbul, bilakah nama Baling wujud?. Catatan bertulis hingga kini menyatakan kedatangan orang Siam hanya bermula pada awal abad ke-19. Penghijrahan ke Negeri-Negeri Melayu termasuk Kedah bermula apabila peperangan Burma-Siam berlaku pada akhir abad ke-18.

Hal ini perlu dikaji oleh pakar-pakar sejarah atau sejarawan tempatan. Petempatan awal di Baling, bermula lebih awal dari tarikh kemasulan Siam. Berdasarkan artifak yang ditemui di Baling, manusia pertama tinggal di sini pada Zaman Neolitik apabila tinggalan seperti kapak persegi dan kapak bahu ditemui di gua-gua batu kapur sekitar Baling. Kajian lanjut boleh dibaca dari Bulletin Of The Raffles Museum-I-3-1936-1937, khusus tentang penemuan kapak dan artifak lain di Baling.

Oleh itu, Lin dalam bahasa Thai yang bermaksud kera memang ada kaitan dengan bidang pertanian. Sememangnya kera merupakan musuh utama hasil-hasil tanaman pada masa itu mahupun masa kini. Justeru, memang benar kedatangan orang Siam berkait rapat dengan bidang tersebut. Pertanian tradisional secara kekampungan masih diamalkan oleh masyarakat Siam di Baling hingga kini. Sebuah jurnal JMBRAS Part II 1970 menyebut secara jelas bidang pertanian mempunyai kaitan rapat dengan orang Siam di Kedah. Dengan itu tulisan Abdul Rahman Ismail, asal-usul Baling lebih tepat dengan pengarauh kedatangan Siam. Manakala cerita kera putih yang ditandatangani oleh Penghulu Nai Sinon lebih berbentuk metos dikalangan masyarakat.

Kesimpulannya asal-usul Baling boleh disandarkan kepada unsure metos dalam kesusasteraan historiografi rakyat tempatan. Manakala Baling yang berdasarkan sebutan Siam lebih mendekati nilai sejarah dengan berpandukan kajian dan tulisan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin