عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سمَعِْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ:
سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ
وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ
وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى
يَكُوْنَ اْلبَغْىُ
(رواه الحاكم)
Maksud:
Diriwayatkan
dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu berkata: "Aku pernah mendengar
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa
penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat
bertanya, “ Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi
Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu
adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta
sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia,
saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara
satu sama lain”. ( Hadith riwayat al-Hakim )
Penyakit-penyakit
yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam
hadith tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana telah banyak kita
lihat berlaku di kalangan kaum Muslimin pada hari ini. Bahangnya telah
mula dirasai sejak zaman dahulu lagi. Ini jelas kita dapati, di sana
sini penyakit ini sudah mula merebak dan menjalar dalam masyarakat Islam
dengan begitu parah sekali. Inilah antara kelebihan dan keistimewaan
yang dikurniakan Allah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu
'alaihi wasallam yang dapat mengetahui peristiwa yang akan berlaku pada
masa akan datang ke atas umatnya. Apabila manusia menolak sistem hidup
yang disyariatkan dalam Islam, lantas mengambil dan memilih sistem cara
hidup rekaan manusia maka inilah padahnya.
Dunia umat
Islam pada hari ini terus-menerus dilanda krisis demi krisis sama ada
dalam semua segi baik dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial
kemasyarakatan yang sangat kritikal dan meruncing. Umat Islam diserang
dari semua segi. Dengan kata lain, penyakit yang berlaku di kalangan
umat Islam pada hari ini diibaratkan seperti sejenis penyakit barah yang
tidak mampu dirawat oleh doktor pakar. Semua penyakit kronik yang
berlaku kepada umat Islam pada hari ini hanya dapat dipulihkan dengan
satu kaedah rawatan sahaja ternyata dapat memberi jaminan sebagai
penawar yang mujarab kepada penyakit-penyakit tersebut iaitu
penyelesaian dengan hanya tidak dapat tidak mesti kembali mengambil
Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan menyeluruh.
Umat
Islam pada hari ini tidak ada pilihan lain melainkan dengan hanya
kembali mengambil Islam sebagai satu cara hidup yang syamil dan kamil.
Ini kerana umat Islam yang ada pada hari ini hanya ada Islam pada nama
sahaja. Mereka mengambil Islam hanya dengan membasahi bibir mengucap dua
kalimah syahadah, berzikir, beribadat di atas tikar sejadah di dalam
masjid, berpuasa pada bulan Ramadhan dan pergi menunaikan haji sahaja.
Bagi mereka sudah memadai Islam yang mereka fahami dengan hanya
melakukan ibadat-ibadat tersebut. Di dalam kamus pemikiran mereka tidak
ada istilah untuk beribadah kepada Allah setelah melangkah keluar dari
masjid, setelah bulan Ramadhan berlalu dan setelah pulang dari
mengerjakan ibadah haji.
Malang, begitu sempitnya fahaman
mereka mengenai cara hidup Islam yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad
Sallallahu 'alaihi wasallam yang sudah lama disarankan kepada kita. Ini
kerana sikap merendah diri, bersyukur kepada Allah yang semakin terhakis
dalam diri manusia semakin menjadi-jadi. Tidak kurang juga sifat ego
manusia pada hari ini mengatasi segala-galanya. Inilah natijahnya
apabila menolak apa yang disyariatkan oleh Allah dan berbangga dengan
sistem rekaan manusia. Justeru tidak hairanlah fenomena yang Rasulullah
Sallallahu 'alaihi wasallam gambarkan kepada kita telah banyak berlaku
seperti manusia yang terlalu banyak berseronok, terlalu
bermewah-mewahan, berlumba-lumba menghimpunkan harta sebanyak mungkin,
tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, sikap saling
memarahi, umpat-mengumpat, hasut menghasut sudah menjadi amalan sehingga
sikap zalim menzalimi antara satu sama lain dan amalan rasuah, pecah
amanah sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka”.
Sepatutnya
bagi mereka yang faham Islam sebagai satu cara hidup hendaklah kembali
untuk mengambil Islam dalam setiap aspek kehidupannya bukan hanya di
tempat-tempat atau pada masa-masa tertentu. Kita hendaklah mengamalkan
cara hidup Islam yang disarankan oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi
wasallam dalam setiap aspek kehidupan iaitu melakukan sesuatu niat
ikhlas kerana Allah semata-mata dan hendaklah kita menghubungkan diri
kepada Allah di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja, sama
ada ketika duduk, berdiri dan sebagainya. Dengan erti kata lain, setiap
amalan dan perbuatan kita hanya dikira sebagai satu ibadah sekiranya
niat kita ikhlas kerana Allah. Sebenarnya dalam Islam setiap perbuatan
dan amalan kita seperti makan minum, tidur, sebagainya semuanya adalah
merupakan satu ibadah kepada Allah.
Kita perlu
berhati-hati dengan musuh-musuh Islam yang tidak jemu-jemu berusaha
untuk menghancurkan umat Islam. Sejarah telah merakamkan, mereka sudah
lama merancang untuk menghapuskan umat Islam dengan cara mengasingkan
Islam dalam kehidupan umat Islam, memisahkan Islam dengan politik,
ekonomi, sosial dan sebagainya. Ia juga berpunca dari salah faham di
kalangan orang Islam terhadap Islam sendiri dan meluapnya sentimen
politik yang saling bertentangan. Selain itu, rasa tidak puas hati ini
mengheret sebilangan kaum yang bertelingkah ke dalam kancah pertikaian
dan prasangka yang akhirnya membawa kepada perselisihan pendapat umat
Islam.
Bagi kita yang kasih dan sayang kepada Nabi
Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam tidak ada sebab mengapa kita tidak
boleh mengamalkan apa yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu
'alaihi wasallam. Di tengah–tengah kebangkitan semula Islam pada abad
yang ke-20 ini umat Islam terus diuji dengan pelbagai cubaan dan
perbuatan yang menggugat kesucian Islam. Gejala ini muncul akibat dari
ketidaksefahaman umat Islam sendiri dalam fahaman tentang Islam serta
momokan idea dari musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk
menghancurkan Islam. Justeru menjadi kewajipan kita mempertahankan
kesucian Islam daripada dicerobohi oleh musuh-musuh Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan