Jumaat, 9 November 2012

ADAT RESAM SATU MALAYSIA

KEPELBAGAIAN BANGSA MALAYSIA Malaysia mepunyai pelbagai kaum dan adat resam,antara kaum yang utama ialah kaum melayu,cina,dan india Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.
 ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU
 Adat resam kelahiran Wanita yang mengandungkan anak sulung akan menjalankan upacara melenggang perut oleh seorang bidan .Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mempunyai kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan.Adat ini dijalankan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.Bidan akan menyambut bayi dengan jampi serapah dan daun sirih akan disemburkan kepada bayi itu. Selepas bayi dibersihkan, tali pusat bayi akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Lazimnya tali pusat bayi akan tertanggal dalam tempoh seminggu dan adat cuci lantai atau adat naik buai akan diadakan.Adat ini sebaiknya dilakukan pada hari isnin dan khamis .Adat cukur rambut ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkanl dan kebiasaannya Kenduri nasi kunyit dan doa selamat akan diadakan pada hari tersebut.Upacara naik buai bermaksud bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini.

Adat merisik juga dipanggil meninjau atau menengok.Tujuan adat ini dilakukan bagi memastikan si gadis masih belum berpunya kerana islam melarang meminang tunangan orang.Tujuan utama adat ini dilakukan bagi menyelidik latar belakang si gadis dan selalunya dijalankan oleh suadara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.Pihak si gadis akan mempertimbangkan dahulu lamaran sebelum membuat apa-apa jawapan.Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak. Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut. Semasa majlis perkahwinan,pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin.Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.

 Semasa Kematian
 Apabila berlaku kematian, keluarga si mati akan memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu.Mayat akan ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin.Mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat barsama ahli keluarga dengan tertib dan cermat. Jenazah akan di kapankan dengan cara membalut badan mayat dengan kain putih dan dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya disembahyangkan samada di rumah atau di masjid.Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati.Jenazah akan dikebumikan dan upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok imam berserta doa, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur .Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari
 ADAT RESAM MASYARAKAT CINA.
 Masyarakat cina mempunyai banyak pantang larang seperti tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan, mengawal tingkah laku dan mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin dan Sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan.Masyarakat cina melarang member nama semasa mengandung dan tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang tajam seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin.
 Selepas Lahir
Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin disamping menguatkan semula tenaga.
 Memberi Nama
 Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri.Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan. Nama mestilah dibuat berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan seelok-eloknya sepadan. Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat dan mempunyai lima unsur iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.





 Adat resam perkahwianan
Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati dan ingin mengetahui keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis atau mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga.Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan dan majlis pertunangan akan dijalankan selepas itu. Majlis pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan.Si gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu. Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan.
 Majlis Perkahwinan
Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Pengantin akan memakai pakaian yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin,akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.
Adat resam kematian
Selepas mayat dimandikan,mayat akan disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik mengikut status si mati. Ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat dan diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah membuat banyak jasa apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan ini seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan. Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya. Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring yang diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.
 ADAT RESAM MASYARAKAT INDIA
 Adat resam kelahiran
 Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi mengenai agama Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan untuk kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit.Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut. Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan untuk mengelak bala atau sebarang malapetaka dariapada berlaku.Ibu dan bayi akan diasingkan dari ahli keluarga dan orang luar dilarang melawat kecuali untuk tujuan perubatan selama dua minggu. Amalan mendodoi bayi merupakan upacara yang paling penting dalam masyarakat India. Upacara mendodoi ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud penggoyangan lidah. Upacara dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-cerita nasihat. Ia bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan.. Upacara pemujaan dilakukan dengan membersihkan sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahan-bahan persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan kering dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam buaian dan namanya diumumkan pada orang ramai. Saudara mara yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara diakhiri dengan jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi. Dalam peringkat merisik, selalunya maklumat mengenai gadis tersebut diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taragar akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar. Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam. Kunjungan Ke Rumah Pengantin Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai. Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.
Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki. Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan. Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.
 Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulam matrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga. Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan

serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian. Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi. Thaali atau tjirumaangalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan oleh pengantin lelaki di leher pengantin perempuan.. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali.
 Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali. Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Adat mukuurtta kaal akan diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin. Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.
 Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang.mayat akan dibalut dengan menggunakan kain dan kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis dan mayat turut diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak berbau. Gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan barang-barang perhiasan dibawa keluar dari ruang tamu. Lagu-lagu suci seperti teevaaram, tiruvaasakam dan seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke tanah perkuburan.
Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut diperolehi dari sungai, perigi atau sumber-sumber air yang lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi air akan ditutup dengan menggunakan kain dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air tersebut. Kaum wanita pula akan menyambut air tersebut yang digunakan untuk memandikan mayat. Sebelum dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada kepala sebagai mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan diikuti oleh saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan digunakan untuk menyapu minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan sebagaimana lazimnya. Mayat seterusnya dimandikan oleh orang yang telah berumur. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki.
 Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal dunia, si isteri akan duduk di sebelah si mati dan dijirus dengan sebuyung air semasa mayat suaminya dimandikan. Kemudian bunga akan dikalungkan pada leher balu dan kemudian bunga tersebut dikalungkan pada si mati. seterusnya seorang wanita yang sudah berusia dan mempunyai hubungan kekeluargaan akan memegang tangan si mati sambil mengalungkan kalungan bunga ke leher balu dan proses ini dilakukan sebanyak tiga kali. Balu tersebut dikehendaki meletakkan kalungan bunga ke dalam dulang yang berisi minyak, bunga dan susu yang dibawa oleh seorang perempuan lain. Ini dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami membuangkan thaali dari leher balu. Thaali itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam dulang dan disimpan dalam rumah.Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Sebelum beras dimasukkan ke dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. Duit syiling yang diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan kain putih. Ini dilakukan oleh kaum perempuan sahaja.
 Upacara vaaikkarisi akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah perkuburan pula, justeru itu kaum perempuan amat dilarang turut serta ke tanah perkuburan. Sekiranya si mati mempunyai cucu atau cicit, mereka dikehendaki memegang neippantam. Neip bermaksud minyak sapi dan pantam adalah obor. Beberapa batang kayu kecil akan dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan kain yang disapu dengan minyak sapi dan dinyalakan. Cucu atau cicit tersebut dikehendaki mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Keranda akan ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, pada masa yang sama ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan. Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. Seseorang yang membawa kollic catti mengiringi mayat. Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut yang baru tumbuh. Ada juga yang mencukur janggut atau misai sebagai menggantikan rambut. Pada masa yang sama sebuah nyiru diisikan dengan bahan-bahan seperti padi goreng, biji sawi dan bijan. Sepanjang perjalanan, bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan tadi mempunyai perlambangan yang tersendiri. Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan menggunakan pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan, pengusung perlu membayar duit kepada penyelenggara sebagai upah mengorek liang lahad. Keranda akan digerakkan beberapa kali sebelum menghampiri liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan dengan mengubah bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian kepala. Ini adalah seperti pergerakan bayi yang berada di dalam kandungan. Oleh itu si mati dipercayai berada di dalam perut Dewi Bumi. Kemudian keranda diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang dikebumikan atau diletakkan di atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam dhoti dan diletakkan di antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur sebagai tanda keizinan mayat dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang dilakukan oleh semua yang berada di situ. Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali mengikut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada pusingan ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar dan disusun ke tanah satu persatu.
 Upacara ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga si mati. Setelah mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas kubur. Satu lubang akan dibuat di bahagian kepala dan susu akan dicurahkan pada lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin ke lubang tersebut. Selesai upacara tersebut, semua yang hadir perlu ke rumah si mati untuk upacara penyempurnaan adat pengebumian sebelum balik ke rumah. Rumah akan dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur. lampu minyak dinyalakan dibekas tempat pembaringan mayat dan selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri selepas upacara pengebumian dijalankan. Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran atau haiwan yang tidak berdarah akan dihidangkan untuk ahli-ahli keluarga si mati. Sebaldi air akan diletakkan di hadapan rumah dan lampu minyak sentiasa dinyalakan. selain itu debu suci dan garam disertakan. Kemudian ahli-ahli keluarga dikehendaki menyentuh garam dan menyapu pada dahi sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang berada di dalam baldi digunakan untuk mencuci kaki dan selepas itu berakhirlah sudah upacara pengkebumi. Pembawa kollic catti hendaklah mandi di sungai atau kolam dan kemudian barulah boleh masuk ke rumah. Ini adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic catti.
 Abu mayat akan dikumpulkan pada keesokan hari. Susu terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu bahagian kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah dimasukkan ke dalam periuk akan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam pengurusan abu mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu mayat ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut. Masyarakat India akan akan berkabung selama lapan atau enam belas hari.Sekiranya mereka berkabung selepas lapan hari kematian, saudara-mara dan sahabat-handai akan berkumpul di rumah si mati dengan membawa pelbagai jenis juadah tradisional termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si mati. Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding dan kemudian dikalungkan dengan bunga yang menarik. Di sisi gambar tersebut pula dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur. Kemudian upacara sembahyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. pada masa yang sama nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. setelah itu makanan dihidangkan kepada para tetamu.
Berkabung pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai karumaati iaitu hari bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik dan seorang pedanda dijemput untuk upacara sembahyang. Batu-bata diikat dengan benang dan dibalut dengan kain merah dan dimasukkan ke dalam periuk. Kemudian batu tersebut dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar. Upacara basahan batu-bata itu dinamakan sebagai kal niruttutal atau upacara mendirikan batu. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Upacara sembahyang dilakukan sebanyak tiga kali. Setiap kali sembahyang, makanan dihidangkan kepada para tetamu. Sembahyang yang pertama dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang kedua dilakukan pada pukul dua belas malam dan yang ketiga pada awal pagi. Hari berikutnya pedanda mengambil rumput dan membuat bentuk seperti keranda. Rumput akan dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan agar roh si mati sentiasa dalam keadaan tenang dan aman. Selesai upacara bersembahyang, pedanda akan dibayar dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dengan ini, berakhirlah upacara karumaati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan