KEPELBAGAIAN
 BANGSA MALAYSIA Malaysia mepunyai pelbagai kaum dan adat resam,antara 
kaum yang utama ialah kaum melayu,cina,dan india Kepentingan adat resam 
di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat 
dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, 
perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua 
masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang 
diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya 
masyarakat tersebut.
 ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU
 Adat
 resam kelahiran Wanita yang mengandungkan anak sulung akan menjalankan 
upacara melenggang perut oleh seorang bidan .Adat ini juga dipanggil 
Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung 
Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara 
ini dilakukan kepada wanita yang mempunyai kandungan berusia dalam 
lingkungan tujuh atau lapan bulan.Adat ini dijalankan untuk membuang 
geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal 
bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.Bidan akan 
menyambut bayi dengan jampi serapah dan daun sirih akan disemburkan 
kepada bayi itu. Selepas bayi dibersihkan, tali pusat bayi akan dipotong
 dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak
 satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan 
cincin emas. Lazimnya tali pusat bayi akan tertanggal dalam tempoh 
seminggu dan adat cuci lantai atau adat naik buai akan diadakan.Adat ini
 sebaiknya dilakukan pada hari isnin dan khamis .Adat cukur rambut ini 
dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkanl dan kebiasaannya Kenduri
 nasi kunyit dan doa selamat akan diadakan pada hari tersebut.Upacara 
naik buai bermaksud bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang 
menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan 
bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik 
perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau 
marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya 
bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. 

Adat merisik juga dipanggil meninjau
 atau menengok.Tujuan adat ini dilakukan bagi memastikan si gadis masih 
belum berpunya kerana islam melarang meminang tunangan orang.Tujuan 
utama adat ini dilakukan bagi menyelidik latar belakang si gadis dan 
selalunya dijalankan oleh suadara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu
 atau bapa saudaranya.Pihak si gadis akan mempertimbangkan dahulu 
lamaran sebelum membuat apa-apa jawapan.Adakalanya semasa merisik, wakil
 lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin 
belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh
 untuk peminangan. pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk 
menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan 
oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi 
menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara 
kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa 
yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga
 akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan 
datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan 
menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak. Upacara ini akan 
dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil
 pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun 
sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan 
majlis.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di 
mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya 
akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis 
gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut. 
Semasa majlis perkahwinan,pengantin lelaki akan diarak dengan paluan 
kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke
 rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan 
disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut
 kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan 
dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan. Pada 
kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah 
pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke
 rumah untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin 
lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka 
pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh 
itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus 
pelamin.Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut 
dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga 
telur pada hari tersebut.

 Semasa Kematian
 Apabila
 berlaku kematian, keluarga si mati akan memberitahu kepada tok imam 
agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara dan jiran 
tetangga di sekitar kawasan itu.Mayat akan ditutup dari kepala hingga ke
 kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan 
kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas 
tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan 
ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, 
diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar. Mayat tersebut 
juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin.Mayat dimandikan oleh tukang
 mandi mayat barsama ahli keluarga dengan tertib dan cermat. Jenazah 
akan di kapankan dengan cara membalut badan mayat dengan kain putih dan 
dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir,
 ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi 
disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya 
disembahyangkan samada di rumah atau di masjid.Sebelum jenazah 
dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan 
memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati 
jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. 
Wakil tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang 
masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh 
menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga 
terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda 
tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati.Jenazah akan 
dikebumikan dan upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok imam 
berserta doa, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian 
kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai 
pula ditabur .Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga 
si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari 
pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari
 ADAT RESAM MASYARAKAT CINA.
 Masyarakat
 cina mempunyai banyak pantang larang seperti tidak dibenarkan melakukan
 kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan 
mengalami kecacatan, mengawal tingkah laku dan mereka juga digalakkan 
bekerja supaya mudah bersalin dan Sebarang konflik atau perselisihan 
perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang 
gangguan.Masyarakat cina melarang member nama semasa mengandung dan 
tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang 
lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan 
makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang tajam
 seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana 
ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk
 bersalin.
 Selepas Lahir 
Wanita-wanita
 Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh 
hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk 
angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai
 kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki
 angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Dari segi pemakanan, 
masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang
 diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama 
ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini 
dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin 
disamping menguatkan semula tenaga.
 Memberi Nama
 Nama
 orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. 
Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik-beradik dan 
sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri 
sendiri.Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti 
lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan. Nama mestilah dibuat 
berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak 
bertentangan dan seelok-eloknya sepadan. Nama yang diberikan patut 
mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat dan mempunyai 
lima unsur iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.
 Adat resam perkahwianan 

Adat merisik dijalankan
 untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati dan ingin 
mengetahui keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Cara 
merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak 
lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan 
keluarga si gadis atau mengadakan perbincangan tersebut di 
restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan 
bersama ini dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah 
keluarga.Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang 
keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang 
wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan 
perkara-perkara berkaitan perkahwinan dan majlis pertunangan akan 
dijalankan selepas itu. Majlis pertunangan dilakukan berdasarkan 
kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran 
kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan 
tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Pada masa
 inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk 
menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa 
yang ditetapkan.Si gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas 
merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya 
yang didapati daripada tukang tilik. Tukang tilik akan menghitung hari 
dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada 
sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Setelah mendapat tarikh 
dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor 
dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. 
Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang 
perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu. 
Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin 
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang 
diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Sekiranya pihak lelaki 
tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan,
 sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas 
kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan 
rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan.
 Majlis Perkahwinan 
Hari
 perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut 
tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari 
perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal 
pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun
 selama seratus hari. Pengantin akan memakai pakaian yang diperbuat 
daripada kain sutera dan disulam benang emas. Baju pengantin 
sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai
 baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut 
melambangkan kematian dan kesedihan. Dalam masyarakat Cina juga, upacara
 meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi 
masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini 
melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam 
keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan 
kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang
 disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Kemuncak upacara 
perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan.
 Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, 
atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai 
hadiah kepada pasangan pengantin,akhir sekali, sebagai bukti 
perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat 
perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi. 
Adat resam kematian 

Selepas
 mayat dimandikan,mayat akan disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia 
bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam 
akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian yang 
cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika 
hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina 
menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. 
Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada 
kayu yang diukir menarik mengikut status si mati. Ahli keluarga, 
saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi 
pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat dan 
diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah membuat 
banyak jasa apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung
 ke kawasan perkuburan. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang 
melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si 
mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga 
terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini 
digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan 
mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan ini seolah-olah 
menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian 
itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan. Semasa 
mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu 
akan mengiringinya. Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati 
akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah 
lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. 
Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. 
Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap 
dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring yang diperbuat 
daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. 
Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang 
disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut 
kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh 
berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.
 ADAT RESAM MASYARAKAT INDIA
 Adat resam kelahiran
 Waktu
 kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat 
dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Sebaik
 sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan 
tinggi mengenai agama Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu 
sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Bayi 
yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada 
lidahnya. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak 
lenga dan mambu juga kadangkala digunakan untuk kecantikan dan supaya 
bayi tidak diserang sebarang penyakit.Setitik minyak bijan yang dicampur
 dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi
 pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut.
 Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari 
ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. 
Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan untuk 
mengelak bala atau sebarang malapetaka dariapada berlaku.Ibu dan bayi 
akan diasingkan dari ahli keluarga dan orang luar dilarang melawat 
kecuali untuk tujuan perubatan selama dua minggu. Amalan mendodoi
 bayi merupakan upacara yang paling penting dalam masyarakat India. 
Upacara mendodoi ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud 
penggoyangan lidah. Upacara dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro 
atau cerita-cerita nasihat. Ia bertujuan agar bayi tersebut menjadi 
seorang yang berguna. Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama
 dilakukan.. Upacara pemujaan dilakukan dengan membersihkan sekeliling 
rumah dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahan-bahan 
persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan 
kering dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam buaian dan 
namanya diumumkan pada orang ramai. Saudara mara yang hadir akan memberi
 pelbagai hadiah dan upacara diakhiri dengan jamuan dan upacara 
sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi. Dalam peringkat merisik,
 selalunya maklumat mengenai gadis tersebut diperolehi secara langsung 
dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi 
sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil
 tirumana taragar akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini 
peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang 
berdaftar. Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thairumanam
 Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak 
terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk 
menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan 
dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu
 Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, 
Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati 
poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam. Kunjungan 
Ke Rumah Pengantin Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal 
pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon
 isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa 
Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak 
lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut 
ramai. Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, 
bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa 
sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk 
mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima 
hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan 
orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang
 tersebut. 
Bakal pengantin perempuan akan 
memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa
 itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan 
dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu 
melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian 
kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan
 tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga 
bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki. Ikat 
janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua 
belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam 
jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti 
kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum 
untuk diberikan kepada wakil perempuan. Sebaik sahaja sampai ke rumah 
bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang 
mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal 
pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan 
saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, 
mereka akan mengikat janji.
 Bakal
 pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan 
persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya 
perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda 
ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan 
taambuulam matrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari 
perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan 
dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya 
akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga. Kad jemputan 
memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad 
jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat 
kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. 
Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan 

serbuk kunyit cair sebagai lambang 
keharmonian. Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan 
dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad 
diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang 
dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai 
paanam paaku. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin perempuan 
untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa
 yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan 
perkahwinan secara rasmi. Thaali atau tjirumaangalyam merupakan lambang 
suci perkahwinan yang dikalungkan oleh pengantin lelaki di leher 
pengantin perempuan.. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau 
sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, 
cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. 
Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai 
untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil
 dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali.

 Pihak
 pengantin adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan 
oleh pembuat thaali. Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini 
dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan 
nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan 
pengantin. Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada 
emas. Adat mukuurtta kaal akan diadakan pada hari yang baik mengikut 
firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok
 yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. 
Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan
 memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu 
dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi
 undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok 
yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari 
perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar 
selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan
 oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari 
tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara 
menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang 
diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat
 dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. 
Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar
 dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin. 
Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu 
termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian
 atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak 
kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa 
mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin 
akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi 
minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini 
menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.
 Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia.
 Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau 
kaamaatci amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa 
terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan 
dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk 
suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang.mayat 
akan dibalut dengan menggunakan kain dan kunyit disapu pada mata untuk 
membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. 
Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung 
akan disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis dan mayat turut 
diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak berbau. 
Gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan barang-barang perhiasan 
dibawa keluar dari ruang tamu. Lagu-lagu suci seperti teevaaram, 
tiruvaasakam dan seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke 
tanah perkuburan. 
Mayat akan dimandikan 
terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman
 rumah. Kaum lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati 
sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut 
diperolehi dari sungai, perigi atau sumber-sumber air yang lain, kecuali
 air paip. Buyung yang berisi air akan ditutup dengan menggunakan kain 
dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air tersebut. Kaum wanita pula 
akan menyambut air tersebut yang digunakan untuk memandikan mayat. 
Sebelum dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada 
kepala sebagai mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli 
keluarga dan diikuti oleh saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan 
digunakan untuk menyapu minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan
 sebagaimana lazimnya. Mayat seterusnya dimandikan oleh orang yang telah
 berumur. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian 
baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki.
 Thaali vaangutal
 merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah 
kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan 
hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal 
dunia, si isteri akan duduk di sebelah si mati dan dijirus dengan 
sebuyung air semasa mayat suaminya dimandikan. Kemudian bunga akan 
dikalungkan pada leher balu dan kemudian bunga tersebut dikalungkan pada
 si mati. seterusnya seorang wanita yang sudah berusia dan mempunyai 
hubungan kekeluargaan akan memegang tangan si mati sambil mengalungkan 
kalungan bunga ke leher balu dan proses ini dilakukan sebanyak tiga 
kali. Balu tersebut dikehendaki meletakkan kalungan bunga ke dalam 
dulang yang berisi minyak, bunga dan susu yang dibawa oleh seorang 
perempuan lain. Ini dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami 
membuangkan thaali dari leher balu. Thaali itu seterusnya akan 
dimasukkan ke dalam dulang dan disimpan dalam rumah.Setelah dimandi dan 
dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda. Kapur 
barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam 
mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian
 terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Sebelum beras 
dimasukkan ke dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. 
Duit syiling yang diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan 
kain putih. Ini dilakukan oleh kaum perempuan sahaja.
 Upacara vaaikkarisi
 akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah perkuburan pula, justeru itu 
kaum perempuan amat dilarang turut serta ke tanah perkuburan. Sekiranya 
si mati mempunyai cucu atau cicit, mereka dikehendaki memegang 
neippantam. Neip bermaksud minyak sapi dan pantam adalah obor. Beberapa 
batang kayu kecil akan dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan 
kain yang disapu dengan minyak sapi dan dinyalakan. Cucu atau cicit 
tersebut dikehendaki mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga
 kali. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Keranda akan 
ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, pada masa yang 
sama ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai
 menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli 
keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali 
sebagai tanda penghormatan. Kollic catti bermaksud periuk tanah liat 
yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan 
pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada 
periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak 
ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal 
dunia dan anak bongsu untuk ibu. Seseorang yang membawa kollic catti 
mengiringi mayat. Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur 
rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti 
rambut yang baru tumbuh. Ada juga yang mencukur janggut atau misai 
sebagai menggantikan rambut. Pada masa yang sama sebuah nyiru diisikan 
dengan bahan-bahan seperti padi goreng, biji sawi dan bijan. Sepanjang 
perjalanan, bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan tadi 
mempunyai perlambangan yang tersendiri. Mayat orang India akan diusung 
ke tanah perkuburan dengan menggunakan pengusung. Apabila tiba di tanah 
perkuburan, pengusung perlu membayar duit kepada penyelenggara sebagai 
upah mengorek liang lahad. Keranda akan digerakkan beberapa kali sebelum
 menghampiri liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan dengan mengubah 
bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian kepala. Ini adalah seperti
 pergerakan bayi yang berada di dalam kandungan. Oleh itu si mati 
dipercayai berada di dalam perut Dewi Bumi. Kemudian keranda diletakkan 
bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang dikebumikan atau diletakkan di
 atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam dhoti dan
 diletakkan di antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur 
sebagai tanda keizinan mayat dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang
 dilakukan oleh semua yang berada di situ. Pembawa Kollic catti atau 
buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali mengikut arah 
jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti
 dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada 
pusingan ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk 
melutut tetapi tidak menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang 
menyala dibakar dan disusun ke tanah satu persatu.
 Upacara
 ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga si mati. Setelah 
mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas kubur. Satu 
lubang akan dibuat di bahagian kepala dan susu akan dicurahkan pada 
lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin ke lubang tersebut. 
Selesai upacara tersebut, semua yang hadir perlu ke rumah si mati untuk 
upacara penyempurnaan adat pengebumian sebelum balik ke rumah. Rumah 
akan dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur. lampu minyak 
dinyalakan dibekas tempat pembaringan mayat dan selepas itu ahli-ahli 
keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri selepas upacara 
pengebumian dijalankan. Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran atau
 haiwan yang tidak berdarah akan dihidangkan untuk ahli-ahli keluarga si
 mati. Sebaldi air akan diletakkan di hadapan rumah dan lampu minyak 
sentiasa dinyalakan. selain itu debu suci dan garam disertakan. Kemudian
 ahli-ahli keluarga dikehendaki menyentuh garam dan menyapu pada dahi 
sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang berada di dalam baldi digunakan 
untuk mencuci kaki dan selepas itu berakhirlah sudah upacara pengkebumi.
 Pembawa kollic catti hendaklah mandi di sungai atau kolam dan kemudian 
barulah boleh masuk ke rumah. Ini adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic catti.
 Abu
 mayat akan dikumpulkan pada keesokan hari. Susu terlebih dahulu disiram
 pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu bahagian kepala
 dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu yang lain dimasukkan 
ke dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah dimasukkan ke dalam 
periuk akan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam 
pengurusan abu mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu 
mayat ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke 
laut. Masyarakat India akan akan berkabung selama lapan atau enam belas 
hari.Sekiranya mereka berkabung selepas lapan hari kematian, 
saudara-mara dan sahabat-handai akan berkumpul di rumah si mati dengan 
membawa pelbagai jenis juadah tradisional termasuklah sayur-sayuran dan 
buah-buahan. Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si mati. 
Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding dan 
kemudian dikalungkan dengan bunga yang menarik. Di sisi gambar tersebut 
pula dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur. Kemudian upacara 
sembahyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. 
pada masa yang sama nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. setelah itu 
makanan dihidangkan kepada para tetamu. 
Berkabung pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai karumaati
 iaitu hari bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi 
didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik dan seorang pedanda 
dijemput untuk upacara sembahyang. Batu-bata diikat dengan benang dan 
dibalut dengan kain merah dan dimasukkan ke dalam periuk. Kemudian batu 
tersebut dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar. 
Upacara basahan batu-bata itu dinamakan sebagai kal niruttutal atau 
upacara mendirikan batu. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. 
Upacara sembahyang dilakukan sebanyak tiga kali. Setiap kali sembahyang,
 makanan dihidangkan kepada para tetamu. Sembahyang yang pertama 
dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang kedua dilakukan pada
 pukul dua belas malam dan yang ketiga pada awal pagi. Hari berikutnya 
pedanda mengambil rumput dan membuat bentuk seperti keranda. Rumput akan
 dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan agar roh si mati 
sentiasa dalam keadaan tenang dan aman. Selesai upacara bersembahyang, 
pedanda akan dibayar dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran 
dan buah-buahan. Dengan ini, berakhirlah upacara karumaati. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan