Apabila daulat raja-raja 
      Melayu Patani telah dapat dimansuhkan oleh kerajaan Siam dalam tahun 1902 
      dengan ikhtiar tipu dayanya. Kedudukan negeri Patani semakin 
      beransur-ansur tercamtum menjadi sebahagian daripada jajahan negeri 
      Siam-Thai dan kerakyatan orang-orang  Melayu Patani pun berubah pula 
      menjadi kerakyatan warga negara Siam-Thai. Semenjak itu pegawai-pegawai 
      Siam yang datang dari kawasan Bangkok mulalah masuk memegang jawatan di 
      dalam Patani. Caranya pentadbiran di dalam negeri Siam-Thai pada masa itu 
      dijalanakan secara pemerintahan kuasa raja (autokrasi) yang demikian corak 
      pemerintahan dalam Patani pun telah dijalankan dengan mementingkan faedah 
      dan muslihat dalam Patani pun telah dijalankan dengan mementingkan faedah 
      dan muslihat untuk pegawai-pegawai Siam dan kerajaannya. 
      s
                Orang-orang 
      Melayu telah dikenakan dan dipaksa membayar cukai hasil mahsul kepada 
      kerajaan dengan sebanyak-banyaknya serta segala kekayaan di dalam Patani 
      hendaklah juga dipungut itu hendaklah semuanya dihantar ke Bangkok. 
      Sebahagian kecil telah diasingkan kerana perbelanjaan gaji pegawai-pegawai 
      Siam itu dan boleh dikatakan tidak ada satu bahagian pun dari hasil mahsul 
      itu yang digunakan dalam urusan kebajikan orang-orang  Melayu yang 
      telah berpenat lelah membayar hasil cukai itu. 
                Kebanyakan 
      daripada pegawai-pegawai Siam itu tidak pernah mengambil berat atas 
      perkara faedah-faedah dan kebajikan orang-orang  Melayu. kedatangan 
      mereka ke Patani pada mulanya hanya membawa pangkat jawatan masing-masing 
      sahaja tetapi bila mereka bersara, banyaklah kebun-kebun yang luas dan 
      kampung halaman yang besar-besar yang didapatinya dalam Patani. 
      Setengahnya pula bila telah bersaram mereka pun pulanglah ke Bangkok 
      dengan membawa harta benda itu yang boleh menghidupkan mereka dengam 
      limpah mewah. 
      Pegawai-pegawai Siam-Thai itu tidak pernah menindas faham 
      kebangsaan Melayu dan agama Islam kerana pada zaman pemerintahan autokrasi 
      itu dasar yang seumpama ini belum lagi ada mereka telah memerintah dengan 
      senang lenang saja, tetapi mereka tidak mengambil berat sedikit pun pada 
      memajukana jajahan-jajahan itu melainkan pada perkara yang mengenai 
      muslihat mereka. 

      Rajah : Salasilah Raja Patani dari Keturunan 
      Raja Kelantan
                
      Perkhidmatan dalam perkara kesihatan, pelajaran, dan kemakmuran 
      sama sekali tidak ada, sekolah-sekolah Siam pada masa itu hanya didirikan 
      dalam bandar untuk faedah anak-anak pegawai Siam. Sekolah Melayu tidak ada 
      langsung. Sewaktu pemerintah hendak mengadakan jalan-jalan raya bagi 
      menyenangkan perhubungannya di antara satu jajahan dengan satu jajahan, 
      semuanya terpulang kepada anak negeri yang membuatnya. Mereka dikerah 
      berkerja menjadi buruh ada kalanya terpaksa pula membawa bekalan 
      masing-masing.
                Pentadbiran 
      kerja di mahkamah semuanya terpulang kepada Pesuruhjaya Tinggi, kepada 
      pegawai polis dan akhirnya kepada hakim. 
      Ada kalanya orang yang dibawa ke mahkamah 
      itu terpaksa menanti berbulan-bulan lamanya sebelum perkara itu 
      dibicarakan. Hai ini ialah disebabkan pegawai-pegawai itu mahu mengetahui 
      berapakah banyak wang yang dapat diberi oleh orangyang terdakwa itu kepada 
      mereka apabila perkaranya dibicarakan. 
                Pentadbiran 
      yang dijalankan seumpama ini semuanya dirasa oleh orang-orang  Melayu 
      itu dengan bergelisah dan tidak puas hait. 
                Dalam tahun 
      1923 orang-orang  Melayu itu mula mengadakan pergerakan enggan 
      membayar cukai kerana benci atas perbuatan pegawai-pegawai Siam-Thai yang 
      menerima wang dan juga perbuatan mereka tidak mengambil tahu akan hal 
      pentadbiran memperbaiki negeri. Dalam tahun ini juga orang-orang 
       Melayu telah melancarkan pergerakan menuntut kebebasan tetapi 
      pergerakan ini telah dapat dipadamkan oleh kerajaan Siam setelah berlaku 
      sesuatu pertempuran di antara ahli pergerakan dengan pasukan polis Siam 
      dalam daerah Mayor (Rakak). Beberapa banyak ketua-ketua Melayu Patani yang 
      telah dituduh bersubahat dalam pergerakan ini telah ditangkap kemudian 
      dihantar ke Bangkok dengan alasannya sebagai kaum penderhaka, ada di 
      antara mereka yang telah mati dan terus berkubur di sana. 
      
                Di antara 
      ketua-ketua Melayu yang mengetuai dalam pergerakan ini ialah Tengku Abdul 
      Kadir Kamarudi, Raja Patani yang akhir yang telah menolak tawaran kerajaan 
      Siam hendak menjadikannya raja patung, setelah pergerakan yang mula-mula 
      ini kecewa, baginda pun terus berundur ke Kelantan dan terus tingal di 
      sana hingga mangkat. 
                Dengan sebab 
      berlaku kejadian ini, serta umur telah terlampau tua, maka Phraya Deca 
      Pesuruhjaya Tinggi bagi provinsi (Monthon) Patani telah dilucutkan dari 
      jawatan serta diganti oleh seseorang yang lain kemudian beberapa kali 
      bertukar ganti orang-orang  yang memangku jawatan ini. Hingga sampai 
      pada tahun 1932 iaitu tahun negeri Siam sedang diperintah oleh Raja 
      Prajadhipok Raja Siam yang ketujuh. Dalam masa pemerintahan raja ini 
      keadaan iktisad negeri Siam sangatlah terjatuh hampir-hampir akan 
      memerbahayakan kepada kerajaannya. 
                Dengan 
      tujuan memulihkan kejatuhan iktisad ini, kerajaan Siam-Thai banyaklah 
      mengubah cara-cara pentadbiran di dalam negerinya. Di antaranya 
      mengurangkan jumlah pegawai-pegawai kerajaan dan memotong rancangan 
      belanja yang tidak mustahak dan kemudian telah dihapuskan beberapa buah 
      provinsi di seluruh negeri Siam. Satu daripadanya termasuk provinsi Patani 
      iaitu dihapuskan serta disatukan dengan provinsi Nakhorn Sri Thammarat. 
      Dalam Patani itu telah dihapuskan sebuah wilayah iaitu wilayah Saiburi 
      (Teluban) setengahnya disatukan dengan wilayah Patani dan setengahnya 
      disatukan dengan wilayah Narathiwat. Semenjak itu tinggallah hanya tiga 
      buah wilayah sajaha iaitu Patani, Yala, Narathiwat dan ketiga-tiganya 
      termasuk di bawah perintah Pesuruhjaya Tinggi Provinsi Nakorn Sri 
      Thammarat yang berpusat di Singgora.
                
      Langkah-langkah memulih iktisad ini telah dijalankan dengan tidak memberi 
      kejayaan yang penuh, ahli-ahli  politik Siam telah merasai negerinya 
      akan jatuh meleset dan miskin serta akan menambahkan lebih banyak lagi 
      jumlah kaum penganggur dan orang-orang  yang tiada berperkerjaan. 
      
                Oleh itu 
      pada waktu pagi 24 Jun 1932 berlakulah pemberontakan merampas kuasa dalam 
      Bangkok yang dijalankan oleh ahli politik yang bergelar “Kumpulan Rakyat” 
      terdiri dari pegawai-pegawai tentera darat, laut dan udara serta 
      orang-orang  periman. Tujuannya akan mengubah pemerintahan secara 
      autokrasi itu kepada pemerintahan secara demokrasi (kedaulatan rakyat). 
      Perkumpulan ini diketuai oleh Phray Pahon, Nai Pridi Panomyang, Luang 
      Phibun Songgram dan lain-lain termasuk juga pemimpin-pemimpin kaum Islam 
      dalam Bangkok seperti Haji Abdul Wahab dan Haji Shamsudin 
      Mustafa.
                Kemudian 
      telah diisytihar dan dipakai sebuah undang-undang perlembagaan yang baharu 
      cara-cara demokrasi iaitu memberi kesempatan kepada rakyat tiap wilayah 
      berhak memilih seseorang wakilnya hadir ke majlis mesyuarat kerajaan di 
      Bangkok sebagai wakil-wakil rakyat yang berketanggungan dan berhak 
      mencampuri dalam urusan pemerintahan kerajaan. Manakala daulat Raja Siam 
      yang tiada berhad itu telah dibataskan oleh undang-undang perlembagaan 
      ini, mengisytiharkan enam dasar pemerintahan negeri sebagai sendi amalan 
      demokrasinya iaitu:
-Mengawal keselamatan politik, 
      keadilan dan ekonomi;
-Mengawal keselamatan dan 
      ketenteraman di dalam negeri;
-Memajukan kemakmuran rakyat 
      jelata;
-Memberi persamaan hak kepada 
      rakyat jelata dan 
-Memberi pelajaran kepada 
      rakyat jelata dengan secukupnya.
      Dalam tahun 1933 kerajaan Siam-Thai telah 
      memansuhkan segala provinsi (Monthon) dalam negeri Siam. Dikekalkan 
      hanya wilayah-wilayah (Changwat) sahaja dan seluruh wilayah-wilayah itu 
      termasuk wilayah Patani, Yala dan Bangnara (Narathiwat), terus termasuk 
      dibawah takluk dan perintah Jabatan Menteri Dalam di Bangkok. Dengan 
      perubahan yang akhir ini negeri Patani pada hakikatnya telah mulai menjadi 
      sebahagian dari nageri Siam-Thai jati dan keadaannya  semakin 
      bertambah jauh terpisah dari negeri Melayu dalam Semenanjung. 
      
                Di dalam 
      susunan perlembagaan negeri baharu itu, telah termasuk pada ayat yang 
      pertama bahawa (di negeri Siam-Thai) adalah satu di dalam segala-galanya 
      dan tidak boleh dibahagi-bahagikan.
                Dalam hal 
      itu pun, dengan corak pemerintahan demokrasi itu, orang-orang  Melayu 
      dalam wilayah-wilayah yang tersebut telah merasai lapang dadanya. Bila 
      mereka mendengar isytihar-isytihar demokrasi yang manis bunyinya itu dan 
      masing-masing menunggu akan mengecap rasa demokrasi yang memberi persamaan 
      hak dan kebebasan.
                Tetapi dari 
      setahun ke setahun tidak ada satu perubahan pun yang berlaku istimewa 
      dalam kesihatan, pelajaran, jalanraya dan lain-lain lagi, semuanya tinggal 
      terbiar juga seperti zaman pemerintahan autokrasi dahulu. Sekali lagi 
      orang-orang  Melayu berasa sungguh gelisah tidak puas hati. 
      
                Akan tetapii 
      dengan cara pemerintahan demokrasi ini menjadikan orang-orang  Siam 
      bertambah dalam rasa kebangsaa lebih daripada masa yang dahulu. Dalam 
      golongan orang-orang  Siam ini teah mentafsirkan ayat pertama dalam 
      perlembagaan tadi bahawa tiap-tiap orang yang menjadi kerakyatan Siam-Thai 
      mestilah dihitung sebagai orang-orang  Siam. Dalam segala hal ehwal 
      ertinya mesti memakai satu bahawa, adat rasmi, pakaian yang sama dan agama 
      yang satu. Mereka telah lupa bahawa kebebasan beragama, beribadat dan cara 
      kedudukan kepada semua orang yang mendiami dalam negeri 
      Siam.
                
      Dalam tahun 1939 faham kebangsaan Siam-Thai telah mulai merebak di 
      negeri Siam dibawa oleh Luang Phibun Songgram yang pada masa itu telah 
      menjadi Perdana Menteri. Di kalangan orang-orang  besar Siam Luang Phibun 
      Songgram telah terkenal seorang ahli politik yang kuat memakai faham 
      kebangsaan. Dia telah mengadakan bermacam rancangan untuk membina faham 
      kebangsaan itu dan telah menjadi cita-citanya supaya Semenanjung Indochina 
      serta berbagai-bagai pula ikhtiarnya hendak menindas pula puak kecil dalam 
      negerinya. 
                Dalam tahun 
      1940, sebuah Dewan Kebudayaan Siam telah ditubuhkan di Bangkok dan 
      terkenal dengan nama Sapha Wattanatham tujuannya hendak memajukan 
      faham kebangsaan dan meluaskan kebudayaan Siam ke seluruh negerinya. Dewan 
      Kebudayaan ini dengan beransur-ansur mengeluarkan perintah yang berupa 
      sebuah undang-undang “paksa” atas orang ramai suatu daripada perintah yang 
      mula-mula dikeluarkannya ialah memaksa semua orang-orang  Siam mesti 
      memakai pakaian cara barat dan disajakkan dengan topi bagi lelaki dan 
      perempuan. Waktu makan mesti menggunakan garpu dan bermeja 
      kerusi.
                Orang-orang 
      Melayu dalam wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Setul telah merasai 
      perintah ini mengenai tepat atas mereka oleh kerana mereka telah dilarang 
      memakai pakaian Melayu, mempunyai nama-nama Melayu bertutur dalam bahasa 
      Melayu dan memeluk agama Islam.
                
      Dalam berapa syarat undang-undang memajukan kebudayaan Siam itu 
      ialah mengharamkan bahasa Melayu dalam segala pejabat kerajaan, pegawai 
      kerajaan yang tahu berbahasa Melayu telah dilarang keras bercakap-cakap 
      bahasa Melayu dengan anak negeri. Orang-orang Melayu yang mengurus sesuatu 
      hal di pejabat kerajaan terpaksalah menggunakan bahasa Siam. Jikalau 
      mereka tidak tahu berbahasa Siam terpaksalah diupah kepada siapa-siapa 
      yang tahu bahasa Siam menjadi guru bahasanya dengan tiada peduli sama ada 
      urusan itu penting atau tidak.
                Dalam 
      syarat-syarat memajukan kebudayaan itu juga menyatakan bahawa agama Buddha 
      ialah agama rasmi dan agama Islam adalah mesti ditentang serta tiap-tiap 
      urusan yang akan memajukan agama Islam itu mesti dihalang, lebih-lebih 
      hebat lagi apabila orang-orang  Melayu dalam daerah Saiburi (Teluban) 
      telah dipaksa menyembah berhala Buddha. Demikianlah berhala Buddha itu 
      telah diletak dalam sekolah-sekolah Siam dan murid-muridnya sebahagian 
      banyak kanak-kanak Melayu telah dipaksa menyembahnya.
                Sejumlah 
      kecil anak-anak Melayu yang memegang jawatan kerajaan telah dipaksa 
      menukar namanya dengan bahasa Siam dan segala jawatan yang tinggi telah 
      diharamkan kepada anak-anak Melayu memegangnya istimewa orang-orang 
       yang beragama Islam telah dilarang menuntut dalam sekolah-sekolah 
      tentera dan memegang jawatan-jawatan yang tinggi.
                
      Dalam tahun 1941 undang-undang kebudayaan ini telah berjalan dengan 
      rancaknya. Dalam wilayah-wilayah Melayu itu pada mulanya ialah memaksa 
      orang-orang  Melayu berpakaian Barat, kot patalon dan bertopi bagi lelaki 
      serta bergaun singkat dan berbaju pendek bagi perempuan. Siapa-siapa yang 
      enggan mengikut undang-undang ini ditangkap dan didenda kadang-kadang 
      disepak teranjang oleh polis-polis Siam. Dalam tahun inilah orang-orang 
       Melayu dalam wilayah itu mulai bergelisah istimewa bagi pihak alim ulama, 
      mereka juga dipaksa berpakaian Barat dan kerapkali berlaku baju-baju jubah 
      dan serban orang-orang  haji itu telah diseret oleh polis-polis Siam serta 
      dipijak dengan kakinya. Begitulah juga orang-orang  perempuan sewaktu 
      berjual beli di pekan-pekan selalu ditendang dan dihentam dengan buntut 
      senapang oleh polis-polis Siam itu kerana memakai baju kebaya dan 
      berkelubung.
                
      Yang demikian dengan anjuran Luang Phibun Songgram itu telah 
      menjadikan pegawai-pegawai Siam dalam wilayah Melayu itu dapat 
      bermaharajalela dengan seluasnya. Istimewa dengan adanya undang-undang 
      kebudayaan tadi, menjadikan mereka semakin rancak mencabul kehormatan 
      agama Islam dan menoda adat istiada Melayu serta apabila dirasuk oleh 
      faham kebangsaan menyebabkan mereka memandang hina dan keji ke atas 
      orang-orang  Melayu.
                Pada 8 
      Disember 1941 berlaku peperangan Asia Timur Raya, manakala tentera Jepun 
      telah melancarkan serangannya di sekitar Tenggara Asia di antaranya telah 
      mendarat di seluruh Pantai Timur Siam begitu juga di Patani, di 
      sepanjang-panjang sempadan Timur Siam telah di serang oleh tentera Jepun 
      dan perjuangan dengan tentera Siam telah berlaku beberapa jama lamanya, 
      Luang Phibun Songgram telah memecahkan dasar perkecualinya dengan membenar 
      tentera Jepun melalui negeri Siam meneruskan serangannya ke Burma dan 
      Tanah Melayu. Dengan langkahnya Luang Phibun Songgram inilah telah 
      menyebabkan Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan Jepun dengan 
      senang. Tiada berapa hari kemudian dia telah mengisytiharkan perang ke 
      atas pihak berikat dan mengikat setia berkerjasama dengan 
      Jepun.
                
      Dalam masa peperangan itu gerakan memajukan kebudayaan dan faham 
      kebangsaan Siam semakin bertambah-tambah luas dan suatu perjanjian telah 
      dibuat antara Dewan kebudayaan Siam dengan Dewan kebudayaan Jepun kerana 
      berbantu-bantu dalam usaha memajukan kebudayaan masing-masing.
                Dengan 
      menggunakan kekuatan tentera dan pengaruh tangan besi, Luang Phibun 
      Songgram telah berjaya memegang jawatan yang tinggi dalam pemerintahan. 
      Dan dengan berlindung di sebalik Pedang Samurai dia telah mulai 
      menjalankan pemerintahan diktator dan meniru kepada langkah-langkah yang 
      dijalankan oleh fasis.
                Dalam masa 
      pemerintahan diktator Phibun Songgram inilah tindakan-tindak 
      pegawai-pegawai Siam atas orang-orang  Melayu semakin bertambah keras 
      dan kejam serta gerakan hendak “mensiamkan” orang-orang  Melayu itu 
      semakin bertambah-tambah jelas. Langkahnya yang kedua telah mulai pula 
      dijalankan iaitu mendirikan keagungan negara Siam-Thai dengan berdasar 
      kepada Siam Maha Besar (Greater Siam). Dengan dasarnya ini diktator 
      Phibun Songgram telah menghantar pasukan tenteranya pergi menakluk wilayah 
      Shan dalam Burma dan masuk memerintah dalam negeri-negeri Kelantan, 
      Terengganu, Perlis dan Kedah dalam tahun 1943.
                
      Dalam tahun 1944 Phibun Songgram telah memansuhkan jawatan Qadi 
      Islam dalam wilayah-wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Setul serta 
      membatalkan undang-undang Islam yang berkenaan dengan nikah cerai dan 
      harta pusaka yang telah dipakai oleh kerajaan Siam yang dahulu semenjak 
      berpuluh-puluh tahun lamanya. Kemudian segala perbicaraan yang berkenaan 
      dengan urusan Islam ini telah dipaksa mesti mengikut undang-undang sivil 
      kerajaan dan diputuskan oleh mahkamah Siam.
                 
      Dalam tahun 
      ini kedudukan orang-orang  Melayu dan kehormatan agama Islam semakin 
      bertambah genting bagi mempertahankan kedudukan mereka. Dalama tahun ini 
      juga ahli-ahli  ulama dengan diketuai oleh Haji Sulong bin Abdul 
      Kadir telah mendirikan sebuah pertubuhan Islam dalam Patani yang dinamakan 
      “Hai’ah al-Nafz al-Ahkam al-Syar’iah” tujuannya hendak 
      memperkemaskan kerjasama di antara ketua-tua agama yang bertanggungjawab 
      itu mempertahankan gerakan kerajaan Siam hendak mensiamkan orang-orang 
       Melayu dan mencabul agama Islam.
                Maka pada 14 
      haribulan Januari 1944 bersamaan 1487 tahun Siam suatu rayuan telah 
      dihantar kepada Perdana Menteri Phibun Songgram oleh Tengku Abdul Jalal 
      bin Tengku Abdul Muttalib pemimpin Melayu Selatan Siam yang berjiwa 
      kebangsaan yang sejati dan Ahli Parlimen wakil Melayu dalam parlimen 
      Siam-Thai pada masa itu. Berkenaan kecabulan dan perkuasaan undang-undang 
      kebudayaan Siam-Thai itu terhadap kebudayaan bangsa Melayu Selatan Siam 
      dan terhada agama Islam yang dijalankan oleh Gabenor Patani (bangsa 
      Siam-Thai) pada masa itu. Akan tetapi malangnya telah mendapat jawapan 
      rasmi pada 29 haribulan April tahun 1944 bersamaan 2487 tahun Siam jawapan 
      itu datangnya dari Pejabat Setiausaha Perdana Menteri Phibun Songgram dan 
      kandungnya oleh menyokong kelakuan Gabenor Patani itu menjalankan 
      undang-undang kebudayaan yang zalim dengan cara kasar dan paksa, surat itu 
      demikian bunyinya:
      Saya suka memaklumkan kepada tuan bahasa 
      surat tuan kepada Perdana Menteri bertarikh 14/2/1944 kerana memaklumkan 
      darihal kekasaran peerjalanan Gabenor negeri Patani itu telah diperiksa, 
      dan Pejabat Menteri Dalam telah memberi kenyataan bahawa yang diperbuat 
      oleh Gabenor negeri Patani itu difikirkan patut tidak ada mendatangkan 
      perasaan panas kepada rakyat yang banyak. Demikianlah 
      dimaklumkan.:
                
      Sekianlah jawapan kerajaan Phibun Songgram terhadap rayuan bangsa 
      Melayu dan umat Islam selatan Siam itu yang disuarakan oleh pemimpin dan 
      ketua mereka akan tetapi rayuan itu bukannya mendapat pertibangan yang 
      adil malah pemerintah Siam menyokong pula kelakuan pegawainya yang zalim 
      dan kejam itu.
                Pada 14 Ogos 
      Jepun telah mengaku kalah kepada pihak Berikat serta peperangan Asia Timur 
      Raya pun tamat. Diktator Phibun Songgram telah ditangkap sebagai orang 
      salah peperangan yang utama di dalam Siam kerana berkerjasamanya dengan 
      Jepun dan dimasukkan ke dalam jel selama enam bulan.
                Dengan 
      kemenangan pihak Berikat itu menjadikan angan-angannya hendak mendirikan 
      negara Siam yang maha besar tidak berjaya dan pergerakan memajukan 
      kebudayaan dan faham kebangsaan Siam telah terhenti juga. Pada bulan Ogos 
      1945 Nai Khuang dilantik menjadi Perdana Menteri Siam serta membentuk 
      sebuah jemaah menterinya yang baharu. Kerajaan Nai Khuang ini telah 
      memansuhkan semua undang-undang kebudayaan yang dibuat oleh Phibun 
      Songgram serta gerakannya hendak mensiamkan orang-orang  Melayu 
      itupun terhenti dengan sendiri.
                
      Walaupaun begitu keganasan dan kekkejaman pegawai-pegawai Siam atas 
      orang-orang  Melayu itu tidak juga berhenti. Dengan kerana akibat dari 
      Peperangan Dunia Kedua, telah menjadikan akhlak dan perasaan 
      pegawai-pegawai Siam itu sangat rosak hingga undang-undang keadilan dan 
      perikemanusiaan telah dibelakangkan oleh mereka. Pada mas itu suatu 
      penyakit yang sangat merebak di kalangan pegawai-pegawai Siam ialah 
      pekerjaan pecah amanah dan makan suap iaitu mulai dari pegawai-pegawai 
      yang renda. Sesuatu perkara yang mustahak diuruskan dengan kerajaan 
      tidaklah akan mendapat kejayaan jikalau tidak disediakan terlebih dahulu 
      wang suap kepada pegawai-pegawai itu.
                Di pihak 
      Pegawai Polis pula, seorang jahat yang telah ditangkapnya, dengan senang 
      sahaja boleh selamat dan biasa bila diberi wang suap kepada mereka. 
      Acapkali berlaku apabila seseorang anak Melayu yang telah disyaki ada 
      bersubahat dengan penjahat-penjahat terus-terus ditangkap oleh Polis Siam 
      kemudian dibawanya ke tempat yang sunyi lalu ditembak dengan beramai-ramai 
      sebelumnya orang-orang  Melayu itu dibawa ke tempat tahanan. Begitu 
      juga anak-anak Melayu yang dituduh ada mengambil bahagian dalam pergerakan 
      politik  melawan pemerintah, selalu diugut atau dibuat bermacam-macam 
      fitnah oleh Polis Siam sehingga mereka dapat ditangkap kemudian ditembak 
      sahaja dengan tidak payah dibawa ke dalam perbicaraan 
      mahkamah.
                Dalam bulan 
      Disember 1947 suatu kejadian yang sedih dan dahsyat telah berlaku dalam 
      Patani manakala seorang Merinyu Polis Siam telah ditembak mati oleh 
      penjahat-penjahat berhampiran dengan sebuah kampung yang bernama “Belukar 
      Semak”. Sepasukan Polis Siam telah datang ke kampung itu menangkap 
      anak-anak Melayu kemudian diseksa dengan bermacam-macam perbuatan kerana 
      hendak mengetahui siapa dia sipembunuhnya. Tuduhan mereka mengatakan 
      anak-anak Melayu dalam kampung itu membekalkan makanan kepada 
      penjahat-penjahat serta berpihak kepada penjahat-penjahat itu dengan 
      memberi bantuan yang penuh. Dengan tuduah ini datanglah  Polis Siam 
      dengan beramai-ramai membakar kampung itu dengan alasannya penduduk dalam 
      kampung itu ada bersubahat dengan penjahat. Dengan pembakaran ini 
      menyebabkan 25 kaum keluarga anak Melayu yang tiada berumahtangga. 
      
                Pada 26 
      September 1947 Miss Barbara Wittingham-Jones, seorang wartawan wanita 
      Inggeris telah melawat ke Patani bagi julung kali semenjak lepas perang. 
      Dia telah menjelajah sejauh 250 batu melalui negeri ini kerana memerhati 
      dan menyiasat kedudukan 700,000 orang-orang  Melayu di bawah 
      penindasan kerajaan Siam-Thai.
                Dalam akhbar 
      Straits Times, di Singapura keluaran 1 Disember, Miss Jones telah 
      menceritakan pendapatan dari penyiasatan di Patani itu demikian katanya, 
      “Di mana saya pergi, saya dapati dasar penindasan yang dijalankan dengan 
      teratur dan satu gerakan sengaja dilancarkan untuk mensiamkan anak negeri. 
      Perasaan rakyat telah menggelegak oleh larangan yang dipaksa oleh kerajaan 
      Siam ke atas pendidikan orang-orang  Melayu di sana,” kata Miss Jones 
      sambil menerangkan bahawa sekolah-sekolah Melayu dalam Patani, telah 
      ditutup oleh kerajaan Siam-Thai.
                “Di 
      sepanjang-panjang jalan raya lihat bangunan-bangunan sekolah ditutup dan 
      kosong bahkan sekolah-sekolah agama pun ikut diharamkan oleh kerajaan 
      Siam. Meskipun satu dua sekolah-sekolah Melayu masih hidup terutama sekali 
      di Yala dan Narathiwat tetapi sehari dua selama lawatan saya ke sana, 
      beberapa buah lagi telah dipaksa ditutup, kerana orang-orang  Melayu 
      itu tak mahu menghantarkan anak-anaknya ke sekolah Siam sehingga mereka 
      pun berdegil juga tidak mahu mempelajari bahasa Siam. Maka kemunduran 
      tentang pelajaran antara bangsa Melayu di Patani ini adalah menghalang 
      kemajuan masyarakat dan ekonomi mereka. 
                Mengatakan 
      bahawa dasar Siam ini telah mematikan roh dan semangat bangsa Melayu maka 
      Miss Jones telah menerangkan bahawa akibatnya ialah jurang yang 
      menceraikan “penakluk-penakluk Siam itu dengan orang-orang  Melayu 
      makin hari makin luas”. Penjajah Siam katanya lagi terang memandang keji 
      dan hina rakyat Melayu iaitu mensifatkan rakyat Melayu itu sebagai satu 
      bangsa yang buta huruf dan orang tani yang bodoh.
                
      “Sebagai qariah dalam pergaulan masyarakat maka tidaklah hairan 
      sekiranya setengah-setengah orang Melayu lebih keras hatinya telah menjadi 
      musuh terhadap masyarakat iaitu denga merompak di darat dan di laut.” 
      Demikian kata Miss Jones.
                “Segenap 
      lapisan pegawai-pegawai Siam adalah memakan suap dan kerana keburukan ini 
      diburukkan lagi oleh perasaan pegawai-pegawai Siam itu memandang keji dan 
      hina ke atas orang-orang  Melayu maka jadilah nasib orang-orang 
       Melayu Patani itu terus menerus menderitaaniaya kecerobohan dan 
      dasar tuntut bela pegawai-pegawai Siam itu.” Kemudian Miss Jones pun 
      meceritakan bagaimana Polis Siam pernah membakar kampung-kampung Melayu 
      sampai hangus semata-mata kerana kampung itu dituduh melindungi 
      penjahat-penjahat.
                “Polis-polis 
      Siam tidak mahu menyiasat sama ada benar atau tidak tuduhan-tuduhan itu 
      atau membicarakan orang-orang  itu di dalam mahkamah. Pegawai-pegawai 
      Siam pernah masuk ke rumah-rumah orang-orang  Melayu mencabul 
      perempuan-perempuan Melayu dan memaksa kedai-kedai Melayu supaya membayar 
      wang perlindungan kepada mereka wang perlindunga ini berjumlah sampai 
      beribu-ribu dan polis Siam selalu masuk ke kedai-kedai Melayu merampas apa 
      sahaja barang yagn disukainya” kata Miss Jones.
                Menunjukkan 
      nyawa orang-orang  Melayu di Patani tidak berharga. Wartawan itu 
      mengatakan, “Orang-orang Melayu selalu ditembak begitu sahaja dengan tidak 
      ada usul periksa lagi atau hilang ghaib dengan tidak meninggalkan kesan 
      dan cerita lagi. 
                “Kerana 
      Patani terpencil dari dunia luar makan orang-orang  Melayu tak dapat 
      dan tak berupaya menentang pemerintahan yang kejam dan ganas ini, 
      teguran-teguran yang sederhana kepada pemerintah Siam adalah dianggap 
      sebagai membahayakan keselamatan negeri, oleh kerajaan Siam 
      teguran-teguran ini pun ditindas dengan hukum bunuh atau disiksa. 
      Orang-orang Melayu di Patani tidak ada kebebasan bercakap, tidak ada surat 
      khabar, tidak banyak mempunyai peti-peti radio dan tidak ada badan 
      politik. Tempat yang digunakan oleh orang-orang  Melayu Patani untuk 
      bersuara ialah di masjid-masjid. Sekali sekali sebuah surat khabar Melayu 
      telah dibawa masuk dengan sulit ke Patani iaitu surat khabar Utusan 
      Melayu”
                Lebih jauh 
      Miss Jones menerangkan, “Bahawa walaupun sudah lebih lima puluh tahun 
      Siam-Thai menindas orang-orang  Melayu begini dahsyatnya. Tetapi 
      dasar mensiamkan orang-orang  Melayu belum lagi berjaya. Saya hairan 
      melihat kekuatan batin orang-orang  Melayu Patani menahan tindasan 
      itu sehingga dapat mereka memelihara adat mereka. 
                Demikianlah 
      ringkasan dari kenyataan wartawan Miss Jones membayangkan keadaaan yang 
      sebenar berlaku dalam wilayah-wilayah Melayu selatan Siam dan dapatlah 
      pengertian mengapa sebabnya orang-orang  Melayu Patani telah bangkit 
      serentak menuntut kemerdekaan dan keadilan.
                Setelah 
      berita keganasan dan gerakan hendak mensiamkan orang-orang  Melayu di 
      Patani itu terheboh ke seluruh dunia terutama di Malaya, maka pada bulan 
      Ogos 1947 kerajaan Siam-Thai telah menghantar rombongan penyiasatnya 
      seramai tujuh orang ke Patani, bagi menyiasat perkara-perkara yang 
      tersebut serta akan mendengar fikiran penduduk-penduduk tempatan bagi 
      mengadakan suatu perubahan yang sesuai dengan kehendak orang-orang 
       Melayu itu. 
                Pada 24 Ogos 
      rombongan penyiasat ini telah mengadakan perjumpaan besar dengan 
      orang-orang  Melayu di Patani serta diberi kesempatan bersoal jawap 
      dengannya. Dalam perjumpaan ini Haji Sulong bin Abdul Kadir, Ketu Majli 
      Islam dan Wan Othmann Ahmad ketua Persatuan Semangat Patani dengan mewakil 
      rakyat tuntutan yang dihadapkan kepada kerajaan. Kandungan tuntutan itu 
      ialah;
      1.        
      Hendaklah kerajaan Siam-Thai mengadakan seorang yang berjawatan 
      tinggi dengan berkuasa penuh memerintah atas empat wilayaw iaitu Patani, 
      Yala, Narathiwat dan Setul, yang dilantik daripada orang Islam yagn 
      diperanakkan dalam salah satu wilayah ini dengan dipilih oleh rakyat 
      jelatanya sendiri. Orang yang memegang jawatan ini hendaklah dikekalkan 
      selama-lamanya dengan tidak bertukar ganti.
      2.        
      Sekalian hasil-mahsul yang didapati dalam empat wilayah ini 
      hendaklah dibelanjakan untuknya semata-mata.
      3.        
      Hendaklah kerajaan mengadakan pelajaran bahasa Melayu dalam 
      sekolah-sekolah mukim dalam empat wilayah ini hingga sampai darjah 
      empat.
      4.        
      Pegawai kerajaan dalam empat wilayah ini hendaklah 80 peratus 
      jumlahnya daripada orang-orang  Islam yang diperanakkan dalam 
      wilayah-wilayah ini. 
      5.        
      Hendaklah kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam pejabat 
      kerajaan bersama-sama dengan bahasa Siam.
      6.        
      Hendaklah kerajaan membenarkan Majlis Agama Islam mengeluarkan 
      undang-undangnya sendiri yang berkenaan dengan adat istiadat agama Islam 
      dengan persetujuan orang yang berjawatan tinggi 
      itu.
      7.        
      Hendaklah kerajaan mengasingkan mahkamah syariah daripada mahkamah 
      kerajaan yang ada dalam empat wilayah itu dan berkuasa menghukum 
      perbicaraannya dengan bebas.

      Gambar : Pintu Kota Cabang Tiga, 
      Patani
Kandungan surat tuntutan ini 
      lebih lanjut lagi mengupaskan peri amalan bahagian daripada 
      pegawai-pegawai Siam tempatan kerap kali menceroboh hak-hak rakyat jelata 
      Melayu sambil dirayukan kepada kerajaan Siam-Thai bahawa tuntutan mereka 
      hari bukanlah bererti hendak memecah dasar perlembagaan kerajaan Siam-Thai 
      malah tuntutan ini adalah dituju pada maksud untuk memperbaiki nasib 
      bangsa dan tanah air mereka dalam masa dunia sedang sibuk merancangkan 
      kepentingan hak dan kemerdekaan bangsa-bangsa yang telah 
      terjajah.
          Tatkala 
      mengupas soal kerakyatan Melayu maka tuntutan itu berkata, “....kami 
      orang-orang  Melayu telah insaf bahawa hakikat yang sebenar kedudukan 
      kami di dalam pemerintahan Siam telah tercabul dan terhina manakala kami 
      telah dipanggil ‘Thai-Islam’ dengan panggilan ini nyatalah soal kerakyatan 
      kami sebagai bangsa Melayu telah tiada diiktiraf oleh kerajaan Siam-Thai. 
      Oleh itu kami atas nama seluruh rakyat jelata Melayu di Patani dengan 
      sebulat suara menuntut hendaklah kerajaan Siam mengutamankan kerakyatan 
      kami sebagai bangsa Melayu yang berugama Islam supaya janganlah 
      selama-lamanya dunia memandangkan kami sebagi Thai-Islam yang 
      sejati.
          Segala 
      tuntutan orang-orang  Melayu itu telah diterima oleh rombongan 
      penyiasat kerajaan Siam-Thai itu dan sanggup hendak menyampaikannya kepada 
      kerajaan di Bangkok.
          Sementara 
      itu dikhabarkan bahawa orang-orang  Melayu dalam wilayah Narathiwat 
      juga bersama-sama mengemukakan tuntutan seumpama itu kepada Rombongan 
      Penyiasat tersebut. Tuntutan dengan menerusi 55 orang ketua-ketua Melayu 
      di sana. Di antara tuntutannya itu ialah pejabat Tetuang Udara Siam di 
      Bangkok hendaklah mengadakan bagaiman siaran dalam bahagian Melayu pada 
      tiap-tiap hari. Pejabat-pejabat kerajaan hendaklah ditutup pada hari 
      Jumaat sebagai hari kelepasan dan juga pada hari kemuliaan agama Islam. 
      Menubuhkan pelejaran cara baharu mengikut bagaimana kemajuan dunia 
      sekarang di bawah anjuran pegawai-pegawai Islam, hasil-mahsul dalam yang 
      didapat dalam empat wilayah hendaklah diutamakan bagi kemakmuran di dalam 
      empat wilayah itu. Dan lain-lain lagi tuntutannya yang mengandungi 13 
      perkara begitu juga tiada beberapa hari kemudian itu juga, tuntutan dengan 
      menerusi Encik Abdullah bi Muhamad Saad wakil rakyat Wilayah 
      Setul.
          Sekalian 
      tuntutan orang-orang  Melayu itu telah disampaikan kepada kerajaan di 
      Bangkok, tetapi kesudahannya tidak mendapat layanan dari pemerintah 
      Siam-Thai, sebaliknya di antara ahli pemerintah Siam telah berpendapat 
      bahawa tuntutan itu sangat berlawanan dengan dasar Perlembaggan Negara dan 
      tidak harus diberi timbangan.
          Pada 30 
      Januari 1948 wakil khas Utusan Melayu di Bangkok telah bertanya 
      kepada Timbalan Perdana Menteri Siam, bagaimana sikap pemerintah terhadap 
      tuntutan itu, dia telah menjawab, “bahawa tuntutan-tuntutan itu akan 
      dihalusi dengan saksama dan seberapa dapat tuntutan itu akan dipenuhi.” 
      Ertinya jawapan ini mana-mana tuntutan Melayu itu yang tidak merugikan 
      muslahat pemerintah Siam akan dipenuhi manakala mana-mana yang 
      mengecewakan kepentingannya akan ditolak.
          
      Setengah ahli-ahli  pemerintah Siam telah mentafsirkan bahawa 
      tuntutan itu ialah suatu pergerakan politik yang salah dalam undang-undang 
      perlembagaan. Dan wajib dijalankan tindakan kerasa ke atas orang-orang 
       Melayu.
          Dengan 
      perintah Pesuruhjaya Siam Patani maka pada pagi 16 Januari 1948 sepasukan 
      polis Siam yang bersenjata telah datang menangkap  Haji Sulong di 
      rumahnya dan dua hari kemudian telah menangkap Wan Othman Ahmad, Haji Wan 
      Husin dan Wan Muhamad Amin iaitu ketua-ketua Melayu yang menghantar 
      tuntutan orang-orang  Melayu itu atas tuduhannya “menderhaka” kepada 
      kerajaan. Sebulan kemudian Haji Sulong dan rakannya telah dibawa ke Nakorn 
      Sri Thammarat. Dan Mahkamah Siam di sana telah memutuskan perbicaraannya 
      dengan hukuman jel 3 tahun dua bulan kemudian mereka telah dibawa ke 
      Bangkok dan ditahan dalam jel besar “Bang Kuang”.
          Semenjak 
      penangkapan ini, banyaklah orang-orang  Melayu Patani yang dituduh 
      bersubahat dalam pergerakan itu, telah melarikan diri masing-masing 
      berlindung di Malaya. Dan Majlis Agama Islam di Patani telah diharamkan 
      oleh pemerintah dalam tahun inilah juga segala gerak-geri orang-orang 
       Melayu Patani sentiasa dalam pemerhatian pemerintah Siam. Dan 
      beberapa banyak pula dihantar mata-mata gelap istimewa dari Bangkok ke 
      dalam Patani, Yala, Narathiwat. Bagi menyiasat pergerakan orang-orang 
       Melayu itu yang telah dituduhnya mengadakan pergerakan politik 
      menentang pemerintah dan menuntut kemerdekaan.
          Soal 
      orang-orang  Melayu itu telah mendapat tempat yang utama dalam 
      perbincangan ahli-ahli  pemerintah Siam selanjutnya soal mereka telah 
      menjadi heboh lagi di Tanah Melayu. Manakala surat-surat khabar Melayu 
      telah berdiri menyertai dan menyokong pergerakan orang-orang  Melayu 
      Melayu di Selatan Siam. Utusan Melayu ialah akhbar kebangsaan 
      Melayu yang utama sekali telah membela dan menyokong cita-cita mereka itu. 
      Suara Utusan Melayu kerap kali mengharu masuk ke dalam lubang 
      telinga ahli-ahli  pemerintah Siam dan suaranya pernah pula bergema 
      di dalam Parlimen Siam tatkala kedudukan orang-orang  Melayu yang 
      menderiata di sebalik tabir besi Siam itu telah dapat 
      dipecahkan.

      Gambar : Bekas Kota Jerenga. Wilayah 
      Bangnara.
          
      Sementara itu golongan akhbar Siam yang memakai faham kolot dan 
      penganut pemerintahnya kerap kali cuab memburukkan cita-cita orang-orang  
      Melayu itu serta menjahatkan pergerakan mereka. Dan ada pula akhbar-akhbar 
      Siam yang memakai fahaman yang jujur dan menghargakan dasar persuratan 
      akhbar Melayu membayangkan rasa simpatinya kepada orang-orang  Melayu 
      itu.
          Pada 30 
      Januari 1948 pasukan polis Siam istimewa telah dihantar dari Bangkok ke 
      wilayah-wilayah Melayu itu bagi memperkuatkan kawalan pemerintah atas 
      orang-orang  Melayu yang telah dipercayainya pergerakan mereka akan 
      bertambah besar. Pada 28 April 1948 berlakulah pertempuran hebat di antara 
      seribu orang-orang  Melayu dengan pasukan polis Siam-Thai di kampung 
      Dusun Nyiur dalam wilayah Narathiwat. Polis Siam lebih dahulu yang 
      memulakan serangannya atas orang-orang  Melayu itu kerana dituduhnya 
      orang-orang  Melayu di situ sedang menganjurkan pergerakan melawan 
      pemerintah Siam. Pertempuran telah berlaku selama 36 jam, kemudian 
      orang-orang  Melayu telah mengundur diri ke hutan rimba kerana 
      melanjutkan perjuangan cara gerila, hampir 400 orang-orang  Melayu 
      termasuk orang-orang tua, perempuan dan kanak-kanak kecil telah mati dalam 
      pertempuran ini dan lebih daripada 30 orang polis Siam telah 
      terbunuh.
          Pada 27 
      April tiga buah kapal terbang pengebom Siam telah melayang di angkasa 
      pertempuran itu mencuba hendak menggugurkan bom atas orang-orang  
      Melayu. Kapal perang Siam yang sedang berlabuh di Kuala Bangnara telah 
      diperintah mendaratkan tenteranya bagi membantu polis Siam kerana membunuh 
      orang-orang  Melayu itu. Kemudian Kamnan Muhamad, Penggawa Kampung 
      Tanjung Mas dan Mustafa seorang ketua Melayu di Teluban, telah ditangkap 
      oleh polis Siam atas tuduhan bersubahat menganjurkan pergerakan dan 
      keduanya telah dibunuh dengan tidak dibawa bicara di 
      mahkamah.
          Pihak 
      pemerintah Siam telah mencuba hendak menyembunyikan punca-punca yang 
      menyebabkan berlaku pertempuran itu dan menbuat dakyah palsunya kepada 
      dunia mengatakan kejadian itu ialah suatu pertempuran biasa sahaja di 
      antara kaum penjahat dengan pengawal keamanan. Tetapi kebenaran tidak 
      dapat disembunyikan kerana iaitu menjadi bukti yang terang menunjukkan 
      bahawa orang-orang  Melayu itu telah hilang rasa sabar dan lebih 
      mendalam rasa tak puas hati mereka kepada pemerintah Siam-Thai. Dengan 
      terkorban ratusan jiwa orang-orang  Melayu itu telah menjadi suatu 
      peristiwa yang besar sekali dalam sejarah kebangkitan orang-orang  
      Melayu Patani, menuntut keadilan dan kebebasan.
          Lebih dari 
      itu, pemerintah Siam telah berusaha hendak mengaburkan mata dunia dengan 
      jalan dakyahnya memperkecilkan pergerakan orang-orang  Melayu itu 
      sambil menegaskan bahawa orang-orang  Melayu itu bergerak dengan 
      kerana dihasut dan diupah oleh sebilangan kecil orang-orang  Melayu 
      Patani yang melarikan diri ke Malaya.
          Bagi 
      menentang dakyah pemerintah Siam ini maka pada 6 Februari 1948 dengan 
      menerusi Ketu Jawatankuasa Perwakilan Melayu di Selatan Siam telah 
      menghantar bantahan kepada Perdana Menteri Siam yang mengatakan pergerakan 
      orang-orang  Melayu itu terbit daripada sekumpulan kecil 
      sahaja.
          Ketua 
      Jawatankuasa itu telah menghantar juga bantahannya ke Lake Success New 
      York meminta supaya Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mengambil 
      tindakan campur tangan menyiasat ke Siam bagi mengadakan suatu pemilihan 
      suara ramai untuk menentukan kedudukan dan sikap orang-orang  Melayu 
      yang sebenar di selatan Siam itu. 
          Salinan dari 
      bantahan ini telah dihantar juga kepada Menteri utusan British dan Amerika 
      di Bangkok kerana menyatakan kedudukan yang sebenar dalam pergerakan 
      orang-orang  Melayu itu. Dalam bantahan ini telah menuntut juga 
      kepada Perdana Menteri Siam membuktikan kepada dunia betul atau tidaknya 
      pendirian kerajaan Siam itu dengan jalan membenarkan langkah mengadakan 
      suara ramai yang diketuai oleh wakil Bangsa-bangsa Bersatu tetapi tidak 
      dengan menghadirkan tentera dan pegawai-pegawai Siam dalam pemilihan raya 
      itu.
          Bantahan ini 
      telah diterima oleh pemerintah Siam di Bangkok. Tetapi tidak diendahkannya 
      pada 8 Disember 1947 pemeberontakan rampas kuasa telah berlaku di Bangkok 
      dan dua kemudian Luang Phibun Songgram bekas ahli jenayah peperangan telah 
      menjadi Perdana Menteri. Pada 29 Januari 1948 kerajaan Phibun Songgram 
      telah mengadakan pemilihan raya bagi mengkhaskan kerajaannya untuk 
      mendapatkan pengakuan negara-negara luar terutama kuasa-kuasa dunia.
          
      Orang-orang Melayu Patani telah mencuba hendak memulaukan pemilihan 
      raya itu dan tidak mahu memilih wakil-wakil mereka ke Parlimen kerana 
      kedatangan Luang Phibun Songgram kali yang kedua ini tidak sah dalam 
      undang-undang Perlembagaan Negara. Dan meraka tidak mahu mengiktiraf 
      kerajaan Phibun Songgram tetapi percubaan orang-orang  Melayu itu 
      tidak berjaya kerana digerak dan dipaksa oleh polis Siam. Akhirnya Luang 
      Phibun Songgram datang sekali lagi memegang kuasa pemerintah. Kedatangan 
      ini orang-orang  Melayu rasa bergelisah tidak puas hati sebab dalam 
      zaman pemerintahan diktator dahulu, Luang Phibun Songgram telah menjadi 
      musuh besar orang-orang  Melayu.
          Dengan 
      kedatangan Luang Phibun Songgram kali yang kedua ini telah menimbulkan 
      tanda soal yang besar kepada orang-orang  Melayu adakah dia akan 
      menjalankan semula dasar “mensiamkan”orang-orang  Melayu seperti 
      dahulu atau langkah mana pula dia akan berjalan. Tetapi dalam beberapa 
      bulan kemudian dia telah menghidup semula “Dewan kebudayaan” dan mulai 
      beransur-ansur memulihkan undang-undang kebudayaan yang dahulu yang 
      merupakan undang-undang paksa. Suatu perintah telah dikeluarkan mulai dari 
      tahun 1950 maka 13 macam mata pencarian hidup telah diharamkan kepada 
      orang-orang  Cina di dalam Siam dan telah ada ura-uranya akan memaksa 
      orang-orang  Melayu memakai pakaian Barat semula. Hal ini sedang 
      dirasa oleh orang-orang  Melayu.
          Pada 10 
      Oktober 1949 dengan jemputan kerajaan Siam. Maka sekumpulan 
      wartawan-wartawan Malaya yang diwakili akhbar-akhbar Melayu, Inggeris, 
      Cina dan Tamil telah dibawa melawat dan meninjau ke dalam wilayah Patani, 
      Yala, Narathiwat bagi memerhati dan menyiasat hal ehwal kedudukan 
      orang-orang  Melayu yang sebenar di selatan Siam. Sepanjang-panjang 
      lawatan mereka itu senantiasa digaul dan diintip oleh polis Siam keadaan 
      mereka samalah seperti orang-orang tawanan. Tujuannya tidak mahu memberi 
      wartawan-wartawan itu dapat berjuma dan bercakap dengan orang-orang  
      Melayu bagi mendapat kenyataan yang sebenar daripada 
      mereka.
                Walau 
      bagaimanapun ditutup dan disembunyikan oleh pemerintah Siam, akan tetapi 
      kedudukan orang-orang  Melayu di selatan Siam hari ini telah terang 
      kepada mata dunia bahawa mereka selama-lamanya hidup menderita tidak 
      mendapat layanan baik dari pemerintah Siam-Thai. Jikalau dikaji dengan 
      sedalam-dalamnya, bahawa semenjak kejatuhan negeri Patani dalam abad 18 
      Masehi yang lampau hingga sekarang telah terang bahawa pemerintahan Siam 
      sangat kurang kebolehan dan kecakapannya dlaam hal pemerintahan. Dalam 
      masa begitu lama, tidak ada saatu perubahan yang lebih besar berlaku dalam 
      hal kemajuan negeri Patani yang boleh memberi kebajikan kepada 
      orang-orang  Melayu, perkara kesihatan, pelajaran, perkawalan dan 
      iktisad dalam Patani sangat jauh ketinggalan jika 
      dibandingkan dengan kemajuan 
      dalam negeri rakan-rakannya di Malaya. Langkah pemerintah Siam membiarkan 
      orang-orang  Melayu hidup dalam kemunduruan itu memang memberi 
      keuntungan yang besar kepada dasar mereka tetapi itulah yang menyedihkan 
      hati orang-orang  Melayu. Orang-orang Melayu Patani telah dipaksa 
      menggadaikan negerinya kepada pemerintahan Siam dengan harapannya supaya 
      mereka diberi suatu pimpinan yang baik menuju kepada kemajuan umum 
      sekurang-kurangnya biarlah setimbang dengan pimpinan yang diberikan kepada 
      orang-orang  Siam. Negeri Patani tidaklah begitu miskin, tetapi 
      kaya-raya dengan hasil buminya yang asli, di antaran jajahan-jajahan yang 
      di selatan Siam, maka Patani sebuah jajahan yang berhitung kaya tidak 
      berkehendak menumpang kepada harta orang-orang  Siam dari lain-lain 
      jajahan untuk dibelanjakan bagi kebajikan orang-orang  Melayu itu. 
      Sekiranya dalam masa 60 tahun leboh pemerintah Siam menjajah negeri Patani 
      itu, kalau 50 peratus sahaja dari hasil buminya dibelanjakan bagi 
      kebajikan orang-orang  Melayu, sudah tentu hari ini negeri Patani 
      akan berupa dengan keadaan yang lebih bagus dalam perkara kemajuan 
      sekurang-kurangnya jalan-jalan raya dalam Patani hari ini telah menjadi 
      jalan-jalan untuk kereta-kereta lembu dan bandarnya tentulah tidak menjadi 
      seperti bandar-bandar kaum Sakai di Malaya.
          
      Dasar demokrasi Siam telah mendakwa hendak memberi persamaan hak 
      kebebasan, memberi pelajaran yang cukup kepada rakyat dan berbagai-bagai 
      rupa dakwa yang indah. Tetapi sudah 17 tahun lamanya demokrasi Siam 
      berjalan, satu bukti tak dapat dipandang oleh orang-orang  Melayu. 
      Memang ada juga kemajuan di zaman demokrasi misalnya bentuk bandar Bangkok 
      hari ini lebih jauh maju dari masa sepuluh tahun yang lalu. Jalan-jalan 
      raya dalamnya telah dibuat dengan batu konkrit, beratus-ratus buah 
      hospital telah didirikan, berpuluh-puluh buah sekolah tinggi telah 
      diadakan, segala segi penghidupan orang-orang  Siam telah diberi 
      layanan dan bermacam-macam lagi pimpinan yagn baik kepada orang-orang  
      Siam itu. Di Patani demokrasi yang seumpama itu rupanya tidak sampai dan 
      tidak diketahui oleh orang-orang  Melayu dalam Patani, kerana 
      demokrasi Siam itu nampaknya bersetakat dan ada sempadan Cuma di dalam 
      kawasan Bangkok dan jajahan yang di sekelilingnya sahaja. Tegasnya 
      demokrasi Siam-Thai itu untuk orang-orang Siam-Thai, untuk agama Buddha, 
      untuk menindasi orang-orang  Melayu dan mencabul agama Islam. Sungguh 
      aneh demokrasi Siam maka nyatalah demokrasi buatan Siam tidak sesuai 
      dengan orang-orang  Melayu. 
          Melihat 
      kepada keadaan dunia hari ini, timbul pula satu tanda soal. Apakah 
      kesudahannya kedudukan orang-orang  Melayu Patani, memadaikah 
      selama-lamanya mereka hidup dnegan merengkok di bawah demokrasi Siam-Thai 
      yang kolot, pada hal sekarang dunia sedang bergerak membina faham 
      demokrasi tulen, dasar agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lake 
      Success, New York, ialah membebaskan bangsa-bangsa yang terjajah. Menanam 
      rasa demokrasi kepada seluruh bangsa supaya reka cipta mesra kepada 
      demokrasi sehingga mereka insaf bertanggungjawab bersama-sama mengawal 
      keamanan dunia. Bilakah orang-orang  Melayu Patani semuanya akan 
      faham demokrasi, insaf kepada nasib mereka, sanggup mereka berjuang 
      berhabis-habisan kerana demokrasi soal-soal ini menjadi kesulitan yang 
      besar kepada ahli-ahli  fikri Melayu Patani hari 
      ini.
           
      Di antara 
      100 juta bangsa Melayu dalam dunia, maka orang-orang  Melayu di 
      Patani itulah yang lebih buruk nasib mereka, walaupun orang-orang  
      Melayu Patani telah lama hidup di dunia demokrasi, tetapi dengan kerana 
      demokrasi Siam-Thai itu ada kelas-kelas dan bersetakat jadilah nasib 
      orang-orang  Melayu itu seperti “pokok kadok tak nak junjung”. 
      Hanya sentiasa merengkok di pangkal junjung.
        
              Sesungguhnya nasib orang-orang  Melayu Patani 
      tidak harus diletak dalam tangan pemerintah Siam tetapi langkah 
      memperbaiki nasib kedudukan mereka adalah terletak di dalam tangan mereka 
      sendiri
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan