Fahamilah bahawa 
Rasulullah saw itu masih wujud bersama kita. Baginda hadir dalam bentuk 
ruh menjenguk kita, menjawab selawat yang kita ungkapkan, membalas 
setiap kerinduan kita kepadanya. Baginda adalah seorang Nabi akhir zaman
 di mana sejak Baginda hidup sehinggalah ke akhir zaman, Baginda 
'bekerja' sepanjang masa demi memastikan Islam yang dipelihara zaman 
berzaman akan kembali menjadi empayar di akhir zaman. 
Baginda
 Rasulullah saw mempunyai wakil-wakil serta para pewaris tugas Baginda 
di kalangan para mujaddid serta kekasih Allah sepanjang zaman. Merekalah
 yang dipimpin dan dicatur  Baginda saw dengan kaedah ajaib yang 
tersendiri yang akal tidak mampu menebaknya. Hanya yang mengalaminya 
sahaja yang tahu betapa luasnya pemerintahan Tuhan dan betapa 
berperanannya Rasulullah saw terhadap umat Baginda terutama kita di 
akhir zaman. 
Diriwayatkan
 bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan selepas waktu Asar iaitu pada
 hari Jumaat di padang Arafah pada musim haji Wida’. Pada masa itu 
Rasulullah s.a.w. berada di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah 
s.a.w. tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna 
yang terkandung dalam ayat tersebut. 
Kemudian
 Rasulullah s.a.w. bersandar pada unta beliau, dan unta beliau pun duduk
 perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibril dan berkata: “Wahai 
Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu,
 maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan demikian 
juga apa yang dilarang oleh-Nya. Oleh itu kumpulkanlah para sahabatmu 
dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku 
bertemu dengan kamu.” 
Setelah malaikat Jibril pergi maka 
Rasulullah s.a.w. pun mengumpulkan para sahabat baginda, dan 
menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril. Apabila 
para sahabat r.a. mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira 
sambil berkata: “Agama kita telah sempurna. Agama kila telah sempurna.” 
Apabila
 Abu Bakar As-Siddiq r.a. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, 
maka ia tidak dapat menahan kesedihannya. Saiyidina Abu Bakar r.a. 
pulang ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Beliau.
 menangis dari pagi hingga ke malam. Kisah  Abu Bakar r.a. menangis 
telah sampai kepada para sahabat yang lain. Maka berkumpullah para 
sahabat r.a. di depan rumah Abu Bakar r.a. dan bertanya: “Wahai Abu 
Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali 
keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah 
sempurna.” 
Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat r.a. maka Abu
 Bakar r.a. pun berkata, “Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu 
tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila 
sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah kekurangannya.
 Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia menunjukkan perpisahan kita 
dengan Rasulullah s.a.w. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri 
Rasulullah menjadi janda.” 
Setelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a. maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata  Abu
 Bakar r.a., lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka
 telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus 
memberitahu Rasulullah s.a.w. tentang kejadian yang mereka saksikan itu.
 
Berkata salah seorang dari para sahabat r.a., “Ya Rasulullah, 
kami baru kembali dari rumah Abu Bakar dan kami dapati ramai orang 
menangis dengan suara yang kuat di depan rumah beliau.” Apabila 
Rasulullah s.a.w. mendengar keterangan dari para sahabat, maka 
berubahlah muka Rasulullah s.a.w. dan dengan bergegas beliau menuju ke 
rumah Abu Bakar r.a. 
Sebaik  Rasulullah s.a.w. sampai di rumah Abu
 Bakar r.a., Rasulullah s.a.w. melihat kesemua mereka menangis dan 
bertanya, “Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?.” 
Kemudian Ali r.a. berkata, “Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan dengan 
turunnya ayat ini membawa tanda bahwa waktu wafatmu telah dekat. Adakah 
ini benar ya Rasulullah?.” 
Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: 
“Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan sesungguhnya 
waktu untuk aku meninggalkan kamu semua telah dekat”. 
Sebaik 
sahaja Abu Bakar r.a. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka ia pun
 menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali r.a.
 pula mengeletar seluruh tubuhnya, para sahabat yang lain pula menangis 
sekuat yang mereka mampu. Sehinggakan gunung-ganang, semua malaikat yang
 ada di langit, cacing-cacing, semua binatang baik yang ada di darat 
maupun yang ada di laut semua menangis. Kemudian Rasulullah s.a.w. 
bersalam dengan para sahabat r.a. satu demi satu dan berwasiat pada 
mereka. 
Pada satu hari, Baginda s.a.w. menyuruh Bilal r.a. azan 
untuk mengerjakan solat. Para Muhajirin dan Ansar pun berkumpullah di 
masjid Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w. menunaikan solah dua
 rakaat bersama semua yang hadir. Setelah selesai solat, baginda s.a.w. 
bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata: “Alhamdulillah, wahai para 
muslimin. Sesungguhnya aku adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak 
orang ke jalan Allah dengan izin-Nya. Dan aku ini adalah sebagai saudara
 kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. 
Oleh itu, kalau ada sesiapa ada hak untuk menuntut, maka hendaklah ia 
bangun dan membalasi aku sebelum aku dituntut di hari Qiamat.” 
Rasulullah
 s.a.w. berkata sebanyak tiga kali, lalu bangunlah seorang lelaki 
bernama ‘Ukasyah bin Muhshan dan berkata: “Demi ayahku dan ibuku ya 
Rasulullah, kalau kamu tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah 
tentu aku tidak mahu mengemukakan ini.” 
Lalu ‘Ukasyah r.a. 
berkata lagi: “Sesungguhnya dalam perang Badar aku bersamamu ya 
Rasulullah. Pada masa itu aku mengikuti unta kamu dari belakang. Setelah
 dekat, akupun turun menghampiri kamu dengan tujuan supaya aku dapat 
mencium paha kamu, tetapi kamu telah mengambil tongkat dan memukul unta 
kamu untuk berjalan cepat, yang mana pada masa itu akupun kamu pukul 
pada tulang rusukku. Aku hendak tanya samada kamu sengaja memukul aku 
atau hendak memukul unta tersebut.” 
Rasulullah s.a.w. berkata: 
“Wahai ‘Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.” Kemudian Rasulullah 
s.a.w. berkata kepada Bilal r.a., “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah 
Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.” Bilal r.a. keluar dari masjid 
menuju ke rumah Fatimah r.a. sambil meletakkan tangannya di atas kepala 
dengan berkata, “Rasulullah s.a.w. telah menyediakan dirinya untuk 
dibalas (di qishash).” 
Setelah Bilal r.a. sampai di rumah 
Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun memberi salam dan mengetuk pintu. 
Kemudian Fatimah r.a. menyahut dengan berkata: “Siapakah di pintu?.” 
Bilal r.a. menjawab: “Aku Bilal, aku telah diperintahkan oleh Rasulullah
 untuk mengambil tongkat Baginda. “Kemudian Fatimah r.a. berkata: “Wahai
 Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya.” 
Berkata
 Bilal r.a.: “Wahai Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk 
diqishash.” Bertanya Fatimah r.a. lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia 
yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah?” Bilal r.a. tidak 
menjawab pertanyaan Fatimah r.a. Setelah Fatimah r.a. memberikan tongkat
 tersebut, maka Bilal r.a. pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah 
s.a.w. Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat tersebut dari Bilal 
r.a. maka beliau pun menyerahkan kepada ‘Ukasyah r.a. 
Melihatkan
 hal yang demikian maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. tampil ke depan 
sambil berkata: “Wahai ‘Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah 
tetapi kamu qishashlah kami berdua.” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar
 kata-kata Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. maka dengan segera beliau 
berkata: “Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah
 S.W.T. telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua.” Kemudian Ali r.a.
 bangun, lalu berkata, “Wahai ‘Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa 
berada di samping Rasulullah oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah 
kamu menqishash Rasulullah”. 
Lalu
 Rasulullah s.a.w. berkata, “Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya Allah
 S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.” Setelah 
itu Hasan r.a. dan Husin r.a. bangun dengan berkata: “Wahai ‘Ukasyah, 
bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah, kamu 
qishashlah kami sama jika kamu ingin menqishash Rasulullah” Mendengar 
kata-kata cucunya Rasulullah s.a.w. pun berkata, “Wahai buah hatiku 
duduklah kamu berdua.” Berkata Rasulullah s.a.w. “Wahai ‘Ukasyah 
pukullah aku kalau kamu hendak memukul.” 
Kemudian ‘Ukasyah r.a. 
berkata: “Ya Rasulullah, anda telah memukul aku sewaktu aku tidak 
memakai baju.” Maka Rasulullah s.a.w. pun membuka baju. Setelah 
Rasulullah s.a.w. membuka baju maka menangislah semua yang hadir. 
Setelah ‘Ukasyah r.a. melihat tubuh Rasulullah s.a.w. maka ia pun 
mencium beliau dan berkata, “Aku tebus kamu dengan jiwa ku ya 
Rasulullah, siapakah yang sanggup memukul kamu. Aku melakukan begini 
adalah sebab aku ingin menyentuh badan kamu yang dimuliakan oleh Allah 
S.W.T. dengan badan ku. Dan Allah S.W.T. menjaga aku dari neraka dengan 
kehormatanmu” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengarlah kamu 
sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.” 
Kemudian
 semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap 
peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, 
“Wahai ‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau 
telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah di dalam
 syurga.” 
Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Ketika ajal Rasulullah 
s.a.w. sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah r.a. 
Kemudian baginda s.a.w. memandang kami sambil berlinangan air mata dan 
bersabda: “Marhaban bikum, semoga Allah S.W.T. memanjangkan umur kamu 
semua, semoga Allah S.W.T. menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk 
kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah 
S.W.T. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. 
Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah S.W.T.” 
Allah 
S.W.T. berfirman: “Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan 
untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat 
kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang 
bertakwa.” 
Kemudian kami bertanya: “Bilakah ajal kamu ya 
Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan 
pindah ke hadhrat Allah S.W.T., ke Sidratul Muntaha dan ke Jannatul 
Makwa serta ke Arasy.” 
Kami bertanya lagi: “Siapakah yang akan 
memandikan kamu ya Rasulullah? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kalau telah 
sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abbas 
hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong 
keduanya. Setelah itu kamu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri 
apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain Yaman 
yang putih.” 
Kami bertanya: “Siapakah yang akan mensolatkan 
baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah s.a.w. pun turut 
menangis. Kemudian baginda s.a.w. bersabda: “Tenanglah, semoga Allah 
S.W.T. mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan 
mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku 
ini, di tepi liang kuburku. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar 
meninggalkan aku. 
Maka
 yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril. Kemudian 
Mikail, kemudian Israfil kemudian Izrail berserta bala tenteranya. 
Kemudian masuklah kamu dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula 
solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang 
wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.” 
Setelah itu para 
sahabat r.a. menangis dengan nada yang keras dan berkata, “Ya Rasulullah
 kamu adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang
 mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai 
penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila kamu sudah tiada nanti 
kepada siapakah akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?” 
Kemudian
 Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan 
kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku 
tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai 
bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah 
Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan 
yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada 
Al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka 
lembutkan dia dengan mengambil pelajaran dari mati.” 
Setelah 
Rasulullah s.a.w. berkata demikian, maka sakit Rasulullah s.a.w. pun 
bermula. Dalam bulan Safar Rasulullah s.a.w. sakit selama 18 hari dan 
sering diziarahi oleh para sahabat r.a. Dalam sebuah kitab diterangkan 
bahawa Rasulullah s.a.w. diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari 
Isnin. Pada hari Isnin penyakit Rasulullah s.a.w. bertambah berat, 
setelah Bilal r.a. menyelesaikan azan subuh, maka Bilal r.a. pun pergi 
ke rumah Rasulullah s.a.w. kemudian memberi salam: “Assalamualaikum ya 
Rasulullah?” 
Kemudian
 ia berkata lagi “Assolah yarhamukallah.” Lalu dijawab oleh Fatimah 
r.a., “Rasulullah masih sibuk dengan urusan beliau.” Setelah Bilal r.a. 
mendengar penjelasan dari Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun kembali ke 
masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a. itu. Apabila waktu subuh 
hampir hendak lupus, lalu Bilal r.a. pergi sekali lagi ke rumah 
Rasulullah s.a.w. dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini 
salam Bilal r.a. telah di dengar oleh Rasulullah s.a.w.
Rasulullah
 s.a.w. berkata, “Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku ini 
semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat subuh 
berjemaah dengan mereka yang hadir.” Setelah mendengar kata-kata 
Rasulullah s.a.w. maka Bilal r.a. pun berjalan menuju ke masjid sambil 
meletakkan tangan di atas kepala dengan berkata: “Aduh musibah. Aduhai, 
alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?” 
Setelah Bilal
 r.a. sampai di masjid maka Bilal r.a. pun memberitahu Abu Bakar r.a. 
tentang apa yang telah Rasulullah s.a.w. pesankan kepadanya. Ketika Abu 
Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah s.a.w. yang kosong, sebagai 
seorang lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya 
lagi, lalu ia menjerit dan akhirnya ia pengsan. 
Melihatkan
 peristiwa ini maka riuh rendah tangisan sahabat r.a. dalam masjid, 
sehingga Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Fatimah r.a.; “Wahai Fatimah 
apakah yang telah berlaku?.” Siti Fatimah r.a. menjawab: “Orang-orang 
menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah tidak ada bersama mereka.” 
Kemudian Rasulullah s.a.w. memanggil Ali r.a. dan Fadhl bin Abas r.a., 
lalu Rasulullah s.a.w. bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke 
masjid. Setelah Rasulullah s.a.w. sampai di masjid maka Rasulullah 
s.a.w. pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah. 
Pagi itu, 
walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan 
mengepakkan sayap. Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah s.a.w. 
melihat kepada orang ramai dan berkhutbah: “Wahai kaum muslimin, kamu 
semua senantiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah S.W.T., oleh 
itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan mengerjakan 
segala perintahnya. 
Sesungguhnya
 aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah 
hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia.” Dengan 
suara terbatas Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ku wariskan dua perkara pada
 kalian, Al Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti
 mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga
 bersama-sama aku.” 
Pesanan
 ringkas itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah s.a.w. yang 
tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar r.a. 
menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar r.a. dadanya naik turun 
menahan nafas dan tangisnya. Usman r.a. menghela nafas panjang dan Ali 
r.a. menundukkan kepalanya dalam-dalam. 
Isyarat
 itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah s.a.w. akan 
meninggalkan kita semua.” Keluh hati semua sahabat r.a. kala itu. 
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. 
Tanda-tanda itu semakin kuat. Tatkala Ali r.a. dan Fadhal r.a. dengan 
cergas menangkap Rasulullah s.a.w. yang berkeadaan lemah dan goyah 
ketika turun dari mimbar, kalau mampu, seluruh sahabat r.a. yang hadir 
pasti akan menahan detik-detik dari terus berlalu. 
Setelah itu 
Rasulullah s.a.w. pun pulang ke rumah baginda. Matahari kian tinggi, 
tapi pintu rumah Rasulullah s.a.w. masih tertutup. Sedang di dalamnya, 
Rasulullah s.a.w. sedang terbaring lemah dengan keningnya yang 
berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. 
Kemudian
 Allah S.W.T. mewahyukan kepada malaikat lzrail, “Wahai lzrail, pergilah
 kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak 
mencabut ruhnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling 
lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah 
terlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masuklah kamu ke 
rumahnya dan kalau ia tidak mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu 
kembali padaKu.” 
Setelah malaikat lzrail mendapat perintah dari 
Allah S.W.T. maka malaikal lzrail pun turun dengan menyerupai seorang 
Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di depan rumah Rasulullah 
s.a.w. maka ia pun memberi salam, “Assalamualaikum wahai ahli rumah 
kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah r.a. tidak mengizinkannya 
masuk, “Wahai Abdullah (Hamba Allah), maaflah, ayahku sedang sakit,” 
kata Fatimah r.a. yang membalikkan badan dan menutup pintu. 
Kemudian
 Fatimah r.a. kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata.
 Kemudian malaikat lzrail berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali 
ini seruan malaikat itu telah didengari oleh Rasulullah s.a.w. Baginda 
s.a.w. bertanya pada Fatimah r.a., “Siapakah itu wahai anakku?” 
Fatimah
 r.a. menjawab: “Seorang lelaki memanggil ayahanda, saya katakan 
kepadanya yang ayahanda dalam keadaan sakit. Ia memanggil dengan suara 
yang menggetarkan sukma.” Rasulullah s.a.w. lantas berkata; “Wahai 
Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?.” Jawab Fatimah r.a., “Tidak 
ayahanda.” 
“Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan 
memutuskan segala macam nafsu syahwat, yang memisahkan 
perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta 
meramaikan kubur.” Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi. 
Setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan 
bermula, dia menangis sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah s.a.w. 
mendengar tangisan Fatimah r.a. maka Baginda SAWpun berkata: “Janganlah 
kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam 
keluargaku akan bertemu dengan daku.” 
Kemudian Rasulullah s.a.w.
 pun mengizinkan malaikat lzrail masuk. Maka malaikat lzrail pun masuk 
dengan mengucap, “Assalamuaalaikum ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. 
menjawab: “Wa alaikas saalamu, wahai lzrail engkau datang menziarahi aku
 atau untuk mencabut ruhku?” Maka berkata malaikat lzrail: “Kedatangan 
aku adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut ruhmu, itupun kalau 
dikau izinkan, kalau dikau tidak izinkan maka aku akan kembali.” 
Rasulullah
 s.a.w. bertanya: “Wahai Malaikulmaut, di mana engkau tinggalkan 
kecintaanku Jibril? “Aku tinggalkan ia di langit dunia?” Jawab malaikat 
Izrail. Baru sahaja malaikat Izrail selesai bicara, tiba-tiba malaikat 
Jibril datang dan duduk di samping Rasulullah s.a.w. Maka bersabdalah 
Rasulullah s.a.w.: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa 
ajalku telah dekat?” Jibril menjawab: “Ya, wahai kekasih Allah.” 
Rasulullah
 s.a.w. bertanya lagi: “Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang 
menggembirakan aku di sisi Allah S.W.T.” Berkata malaikat Jibril, 
“Sesungguhnya semua pintu langit telah di buka, para malaikat bersusun 
rapi menanti ruhmu di langit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, 
dan kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu.” Berkata 
Rasulullah s.a.w.: “Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang 
umatku di hari kiamat nanti.” 
Berkata Jibril: “Allah S.W.T. 
telah berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya Aku telah melarang semua 
para nabi masuk ke dalam syurga sebelum dikau masuk terlebih dahulu, dan
 Aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki 
syurga.” Berkata Rasulullah s.a.w.: “Sekarang aku telah puas hati dan 
telah hilang rasa susahku.” 
Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: 
“Wahai lzrail, mendekatlah kamu kepadaku.” Setelah itu malaikat lzrail 
pun memulai tugasnya. Perlahan ruh Rasulullah s.a.w. ditarik. Nampak 
seluruh tubuh Rasulullah s.a.w. bersimbah peluh, urat-urat lehernya 
menegang. Apabila ruh baginda s.a.w. sampai ke pusat, dengan perlahan 
Rasulullah s.a.w. menyebut “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” 
Saiyidatina Fatimah r.a. terpejam, Saiyidina Ali
 r.a. yang di sampingnya menunduk semakin mendalam dan Jibril 
mengalihkan pandangannya dari Rasulullah s.a.w. Melihatkan telatah 
Jibril itu maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Wahai Jibril, apakah 
kamu tidak suka melihat wajahku?” Jibril berkata: “Wahai kekasih Allah, 
siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul 
maut?” 
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah s.a.w. merintih 
kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat sungguh 
maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, janganlah pada 
umatku.” Badan Rasulullah s.a.w. mulai dingin, kaki dan dadanya sudah 
tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan 
sesuatu, Saiyidina Ali
 r.a. segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa 
malakat aimanukum, peliharalah sholat dan peliharalah orang-orang lemah 
di antaramu.” 
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat r.a. saling berpelukan. Saiyidatina Fatimah r.a. menutupkan tangan di wajahnya, dan Saiyidina Ali
 r.a. kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah s.a.w. yang 
mulai kebiruan. Ali r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah ketika 
menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau 
sebanyak dua kali, dan aku meletakkan telinga, aku dengan Rasulullah 
berkata: “Umatku, umatku.” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan 
jasad Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. wafat pada hari Isnin 13 
Rabiul Awal. 
Berkata Anas r.a.: “Ketika aku lalu di depan pintu 
Aishah, ku dengar dia sedang menangis sambil mengatakan: “Wahai orang 
yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang yang keluar dari dunia 
dari perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah
 memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di 
waktu malam kerana takut Neraka Sa’iir” 
Telah bersabda 
Rasulullah s.a.w. bahawa: “Malaikat Jibril telah berkata kepadaku; 
“Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menciptakan sebuah laut
 di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu 
membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari 
laut tersebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan 
tersebut akan menjadi batu.”