KENYATAAN DATUK DR HASAN ALI BERHUBUNG NASIB RAKYAT SELANGOR DI BAWAH PIMPINAN PEMBANGKANG
Sejak 
Pakatan Rakyat mentadbir beberapa negeri termasuk Selangor banyak pihak 
telah membuat berbagai penilaian yang akhirnya menjurus kepada kedudukan
 Melayu Islam di Pulau Pinang dan Selangor khususnya sedang terancam.
Ancaman 
yang paling ketara ialah tentang kedudukan Melayu Islam itu sendiri 
sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan yang secara terang dan 
jelas tidak merupakan agenda utama Pakatan Rakyat. Malah manifesto 
Pakatan Rakyat setebal 35 mukasurat tidak mengandungi satu patah 
perkataan pun yang merujuk kepada Melayu. Pimpinan Pakatan menjelaskan 
lagi hasrat kerajaan Pakatan untuk mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru 
(DEB) dan hak Melayu Islam dalam berbagai bidang seperti yang diketahui 
hampir kesemuanya mereka ketinggalan.
Mantan 
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed adalah di antara pemimpin negara
 yang terakhir menyentuh perkara ini. Beliau secara berterus terang 
memberi amaran bahawa Melayu Islam semakin terhakis dan akan pupus di 
negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor.
Tan Sri 
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sudah tentu mempunyai hujah 
tersendiri untuk menafikan gambaran kepupusan Melayu Islam di negeri 
itu. Tetapi setelah berpengalaman 4 tahun penuh sebagai Exco Kerajaan 
Negeri Selangor saya mempunyai hujah tersendiri pula untuk mengiakan 
kenyataan-kenyataan yang dibuat selama ini termasuk yang terakhir 
daripada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.
Beberapa 
Badan Berkanun seperti PKNS yang ditubuhkan untuk membantu kaum 
Bumiputera meningkatkan taraf kehidupan di kawasan-kawasan bandar 
termasuk dalam hal perumahan telah diberi fokus baru oleh kerajaan 
Pakatan Rakyat di negeri itu. 
Kini atas 
nama meningkatkan nilai hartanah milik Melayu, PKNS di arah untuk 
beroperasi sebagai pemaju berwibawa yang boleh bersaing dengan 
pemaju-pemaju ternama untuk merebut peluang mendapat keuntungan dalam 
projek-projek hartanah di kawasan-kawasan Melayu. 
Projek 
Datum Jelatek umpamanya  dengan nilai RM135-RM160 sekaki persegi sudah 
tentu tidak dapat membuka ruang bagi orang Melayu untuk menyertai projek
 sedemikian. Digambarkan dua blok Datum Jelatek telah dijual kepada 
rakyat Singapura dan yang selebihnya ditawarkan kepada rakyat China. 
Bukan sahaja cara ini memencilkan Melayu dalam dunia pembangunan 
sebaliknya dari segi demografi akan menjadikan Melayu terus hidup 
dipinggiran dan meneruskan budaya pinggiran mereka.
Banyak 
tanah-tanah yang memang telah diberi milik kepada agensi-agensi negeri 
seperti Yayasan Selangor dijangka akan berpindah tangan ke bangsa lain 
untuk bebagai tujuan. Sedangkan seperti yang diketahui Yayasan Selangor 
ditubuhkan adalah untuk membantu pelajar-pelajar luar bandar mendapat 
peluang belajar di sekolah-sekolah ternama dibandar-bandar besar di 
sekitar Lembah Kelang. 
Seperkara 
lagi daripada pengamatan saya, banyak syarikat-syarikat milik Melayu 
Islam termasuk individu-individu peniaga mendapati sukar untuk terus 
memajukan usaha perniagaan masing-masing di Selangor. Kebanyakan mereka 
dilabel dan dituduh sebagai kroni-kroni Umno dan berikutan dengan itu 
ruang dan peluang yang ada seolah-olah ditutup rapat akibat gejala 
politik dendam dijadikan asas pertimbangan. 
Sedangkan 
pada masa yang sama usahawan-usahawan bukan Melayu Islam termasuk 
daripada negeri China dialu-alukan dan diberikan ruang serta peluang 
seluas-luasnya untuk mengembangkan perniagaan mereka di Selangor. 
Padahal seperti yang diketahui usahawan-usahawan yang dinafikan ruang 
penyertaan mereka telah banyak memberi sumbangan kepada kemajuan negeri 
Selangor termasuk memberi tapak dan ruang kepada ahli-ahli profesional 
dan pekerja-pekerja Melayu Islam untuk menceburkan diri di sektor-sektor
 moden dalam dunia perniagaan.
Di bidang 
agama pula sebagai mantan Exco yang diberi tanggungjawab melaksanakan 
Islam di negeri itu, saya tidak mendapat galakan dan sokongan yang 
sewajarnya daripada Kerajaan Negeri. Tindakan yang saya dan JAIS ambil 
untuk mengurangkan penggunaan arak, judi, rumah urut dan hotel-hotel 
bajet yang dikatakan menjadi sarang maksiat telah ditentang oleh DAP, 
PKR dan PAS sendiri. 
Ini 
termasuk peristiwa DUMC dalamana lebih 50 orang Melayu Islam diundang 
berbuka puasa dalam persekitaran gereja. Aturcara dari awal hingga akhir
 dikatakan berunsur ajaran Kristian. Penglibatan saya dan JAIS dalam 
peristiwa ini juga mendapat tentangan daripada pentadbiran negeri 
termasuk PAS yang sepatutnya tampil dihadapan mempertahankan akidah umat
 Islam.
Seperkara 
lagi saya mendapati ruang dan peluang untuk mengamalkan Islam 
diperingkat diri dan keluarga memang ada. Masjid-masjid dan surau-surau 
berjaya diimarahkan sewaktu saya menjadi Exco. Menteri Besar sendiri 
telah menyentuh perkara ini. Tetapi yang juga penting ialah persoalan 
mencegah kemungkaran bukan sahaja menggalakkan yang maaruf sahaja. 
Seperti yang diketahui asas dakwah ialah menghidupkan yang maaruf dan 
mencegah yang mungkar. 
Sewaktu 
menjadi Exco, cadangan saya untuk melaksanakan sebahagaian peruntukan 
Enakmen Jenayah Syariah seperti mencegah aktiviti khalwat tidak 
dialu-alukan langsung oleh kepimpinan negeri. Mereka menjadikan 
kebebasan individu dan hak asasi manusia sebagai alasan. Bahkan mereka 
menyatakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak seharusnya terlibat 
dalam hal-hal yang diistilahkan sebagai “social-policing”. Gejala 
maksiat yang berleluasa bertambah menyemarak sekiranya komponen nahi 
mungkar ini tidak dapat dikendalikan dengan sempurna. Inilah yang 
berlaku di negeri Selangor. 
Saya boleh
 memberikan peristiwa demi peristiwa dan contoh demi contoh. Tetapi ini 
bukanlah hasrat saya. Apa yang ingin saya gambarkan ialah memang 
terdapat secara jelas atau secara berselindung tindakan memencil, 
meminggir, menafikan hak-hak Melayu Islam dan mepupuskan mereka dalam 
rangka jangka panjangnya. Rakyat Selangor mungkin tidak sedar tetapi 
bagi mereka yang terlibat secara langsung ataupun pernah berurusan 
dengan agensi-agensi tertentu maka mereka akan mendapati ulasan-ulasan 
yang pernah dibuat mengenai Melayu Islam di Selangor bukan dongengan, 
bukan khayalan dan sama sekali bukan fitnah. 
Seperti 
juga pimpinan-pimpinan yang lain termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr 
Mahathir, saya mempunyai alasan tersendiri untuk menyatakan bahawa 
Melayu Islam berada dalam situasi yang kritikal di negeri Selangor. 
Untuk mengharapkan kerajaan Pakatan Rakyat mengubah keadaan ini boleh 
dikatakan jauh panggang dari api. 
Hanya 
kuasa rakyat yang boleh merubah keadaan dan hanya dengan kuasa rakyat 
juga yang dapat mengembalikan kedudukan asal Melayu Islam disamping 
menentukan mereka terus diberi ruang dan peluang untuk bersaing 
mendapatkan tempat yang wajar dibumi tempat tumpah darah mereka.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan