Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954
  
Sengketa di perbatasan negeri berlaku di merata dunia sepanjang masa. Bukan sedikit tentera dan orang awam terkorban sebelum Bukit Golan jatuh ke tangan Israel, India dan Pakistan berbalah hingga ke saat ini bagi mengesahkan hak ke atas Kashmir.
 Demikian juga halnya dengan isu Patani, Mindanao, Aceh, Timor Timur, 
Pulau Batu Putih, Pulau Layang-layang dan Spratly yang turut dituntut oleh Malaysia. Bukit Golan yang subur, Kashmir yang indah kepada pelancong, Spratly yang strategik bagi ketenteraan dan dikatakan sarat dengan petroleum di perut buminya, tapak Masjid Babri kerana sentimen agama terdahulu – semua ini menjadi alasan bagi sengketa, perbalahan dan perebutan.
  
Siri ini akan memberi tumpuan ke atas konflik sempadan yang berlaku di beberapa
 wilayah di rantau Asia Tenggara, bermula dengan konflik di Patani. 
Kajian dan perbahasan dalam siri ini diharap akan menumbuhkan sosok baru dalam kajian sejarah Malaysia dan serantau.
  
Nik Anuar Nik Mahmud. 1999. Sejarah Perjuangan Melayu Patani,
  
Buku ini diabadikan kepada
  
pejuang-pejuang Melayu Patani,
  
khususnya almarhum Tengku Mahmood Mahyideen
  
dan Tuan Guru Haji Sulung
  
yang telah berusaha dengan gigih untuk
  
mempertahankan agama bangsa dan
  
tanah air ini.
  
Semenjak Pemerintahan Beraja Melayu dihapuskan pada tahun 1902, orang Melayu Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang 'misgoverned'. Justeru, tidaklah hairan apabila kekacauan seringkali berlaku di wilayah selatan antara tahun 1910 hingga 1923. Dalam masa pemerintahan Pibul Songgram (1939-44), orang Melayu telah menjadi mangsa dasar asimilasi kebudayaan atau dasar Rathaniyom.
  
Tindakan Pibul Songgram memihak kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membetulkan ketidakadilan yang dikenakan ke atas mereka oleh Perjanjian Bangkok (1909). Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pegawai berpangkat Major dalam pasukan Force 136, pernah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungan dengan Tanah Melayu. Harapan mereka bertambah cerah apabila kuasa-kuasa besar dalam persidangan di San   Francisco pada bulan April 1945 telah berjanji akan membantu untuk membebaskan mana-mana negeri yang terjajah berasaskan prinsip hak menentukan nasib sendiri (self-determination)
  
Pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada ‘penjajahan’ Siam. Pendirian British terhadap Siam bagaimanapun berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani. Kerajaan British juga memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.
  
Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara selepas perang juga menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis Cina. Justeru, Kerajaan British mahu pastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan negara-negara Komunis. Kebangkitan Komunis di Semenanjung Tanah Melayu pada bulan Jun 1948 memerlukan British mempertingkatkan lagi kerjasama dengan Siam bagi menghapuskan kegiatan pengganas-pengganas Komunis di perbatasan Siam-Tanah Melayu. Oleh kerana itu Isu Patani dianggap sebagai penghalang ke arah kerjasama sempadan yang berkesan untuk British dengan Siam. 
  
Selepas persidangan Songkhla pada awal bulan Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu mula mengambil tindakan ke atas kegiatan GEMPAR di Semananjung Tanah Melayu. Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pemimpin utama Melayu Patani, telah ditekan oleh pihak berkuasa British di Tanah Melayu manakala Tuan Guru Haji Sulung telah ditangkap oleh pihak berkuasa Siam atas tuduhan subversif. GEMPAR, sebuah pertubuhan politik masyarakat Melayu Patani di Semenanjung juga telah disekar aktivitinya. Akibat daripada tekanan tersebut, gerakan Melayu Patani mula lemah dan goyah. Sungguhpun begitu, perjuangan Tengku Mahmood Mahyideen dan Tuan Guru Haji Sulung telah diteruskan generasi muda Patani. Dalam tahun 1960-an, beberapa pertubuhan pembebasan telah ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan Patani melalui perjuangan bersenjata. Perjuangan itu bagaimana pun masih belum menempa sebarang kejayaan.
  
Tumpuan buku ini ialah tentang perjuangan orang Melayu Patani dalam usaha membebaskan Patani daripada cengkaman pemerintahan Siam dan mencantumkannya dengan Tanah Melayu. Kajian ini meninjau reaksi Britain dan Siam terhadap gerakan tersebut.
  
Dalam menyiapkan buku ini penulis banyak mendapat pertolongan daripada pelbagai pihak. Saya ingin menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada mendiang Dr. David K.Bassett, bekas Pengarah, Pusat Kajian Asia Tenggara di University of Hull, England, kerana bimbingan dan teguran yang sangat berharga semasa penulisan draf buku ini. Tidak ketinggalan juga penghargaan untuk rakan-rakan di Jabatan Sejarah, UKM yang turut memberi tunjuk ajar. Saya juga terhutang budi kepada Public Record Office, Kew serta Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM atas kerjasama yang diberi kepada penulis semasa menjalankan penyelidikan. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Penerbit UKM atas penerbitan buku ini.
Kerajaan Melayu Patani
Sejarah
 awal Kerajaan Melayu Patani masih lagi diselimuti kekaburan. Dalam 
catatan sejarah tidak dapat dipastikan asal-usul atau tarikh sebenar 
kerajaan Melayu Patani didirikan. Mengikut catatan pelawat-pelawat China
 yang membuat perhubungan dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad 
kedua Masehi sebuah negeri bernama "Lang-ya-shiu" atau Langkasuka (Paul 
Wheatley 1961, 387-412) sudahpun wujud ketika itu. 
Berpandukan
 catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri 
Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara
 Senggora (Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. 
Adalah dipercayai bahawa ibu negerinya pada masa itu terletak di sekitar
 daerah Yarang. Patani adalah sebuah kerajaan yang termaju di 
Semenanjung Tanah Melayu dan sebuah pelabuhan yang penting sejak kurun 
ke-8 Masehi kerana Teluk Langkasuka (Teluk Patani sekarang) sangat 
sesuai dijadikan tempat kapal-kapal dagang berlabuh dan berlindung 
daripada ribut tengkujuh. 
Paul
 Wheatly menjelaskan bahawa kerajaan Langkasuka menguasai jalan 
perdagangan timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi 
kawasan Semenanjung sehingga ke Teluk Benggala. Kerajaan Melayu 
Langkasuka wujud sehingga menjelang abad ketiga belas dan diganti oleh 
Kerajaan Melayu Patani.
Persoalan
 bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum dapat 
dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan 
sejarah yang jelas mengenainya. A.Teeuw dan Wyatt berpendapat bahawa 
Patani telah ditubuhkan sekitar pertengahan abad ke-14 dan ke-15. 
Pendapat mereka berasaskan kepada tulisan Tomes Pires dan lawatan 
Laksamana Cheng Ho ke rantau ini dalam tahun 1404-1433 T.M. (Teeuw &
 Wyatt 1970,3). Mengikut Hikayat Patani pula, Kerajaan Melayu 
Patani berasal dari kerajaan Melayu yang berpusat di Kota Mahligai yang 
diperintah oleh Phya Tu Kerab Mahayana (Teeuw & Wyatt 1970,68). 
Oleh
 kerana kedudukan Kota Mahligai itu terlalu jauh ke pedalaman dan sukar 
untuk didatangi oleh pedagang-pedagang telah menyebabkan Phya Tu Antara,
 anak Phya Tu Kerab Mahayana, memindahkan pusat kerajaannya ke sebuah 
perkampungan nelayan yang kemudiannya diberi nama "Patani", dipercayai 
berpusat di Kampong Grisek dalam wilayah Patani sekarang ini.
Kedudukan Patani di Semenanjung Siam yang strategik dari segi geografi, telah menyebabkan kota
 itu menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing baik dari barat atau timur 
untuk singgah sama ada untuk beristirahat ataupun berdagang. Dalam masa 
yang singkat saja Patani telah muncul sebagai sebuah kerajaan yang 
penting, maju dari segi ekonomi serta stabil dari segi politik dan 
pemerintahan. Dasar perhubungan antarabangsanya yang baik telah 
menyelamatkan Patani daripada jatuh kepada penjajah-penjajah Siam, Portugis dan Belanda.
Agama
 Islam juga telah membawa angin perubahan yang bermakna kepada Patani. 
D’ Eredia, seorang pelawat Portugis, telah menulis dalam tahun 1613 
bahawa Islam telah bertapak di Patani lebih awal daripada Melaka (Mills 
1930). Dalam hal ini, Teeuw dan Wyatt berkeyakinan bahawa Islam telah 
bertapak di Kuala Berang, Terengganu, iaitu pada sekitar 1386 - 87 T.M. 
(Teeuw & Wyatt 1970, 4). Phya Tu Antara, yang memeluk Islam melalui 
seorang ulama dari Pasai, Syeikh Said, telah menukar namanya kepada nama
 Islam iaitu Sultan Ismail Syah Zillullah Dil Alam (Teeuw & Wyatt 
1970, 68-69). Semenjak itu, Patani telah menjadi tumpuan 
saudagar-saudagar Islam dan menjadikannya sebagai pusat perdagangan 
Timur-Barat yang terkenal di rantau ini. Patani bertambah maju apabila 
Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.
Patani Diserang oleh Kerajaan Chakri
Selepas Phya Taksin berjaya mengalahkan Burma di Ayuthia dalam tahun 1776, Siam telah menumpukan pula perhatiannya ke atas negeri-negeri di selatan semenanjung yang telah mengisytiharkan diri semasa perang Burma-Siam dahulu.
 Negeri-negeri di Selatan Semenanjung  iaitu Ligor, Songkhla dan 
Pattalung telah diserang oleh Siam. Keadaan ini menyebabkan raja negeri-negeri tersebut terpaksa mencari perlindungan di Patani. Oleh kerana pemerintahnya, terpaksa tunduk kepada desakan Siam supaya raja-raja tersebut diserah kepadanya. Pada tahun 1779, Sultan Muhammad pula telah dipaksa memberi bantuan kepada Siam untuk menentang Burma. Apabila Sultan Muhammad enggan membuat demikian, Phraya Chakri telah memerintah adiknya, Putera Surasi, dengan dibantu oleh Phraya Senaphutan, Gabenor Pattalung, Palatcana dan Songkhla supaya menyerang Patani pada tahun 1785 (Gresick 1976, 127; Thadeus & Chadin Flood 1978, 15 dan Wenks 1968,101). Walaupun kerajaan Melayu Patani cuba mempertahankan diri tetapi Siam telah berjaya menguasai Patani pada tahun berikutnya. 
Sultan Muhammad pula telah syahid dalam pertempuran dengan pihak Siam (Light 1786)1. Akibat kekalahan itu, seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan
 tawanan dan dibawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan. Berikutan 
kejatuhan Patani itu, Tengku Lamidin, Raja Bendang Badan,telah dilantik 
oleh Siam sebagai Raja Patani yang baru. Tengku Lamidin bagaimanapun tidak lama berkuasa. Dalam tahun 1791, Tengku Lamidin telah bersatu dengan Raja Annam yang beragama Islam, Okphaya Cho So, dan memberontak serta menyerang kedudukan tentera Siam di Tiba, Chanak, Songkhla dan Saiburi.Dalam kebangkitan itu, Tengku Lamidin telah dibantu oleh Sheikh Abdul Kamal, seorang ulama berasal dari Mekah, tetapi gagal (Teeuw & Wyatt 1970, 23).Kemudian pihak Siam, atas cadangan Ligor, telah melantik Datuk Pengkalan sebagai Raja Patani. Pada tahun 1808 Datuk Pengkalan juga bangkit menentang Siam. Walau bagaimanapun, pemberontakan itu juga telah dapat dipatahkan oleh Siam setelah mendapat bantuan kerajaan pusat di Bangkok Kerajaan Melayu Patani telah dipecahkan kepada tujuh buah negeri atau hua muang untuk melemahkan orang Melayu Patani. 
Di tiap-tiap buah negeri itu, telah dilantik seorang raja atau chao muang di bawah pengawasan Songkhla. Dengan perubahan ini, maka berakhirlah keagungan Kerajaan Melayu Patani. Kini Kerajaan Melayu Patani hanyalah salah sebuah dari negeri yang baru dibentuk. Tujuh buah negeri tersebut dan raja-raja pemerintahnya adalah seperti berikut (Bonney, R 1971, 79).:
Patani Tuan Sulung
Teluban Nik Dir
Nongchik Tuan Nik
Jalor Tuan Yalor
Jambu Nai Pai
Rangae Nik Dah
Reman Tuan Mansur
Dengan memecahkan kerajaan Melayu Patani, kerajaan Siam percaya mereka
 dapat melemahkan orang Melayu Patani daripada bangkit menentang. 
Sejajar dengan itu arahan raja telah dikeluarkan kepada raja-raja negeri Melayu bahawa hukuman mati ataupun penjara akan dikenakan terhadap mana-mana raja, termasuk keluarga mereka, sekiranya mereka memberontak atau
 menderhaka. Untuk mengukuhkan lagi penguasaannya ke atas negeri-negeri 
Melayu, kerajaan Siam telah melantik Raja Jambu, Nai Rai, seorang berketurunan Siam, sebagai wakil kerajaan pusat bagi mengawasi raja-raja di negeri lain. Sementara itu, kerajaan Siam juga memindahkan orang-orang Siam ke negeri-negeri tersebut dengan tujuan mengimbangkan penduduk yang berketurunan Melayu. 
Pada tahun 1821, Siam menyerang pula Kedah dan memaksa Sultan Abdullah melarikan diri ke Pulang Pinang (Rahmat Saripan 1979, 83). Kekuasaan Siam ke atas negeri-negeri Melayu tersebut telah diakui oleh British seperti mana terbukti dengan termeterainya Perjanjian Burney dalam tahun 1826. 
Dari tahun 1817 hingga tahun 1842, Patani telah diperintah oleh sekurang-kurangnya dua orang Raja Melayu. Orang yang pertama memegang jawatan itu ialah Tuan Sulong, anak Raja Bendahara Kelantan, Long Jenal. Baginda telah memegang jawatan itu sehingga tahun 1832 apabila baginda disingkirkan kerana terlibat dalam kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1831. Berikutan penyingkiran itu, pihak Siam melantik pula Nik Yusof, yang berasal dari Grisek, sebagai Raja Patani. Semasa berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Nik Yusof tidak terlibat. Dalam tahun 1842, Nik Yusof dilantik menjadi Raja Jering berikutan kematian Nai Him Sai. Bagi mengisi kekosongan itu, Siam melantik Tuan Besar Tun Ahmad, Raja kampong Laut dan bekas Perdana Menteri Kelantan sebagai Raja Patani. Sejak itu sehingga 1902, Patani telah diperintah oleh Tuan Besar dan keturunannya.
Kerajaan Melayu Patani di Bawah Keluarga Tuan Besar
Di
 antara ketujuh-tujuh buah negeri Melayu bekas kerajaan Melayu Patani, 
negeri Melayu Patani adalah yang paling berpengaruh. Dari tahun 1842 
sehingga 1902, negeri Patani telah diperintah oleh keturunan Tuan Besar 
Tuan Ahmad, bekas Perdana Menteri Kelantan dan juga Raja Kampung Laut 
semasa Kelantan di bawah pemerintahan Long Jenal (1837-39) (Rahmat 
Saripan 1979, 72-73). Perlantikan Tuan Besar sebagai Raja Patani dalam 
tahun 1842 itu mempunyai kaitan dengan pergolakan politik di Kelantan 
dalam tahun 1838-39 yang dikenali sebagai Peperangan Saudara II. 
  
Peperangan
 saudara itu berpunca daripada perebutan takhta antara Long Senik Mulut 
Merah atau Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar Tun Ahmad, Raja Kampung 
Laut. Walaupun telah diiktiraf sebagai Sultan oleh Siam,
 Sultan Muhammad II masih curiga di atas kehadiran Tuan Besar dalam 
politik Kelantan. Baginda menganggap Tuan Besar sebagai pencabar utama 
terhadap kedudukannya sebagai Sultan kerana hubungan rapat Tuan Besar 
dengan Long Jenal, musuh politiknya. Pada pendapat Sultan Muhammad 
II,selagi Tuan Besar tidak disingkirkan dari Kelantan maka selama itu 
kedudukan baginda di atas takhta belum kukuh. Justeru, tidaklah hairan 
Sultan Muhammad II mengetepikan Tuan Besar daripada memegang sebarang 
jawatan penting dalam kerajaan. Walaupun ada ura-ura untuk melantik Tuan
 Besar sebagai Raja Bendahara namun tidak ada bukti menunjukkan bahawa 
jawatan itu pernah ditawarkan kepada Tuan Besar secara rasmi. 
Sebaliknya, sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Muhammad II, jawatan 
itu dipegang oleh mereka yang bukan daripada kalangan kerabat diRaja 
(Rahmat Saripan 1979, 115). Di samping itu, hak Tuan Besar ke atas 
Kampung Laut juga dikatakan telah dihapuskan oleh Sultan. Keadaan ini 
akhirnya mencetuskan penentangan bersenjata secara terbuka di antara 
Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar. 
  
Kedua-dua
 belah pihak telah meminta pihak berkuasa Siam untuk campur tangan 
supaya menyebelahi mereka. Pada pertengahan tahun 1839, Phraya Phipath 
telah menghantar wakilnya ke Kelantan untuk mendamaikan konflik yang 
berlaku di antara kedua-dua pihak tetapi gagal. Pada 7 Julai 1839, Siam 
sekali lagi telah menghantar misi damai tetapi kali ini kedatangan misi 
itu telah disertai sebilangan anggota tentera Phraya Chaiya. Ketua misi 
itu telah memaksa kedua-dua pihak itu supaya berhenti berperang dan 
pergi ke Songkhla untuk menyelesaikan masalah masing-masing. Berikutan 
tekanan itu kedua-dua pihak berangkat ke Songkhla. Bagaimanapun, Tuan 
Besar telah diminta oleh Gabenor Songkhla pergi ke Bangkok untuk 
berunding dengan Raja Siam, Rama III (1824-51) mengenai masalah 
tersebut. 
  
Dalam
 peristiwa tersebut pihak Siam lebih menyokong Sultan Muhammad II. 
Semasa Pemergian Tuan Besar ke Bangkok, Sultan Muhammad II, dengan 
disokong oleh Phraya Chaiya, telah melancarkan serangan ke atas kubu 
Tuan Besar dan menjelang bulan Ogos 1839, Sultan Muhammad II telah 
berjaya menumpaskan penentang-penentangnya.
  
Di
 Bangkok, Tuan Besar telah ditawarkan oleh Rama III jawatan sebagai Raja
 Patani sebagai satu penyelesaian politik terhadap masalah di Kelantan. 
Tawaran itu dibuat berikutan berlakunya kekosongan jawatan Raja negeri 
di Patani selepas Nik Yusuf, raja Patani, dilantik sebagai Raja Jering. 
Pada peringkat awalnya Tuan Besar agak keberatan untuk menerima tawaran 
itu tetapi setelah melihat kuasanya sebagai Perdana Menteri telah 
berkurangan dan ramai pula pengikutnya yang berpaling tadah, maka 
tawaran itu telah diterimanya. Pada pertengahan tahun 1842, Tuan Besar 
bersama pengikut-pengikutnya yang setia telah berangkat ke Patani. 
Dengan itu terdirilah wangsa Tuan Besar di Patani. Setelah disahkan oleh
 Rama III sebagai Raja Patani, Tuan Besar telah menukar namanya kepada 
Sultan Muhammad dan memakai gelaran Phya Pipik Pakdi. (Ibrahim Syukri) 
Kebetulan dengan perlantikan baginda sebagai Raja Patani, Kerajaan Siam telah mengubah dasar pentadbirannya terhadap negeri-negeri Melayu. Kerajaan Siam telah memberikan kuasa mentadbir tanpa campur tangan daripada pegawai-pegawai Siam. Raja-Raja Melayu hanya dikehendaki menghantar bunga Emas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok serta berikrar tidak akan menderhaka kepada kerajaan Siam. 
  
Perubahan dasar Siam
 terhadap negeri-negeri Melayu dewasa itu mempunyai hubungan rapat 
dengan dasar kerajaan Rama III yang ingin mengekalkan keamanan dan 
keselamatan negeri Siam
 itu sendiri. Sebagaimana ditegaskan oleh Mills, Rama III menyedari 
bahawa ‘...there was no profit to be obtained from governing as a 
Siamese province a distant state whose inhabitants were resolved not to 
submit to alien rule. The experiments had been tried for twenty years, 
and the only result had been a constant series of rebellions’. (Mills 
1960,34).
  Ekoran berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Rama III pernah menerima surat
 daripada Bonham, Gabenor Negeri-Negeri Selat mengingatkan bahawa ‘. . .
 the company had grown weary of bolstering up their (Siamese) power in 
Kedah. Should another revolt occur, the Straits Government had been 
ordered not to assist in its suppression’. (Mills 1960, 192-93). Menurut
 Nantawan Haemindra, seorang sejarawan Thai, perubahan dasar itu adalah 
suatu langkah yang berkesan dalam mengelakkan perasaan tidak puas hati 
dan kekacauan di Wilayah itu. Perlantikan elit tempatan sebagai Gabenor 
di tujuh buah wilayah tersebut telah mempertingkatkan lagi kemantapan 
politik Siam di kesemua negeri ufti
 tersebut (Nantawan Haemindra 1960). Sejak itu hingga ke beberapa dekad 
kemudiannya keamanan telah wujud di negeri-negeri Melayu Patani dan 
Kedah. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan