Kita manusia, apabila namanya manusia maka sifatnya adalah tidak 
sempurna. Tiada yang sempurna melainkan Allah SWT. Namun manusia 
ditegaskan untuk berusaha mencapai yang terbaik, mencapai sesempurna 
mungkin supaya dia boleh mencapai tertinggi dalam apa yang dia boleh 
capai sebagai manusia.
                Apabila tidak sempurna, pasti ada lekukan-lekukan 
dalam hidup ini yang membuatkan manusia tergugah. Ujian, cabaran, 
halangan, yang datang dalam kehidupan insan adalah rencah kepada 
kehidupan itu sendiri. Pahit manis kehidupan, dirasai kerana ketidak 
sempurnaan manusia.
                Namun, tidak semua mampu menghadapi ujian, kekurangan, cabaran yang diberikan Allah kepada mereka.
                Di sinilah, saya hendak berkongsi akan kisah seorang hamba Allah SWT. Dia benar-benar hamba Allah SWT.
Bagi yang telah membaca artikel saya berkenaan Dr ‘Ala Hilat, 
pastinya tahu siapa Dr ‘Ala. Kisah hamba Allah ini, diceritakan oleh Dr 
‘Ala Hilat di dalam salah satu dari kelasnya. Hamba Allah yang hendak 
saya ceritakan ini adalah rakan karib Dr ‘Ala Hilat.
                Dia dan Dr ‘Ala Hilat sama-sama belajar di Universiti
 Muhammad Al-Khamis, di Rabat, Maghribi. Dr ‘Ala berkata bahawa mereka 
amat rapat dan kadangkala Dr ‘Ala akan pulang ke rumah menaiki kereta 
hamba Allah itu. Dari cerita Dr ‘Ala, hamba Allah itu lebih tua 
daripadanya.
                Dr ‘Ala menyatakan betapa hamba Allah itu adalah 
seorang yang amat baik, senang didekati, merendah diri, dan sangat 
disenangi semua.
Dr ‘Ala berkata:
                “Sahabat aku itu, dia adalah seorang yang tinggi,
 bertubuh sasa, berwajah kacak, amat kemas perawakannya, juga tersangat 
kaya, berasal dari keluarga berada”
                Hamba Allah itu juga merupakan seorang yang sangat 
genius. Di Maghribi, hamba Allah itu mempelajari bidang agama dan 
menjadi pakar di dalamnya. Sebelum dia ke Maghribi, dia mengaji dalam 
bidang sains dan amat pakar di dalamnya seterusnya masuk ke dalam bidang
 komputer juga amat pakar di dalamnya.
                “Dia melepasi ujian komputer yang dilakukan pihak
 tentera dengan mudah sekali, sekaligus dipilih menjadi salah seorang 
yang menguruskan hal-hal perkomputeran dalam tentera” Tentera negeri mana, Dr ‘Ala tidak menyebut.
                Namun lelaki itu akhirnya menolak tawaran itu dan 
memilih untuk mendalami agama di Maghribi. Kemudian lelaki itu 
berkahwin.
                “Dia berkahwin dengan seorang wanita yang amat 
lawa, rebutan ramai, dan memang padan dengan segala nikmat Allah yang 
ada padanya” Menyatakan betapa isteri hamba Allah itu juga setaraf dengan statusnya.
                Dari cerita Dr ‘Ala, lelaki itu mempunyai semua 
perkara yang diidamkan semua lelaki di atas muka bumi ini(menyatakan 
betapa hebat dan sempurnyanya lelaki itu).
 “Namun, tiada yang sempurna melainkan Allah SWT.” Itu kata-kata Dr ‘Ala.
                Hamba Allah SWT itu diuji.
                Dia mendapat tiga orang anak hasil perkahwinannya 
dengan perempuan yang ibarat bidadari itu. Namun, masalahnya, 
ketiga-tiga anaknya mengalami penyakit otak lambat berkembang.
                Sampai umur 10 tahun, anak-anaknya sukar menghafal 
nombor 1-10, dan tidak boleh menghafal A-Z dengan baik. Apabila dihantar
 kepada doktor, doktor menyatakan yang anak-anaknya mengalami penyakit 
otak lambat berkembang. Umur 10 tahun tapi otak 3 tahun, umur 20 tahun 
nanti baru anak-anaknya akan mampu berfikir seperti orang berumur 10 
tahun.
                Di situ, lubang kecacatan dalam kehidupan sempurna 
hamba Allah SWT itu. Dia hebat, kacak, tinggi, gagah, genius, kaya, ada 
isteri macam bidadari, tapi anaknya tidak seperti keluarganya.
                Dia mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan.
                Masyarakat ada yang berkata di belakang:
                “Dia tidak akan mampu mewariskan hartanya pada anak yang sedemikian”
                “Anak perempuannya, tidak akan ada sesiapa yang mahu”
                Dan ini pada manusia biasa, merupakan tekanan yang 
teramat besar. Ya lah, siapa lagi akan meneruskan legasi kewujudan kita 
di dunia ini melainkan anak-anak kita? Tapi mendapat anak yang 
sedemikian, pastinya merupakan sesuatu yang amat berat untuk semua. 
Lebih berat lagi dengan ketiadaan harta.
Kawan-kawan rapat hamba Allah SWT ini amat kasihan dengannya. 
Termasuklah Dr ‘Ala yang mengenali betapa dia adalah seorang yang baik, 
ramah, pemurah, dan sering bersama dengan pelajar-pelajar lain walaupun 
status hamba Allah SWT tadi amat tinggi dan dia amat bijak.
                Justeru, satu hari, semasa pulang dengan kereta hamba
 Allah itu, Dr ‘Ala menyatakan betapa dia kasihan dengan hamba Allah 
itu.
                “Wahai sahabatku, andai aku mampu ubah kehidupan 
kau, maka aku akan ubah anak-anak kau. Kalau akumampu rawat penyakit 
anak-anak kau, maka aku akan rawat. Kalau duit boleh menyembuhkan 
anak-anak kau, maka aku akan beri”
                Kemudian hamba Allah itu bertanya kepada Dr ‘Ala.
                “Kau kata itu sebab kau kasihan dengan aku?”
                Dr ‘Ala berkata: “Ya, aku amat kasihan dan sedih dengan apa yang berlaku pada kau. Pastinya kau tertekan dengan kehidupan kau”
                Dr ‘Ala menceritakan kepada kami, bahawa kawannya itu kemudian tersenyum.
                “ ‘Ala, apa yang berlaku pada aku bukan untuk disedihkan, malah untuk disyukuri”
Di sinilah kunci cerita saya berkenaan hamba Allah SWT ini. Yang 
kemudian membuatkan saya amat terkesan dengan cerita yang diceritakan Dr
 ‘Ala kepada kami.
                Lelaki itu berkata kepada Dr ‘Ala bahawa ujian yang dihadapinya patut disyukuri, bukan disedih kasihan kan.
                Hamba Allah itu bercerita: “Setiap pagi, aku akan 
bangun awal dan mengerjakan solat sunat dua rakaat, kemudian usai solat,
 aku akan berdoa kepada Allah SWT: Ya Allah, aku bersyukur Kau 
mengurniakan anak yang sedemikian rupa kepada aku”
                Dr ‘Ala bertanya kepada lelaki itu dalam keadaan terkejut: “Kau buat begitu setiap hari? Bersyukur kepada Allah apa yang terjadi?”
                Hamba Allah itu mengangguk.
                “ ‘Ala, aku mempunyai segala sebab untuk takabbur, 
angkuh dan membesarkan diri daripada Allah SWT. Aku kaya, aku digilai 
ramai, aku amat genius, aku pakar dalam sains dan aku mendalami agama. 
Isteri aku juga merupakan orang seperti aku dan aku berkahwin dengannya.
 Aku mempunyai banyak ruang untuk takabbur wahai ‘Ala”
                “Tetapi Allah mengurniakan aku anak yang sedemikian, 
membuatkan aku beringat betapa Allah SWT itu lebih tinggi dan lebih 
berkuasa atas sesiapa sahaja. Setiap kali aku melihat anak-anak aku, aku
 menyedari betapa aku hanya manusia, hamba kepada Allah SWT Yang 
Perkasa. Anak-anak aku, adalah peringatan kasih sayang Allah kepada aku.
 Aku rasa, Allah menghadirkan mereka dalam kehidupan aku, untuk 
menyelamatkan aku dari takabbur dan memasukkan aku dalam syurga-Nya. 
Masakan aku tidak bersyukur?”
                “Andai kata anak-anak aku itu bukan dari tulang sulbi
 aku, maka aku akan katakan bahawa anak-anak aku itu adalah hadiah yang 
turun dari langit khas daripada Allah untuk aku. Menyelamatkan aku dari 
menjauhi-Nya, dan mendekatkan aku kepada-Nya”
                Dan Dr ‘Ala berkata kepada kami: “Mendengar kata-katanya, aku diam”
Maka di sinilah kita perlu melihat. Contoh yang ditunjukkan hamba 
Allah itu kepada kita. Bagaimana pula kita memandang ujian yang Allah 
beri kepada kita?
                Tambahan, kita tidak hidup sesempurna lelaki tadi. 
Dia yang hebat, dia yang kacak, dia yang kaya, dia yang bertstatus 
tinggi semestinya lebih dipandang orang. Maka kecacatan anaknya 
merupakan satu kemaluan untuknya, merendahkan darjatnya di dalam 
masyarakat. Tetapi lihatlah macam mana dia menysukuri apa yang Allah 
berikan kepadanya.
                Kita bagaimana? Apa yang ada pada kita? Bagaimana kita menghadapi ujian Allah SWT kepada kita?
                Adakah kita yakin bahawa Allah SWT itu tidak 
menzalimi kita langsung? Apakah kita yakin bahawa Allah SWT itu amat 
kasih dan sayang kepada hamba-hambaNya? Maka apabila ujian datang, 
bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT?
                Di sinilah sebenarnya kita perlu duduk muhasabah, dan
 mengenang semula kehidupan yang telah dan sedang kita lalui ini.