Imam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.
Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.
Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.
Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.
Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.
Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma’siat) dengan membaca:
“Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku.”
Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.
Di dalam athar, ada yang menunjukkan bahawa perbuatan dosa, jika diikuti oleh lapan perbuatan baik, maka harapan untuk dimaafkan adalah cerah, iaitu empat amalan hati dan empat amalan anggota badan.
Perbuatan yang merupakan amalan hati ialah:
Pertama: Bertaubat atau azam untuk bertaubat;
Kedua: Suka meninggalkan dosa;
Ketiga: Takutkan seksaan ke atas dirinya; dan
Keempat: Mengharapkan keampunan baginya.
Adapun yang merupakan amalan anggota badan ialah:
Pertama: Solat dua rakaat selepas melakukan dosa.
Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata:
“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan perbuatan dosa, kemudian ia mengelokkan wudu dan solat dua rakaat, kemudian meminta keampunan kepada Allah, melainkan Allah pasti akan mengampuni baginya, kemudian baginda SAW membaca ayat (Apabila mereka melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka mengingat Allah… dan seterusnya)” .
Dalam riwayat Ibnu Murdawaihi dalam Tafsir dan Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman daripada hadis Ibnu Abbas r.a. pula mengatakan empat rakaat.
Kedua: selepas solat hendaklah membaca istighfar tujuh puluh kali, kemudian membaca sebanyak seratus kali:
“Maha Suci Allah Yang Maha Agung dengan segala pujian bagiNya”
Ketiga: bersedekah; dan
Keempat: berpuasa sehari.
Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud r.a. bahawa beliau berkata:
“Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah menggauli seorang perempuan di hujung kota Madinah, dan saya telah melakukan terhadapnya selain menyetubuhinya. Inilah saya, hukumlah ke atas diri saya apa yang Tuan hamba kehendaki.
Umar berkata kepadanya: Allah telah menutupi anda, jika anda menutupi diri anda sendiri.
Ia (Abdullah Bin Mas’ud) berkata: Nabi SAW tidak menjawab sesuatu, maka orang itu pun berdiri dan pergi. Nabi SAW menyuruh seseorang mengikutinya dan memanggilnya, dan membacakan kepadanya ayat ini(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan. Yang demikian sebagai ingatan bagi orang-orang yang mahu beringat).
Maka salah seorang telah bertanya: Wahai Nabi Allah, adakah ini khusus baginya?
Baginda menjawab: “Bahkan bagi semua manusia.”
Tirmizi dan Ahmad meriwayatkan daripada Mu’az Bin Jabal r.a. bahawa beliau berkata:
“Seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, apa kata tuan hamba mengenai seorang lelaki yang telah menemui seorang perempuan yang tidak dikenalinya, kemudian tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya melainkan ia melakukannya terhadapnya, hanya sahaja ia tidak menjimaknya? “
Beliau (Mu’az) berkata: Maka Allah Azza Wa Jalla telah menurunkan ayat yang bermaksud(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan).
Beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Berwudu’lah, kemudian solat. Mu’az berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah ia khusus baginya atau bagi kaum mukminin umumnya?”
Baginda bersabda: Bahkan bagi kaum mukminin umumnya”.
Hadis tersebut menunjukkan bahawa menggauli perempuan, selain zina, termasuk dosa kecil yang terhapus oleh amal kebajikan..
Muslim dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Solat yang lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antara waktu-waktu tersebut, selama dihindari dosa-dosa besar”.
Dalam keadaan bagaimanapun seseorang yang bertaubat mestilah menghisab dirinya setiap hari dan berusaha menghapuskan setiap dosa dengan hasanat.
Mengenai istighfar, bukanlah istighfar yang hanya dengan lisan, yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai taubat al-kadzdzabin (taubatnya para pendusta), yang berhajat kepada istighfar yang banyak, sebagaimana dikatakan oleh Rabi’at al-Adawiyah.
Tetapi yang dimaksud adalah istighfar yang disertai kesungguhan hati memohon keampunan kepada Allah SWT dengan merendahkan diri, dengan niat yang ikhlas dan keinginan yang benar.
Istighfar yang demikianlah yang boleh menghapus dosa kejahatan, dan istighfar itu pula yang dimaksud dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi daripada Abi Bakar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tidaklah dianggap sebagai orang yang berketetapan hati untuk terus mengerjakan (ma’siat) orang yang beristighfar, meskipun ia mengulangi dalam sehari tujuh puluh kali.
Tetapi, menurut pandangan Imam Ghazali, istighfar dengan lisan juga merupakan kebaikan, kerana gerakan lisan dengan istighfar, walaupun dengan kelalaian hati,adalah lebih baik daripada gerakan lisan dengan mengumpat atau bercakap lebih, bahkan baik daripada diam.Ia dianggap kurang jika dibandingkan dengan amalan hati.
Ketika seseorang berkata kepada gurunya, Syaikh Abi Uthman Al-Maghrabi: Lidahku sering berzikir dan membaca Qur’an, sedang hatiku dalam keadaan lalai.
Beliau menjawab: Bersyukurlah anda kepada Allah, kerana Allah menggunakan salah satu anggota anda dalam kebaikan dan membiasakannya berzikir, dan tidak menggunakannya dalam keburukan dan tidak membiasakannya dalam bercakap lebih.
Imam Ghazali menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Sesungguhnya membiasakan anggota-anggota badan dalam kebaikan sehingga menjadi seperti tabiat baginya boleh mencegah sejumlah ma’siat.
Orang yang membiasakan lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang maka lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang, maka lidahnya akan segera mengatakan: AstaghfiruLlah.
Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Alangkah bodohnya anda, alangkah buruknya kedustaan anda.
Orang yang membiasakan isti’adzah, apabila diceritakan tentang kemunculan gejala-gejala buruk daripada seorang yang jahat, lidahnya akan segera mengatakan: Na’udzu biLlah.
Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Semoga Allah melaknatnya.
Antara kedua ucapan tersebut terdapat perbezaan. Yang pertama memperoleh kebaikan sebagai kesan membiasakan lidahnya dalam kebaikan, sedang yang kedua sebaliknya.
Mengenai ucapan Rabi’at al-Adawiyah bahawa istighfar kami berhajat kepada istighfar yang banyak, janganlah disangka bahawa beliau mencela gerakan lisan dari segi bahawa ia adalah dzikruLlah, tetapi beliau mencela kelalaian hati, dan kelalaian hati inilah yang berhajat kepada istighfar yang banyak. Kerana, seandainya lidahnya diam, maka ia berhajat kepada lebih banyak istighfar lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan