Rabu, 7 November 2012

PENYAKIT MENTAL BOLEH ANCAM KEPADA ANAK-ANAK MUDA

Pendedahan terkini dikemukakan menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan seharus dicermati dengan penuh rasa bimbangan. Menurut kajian yang dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia ini, ia jelas menunjukkan peningkatan mendadak masalah kesihatan mental yang dialami di kalangan kanak-kanak dan remaja berumur dalam lingkungan lima belas tahun ke bawah (Berita Harian, 8 Oktober 2012).

Kenyataan ini amat menggusarkan kita, kerana golongan tersebut adalah generasi yang bakal meneruskan kesinambungan generasi kini. Sebarang cacat cela yang berlaku terhadap mereka (generasi ini) akan mempengaruhi hitam putih pembentukan negara pada masa hadapan. Asas kekuatan insan banyak bertunjang kepada kemampuan akal dan fikirannya. Menerusi akal dan fikirannya yang sihat, seseorang individu akan bersikap proaktif, reseptif serta mampu menyesuaikan secara positif terhadap keadaan persekitaran.


Seseorang insan yang mempunyai akal fikiran yang sihat mampu menyumbang secara konstruktif serta efektif demi kebaikan rakyat dan negara tercinta. Akan tetapi dalam keadaan kesihatan mental yang tidak sihat, seseorang individu itu akan menggangu gugat kitaran pembentukan generasi yang kukuh. Usia remaja serta kanak-kanak merupakan detik penting dalam pendidikan setiap insan. Ketika tempoh tersebut kemampuan kognitif serta sosial seseorang individu secara asasnya akan dipupuk.


Usaha tersebut akan tergendala jika kanak-kanak serta remaja tersebut gagal mengawal emosinya, bersikap mengasingkan diri (tidak mahu berinteraksi secara sosial), serta sering berfikiran negatif. Cerminan masa depan negara kita akan ditampilkan menerusi citra wibawa generasi mudanya (pada hari ini). Adalah menjadi tanggunjawab kita untuk memastikan citra wibawa mereka dapat dibentuk dengan kukuh.

Pada peringkat awal usia kanak-kanak mereka perlu didedahkan untuk berinteraksi dengan persekitaran. Kebebasan untuk mentafsir keadaan sekeliling mereka perlu digalakkan di bawah pemerhatian ibu bapa dan keluarga. Apabila seseorang itu menganjak ke usia remaja, potensi mereka perlu digilap dengan memahami kehendak serta pemikiran mereka. Galakkan serta sokongan perlu diberikan sekiranya apa yang difikirkan (oleh golongan remaja) mampu membawa kebaikan.

Sebaliknya, mereka juga perlu ditegur serta dihukum secara membina untuk menyedarkan mereka akan implikasi negatif terhadap sesebuah perkara (sekiranya mereka melakukan perkara negatif). Dengan lain perkataan dari hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bermaksud kegagalan kita melahirkan generasi muda yang mempunyai kesihatan mental yang membanggakan. Ini kerana dalam usia sebegini seseorang masih di bawah jagaan dan bimbingan ibubapa dan keluarga. Oleh yang demikian bagi mengatasi masalah ini ilmu yang berkaitan dengan keluarga perlu diberikan perhatian. Justeru itu, ibubapa kita perlu dibantu agar mereka mampu menjadi ibubapa yang memepunyai tahap kompetensi yang tinggi.


Ia perlu meliputi kaedah mengenalpasti masalah, punca dan tanda-tanda, langkah-langkah yang wajar diambil dan akhirnya kepada kaedah bimbingan dan penyelesaian masalah. Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh ibubapa masakini. Proses pendidikan ke atas golongan ini perlu melangkaui kebiasaan masa kini. Semangat persaingan yang bersifat materialistik serta individualistik akan hanya menambahkan tekanan ke atas seseorang remaja atau kanak-kanak.

Meletakkan mereka dalam kancah saingan seperti ini akan melahirkan sikap mementingkan diri sendiri serta kiasu yang hanya menjejaskan pertumbuhan emosi mereka. Persaingan seperti ini akan meruntun semangat ingin membina jati diri yang positif. Seharusnya mereka didedahkan dengan persaingan yang sihat, yakni sebarang kejayaan serta kegagalan dinilai sebagai sumber pengajaran untuk memperkemaskan jati diri mereka.  


Ibu bapa serta keluarga tidak seharusnya cuai dalam menampilkan interaksi emosi yang positif untuk membina keyakinan dalam hubungan dua hala di antara mereka. Hanya menerusi interaksi yang positif (antara ibu bapa), proses pendidikan mampu dijalankan secara menyeluruh. Untuk membantu seseorang individu mencapai puncak potensi dirinya, kesihatan akal serta fikirannya perlu dihormati serta dijaga.
Ia perlu dielakkan daripada dicemari dengan elemen materialistik, individualistik serta hendonistik yang mengalpakan fitrah seseorang insan. Kemampuan akal serta fikiran seseorang individu merupakan hak yang telah dimartabatkan secara adil oleh Allah s.w.t. Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghormati kurniaan ini demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan