Selasa, 20 November 2012

TUHAN YANG BENAR

Soalan: Adakah Tuhan benar? Bagaimana saya dapat pastikan bahawa Tuhan adalah benar?

Jawapan:
Kita tahu bahawa Tuhan adalah benar kerana Dia mendedahkan diri-Nya kepada kita melalui tiga cara: ciptaan-Nya, Ayat-Nya, dan melalui Anaknya, Yesus Kristus.

Bukti yang paling ketara mengenai kewujudan Tuhan ialah melalui segala benda yang dicipta-Nya. “Sejak Allah menciptakan dunia, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri.”(Roma 1:20). “Betapa terangnya langit menyatakan kemuliaan Allah! Betapa jelasnya cakerawala menunjukkan perbuatan-Nya!”(Mazmur19:2).

Jika saya menjumpai sebuah jam tangan di padang, saya tidak akan menganggap bahawa jam itu “timbul” secara tiba-tiba atau wujud dengan sendiri. Berdasarkan reka bentuk jam itu, saya percaya bahawa jam itu mempunyai penciptanya. Dan saya nampak reka bentuk dunia ini lebih tepat dan mengagumkan. Penentuan masa bukan berdasarkan jam tangan, tetapi berdasarkan ciptaan Tuhan – putaran bumi yang berulang (dan sifat radioaktif atom cesium-133). Alam ini menunjukkan reka bentuk yang agung, dan menunjukkan bahawa terdapatnya Pencipta yang Agung!

Jika saya menjumpai sebuah mesej berkod, saya akan meminta bantuan pakar kristografi untuk memecahkan kod itu. Saya akan berpendapat bahawa terdapat orang yang bijak yang menghantar mesej berkod itu, orang yang mencipta kod itu. Betapa rumitnya kod DNA di dalam sel badan kita? Bukankah kerumitan dan fungsi DNA itu menunjukkan bahawa terdapat seorang pencipta bijak yang menghasilkan kod itu?

Tuhan bukan hanya mencipta satu alam fizikal yang rumit dan teratur, malah Dia juga meletakkan pemahaman abadi dalam hati setiap manusia (Pengkhutbah 3:11). Dalam hati setiap individu, manusia mengetahui bahawa makna kehidupan adalah melebihi segala yang kita nampak, dan terdapat sesuatu yang lebih berkuasa daripada segala perkara di dunia ini. Perasaan abadi ini dapat dilihat melalui penghasilan undang-undang dan penyembahan.

Setiap kebudayaan dalam sejarah mempunyai ajaran-ajaran moral, dan mempunyai persamaan antara tamadun yang berlainan. Sebagai contoh, kasih sayang dan perasaan cinta adalah nilai yang perlu dipupuk oleh semua orang, tetapi perbuatan berbohong dibenci oleh semua orang. Nilai-nilai moral yang umum ini – pemahaman salah dan betul – menunjukkan terdapat Tuhan yang bermoral tinggi dan muktamad yang memberi kita pemahaman moral secara semulajadi.

Dengan cara yang sama, semua orang di dunia, tidak mengira tamadunnya, mencipta sistem penyembahan tuhan masing-masing. Objek penyembahan mungkin berbeza, tetapi tanggapan “kuasa yang lebih tinggi” wujud dalam hati semua orang. Kecenderungan kita menyembah tuhan adalah berhubung dengan fakta bahawa Tuhan mencipta manusia seperti imej dan bentuknya (Kejadian 1:27).

Tuhan juga mendedahkan diri-Nya kepada kita melalui Firman-Nya di dalam Kitab Injil. Melalui kitab Injil, kewujudan Tuhan ialah satu fakta yang terbukti sendiri (Kejadian 1:1; Keluaran 3:14). Apabila Benjamin Franklin menulis autobiografinya, dia tidak membazir masa membuktikan kewujudannya. Begitu juga dengan Tuhan yang tidak perlu membuktikan diri-Nya wujud di dalam bukunya. Pengaruh Kitab Injil yang dapat mengubah nyawa orang, kemantapannya dan keajaibannya sepatutnya cukup untuk menarik perhatian kita.

Cara ketiga Tuhan mendedahkan diri-Nya adalah melalui Anak-Nya, Yesus Kristus (Yohanes 14:6-11). “Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah dan Firman sama dengan Allah.....Firman itu sudah menjadi manusia, dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita.” (Yohanes 1:1,14). “Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia.” (Kolose 2:9).

Dalam hidup Yesus yang mengagumkan, Dia mengikut kesemua ajaran Perjanjian Lama dan memenuhi ramalan mengenai kedatangan-Nya (Matius 5:17). Dia melakukan kebaikan dan keajaiban di khalayak umum untuk menunjukkan kekuasaan Firman-Nya dan membuktikan sifat ketuhanannya (Yohanes 21:24-25). Kemudian, tiga hari selepas dia disalib, Dia bangkit daripada kematian, satu fakta yang dilihat oleh beratus-ratus orang (1 Korintus 15:6). Rekod sejarah penuh dengan bukti mengenai sejarah Yesus. Paulus berkata, “Tuanku Raja Agripa, hamba berani berkata-kata di hadapan tuanku dengan terus terang kerana tuanku faham akan perkara-perkara itu. Hamba yakin bahawa Tuanku mengetahui semuanya, kerana hal-hal itu tidak berlaku di tempat yang tersembunyi.” (Kisah Rasul-rasul 26:26).

Kita tahu bahawa sering terdapat orang yang tidak percaya dan meragui kewujudan Tuhan. Dan juga terdapat orang yang tidak akan menerima segala bukti mengenai Tuhan (Mazmur 14:1). Semuanya bergantung kepada kepercayaan (Ibrani 11:6).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan