Allah SWT menciptakan manusia untuk beriman kapadaNya. Allah SWT
mengurniakan akal fikiran untuk kita membezakan diantara keburukan dan
kebaikan serta membuat pilihan dengan memberi kehidupan sementara
didunia. Setelah itu kita akan mati dan dibangkitkan semula dihari
kiamat kelak untuk dibicarakan tentang amalan yang kita lakukan semasa
hidup didunia.
Setiap amalan yang baik akan diberi ganjaran syurga dan amalan yang
buruk akan dibalas dengan seksaan api neraka. Allah SWT telah menyatakan
dalam hadisNya yang bermaksud,
“hai orang-orang yang beriman, peliharakanlah dirimu dan keluargamu dari
api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya
malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap
apa yang diperintahkaNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang
diperintahkan” (at-tahrim:6)
Pada pemahaman saya, manusia yang dimaksudkan ialah orang-orang yang
melanggar perintah Allah dan melakukan perkara yang dilarang olehNya
ketika hidup didunia yang sementara. Batu yang dimaksudkan ialah
berhala-berhala yang disembah oleh umat manusia sebagai tuhan semasa
hidup didunia walaupun telah diingatkan oleh para nabi-nabi dan
rasul-rasul supaya tidak menyembah batu-batu berhala. Para malaikat yang
menjaga neraka itu tidak akan sesekali ingkar dengan suruhan Allah
yakni menyeksa hambaNya yang tidak beriman kepadanNya.
Bukti kewujudan syurga dan neraka telah diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Apabila seseorang mati, akan ditunjukkan kepadanya tempatnya pagi dan
petang dan jika ia termasuk penduduk syurga, (dia akan ditunjukkan
tempatnya) di kalangan penduduk syurga dan jika dia termasuk penduduk
neraka, (dia akan ditunjukkan tempatnya ) di kalangan pendududk neraka”
(Bukhari)
Neraka terdiri daripada tujuh pintu masuk yang setiap satunya untuk
golongan-golongan tertentu mengikut dosa-dosa yang telah dilakukan.
Pintu neraka akan tertutup buat selama-lamanya setelah
penghuni-penghuninya masuk kedalam tempat tinggalnya yang abadi. Api
neraka akan membakar penghuni-penghuni neraka dan pintu-pintu neraka
ditutup untuk mengurung mereka didalamnya.
Neraka juga mempunyai beberapa nama iaitu jahannam, latha, al-hutamah,
sa’ir, saqar, al-jahim, dan al-hawiyah. Ia juga mempunyai
penjaga-penjaga yang terdiri daripada malaikat-malaikat yang sangat
patuh pada perintah Allah. Al-quran ada menyebut bahawa jumlah penjaga
neraka adalah sembilan belas dan salah seorang daripadanya ialah
malaikat Malik.
Pada hari kiamat para penghuni neraka akan melihat tempat tinggal mereka
dihadapan mereka dan akan menyedari segala kesalahan yang telah mereka
lakukan, tetapi segala penyesalan mereka sudah terlambat. Ia diterangkan
dalam al-quran yang bermaksud;
“jangan (berbuat demikian) . apabila bumi dogoncangkan berturut-turut,
dan datanglah Tuhanmu, sedang malaikat berbaris-baris. dan pada hari itu
diperlihatkan nereka jahannam, dan pada hari itu ingatlah manusia akan
tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya. ” (al-Fajr: 21-23)
Apabila tiba hari kiamat, Allah akan menunjukkan neraka jahannam dan
manusia akan sedar akan kesilapan mereka dan ketika itu tiada gunanya
segala sesalan mereka itu. Pada hari itu neraka akan ditanya adakah ia
telah berpuas hati dengan penghuninya namun demikian ia menjawab bahawa
ia masih boleh menerima orang-orang yang akan mendudukinya. hadith ada
menerangkan tentang muatan neraka dan ukurannya yang sangat besar dan ia
memerlukan malaikat-malaikat yang sangat ramai untuk membawanya pada
hari kiamat kelak.
Sesungguhnya neraka itu sangat dalam hinggakan jika sebiji batu
dilemparkan ke dalamnya, ia akan mengambil masa selama tujuh puluh tahun
untuk sampai kedasarnya. Walaubagaimana pun meskipun dengan muatan dan
dalamnya, neraka tidak akan penuh hinggalah Allah meletakkan kakaiNya di
atasnya. Neraka akan terus meminta agar penghuninya sentiasa bertambah
sehingga Allah meletakkan kakaiNya barulah ia berhenti meminta.
Neraka mempunyai banyak tingkat dan darjat bergantung kepada jenis dan
banyaknya dosa yang telah dilakukan para penghuninya. Orang-orang
munafik merupakan penghuni neraka yang mendapat tempat di bawah sekali
dan tidak ada seorang pun yang dapat membantu mereka.
BAHAN BAKARNYA
Neraka merupakan api yang sangat dahsyat dan tidak sama dengan api yang
kita lihat didunia yang boleh membakar kayu, kain dan bahan-bahan lain.
Bahan bakar neraka ialah manusia jahat yang berhati batu. Batu-batu juga
menjadi bahan bakarnya termasuk patung-patung berhala yang telah
dijadikan sembahan selain daripada Allah ketika hidup didunia.
1. Manusia
• Terdiri daripada orang-orang kafir, orang yang menyembah sesuatu
selain daripada Allah, orang yang malakukan perkara yang dilarang, dan
mereka yang amalan buruk melebihi kebaikan yang dilakukan.
• FIR’AUN- ingkar kapada perintah nabi musa supaya menyembah Allah
walaupun telah ditunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah dan mukjizat yang
nyata.
• ISTERI-ISTERI NUH DAN LUTH- kedua-duanya tidak mahu mengikut suruhan
suaminya yang menjadi nabi dan hamba Allah yang paling soleh supaya
menyembah Allah. Kedua-dua suaminya tidak dapat membantu mereka dihari
kiamat.
• ABU LAHAB DAN ISTERINYA- binasalah kedua-dua tangan abu lahab.
isterinya akan menjadi pembawa kayu bakar yang dilehernya ada tali dari
sabut.
• ‘AMR BIN ‘AMIR AL-KHUYA’I- orang pertama yang mempertuhankan
binatang-binatang dan akan mengheret usus-ususnya didalam neraka kelak.
• ABU TALIB- mendapat hukuman yang paling ringan dineraka iaitu memakai
sepasang kasut daripada api yang menyebabkan otaknya mendidih.
2. JIN
• SYAITAN- ingkar dengan perintah Allah, dan menjadi penghuni tetap neraka.
3. BATU-BATU
• BERHALA- disembah oleh manusia.
ISI DAN SAIZ PENDUDUK NERAKA
Manusia pertama yang akan dipanggil pada hari kiamat ialah Adam, beliau
akan ditunjukkan keturunannya dan diminta untuk membawa penghuni neraka
dari keturunannya itu. Dari setiap seratus orang, Sembilan puluh
Sembilan adalah penghuni neraka. Adam bertanya kepada Rasulullah, jika
Sembilan puluh Sembilan daripada kami adalah penghuni neraka, kemudian
apa lagi yang tinggal dari kami. Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Umatku dikalangan (umat yang lain ) adalah seperti sehelai rambut putih di atas seekor lembu yang hitam”
Ini menunjukkan betapa ramainya penghuni neraka yang terdiri daripada
manusia-manusia iaitu umat-umat Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Hanya
seorang sahaja yang diibaratkan terselamat daripada api neraka bagi
setiap seratus orang.
Saiz penghuni-penghuni neraka akan ditambah dari saiz asal mereka. Tubuh
mereka akan membesar supaya mereka akan lebih terdedah kepada siksaan.
Gigi geraham atau gigi taring seorang penghuni neraka sama seperti bukit
uhud, dan tebal kulitnya sama seperti tiga malam perjalanan.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud jarak diantara dua bahu
penghuni neraka sama seperti tiga hari perjalanan untuk seorang
penunggang yang tangkas. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa nabi SAW
bersabda;
“sesungguhnya tebal kulit seorang penghuni neraka sama dengan panjang
empat puluh dua lengan gergasi, gigi gerahamnya seperti (bukit) uhud,
dan tempat duduknya di neraka (jaraknya) di antara mekah dan madinah”
(Tirmizi dan al-Hakim - sahih)
KATEGORI PENGHUNI NERAKA
Terdapat golongan-golongan manusia yang berbeza yang akan masuk kedalam
neraka, bergantung kepada berat dan banyaknya dosa ynag mereka lakukan
ketika di dunia. Mereka terdiri daripada orang-orang yang tidak
bertaubat ketika masih hidup di bumi. Terdapat beberapa kategori manusia
yang akan masuk dan tinggal selama-lamanya di dalamnya.
1. Orang-orang kafir
• mereka mati dalam keadaan kafir mereka mendapat laknat Allah, para
malaikat, dan manusia seluruhnya. Mereka kekal didalam neraka dan tidak
akan diringankan siksaannya dan tidak akan ditangguhkan.
2. Golongan munafik
• Ditempatkan ditempat yang paling bawah dari neraka dan tidak ada
seorang pun yang dapat membantu mereka. penghuni kekal neraka jahannam.
Mereka adalah golongan yang kafir setelah beriman dan termasuk dalam
golongan orang fasik
3. Ahli kitab yang menolak islam
• terdiri daripada orang-orang yahudi dan kristian. Tanggungjawab
ahli-ahli kitab adalah lebih besar daripada orang-orang kafir kerana
mereka telah pun terdedah kepada ajaran agama yang betul. Namun apabila
nabi SAW menyampaikannya, mereka menolaknya.
4. Orang yang menyembunyikan ayat-ayat Allah
• Tidak mahu menyampaikan apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada orang lain yang tidak mengetahui. firman Allah SWT ;
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami
turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas ) dan petunjuk,
setelah kami menerangkan kepada manusiadalam al-kitab, mereka itu
dilaknat Allah dan dilaknati (pula ) oleh semua (makhluk ) yang dapat
melaknati. ”
5. Pembunuh
• Orang yang membunuh umat islam dengan sengaja tanpa sebab maka nerakalah tempatnya. Allah SWT berfirman :
“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mu’min dengan sengaja, maka
balasannya ialah jahannam, kekal ia didalamnya dan Allah murka
kepadanya, mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya. ”
6. Orang yang membunuh diri
• Siapa yang membunuh dirinya sendiri dengan senjata, dia akan sentiasa
membawa senjata tersebut dan akan mengulangi apa yang telah
dilakukannya.
• Siapa yang membunuh diri dengan meminum racun, akan meminumnya didalam api neraka selama-lamanya.
• Siapa yang membunuh diri dengan terjun dari bangunan akan terjun di dalam api neraka selama-lamanya.
7. golongan yang syirik
• mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Mempercayai benda lain
seperti tangkal, bomoh, dan lain-lain selain daripada Allah.
8. Penduduk neraka yang lain
• Ada lima penduduk neraka iaitu :
i. Orang lemah yang tidak menahan diri, yang mengikut secara membuta tuli dan tidak mempedulikan keluarga atau harta.
ii. Pengkhianat yang tamak dan sering melakukan tipu daya walaupun untuk perkara-perkara yang kecil.
iii. Orang yang mengkhianati keluarga dan harta benda orang lain.
iv. Orang-orang yang kedekut (bakhil) atau penipu.
v. Orang yang suka mencaci orang lain dengan kata-kata lucah dan bahasa kesat.
MAKANAN DAN MINUMAN PENGHUNI NERAKA
Penghuni neraka akan diberi makan, walaubagaimana pun makanan mereka
tidak mengenyangkan dan tidak juga mengurangkan rasa lapar mereka.
Makanan ahli neraka itu terdiri daripada buah-buahan dari sepohon pokok
yang dipanggil sebagai Zaqqum. Pokok yang sangat buruk dan pahit ini
tumbuh di dasar neraka, dan tangkai buahnya tidak kuat dan berbentuk
seperti kepala-kepala syaitan.
Para penghuni neraka memakan buah dari pokok ini dengan begitu rakus
sekali. Ini kerana mereka tidak mempunyai makanan lain selain daripada
makanan tersebut. Mereka akan memenuhkan perut mereka dengan buah yang
panas seperti minyak yang mendidih didalam perut. kepanasan dan
kedahsyatan buah zaqqum itu dapat dibayangkan dengan sabda rasulullah
yang bermaksud
“jika setitik dari zaqqum jatuh kedalam sebuah rumah di dunia ini, ia
akan menghancurkan (semua) bekal makanan manusia di dunia ini. Lalu
bagaimana ia menjadi makanan seseorang ?” (Tirmizi – sahih )
Apabila mereka merasa dahaga, mereka akan meminum minuman bercampur
dengan air yang sangat panas. mereka juga akan menjadikan darah dan
nanah sebagai makanan di neraka. Api juga merupakan salah satu daripada
makanan yang akan diberikan kepada penghuni neraka. Orang yang memakan
harta anak yatim, mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka
akan masuk kedalam api neraka yang manyala-nyala.
1. Hamim (air yang mendidih )
• Penghuni neraka akan meminum air yang mendidih sehingga memotong usus
mereka apabila diminum. Meskipun begitu merka akan minum seperti unta
yang kehausan.
2. Ghassaq
• Mereka akan minum nanah dan darah yang keluar dari kulit mereka sendiri dan hampir tidak dapat menelannya.
3. Sadid
• Nanah yang cair. Mereka akan diberi minum dengan air nanah, diminumnya air nanah itu.
TEMPOH MENDIAMI DAN SEKSAANNYA
Sebahagian ulama berpendapat bahawa seksaan yang akan diterima di neraka
adalah sementara dan tidak kekal selama-lamanya, ini kerana langit dan
bumi yang kita tahu adalah tidak kekal dan akan musnah pada hari kiamat,
dan begitulah dengan perbuatan yang kita lakukan di dunia yang
sementara pasti tidak kekal.
Walaubagaimana pun, sebahagian besar ulama muslim menolak pendapat ini
dan menyatakan bahawa langit dan bumi yang dinyatakan dalam al-Quran
adalah tidak sama dengan yang kita lihat hari ini, sebaliknya ia adalah
langit dan bumi yang kekal selama-lamanya. pendapat yang menyatakan
bahawa tempat tinggal dan seksaan di neraka adalah kekal disokong oleh
ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith, seperti;
“sesungguhnya barangsiapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa,
maka sesungguhnya baginya neraka jahannam. Ia tidak akan mati di
dalamnya dan tidak (pula) hidup. ” (Ta Ha :74)
Sesungguhnya orang-orang berdosa akan kekal dineraka selama-lamanya dan
seksaan mereka tidak akan dikurangkan walaupun sedikit. Sebahagian
manusia akan tetap di dalam neraka untuk satu tempoh masa bagi
menghadapi seksaan mengikut dosa yang telah dilakukan, kemudian mereka
akan dikeluarkan dari neraka, seperti hadith Rasulullah SAW.
Barangsiapa yang mengakui bahawa ‘ tiada tuhan yang disembah melainkan
Allah ‘dan melakukan kebaikan walau sebesar biji barli akan dikeluarkan
dari api neraka, dan mereka yang berkata demikian dengan yakin dan
mempunyai amalan kebaikan walau seberat biji gandum akan keluar dari
neraka.
Para penghuni neraka tidak akan dapat bertahan dengan seksa neraka yang
mereka hadapi, kesakitan, kesengsaraan dan penderitaan. Oleh itu mereka
merayu agar dapat diakhiri penderitaan tersebut, malahan mereka lebih
sanggup dimusnahkan dari terus terseksa. Namun satu kemusnahan tidak
dapat menghapuskan penderitaan yang mereka hadapi, lalu mereka meminta
untuk dimusnahkan beberapa kali. Tetapi sudah pasti rayuaan mereka tidak
akan didengar dan dipenuhi oleh Allah
Orang-orang kafir akan menjadi penghuni tetap neraka dan mereka tidak
akan dimasukkan kesyurga kerana tidak mempercayai kewujudan Allah.
Kulit para penghuni neraka akan dibakar dan setiap kali kulit ituhangus
dibakar, ia akan digantikan dengan kulit yang baru, dan begitulah
seterusnya dimana seksaan itu akan berterusan selama-lamanya. penghuni
neraka juga akan menerima azab api di muka mereka, dan tangan mereka
akan diikat dengan rantai. Oleh itu mereka tidak dapat menggunakan
tangan untuk melindungi diri mereka sendiri daripada api neraka itu.
Orang yang sesat di dunia, muka mereka akan diseret di atas api neraka
dan dibakar dalam api yang panas. Api akan mengelilingi mereka di setiap
penjuru, dan akan membakar mereka setiap masa. Usus-usus akan keluar
dari perut-perut mereka dan diseret oleh mereka sendiri seperti sabda
rasulullah SAW ;
“Pada hari pengadilan seorang lelaki akan dibawa kehadapan lalu
dicampakkan kedalam neraka. Akibatnya ususnya akan terkeluar dari
perutnya, lalu dia memegang ususnya seperti keldai berlari
berpusing-pusing, kawan-kawannya di neraka berkata kepadanya, ‘hai si
pulan bin si pulan, apa ini?adakah engkau tidak menyuruh manusia
melakukan kebaikan dan menolak kejahatan?’ lalu dia menjawab, ‘benar,
aku menyuruh orang untuk melakukan kebaikan tetapi aku sendiri tidak
melakukannya, dan aku melarang mereka melakukan kejahatan, tetapi aku
sendiri melakukan kejahatan itu’” (Bukhari dan Muslim)
Di akhirat penghuni neraka akan menyesali perbuatan mereka yang telah
lalu, namun penyesalan itu telah terlewat. Orang-orang kafir di neraka
akan mengaku bahawa mereka sengaja memekakkan telinga terhadap
risalah-risalah yang dibawa oleh para rasul dan enggan menggunakan
kebebasan yang diberikan oleh Allah menurut cara yang betul sebagaimana
yang dikehendakinya.
Kalaulah mereka memberi perhatian dan mengikut ajaran para nabi dan
rasul, mereka pasti akan memahami dan mempercayai bukti-bukti yang
tentang kewujudan Allah lalu beriman kepadaNya. Mereka pasti tidak akan
diseksa di dalam api neraka. Mereka akan sentiasa memohon kepada Allah
agar diberikan peluang untuk kembali ke dunia dan melakukan ibadah siang
dan malam tanpa henti. Namun rintihan dan tangisan mereka tidak akan
diendahkan kerana Allah telah memberi masa yang panjang untuk kita
mengumpul sebanyak mana pahala sebagai bekalan di akhirat kelak, tapi
kita mensia-siakan masa yang diberikan olehNya.
CARA-CARA MENJAUHKAN DIRI DARI API NERAKA
Setiap orang akan mendatangi neraka. Namun hanya orang-orang yang
beriman dan bertaqwa yang akan terselamat dari terjerumus ke dalam api
neraka. Orang yang bertaqwa itu ialah orang yang takut kepada Allah,
menahan dan menjaga dirinya dari melakukan perbuatan jahat dan maksiat,
sentiasa berbuat kebajikan. Terdapat banyak amal perbuatan yang boleh
menjauhkan dan melindungi seseorang dari seksaan api neraka. Antaranya
ialah ;
1. iman
• Allah telah menyediakan syurga untuk orang-orang yang beriman dan
bertaqwa kepadanya dan mereka terselamat dari seksaan api neraka
selama-lamanya. Mereka yang selalu berdoa memohon keampunan daripada
Allah dan menjauhi mereka daripada api neraka, orang yang sabar, taat
pada perintah Allah dan membelanjakan hartanya di jalan Allah akan
dijauhkan dari seksaan api neraka.
2. Cinta kepada Allah
• Allah tidak akan mencampakkan orang-orang yang dicintaiNya ke dalam
api neraka. Mareka yang mencintai Allah lebih dari segala-galanya akan
dikasihi dan dicintai oleh Allah.
3. Takut kepada Allah
• Allah telah berfirman yang bermaksud bagi mereka yang takut akan saat
menghadap tuhannya ada dua syurga. Barangsiapa yang menangis kerana
takut kepada Allah tidak akan masuk ke neraka hinggalah susu kembali ke
tempat asalnya.
4. Siyam (puasa)
• Puasa adalah perisai dari api neraka. Mana-mana hamba yang berpuasa
sehari untuk mencari keredhaan Allah akan dialihkan mukanya dari api
neraka dengan satu jarak tujuh puluh tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan