Ahad, 8 April 2012

SEJARAH KAABAH

SEJARAH ibadat haji di Tanah Suci Mekah bermula ketika Nabi Adam as diperintahkan turun ke bumi oleh Allah swt. Sejurus beberapa ketika di muka bumi, Allah swt memerintahkan baginda mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit. Baitul Makmur adalah tempat ibadat para penghuni langit mengerjakan ibadat tawaf sepertimana yang dilakukan oleh penghuni bumi di Baitulullah(membawa maksud Rumah Allah). Baitul Makmur terletak di langit ketujuh.
Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah menyebut Mekah dipilih sebagai tempat pembinaan Kaabah kerana kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di alam malaikat. Diibaratkan bahawa jika Baitul Makmur jatuh ke muka bumi, maka ia akan terhempap ke Baitullah di Mekah disebabkan kesejajarannya itu.
Baitul Makmur adalah tempat khusus yang dicipta Allah khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy.
Ini kerana Arasy kawasannya amatlah luas dan sekiranya melakukan tawaf ia mungkin menjangkau waktu hingga ke hari kiamat.
Sebelum terciptanya Baitul Makmur, para malaikat bertawaf di sekitar Arasy sambil beristighfar, bertasbih dan membesarkan Allah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada AllahYang Maha Agung.
Kaabah Binaan Pertama Manusia untuk mengesakan Allah swt
Mengenai pembinaan Baitullah atau Kaabah sebagai binaan pertama manusia bagi tujuan ibadat kepada Allah swt, ia dapat dirujuk daripada firman Allah dalam surah al-Imran ayat 96 yang bermaksud:,
 “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula sekali dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan menjadi petunjuk bagi umat manusia.”
Sebaik saja semua urusan pembinaannya selesai, Allah memerintahkan Nabi Adam serta keluarganya mengerjakan ibadat tawaf di situ sepertimana yang dilakukan oleh para malaikat dan penghuni langit di Baitul Makmur.

Tempat Ibadat Para Malaikat di bumi
Selain daripada menjadi tempat beribadat umat manusia dan jin, Baitullah di Mekah turut menjadi tempat tawaf para malaikat yang ditugaskan di muka bumi ini. Ia turut menjadi tumpuan para auwliya Allah dan orang alim daripada seluruh dunia kerana keberkatan bumi Allah Mekah ini.
Keberkatan kota Mekah yang menempatkan Baitullah ini adalah hasil doa Nabi Ibrahim as yang memohon kepada Allah swt untuk mengutuskan seorang Rasul bagi membimbing penduduk Mekah. Ia telah telah terakam dalam Al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 129 :
Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Kaabah selepas Wafatnya Nabi Adam as
Selepas Nabi Adam as wafat, binaan Kaabah beransur-ansur reput. Diriwayatkan bahawa binaan pertama daripada Nabi Adam as hanya diperbuat daripada kepingan-kepingan kayu yang disusun berbentuk segi empat sama dan tidak berbumbung.
Seterusnya, Allah memerintahkan salah seorang daripada putera Adam iaitu Syith as untuk membina semula Kaabah di tempat sama. Syith as juga merupakan seorang Nabi Allah yang diutuskan Allah swt sebagai pengganti Nabi Adam as. Lahirnya Syith as adalah sebagai galang ganti kepada Habil as yang telah dibunuh oleh abangnya, Qabil. Diriwayatkan bahawa Nabi Adam as tersangat sedih atas kematian Habil as yang dikasihinya dan dengan itu Allah swt telah mengurnaikan seorang anak iaitu Syith as dengan rupa dan ketakwaannya persis Nabi Adam as.
Namun, banjir besar yang melanda pada zaman Nabi Nuh telah meruntuhkan binaan Kaabah sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah.
Terkenal dengan kepatuhannya kepada perintah Allah swt, Nabi Ibrahim as dan anaknya, Nabi Ismail as membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith as yang runtuh akibat banjir dan taufan  pada zaman Nabi Nuh itu.
Ini disebut dalam firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 26 hingga 27,
“Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud.”
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan yang jauh.”

Firman Allah lagi dalam ayat 29 bermaksud,
 “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah yang tua sejarahnya itu.”
  
Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim as
Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Makkah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Al-Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.


Bersembahyang di hadapan makam Ibrahim.
Selepas menyempurnakan binaan itu, Nabi Ibrahim dan keluarganya diperintahkan pula mengerjakan ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebahagian daripada ibadat haji.

Pembinaan dan Pembaikpulih Kaabah sepanjang Zaman
Beberapa ratus tahun selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, usaha membaik-pulih dan membina semula Kaabah telah dilaksanakan secara berterusan. Menurut tradisi Islam, Kaabah dibina semula 12 kali sejak pembinaan pertamanya oleh Nabi Adam as. Para Sejarahwan pula berkata Kaabah dibina semula antara lima hingga 12 kali.
Lebar ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut:
  • Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci.
  • Dinding Hatim adalah 33 kaki.
  • Dinding antara Hajar Aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki.
  • Dinding Barat adalah 46.5 kaki Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula sebelum masa Rasulullah (SAW).
Pembinaan semula Kaabah juga pernah dilakukan oleh kaum Quraish ketika zaman Rasulullah saw. Dalam peristiwa ini, Rasullulah saw turut mengambil bahagian dalam salah satu daripada pembinaan semula ini sebelum baginda menjadi Rasul. Dalam peristiwa inilah Rasullulah terkenal di seluruh Mekah dengan gelaran al-Amin.
Antara proses pembaikpulih lain yang pernah dilakukan oleh masyarakat setempat adalah membaiki kerosakan tanpa mengubah bentuk atau ukuran Kaabah oleh kaum Analagh, Kaabah dibina semula oleh puak Jurhum selepas sebahagian dinding Kaabah runtuh kerana banjir besar di Kota Mekah.
Kemudian Kaabah diperbaiki lagi dengan:
  • Membuat pintu serta pemasangan kelambu Kaabah oleh seorang raja dari Yaman.
  • Pembinaan bumbung Kaabah semasa pemerintahan Qusai bin Kilab.
  • Pembinaan semula Kaabah oleh Kaum Quraisy dengan berpandukan batu asas hasil binaan Nabi Ibrahim.
  • Kerja membaiki Kaabah diteruskan oleh panglima Hajjaj pada zaman Khalifah Abdul Malik dan pembinaan semula Kaabah pada 1037 berikutan kerosakan banjir besar di Kota Mekah.
Struktur Kaabah

Pandangan Pelan Baitullah.
Seni bina
Bangunan yang berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter ini juga disebut dengan nama Baitul Ateeq yang bermaksud paling awal dan paling lama. Ia juga bermakna bebas dan merdeka.

Kaabah juga digelar dengan Baitul Ateeq kerana sejarahnya yang lama dan tua.
Binaan dalam


Struktur di dalam Kaabah
Apa yang ada dalam Kaabah?
1) Wangian yang amat harum, campuran dari kasturi, ‘anbar dan ‘ud yang digunakan dalam jumlah yang banyak setiap kali Kaabah dibersihkan dan digunakan sepanjang tahun.
2) Ditutupi lantainya berwarna putih di tengah, sementara hitam di bahagian tepinya, dan menaik ke tepi sehingga setinggi 4 meter, tanpa menyentuh dinding asalnya. Dinding asalnya pula setinggi 5 meter lagi selepas dari dinding tadi, dan ditutup pula dengan kain berwarna hijau atau langsir berwarna merah ros, dihiasi dengan Ayat Al-Quran yang ditulis dengan perak.Selain itu,terdapat juga di lantainya tanda tempat sujud Rasullulah saw dan juga multazam, di mana beliau melekatkan perut baginda yang mulia serta pipi kanan, lalu mengangkat tangan dan berdoa.
3) Terdapat 3 batang tiang kayu yang diukir dengan begitu cantik, untuk menyokong bumbung. Tingginya lebih kurang 9 meter.

Perhatikan tiga buah tiang yang tersergam di dalam Kaabah.(rujuk gambar struktur Kaabah)

Bulatan merah menunjukkan salah satu daripada tiang di dalam Kaabah.
4) Beberapa buah lampu pelita dari tembaga, kaca dan perak yang diukir padanya Ayat suci Al-Quran. Ia wujud sejak zaman pemerintahan khalifah Uthman.
5) Tangga yang dapat dipanjat sampai ke bumbung diperbuat dari aluminium dan kristal.
6) Beberapa kepingan batu bekas tinggalan setiap zaman yang ada pembaikpulihan Kaabah.
7) Selain itu kadangkala terdapat alat pengangkut ke atas (man-lift) untuk kerja-kerja pembersihan Kaabah, selain alat-alat untuk membersihkan Kaabah.


Pembersihan Kaabah yang berkala
Pembersihan Kaabah yang mulia di sebelah dalam pula dilakukan sekali setahun. Pertamanya dibasuh dengan air dan sabun. Kemudian disapukan seluruh dinding dan lantainya dengan wangian dari setiap jenisnya dan dibakar bukhur yang terwangi dan terbaik. Ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi.
Info Ka’abah
  • Di dalam Ka`bah terdapat 3 buah tiang yang dibuat daripada kayu dan besarnya kira-kira setengah meter, berwarna merah kekuningan. Menurut sejarahnya, tiang itu dipasang oleh sahabat Rasullulah saw iaitu Abdullah bin Zubair r.a. ketika beliau membangun kembali Kaabah pada generasi yang kesepuluh pada tahun 64-65H, bertepatan dengan 683M.

  • Lantai Kaabah adalah marmar putih dan hanya sedikit yang berwarna lain. Dindingnya marmar berwarna, dihiasi dengan ukiran-ukiran dan pahatan yang indah.

  • Bahagian atas Kaabah ditutup dengan kain sutera berwarna merah mawar, dihiasi dengan tulisan yang dengan benang putih dan bentuk huruf د(dal) atau angka lapan dalam sistem nombor Arab. Angka lapan itu membawa erti:
“Mahasuci Allah dan Segala Puji Baginya, Mahasuci Allah yang Maha Agung”.

  • Di samping itu terdapat bulatan-bulatan yang masing-masing tertulis kata-kata yang ertinya:
“Wahai yang Maha Penyayang, Wahai yang Maha Kuasa, Wahai yang Banyak KurniaNya, Wahai yang Maha  Suci”.

  • Kain penutup atas Kaabah atau Sitarah mula diperbuat pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan pada tahun 1290H.

  • Pintu Kaabah dan pintu untuk naik ke loteng (sutuh) ditutup dengan kain sutera hitam, disulam dengan benang emas.

  • Diantara 3 tiang besar dipasang kayu penyangga yang melintang dari utara ke selatan, tingginya kira-kira 2/3 daripada tinggi Kaabah. Di sana digantungkan beberapa tapak lilin(candlestick), lampu beraneka ragam dan barang-barang berharga yang diperbuat daripada emas dan perak serta hadiah-hadiah yang diterima Kaabah sejak zaman dahulu.

  • Diriwayatkan bahawa tanduk kibas milik Nabi Ibrahim a.s. ketika peristiwa Korban Nabi Ismail as pernah disimpan di dalam Kaabah. Namun kerana Kaabah pernah mengalami kebakaran iaitu pada hari Sabtu tanggal 3 Rabiul Awal tahun 64H, maka tanduk kibas itu telah turut sama terbakar dan generasi pada masa kini tidak dapat lagi menyaksi relik bersejarah itu.

  • Pada dinding Ka`abah terdapat 7 buah kepingan batu mammar bertulis. Semua tulisan dimulai dengan Bismillahirrahmanirrahim. Keterangan ringkas mengenai ketujuh marmar itu adalah seperti berikut: 1.Kepingan mammar pertama dibuat pada bulan Rejab tahun 884H atas perintah Sultan Abu Nasher Faitibeik.
    2.Kepingan marmar kedua dipasang pada dinding tangga Ka`abah untuk naik ke loteng dalam bentuk lima baik syair, dibuat pada tahun 1109H oleh Ahmad Beik Syeikh al-Haram Makkah.
    3.Kepingan marmar ketiga dipasang pada dinding bahagian barat, di buat atas perintah Imam Besar Abu Jaafar al-Mansur al-Mustanshir billah Amiril Mu`minin, tahun 629H.
    4.Kepingan marmar keempat dipasang di dinding bahagian barat, di samping marmar ketiga, dibuat atas perintah Yusuf bin Umar bin Ali bin Muhammad pada tahun 680H.
    5.Kepingan marmar kelima dipasang pada dinding barat, di samping marmar keempat, dibuat atas perintah Sultan Murad Khan bin Sultan Ahmad Khan pada akhir bulan Ramadan tahun 1040H.
    6.Kepingan marmar keenam dipasang di samping kepingan marmar kelima, dibuat atas perintah Sultan Muhammad Khan pada tahun 1070H.
    7.Kepingan marmar ketujuh dipasang berdampingan dengan kepingan marmar keenam, dibuat atas perintah Sultan Malik Abu el-Nasr Barsibari pada tahun 826H.
Gambar Lama Musim Haji


 Nota Kaki~ Artikel ini ditulis sempena musim haji yang tiba tidak lama lagi. Musim Haji amat dinantikan oleh umat Islam seantero sedunia kerana ibadat Haji adalah rukun kelima dalam rukun Islam. Musim haji akan disambut dengan sembahyang sunat Aidil Adha dan ibadat korban pada 10 Zulhijjah pada tiap-tiap tahun. Pada tahun ini, umat Islam akan menyambutnya pada 16hb November 2010 bersamaan dengan hari Selasa. Sesungguhnya, ia bagaikan satu rahmat apabila seseorang Muslim berjaya mendirikan rukun Islam kelima ini. Ia menjadi semakin berkat apabila seseorang muslim itu yang pulang daripada Mekah bukan sahaja membawa ‘title’ haji di hadapan nama malahan membawa pulang pahala haji mabrur sehingga berkatnya menyebar seisi rumah tangganya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin