Rabu, 25 Disember 2013

SEJARAH MALAY DAN NEGARA THAI.


Disember 1941, fasis Jepun menceroboh Malaya. Selain dari mendarat di pantai Sabak, Kota Baharu, mereka juga mendarat di Pattani dan Songkla. Perdana Menteri Thai ketika itu Phibun Songkhram menjalankan polisi bekerjasama dengan Jepun. Melalui persekongkolannya dengan fasis Jepun, Phibun telah melaksanakan polisi Thai Raya dan memperluaskan penguasaannya hingga ke Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.



Phibun Songkhram naik takhta pada tahun 1938 melalui rampasan kuasa dan melaksanakan polisi cauvinisme "Thai Raya". Di bawah polisi ini bangsa-bangsa lain harus berbahasa dan berkebudayaan Thai, bahkan di segi agama juga dikehendaki beragama Budda. Polisi ini telah mencetuskan pertentangan hebat berbagai bangsa di Thailand.

Orang Melayu yang tinggal secara memusat di Selatan Thai berbahasa Melayu dan beragama Islam, mempunyai sejarah, kebudayaan, kesenian dan tradisinya sendiri. Akan tetapi mereka dipaksa mengikut cara Barat, misalnya makan dengan sudu dan garpu, lelaki diharuskan memakai topi, wanita diharuskan memakai gaun, dan lain-lain. Mereka juga dilarang menggunakan bahasa Melayu, menggunakan nama Melayu, pakaian Melayu, dilarang memakan sirih pinang dan menghisap rokok pucuk nipah. Sejarah orang Melayu Pattani diharamkan daripada diajar di sekolah-sekolah. Polisi ini mendatangkan ketidak puasan orang Melayu di Selatan Thailand.

Akan tetapi, kekuatan patriotisme dan demokrasi Thailand tetap tak tertundukkan. Pridi memimpin gerakan patriotik-demokratik bawah tanah Thailand melawan fasis Jepun dan bekerjasama dengan pihak Berikat. Gerakan ini mencapai perkembangan besar dan akhirnya dapat menumbangkan kerajaan Phibun. Pada tahun 1944, Pridi mendirikan kerajaan yang baru dan memulihkan kedudukan kekuatan patriotik-demokratik.

Kerajaan Pridi dapat bekerjasama dengan seluruh masyarakat. Seorang pemimpin terkemuka Selatan Thai, Hj. Sulung pernah mengemukakan tuntutan ke atas Kerajaan Thai dan pengaruhnya berkembang di kalangan masyarakat Islam Selatan Thai. Anjuran Hj. Sulung ialah:

1. Menggesa Kerajaan Thai melantik seorang anak tempatan yang dipilih oleh rakyat setempat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran wilayah-wilayah selatan.

2. Cukai dan hasil pendapatan dari keempat-empat wilayah berkenaan mestilah dilaburkan untuk projek pembangunan ekonomi setempat.

3. Mengadakan pelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah hingga darjah 6 sebelum mempelajari bahasa Siam.

4. Pegawai-pegawai kerajaan yang mentadbir wilayah-wilayah ini mestilah terdiri daripada 80 peratus orang Melayu - Islam peranakan tempatan.

5. Bahasa Melayu dan bahasa Siam dijadikan bahasa rasmi.

6. Penubuhan Majlis Agama Islam Wilayah yang berkuasa penuh bagi menyelaraskan perundangan Islam bersabit dengan syarak dan kebudayaan Melayu di keempat-empat wilayah dengan persetujuan ketua dalam syarat no. 1.

7. Kerajaan Thai mestilah mengasingkan antara Mahkamah Syariah dengan mahkamah kerajaan wilayah serta memberikan kuasa kepada kadi membicarakan sesuatu kesalahan di Mahkamah Syariah.

Setelah penjajah British berkuasa semula di Malaya, Kedah, Perlis Kelantan dan Terengganu yang tadinya dicantumkan oleh Jepun ke dalam wilayah Thailand telah diambil balik oleh British berdasarkan perjanjian Inggeris - Siam 1909.

Tapi, kerajaan Pridi tak dapat bertahan lama. Pada tahun 1947 ia digulingkan oleh Phibun. Pridi terpaksa meninggalkan tanah airnya merantau keluar negeri.

16 - 17 Oktober 1945, PKMM mengadakan kongres penubuhannya di Ipoh, Perak. Kongres telah memilih Ketua PKMM Mokhtaruddin Lasso, Naib Ketua Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Saya hadir dalam kongres sebagai wakil PKM untuk menyampaikan tahniah kepada kongres. Wakil dari berbagai pihak hadir menyertai kongres itu, kira-kira 300 orang lebih.

Tengku Mahmood Mahyiddeen wakil dari Pattani (Selatan Thai) juga hadir. Dia berpakaian seragam tentera (force 136). Mahyiddeen membentangkan masalah kemerdekaan kawasan Selatan Thai dengan menggabungkannya dengan Malaya.

Kerana rancangan Tengku Mahmood Mahyiddeen itu adalah sebuah projek kolonial, maka kami menentangnya. Kami berpendapat, soal Selatan Thai haruslah ditentukan oleh rakyat Selatan Thai sendiri. Mokhtaruddin, Dr. Burhanuddin, Boestamam, saya, dan lain-lain dari PKMM menentang cara Tengku Mahyiddeen itu. Ucapan Mokhtaruddin yang berapi-api membantah rancangan itu mendapat tepukan yang bergemuruh oleh para wakil.

Mac 1946, diadakan kongres Islam di Gunung Semanggol dipimpin Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Wakil berbagai pihak hadir. Dr. Burhanuddin wakil PKMM, Boestamam wakil API, saya wakil PKM. Yang pentingnya kami bertemu dengan Mohd. Amin, wakil rakyat Selatan Thai. Kami menyokong perjuangan kemerdekaan rakyat Selatan Thai jika ia benar-benar pilihan rakyat Selatan Thai sendiri. Dalam ucapan di dalam kongres itu saya menegaskan pendirian PKM yang menyokong perjuangan rakyat Selatan Thai untuk membela nasib bangsanya sendiri. Saya juga menegaskan PKM dengan tegas menentang sebarang bentuk kolonialisme.

Selepas majlis itu, saya dan Boestamam secara khusus bertemu dengan wakil dari Pattani itu. Kami menegaskan pendirian kami yang telah saya nyatakan di atas. Saya memberikan alamat pejabat PKM untuk mereka hubungi kemudiannya.

Dalam masalah ini, Boestamam mempunyai rancangannya sendiri. Atas dasar membantu rakyat Selatan Thai, Boestamam menghimpunkan 60 orang anggota API di Padang Rengas mengadakan long march ke kawasan sempadan Betong. Strategi Boestamam ialah terlebih dahulu membantu revolusi rakyat Selatan Thai kemudian dengan bantuan rakyat Selatan Thai melancarkan peperangan terhadap penjajah British di Malaya pula.

Akan tetapi rancangannya gagal. Rombongan Boestamam bertembung dengan pasukan askar Gurkha di tengah jalan. Mereka berpecah beberapa kumpulan balik semula ke kampung masing-masing. Boestamam sendiri pergi ke Balik Pulau, Pulau Pinang menulis buku dengan tajuk "14 hari".

Sebelum itu, ketika kongres API di Melaka, Boestamam juga pernah membuat rancangan long march ke Pahang. Pahang menjadi ilham kerana pernah melahirkan pahlawan bangsa menentang Inggeris yang dikenali sebagai Perang Bahaman. Kira-kira 60 orang pemuda API menyertai long march tersebut. Akan tetapi bila tiba di Negeri Sembilan, mereka disekat oleh polis. Para peserta long march lari bercempera. Antaranya ada yang mencari pejabat PKMM Negeri Sembilan untuk berlindung. Pejabat PKMM membantu menghantar mereka balik ke rumah.

Tahun 1947 - 1948, 2 orang wartawan British Miss. Bowo James dan Miss. Barbara pernah mengapi-apikan semangat nasionalisme orang Selatan Thai untuk bergabung dengan Malaya (kesatuan Malaya) tajaan penjajah British. Banyak akhbar membesar-besarkan perkara itu untuk mempengaruhi pendapat awam.

Pada masa itu, saya yang menjadi wakil PKM juga mengeluarkan kenyataan akhbar yang disiarkan oleh akhbar PKMM untuk menjawab propaganda tersebut. Dalam kenyataan itu saya menyerukan orang ramai supaya tidak termakan dakyah penjajah British yang mahu memperluas tanah jajahannya ke Selatan Thai dengan cara menggabungkan Selatan Thai dan Malaya. Saya juga membentangkan lagi pandangan kami iaitu menyokong perjuangan rakyat Selatan Thai untuk menentukan nasib bangsanya sendiri tetapi menentang sebarang bentuk penjajahan, atau kolonialisme. Kenyataan akhbar itu telah dikutip oleh wartawan-wartawan dan disiarkan di akhbar masing-masing. Tengku Mahyiddeen tidak senang hati dengan kenyataan saya itu. Dia menganggap saya telah mengganggu rancangannya untuk menguasai wilayah-wilayah Selatan Thai.

Selepas itu beberapa orang wakil dari Pattani datang untuk berhubung dengan pejabat PKM di Kuala Lumpur. Akan tetapi apabila wakil tersebut tiba di Kota Baharu, mereka disekat oleh Tengku Mahyiddeen. Tengku Mahyiddeen melarang mereka pergi ke pejabat PKM. Beliau membawa wakil dari Pattani itu ke Selangor untuk mempelajari ilmu kebal bagi membentuk pasukan parang panjang.

Dengan itu, wakil dari Pattani itu mengubah rancangan asal dengan belajar ilmu parang panjang. Setelah mendapat latihan singkat, mereka balik ke Selatan Thai untuk mengembangkan ajaran tersebut.

April 1948, meletus pemberontakan Dusun Nyor. Kumpulan pemberontak menawan balai polis dan lain-lain. Orang-orang Tionghua yang menetap di situ juga memberikan beras dan lain-lain tanda sokongan kepada pemberontakan tersebut.

Walau bagaimanapun, pemberontakan itu tidak dapat bertahan lama. Setelah beberapa hari, pemerintah pusat dari Bangkok telah menghantar askar untuk menumpas pemberontakan itu. Mengikut pengumuman akhbar ketika itu terdapat 400 hingga 600 orang terlibat dalam pemberontakan itu. 30 orang anggota polis terkorban. Selepas itu mereka terpaksa berundur, ada sebahagiannya berundur ke Malaya.

Selepas peristiwa itu Tengku Mahyiddeen dengan kerjasama penjajah British menghantar 400 orang gerilanya bergerak di kawasan Selatan Thai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin