Pendidikan seksualiti yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, melalui pelaksanaan di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu, kementerian tersebut menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di Sekolah Menengah dan 30 minit setiap minggu di Sekolah Rendah.
Seperti yang dirancang, kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 telah pun menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun ini. Langkah ini diambil kononnya sebagai langkah penyelesaian masalah sosial, terutamanya dalam isu buang bayi. Namun, timbul persoalan, adakah benar ini merupakan jalan penyelesaian bagi masalah sosial ini, atau langkah ini sebenarnya timbul dek idea pemikiran sekular berkiblatkan barat!
Tujuan Pendidikan Seks di Malaysia
Menurut statistik rasmi, sejumlah 472 kes buang bayi dilaporkan sejak 2005 sehinggalah ke Ogos 2010. Daripada jumlah tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengatakan bahawa 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah meninggal [UM16/08/10]. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dalam reaksi kepada isu yang semakin serius ini mengatakan bahawa punca sebenar permasalahan ini adalah daripada bidang pendidikan. Dan penyelesaiannya juga turut membabitkan sektor tersebut. Nah, di sinilah idea pendidikan seks yang telah lama diketengahkan oleh golongan liberal menjadi lebih kuat apabila pemimpin nombor satu Malaysia meletakkan kegagalan sistem pendidikan sebagai punca utama kerosakan akhlak remaja.
Sehubungan dengan itu perkara ini telah dikaji dan telah mendapat pelbagai respond baik daripada pelbagai pihak. Menurut Azriani Ab Rahman, Pensyarah Perubatan Jabatan Perubatan Masyarakat Pegajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, langkah ini bertujuan menyedarkan remaja tentang implikasi hubungan seks sebelum berkahwin dan supaya mereka berkata ‘TIDAK’ kepada seks sebelum berkahwin. [Utusan Malaysia Online-Rencana-04/05/2010]
Media massa pula terus menerus mempromosikan pendidikan seks agar diterima rakyat di negara ini. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersama wartawan Metro turut menjelaskan “hasrat murni” kerajaan tentang tujuan pendidikan seks dilaksanakan. Menurut beliau, tujuan Pendidikan seks diadakan adalah untuk memberi maklumat kepada pelajar dan mengelakkan mereka dari terjebak dalam gejala sosial. Bagi membantu usaha berkenaan, kementerian menyediakan draf Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan bagi menangani salah laku dan jenayah seksual yang membimbangkan di kalangan remaja. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, draf berkenaan dihasilkan sebagai keprihatinan kementerian berkaitan isu sosial seperti rogol, sumbang mahram, penderaan seksual dan hubungan seks bebas. [Harian Metro, 7 April 2005]
Jika dilihat daripada mata kasar, niat beberapa pihak tertentu yang menyokong dan bersama-sama berusaha dalam pelaksanaan pendidikan seks ini kelihatan sangat suci. Mereka tampak seperti mahu memastikan remaja hari ini menjaga pergaulan dan menjauhi zina, seterusnya dapat mencegah jenayah buang bayi. Namun, adakah benar langkah ini merupakan penyelesaian tuntas bagi segala masalah melibatkan zina dan pembuangan bayi? Adakah kita perlu terhantuk sekali lagi, baru mahu terngadah seperti yang berlaku dalam isu PPSMI? Atau para pelajar kita akan terus menjadi mangsa….?
Propaganda Kapitalis
Tatkala pemerintah sedang berusaha melaksanakan pendidikan seks di sekolah-sekolah pada tahun ini, sumber bahan-bahan lucah masih terus menular dengan mudahnya di seluruh negara tanpa ada satu penguatkuasaan undang-undang untuk menghalang atau mencegah penularannya. Saranan pihak-pihak ini berkaitan penularan bahan lucah ini adalah ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak mereka terutamanya semasa mengakses bahan daripada internet. Saranan ini seolah-olah melihatkan pada kita bahawa hanya ibu bapa sahaja pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini. Namun, sejauh manakah ibu bapa mampu mengawal pergerakan anak-anak mereka sedangkan ibu bapa hari ini disibukkan dengan urusan sekular kapitalis yang menuntut mereka mencari sumber pendapatan lebih untuk menanggung perbelanjaan keluarga? Saranan ini melihatkan juga kepada kita bahawa barisan pemerintah di negara kita seolah-olah tidak mampu menyekat penyebaran bahan-bahan lucah ini. Pembuat dan pengedar video lucah masih berleluasa dan tiada tindakan yang diambil untuk menyekat orang ramai termasuk kanak-kanak melihat laman web lucah. Golongan yang kerap dipersalahkan adalah individu itu sendiri, ibu bapa dan pihak sekolah yang dikatakan kurang mengambil berat terhadap pergaulan anak-anak, kurang memberikan didikan agama, penyebaran video lucah secara haram dan sebagainya. Melihatkan senario ini, adakah benar golongan sekular ini mahu membanteras masalah sosial atau sebenrnya ini adalah salah satu idea untuk mempromosikan seks. Kelihatan sangat janggal apabila pendidikan seks dilaksanakan di sekolah-sekolah kononnya sebagai langkah menyelesaikan masalah zina dan kes buang bayi, tetapi dalam masa yang sama, penularan bahan lucah di internet terus dibiar. Pemerintah Negara ini boleh menyekat sumber bahan lucah di internet jika mereka benar-benar mahu melakukannya.
Jika ditelusuri sejarah pendidikan seks yang telah lama diperkenalkan di kebanyakan Negara Barat, sejarah ini telah membuktikan kegagalan pendidikan seks dalam menyekat masalah zina dan pembungan bayi. “Setelah diperkenalkan pelajaran seks di sekolah-sekolah dan kolej, kadar penyakit dan kematian akibat berpunca dari gejala seks meningkat mendadak. Ini kerana berkemungkinan setelah didedahkan di kelas, pelajar-pelajar akan mempraktikkannya di luar kelas. Kesannya mereka semakin ‘maju’ mengamalkan seks bebas kerana masyarakat barat sememangnya tidak bermoral dan menyanjung tinggi kebebasan bertingkahlaku. Satu kajian terbaru yang diadakan di UK mendedahkan kehamilan dikalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks”[LifeSiteNews.com 15 Mac 2004].
British Medical Journal pula mengatakan bahawa pendidikan seks sebaiknya dimulakan secepat mungkin, misalnya seawal usia lima tahun. Menurut Journal tersebut, walau bagaimanapun pendidikan seks sebenarnya gagal mencegah kehamilan remaja, malah pendidikan seks tidak mengurangi kadar kehamilan remaja menurut hasil kajian berbeza yang dilakukan di Britain dan Kanada.
Menurut Adam Marcus, seorang wartawan berita kesihatan, dalam artikelnya yang bertajuk Teen Sex Education A Total Failure Study telah mengupas bahawa pendidikan seks yang dilaksanakan telah gagal melambatkan aktiviti seksual remaja, gagal meningkatkan penggunaan kontrasepsi dan gagal mengurangkan kadar kelahiran sebelum nikah di Kanada.
Ironinya, sangat aneh apabila masyarakat di negara yang majoriti muslim seperti di Malaysia masih lagi terikut-ikut dengan segala percubaan penyelesaian yang telah dijalankan di barat walaupun ternyata gagal menyelesaikan masalah ini. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda dalam hadis riwayat Abu Said al-Khudri:
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikuti mereka”, Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah Yahudi dan Nasrani yang kamu maksudkan?’. Jawab Nabi: “Siapa lagi kalau bukan mereka?”. (HR Muslim)
Ternyata benar, segala yang datang dari Barat kita ikuti walaupun ternyata barat sebagai sang pencipta idea pendidikan seks ini sendiri gagal memastikan objektif pendidikan seks ini dapat dipenuhi. Namun, barat sangat berjaya membuatkan umat Islam hari ini terpaksa memilih idea bobrok mereka sehingga umat Umat Islam tidak sedar penyelesaian sebenar yang sudah ada di depan mata. Umat Islam terus berkiblatkan barat dan mengenepikan al-Quran dan sunnah. Nah, racun liberalism kapitalisme sememangnya telah menyerap masuk dalam sendi umat Islam dan sedang memamah-mamah setiap inci daging umat Islam dan hanya menanti untuk rebah. Betapa berjayanya propaganda kapitlisme ini!
Islam sebagai Penyelesaian
Islam telah menetapkan bahawa tanggungjawab utama untuk mendidik anak-anak terletak di atas bahu ibu bapa. Ini meliputi juga tanggungjawab pendidikan seks kepada anak-anak. Maka, adalah sangat penting untuk ibu bapa, khasnya para wanita muslimah yang merupakan madrasah pertama bagi anak-anak mereka untuk memahami hakikat pendidikan seks menurut Islam. sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang bermaksud:
“Tidak ada seorang anakpun yang baru lahir kecuali dilahirkan dalam keadaan suci. Kedua orang tuanyalah yang menyebabkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Musyrik”.[HR Muslim].
‘Pendidikan seks’ yang dimaksudkan di dalam Islam bukanlah sesempit kefahaman masyarakat barat yang hanya memfokuskan kepada aspek hubungan jenis, atau masalah kesihatan reproduksi. Islam mengatur hubungan lelaki dan wanita bukan mahram melalui sistem pergaulan (Nizhamul Ijtimaie) yang merangkumi asas akidah, pembentukan akhlak (contohnya sifat malu), aspek aurat dan cara berpakaian, sehinggalah ke isu ikhtilat, perkahwinan dan perceraian, nasab keturunan serta kewajiban suami isteri. Penyelesaian masalah sosial menurut Islam tidak meletakkan sistem pendidikan sebagai sasaran utama untuk diperbaiki, tetapi melalui penerapan hukum Islam secara kaffah dalam sesebuah Negara. Negara, masyarakat dan individu itu sendiri mempunyai peranan masing-masing yang wajib dipenuhi dan sekaligus dapat mencegah segala perilaku yang bertenatangan dengan syarak.
Khatimah
Kegagalan sistem Kapitalisme dalam menyelesaikan masalah seksual (seperti yang termaktub di atas) seharusnya membuatkan umat Islam bertindak segera untuk tidak mengambil hukum dengan merujuk kepada barat serta menghancurkan serangan pemikiran kapitalis dan sekular yang hanya menimbulkan kerosakan kehidupan manusia. Firman Allah swt:
“Tidakkah kamu melihat orang-orang yang mengira dirinya beriman kepada apa sahaja yang diturunkan kepadamu serta apa sahaja yang diturunkan sebelummu? Mereka ingin berhukum kepada ‘Taghut’, sedangkan mereka diperintahkan agar menolaknya. Dan sesungguhnya syaitan ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya” [ TMQ An-Nisa’ : 60]
Berhukum kepada ‘Taghut’ di dalam terjemahan ayat di atas bermaksud berhukum dengan hukum selain Allah. Iaitu selain daripada apa yang telah diajarkan di dalam Al Quran dan Sunnah. Dalil di atas dengan jelas mengecam orang-orang yang menggantikan hukum Allah swt dengan yang lain.
Penyelesaian masalah sosial yang melibatkan zina dan pembuangan bayi menurut Islam akan dibincangkan panjang lebar pada keluaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan