Masalah
 mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang 
boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan 
tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani 
aktiviti seharian dengan baik.
 
 Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya.
 
 Daripada data yang diperoleh, sekurang-kurangnya seorang daripada 
sembilan penduduk di Malaysia mengalami sakit mental bermula daripada 
kemurungan sehingga ke tahap skizofrenia.
 
 Golongan sakit mental
 merangkumi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan ketegangan dan 
gagal mengatasinya seperti masalah rumah tangga, ekonomi dan tekanan 
kerja.
 
 Mereka yang gagal membuang tabiat merokok, meminum 
minuman keras, menghidu gam, mengambil dadah dan berjudi juga tergolong 
dalam pesakit mental.
 
 Fakta
 Masalah mental merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak hingga peringkat tua.
 
 Bagi kanak-kanak misalnya malu untuk makan dan ke tandas, takut ke 
sekolah dan hiperaktif juga termasuk dalam golongan mereka yang 
mengalami gangguan mental.
 
 Bagi golongan tua pula, antara penyakit mental yang dikesan ialah nyanyuk dan mengalami kemurungan.
 
 Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang pertama penyakit psikosis.
 
 Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata.
 
 Antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis
 manik depresif. Kumpulan kedua ialah penyakit yang bukan psikosis atau 
neurosis.
 
 Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah 
dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan 
kita.
 
 Apabila perasaan biasa ini dan tingkah laku tertentu 
berlaku secara tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu 
kehidupan harian seseorang dan menjejaskan hubungan dengan orang lain, 
ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis ini.
 
 Di 
antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah ketakutan yang tidak 
berasas (fobia), keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan 
obsesif kompulsif.
 
 Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya.
 
 Penyakit mental boleh berbeza dari segi jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian.
 
 Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang.
 
 Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.
 
 Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya masalah mental.
 
 Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah mental ialah faktor genetik dan keturunan.
 
 Seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental 
berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding populasi yang 
tiada sejarah penyakit berkenaan.
 
 Terdapat kajian yang 
menunjukkan kebarangkalian 1:100 peluang untuk seseorang dalam keluarga 
mendapat penyakit skizofrenia jika ada dalam ahli keluarganya mengidap 
penyakit tersebut berbanding 1:10 dalam masyarakat umum.
 
 Faktor
 kedua ialah gangguan bahan kimia dalam otak sebagai contoh penghasilan 
dopmin secara berlebihan menyebabkan masalah skizofrenia dan paras 
serotonim terlalu rendah menyebabkan masalah kemurungan.
 
 
Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter tidak 
berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan berlaku. Faktor lain 
ialah jangkitan virus, sejarah hidup yang getir dan keadaan sosioekonomi
 yang rendah.
 
 Selain itu, bagi tujuan rawatan pula terdapat 
beberapa jenis penyakit mental yang memerlukan rawatan segera seperti 
neurosis, penyakit mental organik seperti nyanyuk, gangguan personaliti,
 autism, hiperaktif, ketagihan dadah dan cubaan membunuh diri.
 
 
Antara rawatan yang sering digunakan bagi merawat penyakit-penyakit ini 
ialah psikoterapi dan kaunseling, rawatan psikotropik, rawatan 
tingkahlaku dan rawatan elektrokonvulsif.
 
 01.Rawatan kaunseling
 boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan 
lebih mendalam dan rawatan ini diberikan secara pesakit luar.
 
 
02.Rawatan psikotropik menggunakan berbagai jenis ubat-ubatan yang 
dikelaskan sebagai ubat psikotropik dan digunakan untuk rawatan penyakit
 mental.
 
 Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau 
menghapuskan gejala-gejala psikosis. Sementara ubat-ubatan jenis lain 
boleh mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga 
pesakit dapat mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik.
 
 01.Rawatan tingkahlaku pula memberi tumpuan kepada membantu pesakit 
mengubah cara berfikir atau tingkahlaku tertentu yang mengganggu dan 
menimbulkan gejala penyakit. Teknik releksasi merupakan satu contoh 
rawatan jenis ini.
 
 02.Rawatan elektrokonvulsif diberikan 
melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak 
seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan 
biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius.
 
 Pada masa kini, masyarakat mengangap mereka yang mengalami masalah 
mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan mereka kerana akhbar 
sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang 
dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental.
 
 Keadaan 
ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang 
mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan 
sedemikian.
 
 Masyarakat tidak didedahkan secara sepenuhnya 
mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental 
adalah orang 'gila'.
 
 Tetapi jika diperhatikan kembali hanya 
terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai 
masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu para pesakit 
mental.
 
 Peranan masyarakat dalam penerimaan golongan ini hanya 
boleh dicapai apabila setiap individu dalam masyarakat mempunyai 
pengetahuan mengenai penyakit mental secara umum.
 
 Mungkin 
pendedahan ini boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah
 merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk
 sikap para pelajar dan masyarakat.
 
 Pesakit mental tidak 
seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami 
masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi 
sebahagian daripada masyarakat.
 
 Mereka sepatutnya diberi 
perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup
 yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental.
 
 Tiada siapa yang mahu membantu untuk meringankan beban hidup mereka.
 
 Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka 
terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan
 agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan