Sabtu, 26 Mei 2012

PENTADBIRAN KERAJAAN THAI DI KEDAH.




Contoh cap pos yang pernah digunakan perkhidmatan pos sepanjang di bawah pemerintahan Kerajaan Siam.
Kedah Sebelum Pemerintahan Thai
Negeri Kedah sepertimana negeri-negeri lain di Tanah Melayu telah mengalami pentadbiran Inggeris yang paling lama. Selain dari Inggeris, Jepun juga telah menjalankan pentadbiran tentera di Tanah Melayu dan Singapura. Pemerintahan Jepun berjalan selama lebih kurang tiga tahun lapan bulan. Tetapi di Kedah pemerintahan Jepun menjadi makin kurang apabila Jepun menyerahkan Negeri Kedah bersama-sama tiga buah negeri lain iaitu Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam. Setelah menguasai negeri-negeri itu selama 21 bulan.
Pentadbiran corak tentera oleh pihak Jepun meliputi ke semua negeri di Tanah Melayu. Jawatan-jawatan penting di peringkat atas telah di ambil oleh pegawai-pegawai tentera Jepun dan sejumlah kecil anak-anak tempatan. Dalam penyusunan jawatan di Kedah terdapat beberapa keanehan dimana orang-orang tak berkelayakan telah diberi jawatan penting. Terutama mereka yang berbuat baik dengan Jepun akan mendapat kedudukan istimewa di dalam pentadbiran. Namun begitu, tidaklah meluas berlaku di seluruh Kedah. Tidak banyak jawatan-jawatan baru yang di adakan. Kebanyakan pegawai meneruskan kerja lama mereka. Terdapat juga pegawai-pegawai yang kehilangan jawatan mereka diwaktu itu.
Dalam masa pentadbiran Jepun, semua kegiatan yang bercorak hiburan telah dihentikan. Kawalan keselamatan yang rapi dijalankan di merata tempat. Aturan kerja tidak dipentingkan sangat. Pembangunan tidak dijalankan. Pemerintah lebih menumpukan usaha ke arah pertahanan dan keselamatan.
Oleh kerana negeri berada dalam keadaan darurat, banyaklah berlaku kejadian di luar undang-undang. Boleh dikatakan rakyat sentiasa berada dalam ketakutan, ini disebabkan tentera Jepun kerapkali bertindak mengikut undang-undang sendiri. Kejadian mencuri agak kurang di zaman Jepun, ini mungkin disebabkan orang ramai sentiasa mengawal harta sendiri. Selain dari penjagaan yang rapi hukuman yang berat kepada pencuri-pencuri telah dapat menyekat kecurian berleluasa. Keadaan tidak tenteram sentiasa menyelubungi hati tiap-tiap rakyat di zaman pentadbiran Jepun.
Seseorang itu mungkin ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun tanpa sebab. Ada orang yang mengambil kesempatan membalas dendam dengan membuat fitnah kepada Jepun mengatakan sesorang itu menjadi ahli dalam pergerakan anti-Jepun. Dalam keadaan itu kita tidak dapat mengetahui siapakah kawan dan siapakah lawan.
Bidang ekonomi menerima nasib yang paling buruk sekali dalam masa pentadbiran Jepun, keadaannya menjadi sungguh teruk. Getah tidak lagi dipotong kerana tidak ada orang yang akan membelinya. Tanaman padi tidak menjadi disebabkan kemarau yang kuat menyerang Negeri Kedah. Tambahan pula rakyat berada dalam ketakutan, daya usaha untuk bertani seperti biasa menjadi kurang. Beras menjadi salah satu catuan. Simpanan beras dihadkan. Pemerintah akan mengambil tindakan kepada mereka yang menyimpan dari yang dihadkan.
Inflasi menyerang dengan cara yang meluas di Kedah. Barang-barang keperluan seperti makanan dan pakaian sangat berkurangan di masa ini. Kalau ada pun harganya terlalu tinggi. Sepasang kain sutera dapat ditukarkan dengan dua ekor kerbau. Ramai orang berebut-rebut untuk mendapatkan makanan dan pakaian. Di waktu inilah ramai orang-orang Melayu menjadi peniaga. Orang yang mencebur diri dalam perniagaan tidak begitu susah hidupnya seperti orang yang makan gaji. Perbandingan antara hidup di bandar dan di luar bandar adalah lebih baik dari segi bahan makanan, tempat tinggal dan keselamatan diri.
Akibat kekurangan barang telah menyebabkan harga melambung begitu tinggi. Pihak Jepun telah mengambil langkah untuk menghadapi masalah ini dengan melancarkan gerakan menanam bahan makanan sendiri. Di kawasan perkampungan ubi kayu di tanam dengan banyak. Bahan ini menjadi pengganti kepada beras.
Pentadbiran Jepun mengadakan pertandingan bercucuk tanam juga mengadakan pertunjukan bahan pertanian serta memberi nasihat teknik kepada mereka yang menjalankan rancangan bercucuk tanam.
Perubahan Kuasa
Pihak pentadbiran tentera Jepun telah menyerah Negeri Kedah kepada Siam atau Thai pada bulan Ogos 1943. Negeri-negeri lain yang terlibat dalam penyerahan ini termasuklah Perlis, Kelantan dan Terengganu. Penyerahan Negeri Kedah serta tiga negeri yang lain ini dilakukan memandangkan pada pertolongan yang diberi oleh Thai sewaktu tentera Jepun datang ke Tanah Melayu. Pemerintah Thai membenarkan tentera Jepun menggunakan negeri mereka untuk datang ke sini. Cara begini dibuat oleh pemimpin Thai sebagai menghindar dari ancaman Jepun.
Penduduk Kedah menyambut baik perubahan kuasa ini. Sudah tentu mereka merasa senang kerana pentadbiran telah kembali pada pihak awam. Perubahan kuasa ini telah memberi kebebasan begerak yang lebih kepada rakyat dimana mereka tidak lagi diancam oleh pihak tentera. Pegawai-pegawai Thai yang datang ke Kedah telah memberi perintah supaya menjalankan pentadbiran masing-masing seperti sebelum Jepun. "Carry on as before". Maksud mereka supaya mengikut cara Inggeris.
Penyerahan kuasa oleh Jepun kepada Thai ini dilakukan di antara ketua-ketua mereka. Satu acara rasmi untuk memberitahu orang ramai tentang penyerahan ini diadakan oleh Jepun.
Walaupun pihak telah menyerah kuasa pentadbiran kepada Thai tetapi polis tentera Jepun (Kampetai) masih lagi berada di Kedah. Tugas mereka seperti biasa mengawal negeri. Kali ini mereka bersama-sama tentera Kerajaan Thai mengawal ketenteraman di Kedah. Segala gerak geri orang ramai terutama mereka yang datang dari luar. Perhubungan polis tentera Jepun (Kempetai) dan askar Thai ini tidak begitu mesra. Tetapi tidak berlaku pergaduhan diantara keduanya. Kalau ada pun hanya perselisihan-perselisihan kecil sahaja.
Tugas polis tentera Jepun yang benar ialah mengawal kegiatan komunis dan gerakan anti-Jepun. Orang-orang Cina masih dijaga rapi oleh Kempetai kerana ramai orang-orang Cina yang terlibat dalam kegiatan anti-Jepun.
Penyerahan kuasa kepada pihak Thai ini memberi makna yang besar pada penduduk Kedah. Mereka benar-benar telah terlepas dari suatu bala yang sentiasa mencengkam hidup. Mereka telah terlepas dari keadaan yang serba mengecam dengan seribu tandatanya. Datangnya kuasa Thai menandakan bermula kembali pentadbiran awam yang memberi kelegaan pada rakyat.
Pentadbiran Thai Di Kedah (Syburi)
Selepas mengambil alih kuasa dari kerajaan tentera Jepun, Kerajaan Thai membentuk satu administrasi awam di Kedah. Pegawai-pegawai yang bertugas dengan Jepun terus berkhidmat dengan Thai pula selepas perubahan kuasa ini. Negeri Kedah diubah nama menjadi Syburi.
Gabenor general Thai yang bertanggunjawab bagi keempat-empat buah Negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu ialah KhunRongchat (Khun ertinya Encik dalam bahasa Thai). Gabenor Kedah ialah Khun Pramot Chongcharem, Penolong Gabenor ialah KhunChat. Gabenor General menetap di Alor Star, dan bandar ini dijadikan sebagai pusat empat buah negeri di Utara Tanah Melayu.
Pihak Thai menghidupkan semula pentadbiran Majlis Negeri yang dipanggil Muntri Spa. Ianya diketuai oleh seorang presiden yang dilantik oleh Sultan. Bagaimana pun pihak Thai tidak begitu mengambil berat tentang perjalanan Muntri Spa ini. Semua resolusi yang diambil oleh Muntri Spa mestilah diluluskan oleh High Commissioner Thai. Didalam Muntri Spa ini terdapat anggota-anggota yang dipilih terdiri dari wakil-wakil Melayu, India dan Cina. Ada seorang penasihat undang-undang Muntri Spa waktu itu. Beliau ialah Encik Ismail Marican. Muntri Spa akan bersidang bersama-sama dengan Gabenor atau wakil Gabenor General ketika membincangkan perkara-perkara besar terutamanya berkenaan politik pemerintah.
Di bidang pentadbiran awam setiausaha kerajaan adalah jawatan yang paling tinggi sekali selepas Gabenor. Jawatan ini dipegang oleh Tuan Haji Muhamad Shariff. Ketua-ketua jabatan banyak yang dipegang oleh orang-orang Thai. Setiausaha menjadi pegawai yang penting bagi mengendalikan pentadbiran. Terdapat juga pegawai-pegawai tempatan memegang jawatan di peringkat atas.
Ketua-ketua jabatan berkuasa penuh menjalankan pentadbiran mereka. Pihak Thai tidak selalu membuat arahan baru dalam pentadbiran. Semuanya berjalan mengikut cara yang sedia ada. Pegawai-pegawai memegang amanat pihak Thai supaya meneruskan pentadbiran cara British.
Jika ada apa-apa arahan yang hendak diberitahu kepada pegawai, Gabenor Thai akan mengadakan suatu perjumpaan ramai. Di dalam perjumpaan inilah mereka akan bertukar-tukar pendapat. Pegawai-pegawai diminta supaya memberi pendapat mereka tentang sesuatu tindakan yang hendak dilakukan di Kedah. Mereka yang hadir adalah terdiri dari pegawai-pegawai yang bekerja di sekitar Alor Star saja. Pegawai-pegawai dari daerah lain jarang menghadiri perjumpaan ini disebabkan kesusahan pengangkutan. Jika ada apa-apa arahan baru pegawai-pegawai di daerah luar ini akan menerima dari Setiausaha Kerajaan. Pegawai Daerah akan menyampai kepada Penghulu seterusnya kepada rakyat jelata.
Setiausaha kerajaan paling berkuasa di waktu itu, kebanyakan usul yang dikemukakan oleh beliau diterima oleh Gabenor General Thai. Kebolehan Tuan Haji Mohd. Shariff sebagai Setiausaha Kerajaan mendapat pujian dari pihak Thai. Gabenor Thai bertugas sebagai penasihat kepada Setiausaha. Di zaman pemerintahan Thai ini tidak terdapat pengubahan undang-undang secara besar-besaran. Perjalanan undang-undang tidak begitu tegas, banyak kesalahan-kesalahan kecil dimaafkan.
Tentang perjalanan undang-undang Islam keadaannya seperti biasa. Bidang ini diserahkan kepada orang-orang Melayu sendiri. Sultan merangkap sebagai Ketua Agama. Begitu juga tentang adat istiadat Melayu, pihak Thai tidak pernah mengganggu. Kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu seperti 'Tanah Simpanan Melayu' dihormati oleh Thai. Sultan masih di anggap Ketua Negeri.
Walaupun pentadbiran diserahkan kepada Thai tetapi bidang keselamatan masih dibawah Jepun. Polis tentera Jepun (Kempetai) masih mengawal Negeri Kedah. Tentera Thai juga ada di Kedah. Kedudukan mereka sebagai penjaga keamanan di samping polis tentera Jepun. Dengan adanya tentera Thai di Kedah, Kampetai Jepun tidak lagi bertindak sewenang-wenang hati mereka terhadap orang awam.
Kawalan keselamatan di Alor Star berada di bawah pihak Thai dan Jepun, di daerah-daerah luar terdapat pengawal-pengawal kampung bekerja bergilir-gilir dari petang hingga ke pagi. Keselamatan boleh dikatakan terkawal apabila tiap-tiap daerah berusaha mengawal keselamatan sendiri.
Sewaktu pentadbiran Thai tidak ramai pegawai-pegawai baru yang dilantik. Pegawai-pegawai tadbir lama dibiar terus berkhidmat. Kecuali jika ada kematian barulah perlantikan baru dibuat. Pegawai-pegawai baru ini dilantik dari pegawai-pegawai peringkat rendah yang telah lama berkhidmat.
Layanan pemerintah terhadap rakyatnya dari segi bangsa tidak ada perbezaan. Cuma rakyat Kedah yang berketurunan Siam merasa lebih beruntung. Kalau dalam pentadbiran awam pegawai-pegawai Siam tempatan mendapat layanan yang lain dari pegawai-pegawai Thai.
Keadaan disiplin tidak begitu kukuh di kalangan pentadbir-pentadbir Thai. Dari Gabenor hinggalah ke peringkat bawah pegawai-pegawai itu bebas menjalankan perniagaan sendiri sebagai menambahkan pendapatan mereka.
Di daerah-daerah luar pegawai-pegawainya terdiri dari anak tempatan. Bagi kawasan yang berpendudukan lebih dari 15 ribu orang, Pegawai Daerah akan ditempatkan disitu. Hubungan pegawai-pegawai Thai dengan pentadbir di Bangkok dipercayai ada tetapi ini tidak terdapat bukti yang lengkap. Kalau ada pun hubungan ini lebih kepada soal-soal besar yang bersangkutan dengan pemerintahan. Banyak hal-hal pentadbiran diselesaikan oleh pegawai-pegawai Thai di Alor Star.
Rancangan-rancangan pembangunan baru tidak dijalankan di Kedah. Mereka cuma meneruskan susunan yang telah sedia ada. Pentadbiran menjadi semakin malap. Kadang-kadang tidak ada kerja yang hendak di buat oleh pegawai-pegawai itu.
Tidak ada orang yang akan menyiasat kerja mereka. Perlaksanaan begini terus-menerus seolah-olah mereka menerima gaji percuma. Jabatan Kewangan adalah satu-satunya pejabat yang paling sibuk di waktu itu. Setiausaha Kewangan Negeri dipegang oleh Encik Lee Ewe Boon seorang anak tempatan.
Jabatan Kewangan bertanggungjawab mengutip cukai dan membayar gaji pegawai. Hasil pendapatan Negeri Kedah keseluruhannya dibelanja di dalam negeri. Tentang pegawai-pegawai Thai, mereka menerima gaji dari pemerintah Thai di Bangkok. Pemerintah Thai tidak membawa modal dari Bangkok. Dalam memajukan Negeri Kedah, pentadbiran di Kedah boleh dikatakan terasing dari Bangkok.
Kedudukan penduduk luar bandar tidak banyak berubah. Tidak ada projek besar memajukan bidang pertanian di luar bandar. Barang-barang makanan dan sedikit pakaian dibawa dari Thailand. Dipercayai Negeri Kedah mendapat bekalan makanan yang agak mencukupi sewaktu pentadbiran Thai. Di negeri-negeri lain kekurangan makanan menjadi satu ancaman yang serius. Selain dari bahan makanan yang diimport dari Thailand, Negeri Kedah sendiri merupakan pengeluar beras yang utama di Tanah Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin