“Ada yang kata ‘bercinta’ boleh. Ada yang kata tak boleh. Mana satu ni?”
“Ada yang kata ‘bercinta’ dengan niat nak kahwin, boleh. Betul ke?”
“Ada yang kata penting bercinta sebelum kahwin. Ada yang sebaliknya. Mana satu?”
Maksud ‘Bercinta’ Sebelum Nikah.
            Sebelum
 menjelaskan soalan-soalan ini, eloklah kita bincangkan sedikit maksud 
‘bercinta’ dalam perbincangan ini. Boleh jadi, maksudnya pelbagai dalam 
fikiran kita semua. Perbezaan maksud ini lumrah berdasarkan maksud yang 
difahami oleh masyarakat setempat, pengalaman, realiti, pendapat, 
fikiran dan latar belakang yang berbeza-beza.
Biasanya, tulisan ilmiah lebih menekankan penggunaan bahasa Melayu tinggi. Segala makna akan dirujuk di dalam kamus. 
Manakala
 tulisan dakwah, lebih selesa menggunakan bahasa yang dekat dengan 
masyarakat sebagai sasaran dakwah. Di sini, kadang kala timbul dilema. Para ulama mempunyai manhaj yang istimewa dalam menangani dilema ini.
            Kamus Dewan, edisi keempat (2007) memberi definisi ‘bercinta’ itu ialah:
1.      menaruh rasa cinta atau berahi 
2.      berasa rindu.
            Begitu juga Kamus Lisaanul Arab. 
Masyarakat
 kita pula rata-rata memahaminya sebagai komitmen sepasang kekasih. 
Lebih terperinci, masyarakat akan menamakan seseorang ini sedang 
‘bercinta’ apabila:
·         Terlalu kerap sms pasangannya walaupun tiada keperluan.
·         Selalu bergayut di telefon meskipun tiada urusan.
·         Selalu mengatur ‘dating’ walaupun tiada mahram.
·         Berpegangan tangan. 
·         Membonceng motor bersama.
·         Menaiki kereta berdua-duaan kecuali teksi.
·         Keluar tengok wayang bersama-sama.
·         Keluar menyanyi dan menari.
Kamus
 Dewan mengistilahkan perbuatan berkasih-kasihan, bercengkerama dan 
bercumbu-cumbuan sebagai ‘bercinta-cintaan’. Istilah ini jarang disebut 
oleh masyarakat kita. Mereka lebih senang menyebutnya sebagai 
‘bercinta’. Setuju tak?
Manakala
 perbuatan menjalin hubungan cinta kasih dengan teman lelaki dan wanita 
diistilahkan oleh Kamus Dewan sebagai ‘berpacaran’. Istilah ini juga 
kurang popular disebut dalam perbualan harian masyarakat umum di 
Malaysia. Dalam lagu adalah. Istilah ‘berpacaran’ lebih popular di 
kalangan masyarakat Indonesia. Orang Malaysia lebih suka menyebutnya 
sebagai ‘bercinta.’
Jadi apa sebenarnya makna ‘bercinta’?
Mengikut
 ‘manhaj’ para ulama yang bijaksana, makna sebenar suatu pengungkapan 
bukan pada namanya tapi berdasarkan hakikat atau intipati benda yang 
dinamakan itu. Kaedah menyebut, “Al-Ibrah bilmusammayaat laisat bil asma’.”Maksudnya, kita mengambil kira hakikat di sebalik nama, bukannya nama.
Para ulama tidak mudah terpedaya dengan maksud lafaz andai masyarakat memahami dan menterjemahkannya secara berlainan. 
Contohnya,
 andai sesuatu perkara itu lafaznya buruk seperti ‘hotdog’. Tapi 
hakikatnya baik iaitu daging yang enak. Maka ‘hotdog’ dikira baik sebab 
hakikatnya baik.
Contoh
 yang lain, andai sesuatu perkara itu lafaznya baik seperti ‘bunga’ atau
 ‘faedah’. Tapi hakikatnya buruk iaitu riba. Maka ‘bunga’ atau ‘faedah’ 
dikira buruk sebab hakikatnya buruk.
Manakala,
 andai sesuatu perkara itu lafaznya meragukan seperti ‘bercinta’. 
Hakikatnya ditentukan oleh kefahaman kumpulan sasaran. Berdasarkan 
pengamatan kasar penulis, rata-rata di Malaysia, orang menyebut lafaz 
‘bercinta’ itu dengan memahami hakikatnya sebagai ‘berpacaran’. 
Maka,
 ‘bercinta’ yang dibincangkan di sini, bukan sekadar memiliki perasaan 
cinta. Itu fitrah. Jika tidak diuruskan dengan panduan wahyu, ia sekelip
 mata boleh bertukar menjadi fitnah.
‘Bercinta’
 yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah intipati atau hakikat 
bagaimana cara masyarakat menguruskan cinta mereka. Bukankah secara 
umumnya, lebih menghampiri fitnah?
Al-Imam
 Hassan al-Banna apabila ditanya tentang hukum ‘bercinta’, beliau 
memberikan jawapan yang bijaksana. Mengambil kira kefahaman masyarakat 
yang pelbagai ini. Kata beliau,
“Bercinta secara halal itu halal. Bercinta secara haram itu haram.”
Sudah tentu, bercinta secara syubhah itu syubhah. Syubhah ialah perkara yang meragukan antara halal dan haram.
Fikrah Pertengahan
Islam agama yang memahami fitrah. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah cinta seperti merahibkan diri. 
Islam
 juga mengutuk fitrah cinta yang disalur dengan menghampiri zina. Inilah
 yang sering diajar oleh kebanyakan media (tidak semua). Islam 
lebih-lebih lagi mengutuk fitrah cinta yang diumbar dengan nafsu syahwat
 seperti mana yang berlaku di Barat. Akibatnya, kecelaruan nasab begitu 
parah di sana. 
Islam
 menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi 
barakah. Bercinta selepas nikah memang seronok. Usung ke hulu ke 
hilirpun, tiada siapa nak marah. 
            Pernahkah kita  merujuk apa kata ulama muktabar tentang ‘bercinta’ sebelum nikah?
            Prof. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang terkenal dengan dakwah menyeru kepada pandangan moderat menerangkan manhajnya, 
“Menjadi kewajipan ke atas kita agar beriltizam dengan petunjuk terbaik iaitu petunjuk yang dibawa oleh Muhammad SAW, para khulafa’ rashidun
 serta para sahabat baginda yang memperolehi hidayah, yang telah 
diarahkan oleh baginda SAW agar mengikuti sunnah mereka dan memegangnya 
dengan kukuh, jauh dari cara Barat yang terlalu bebas dan cara Timur 
yang terlalu ketat.”
Tidak Bercampur Kecuali Atas Dasar Urusan
Mari
 kita teliti poin-poin penting yang boleh kita amalkan dalam buku 
Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh 
Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya berkaitan isu percampuran antara 
lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
1.      Tidak
 bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana 
keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang
 mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu
 atas dasar kebaikan serta ketakwaan. 
2.      Wanita
 tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di
 samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan 
dengan lelaki.
3.      Merendahkan
 pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan
 boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika 
memandang).
4.      Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.
5.      Tidak
 menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, 
tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki 
mahram.
6.      Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.
7.      Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.
8.      Mengelakkan diri daripada khalwat.
Pesanan Pengerusi Majlis Ulama Sedunia  Tentang ‘Bercinta’
Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Mufti global, berkata,
1.      Saya ingin tegaskan apa yang selalu saya katakan, bahawa saya tidak memuji apa yang dikatakan oleh sebahagian orang tentang pentingnya bercinta sebelum menikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya
 dan syubhat. (Beliau lebih memilih perkataan 'tidak memuji' berbanding 
meletakkan 'hukum' samada 'haram' atau 'makruh' dsb boleh jadi kerana 
beliau meraikan pendapat orang yang pelbagai terhadap maksud 
'bercinta'.)
2.      Ramai orang yang memulai cara bercinta ini dengan cara yang tidak benar dan adil, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan pembicaraan yang tidak jelas dan seringkali dilakukan oleh anak muda ketika mengalami waktu kosong atau bosan.
3.      Pacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh sebahagian remaja puteri, dan ini biasanya sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri.
4.      Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudian ketagihan. Awalnya bergurau tapi akhirnya serius.
5.      Banyak situasi seperti ini berdampak kepada hal-hal yang tidak terpuji. Apatah lagi apabila dilakukan di tempat-tempat gelap, didalangi perasaan dan hawa nafsu, ditambah dengan godaan syaitan.
6.      Dalam keadaan seperti ini, remaja putera dan remaja puteri boleh terjerumus dalam kesalahan dan kenistaan, sebab keduanya bukanlah malaikat yang suci, dan juga bukan para Nabi yang maksum. 
7.      Lebih
 dari itu, kadang-kadang pacaran dilakukan oleh dua pihak yang tidak 
serasi dalam status sosial dan pendidikannya, sehingga keduanya 
dipisahkan oleh dinding pemisah dan tentangan yang menghalangnya tanpa 
berakhir dengan pernikahan. Dalam keadaan seperti ini, hati akan hancur berkeping-keping dan jiwa tertekan.
8.      Saya
 melihat cara terbaik untuk menikah adalah cara yang dilakukan oleh 
masyarakat Muslim Arab sebelum Barat memerangi kita. Iaitu memilih calon
 pasangan hidupnya dengan tenang setelah merisik keperibadian calon masing-masing.
9.      Perkara
 yang sesuai dirisik ialah: adakah sesuai antara keduanya dan 
kemungkinan akan berhasil menikah jika dilihat dari kemampuannya secara 
psikologi, kematangan akal, kemampuannya secara ekonomi, dan keadaan 
sosialnya, serta tidak ada penghalang yang akan menghambat pernikahannya
 dari salah satu pihak, atau keluarganya atau adat tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain sebagainya.
10.  Jika sudah merisik, seorang pemuda hendaklah dengan berani (gentlemen) datang mengetuk pintu rumah calonnya
 untuk menemui keluarganya. Si pemuda melihat calonnya dan wanita itu 
melihatnya tanpa mengetahui bahawa pemuda itu berminat kepadanya. Hal 
ini tidak lain untuk menjaga perasaannya, jika pemuda itu tidak tertarik
 kepadanya dan dia belum mendapat tempat di hatinya.
11.  Apabila kapak telah menancap di kepala, pada saat itu keluarga hendaklah melihatnya dengan bijaksana dan penuh hikmah dan tidak semena-mena dengan pendapat mereka dan menolak orang yang melamarnya tanpa sebab.
12.  Keluarga
 atau walinya hendaklah mengamatinya dengan baik, sebagaimana yang 
dianjurkan oleh hadis Nabi, “Tiada yang lebih patut kepada dua orang 
yang saling menyintai kecuali pernikahan.” (HR Ibnu Majah dan al-Hakim).
 Atau nikah adalah cara yang paling tepat untuk mengatasi hubungan cinta kasih ini, yang berhujung pada asmara dan kerinduan antara hati lelaki dan perempuan. 
13.  Yang paling diperhatikan dalam Islam dari pihak suami atau orang yang melamarnya adalah agama dan akhlak, dan keduanya merupakan faktor terpenting dalam keperibadian seseorang muslimah. (Fatawa Mua’sirah, ibid, juz. 2, hal. 348-349).
Kesimpulan
Subhanallah!
 Luasnya skop kupasan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkenaan
 isu ‘bercinta’. Tidak terkurung dari kaca mata hukum fekah semata-mata.
 (Hukum fekah adalah soal batas minimum yang tetap ada kepentingannya). 
Bahkan memberi panduan terhadap aspek perlaksanaan hukum secara ideal. 
Ini yang seringkali kabur di mata masyarakat.
Kupasan
 sebegini lebih membumikan kita kepada amal dan perlaksanaan dalam 
realiti hari ini. Tidak lagi tersepit dalam kekeliruan antara hukum dan 
perlaksanaan hukum. Perlaksanaan hukum mestilah mengambil kira hubungan 
dengan Allah dan hubungan sesama manusia untuk mendapat impak yang lebih
 hebat, di dunia dan di akhirat. 
Lebih
 istimewa, Pengerusi Majlis Ulama Sedunia ini memberikan pandangan yang 
pertengahan antara golongan yang memberat-beratkan dengan golongan yang 
bermudah-mudah.
Batasan
 pergaulan yang Islam gariskan banyak kebaikannya. Ia bukan sahaja 
memelihara kehormatan bahkan juga melindungi daripada punca-punca 
keruntuhan, keretakan dan kebimbangan. Lebih jauh daripada itu, batasan 
ini memelihara masyarakat daripada kebinasaan.
Barat
 dan segelintir orang Islam sendiri menuduh batasan-batasan ini sebagai 
konservatif. Apa sanggahan syeikh terhadap dakwaan mereka? Kita kupas 
dalam artikel akan datang, insya Allah. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan