Mengapa
 remaja `menghalalkannya’? Di era kemajuan kini, ramai yang lebih 
terbuka dalam membicarakan perihal seks dari pelbagai sudut dan 
perspektif walaupun masih ada yang menganggap ia sesuatu yang ‘taboo’ 
(pantang) dan tidak manis diperkatakan, terutamanya oleh mereka yang 
belum berkahwin.Lupakan sejenak perbezaan kedua-dua pendapat ini kerana 
realitinya, semakin ramai remaja terbabit dalam aktiviti seks luar nikah
 dewasa ini.
Mengikut
 Tinjauan Seks Sejagat Durex 2004 – membabitkan 350,000 responden dari 
41 negara – secara purata, seseorang mula melakukan hubungan seks buat 
pertama kali – hilang dara atau teruna – antara usia 16 tahun dan 20 
tahun atau purata usia 17.7 tahun.
Remaja
 Malaysia? Secara purata, remaja Malaysia melakukan seks kali pertama 
pada usia 19.3 tahun berbanding 20 tahun pada 2001 sedangkan kajian 
Persekutuan Persatuan-persatuan Perancangan Keluarga Malaysia (PPPKM) 
mendapati usia sesuai untuk berkahwin di Malaysia bagi lelaki adalah 28 
tahun dan 25 tahun bagi perempuan berbanding masing-masing 21 tahun dan 
belasan tahun, dulu.
Sukar
 untuk mempercayai perkara sedemikian berlaku di kalangan masyarakat 
yang membesarkan anak kecil mereka dengan gambaran bahawa seks adalah 
satu perkara yang ‘tidak baik’ melainkan adanya ikatan perkahwinan 
antara dua pasangan lelaki dan perempuan.
Adakah
 remaja hari ini tidak menerima lagi pandangan dan `didikan’ ini hanya 
kerana dunia dan masyarakat semakin moden, dunia tanpa sempadan dan 
globalisasi yang penuh mencabar?
Tidakkah
 mereka memikirkan masa depan yang akan gelap jika hamil sebelum 
berkahwin? Apakah yang akan terjadi pada persekolahan atau kerjaya 
mereka? Sekolah terbiar, kerjaya tergugat.
Belum
 lagi mengambil kira malu pada diri, keluarga dan masyarakat. Sanggup 
dibuang keluarga kerana menconteng arang ke muka mereka semata-mata 
kerana mengikut nafsu? Sanggup `dibelasah’ kerana merosakkan anak gadis 
orang? Pendek kata, dunia akan `tunggang-terbalik’!
Kebanyakan
 remaja yang terbabit dalam hubungan seks ini menyedari bahawa perbuatan
 mereka itu salah, tetapi rela membiarkan nafsu menguasai diri 
berbanding akal fikiran yang waras.
Ada
 juga yang terbabit dalam seks luar nikah ini memberi pelbagai alasan – 
seperti tekanan hidup – untuk `menghalalkan’ perbuatan mereka.
Bukan
 itu saja, ada yang melakukan seks oral (hubungan seks yang membabitkan 
mulut dan alat sulit saja) dengan anggapan bahawa ia ‘ringan’ dan tidak 
akan menyebabkan kehamilan.
Harus
 diingat, biarpun tidak menyebabkan kehamilan, ia masih berisiko untuk 
menyebarkan penyakit kelamin, herpes, sifilis dan hepatitis, sama 
seperti hubungan seks secara langsung.
Ramai
 remaja juga menerima perlakuan `intim’ seperti berpeluk, bercium atau 
seks antara pasangan kekasih, sebagai sesuatu yang normal.
Pihak
 berkaitan, terutama ibu bapa harus memandang serius perkara ini. 
Melihatkan peningkatan bilangan kelahiran anak luar nikah dan 
pengguguran bayi, remaja seharusnya didedahkan mengenai keburukan 
perbuatan ini pada fizikal, emosi, mental, sosial dan spiritual kepada 
pelakunya.
Pakar
 Psikologi dan Ketua Unit Pembangunan Penyelidikan Kesihatan, Fakulti 
Perubatan, Universiti Malaya, Prof Dr Sarinah Low Abdullah berkata, 
sesetengah ibu bapa tidak menitikberatkan pendidikan seks kepada 
anak-anak sehingga menyebabkan anak-anak itu berusaha mendapatkan 
maklumat yang ‘tidak selamat’ daripada sumber lain seperti rakan, buku, 
majalah, laman web atau cakera padat video (vcd) lucah.
Katanya,
 anak-anak ini harus diberi pendidikan nilai dan spiritual, yang akan 
membantu menjadi benteng menangani gejala tidak sihat.
“Tanpa
 nilai ini, remaja akan memudah `tergoda’ dengan pujuk rayu dan ajakan 
untuk melakukan perkara tidak baik kerana tiada disiplin dan prinsip 
yang kukuh untuk dipegang,” katanya.
Hubungan
 kekeluargaan yang erat juga mampu menghindarkan golongan remaja 
daripada melakukan perkara yang negatif dan pada masa yang sama, remaja 
juga harus berfikir dengan lebih rasional dan tidak terlalu terikut-ikut
 dengan budaya yang tidak baik.
30 peratus remaja `terjebak’… 
i-Kon
 turut menjalankan kajian mengenai isu ini. Kajian ini membabitkan 100 
remaja di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, berusia lingkungan 15 
tahun ke 30 tahun. Mereka ini terdiri daripada pelajar, penuntut 
institusi pengajian tinggi dan sebahagiannya sudah memasuki alam 
pekerjaan.
(Kadar
 maklum balas adalah 100 peratus – bermakna semua remaja yang didekati 
bersetuju untuk menyertai kajian ini. Peratusan kadar maklum balas 
penting bagi menentukan kajian ini sahih dan boleh digunakan)
Responden ini ditemui i-Kon dalam kajian yang dijalankan di pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam dan kedai makan.
Penemuan
 kami, 31 peratus (31 remaja) mengaku sudah melakukan seks dan tujuh 
daripadanya (23 peratus daripada 31 remaja) melakukan perbuatan itu 
ketika belum mencecah usia 15 tahun!
Mengejutkan?
 Sudah pasti ya kerana di kala usia masih mentah dan kehidupan 
seharusnya ditumpukan untuk mencapai cita-cita, remaja ini `hanyut’ 
melayan nafsu atas alasan ingin tahu dan cinta.
Lebih
 membimbangkan apabila sebahagian besar pelajar iaitu 65 peratus 
membenarkan pengguguran dilakukan jika mengandung anak luar nikah.
Sikap
 liberal remaja ini sememangnya `menggerunkan’ dan sewajarnya membuka 
mata pihak berkaitan untuk melakukan sesuatu kerana ia akan mendorong 
kepada amalan tidak sihat.
Walaupun
 kajian ini tidak mewakili keseluruhan remaja di negara ini, ia 
setidak-tidaknya dapat memberi gambaran mengenai pandangan remaja 
mengenai isu seks, pemahaman dan tahap kesedaran berhubungnya.
Penemuan lain kajian i-Kon:
57 peratus remaja mengaku pernah bercium, terutama dengan teman istimewa;
69 peratus remaja pernah berpeluk dengan teman istimewa;
80 peratus remaja berpegang tangan dengan teman istimewa;
55 peratus remaja pernah menonton filem lucah;
43 peratus remaja pernah melayari laman web lucah;
Majoriti remaja iaitu 81 peratus mendapatkan maklumat mengenai seks daripada buku dan majalah (bukan bahan bacaan lucah);
72 peratus remaja mendapat maklumat seks daripada rakan;
Kira-kira 30 peratus ke 40 peratus remaja mendapat pengetahuan mengenai seks daripada video, majalah dan laman web lucah;
59 peratus remaja bersetuju penggunaan kondom adalah antara kaedah perancangan keluarga yang berkesan;
Kira-kira 90 peratus remaja menganggap hubungan seks luar nikah sebagai tidak baik dan boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan