Pendidikan seksualiti  yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan  diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan  istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS). 
Timbalan  Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, melalui pelaksanaan di  bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu,  kementerian tersebut menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit,  dua kali sebulan di Sekolah Menengah dan 30 minit setiap minggu di  Sekolah Rendah. 
Seperti yang  dirancang, kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011  telah pun menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang  diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada  tahun ini. Langkah ini diambil kononnya sebagai langkah penyelesaian  masalah sosial, terutamanya dalam isu buang bayi. Namun, timbul  persoalan, adakah benar ini merupakan jalan penyelesaian bagi masalah  sosial ini, atau langkah ini sebenarnya timbul dek idea pemikiran  sekular berkiblatkan barat!
Tujuan Pendidikan Seks di Malaysia
Menurut  statistik rasmi, sejumlah 472 kes buang bayi dilaporkan sejak 2005  sehinggalah ke Ogos 2010. Daripada jumlah tersebut, Pengarah Jabatan  Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengatakan  bahawa 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah  meninggal [UM16/08/10]. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak  dalam reaksi kepada isu yang semakin serius ini mengatakan bahawa punca  sebenar permasalahan ini adalah daripada bidang pendidikan. Dan  penyelesaiannya juga turut membabitkan sektor tersebut. Nah, di sinilah  idea pendidikan seks yang telah lama diketengahkan oleh golongan liberal  menjadi lebih kuat  apabila pemimpin nombor satu  Malaysia meletakkan  kegagalan sistem pendidikan sebagai punca utama kerosakan akhlak remaja.
Sehubungan dengan itu perkara ini telah dikaji dan telah mendapat pelbagai respond   baik daripada pelbagai pihak. Menurut  Azriani Ab Rahman, Pensyarah  Perubatan Jabatan Perubatan Masyarakat Pegajian Sains Perubatan  Universiti Sains Malaysia, langkah ini bertujuan menyedarkan remaja  tentang implikasi hubungan seks sebelum berkahwin dan supaya mereka  berkata ‘TIDAK’ kepada seks sebelum berkahwin. [Utusan Malaysia  Online-Rencana-04/05/2010]
Media massa   pula terus menerus mempromosikan pendidikan seks agar diterima rakyat  di negara ini. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersama wartawan Metro  turut menjelaskan “hasrat murni” kerajaan tentang tujuan pendidikan seks  dilaksanakan. Menurut beliau, tujuan Pendidikan seks diadakan adalah  untuk memberi maklumat kepada pelajar dan mengelakkan mereka dari  terjebak dalam gejala sosial. Bagi membantu usaha berkenaan, kementerian  menyediakan draf Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan bagi  menangani salah laku dan jenayah seksual yang membimbangkan di kalangan  remaja.  Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, draf berkenaan  dihasilkan sebagai keprihatinan kementerian berkaitan isu sosial seperti  rogol, sumbang mahram, penderaan seksual dan hubungan seks bebas.  [Harian Metro, 7 April 2005]
Jika dilihat  daripada mata kasar, niat beberapa pihak tertentu yang menyokong dan  bersama-sama berusaha dalam pelaksanaan pendidikan seks ini kelihatan  sangat suci. Mereka tampak seperti mahu memastikan remaja hari ini  menjaga pergaulan dan menjauhi zina, seterusnya dapat mencegah jenayah  buang bayi. Namun, adakah benar langkah ini merupakan penyelesaian  tuntas bagi segala masalah melibatkan zina dan pembuangan bayi? Adakah  kita perlu terhantuk sekali lagi, baru mahu terngadah seperti yang  berlaku dalam isu PPSMI? Atau para pelajar  kita akan terus menjadi  mangsa….?
Propaganda Kapitalis
Tatkala  pemerintah sedang berusaha melaksanakan pendidikan seks di  sekolah-sekolah pada tahun ini, sumber bahan-bahan lucah masih terus  menular dengan mudahnya di seluruh negara tanpa ada satu penguatkuasaan  undang-undang untuk menghalang atau mencegah penularannya. Saranan  pihak-pihak ini berkaitan penularan bahan lucah ini adalah ibu bapa  perlu memantau aktiviti anak-anak mereka terutamanya semasa mengakses  bahan daripada internet. Saranan ini seolah-olah melihatkan pada kita  bahawa hanya ibu bapa sahaja pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini.  Namun, sejauh manakah ibu bapa mampu mengawal pergerakan anak-anak  mereka sedangkan ibu bapa hari ini disibukkan dengan urusan sekular  kapitalis yang menuntut mereka mencari sumber pendapatan lebih untuk  menanggung perbelanjaan keluarga? Saranan ini melihatkan juga kepada  kita bahawa barisan pemerintah di negara kita  seolah-olah tidak mampu  menyekat penyebaran bahan-bahan lucah ini. Pembuat dan pengedar video  lucah masih berleluasa dan tiada tindakan yang diambil untuk menyekat  orang ramai termasuk kanak-kanak melihat laman web lucah. Golongan yang  kerap dipersalahkan adalah individu itu sendiri, ibu bapa dan pihak  sekolah yang dikatakan kurang mengambil berat terhadap pergaulan  anak-anak, kurang memberikan didikan agama, penyebaran video lucah  secara haram dan sebagainya. Melihatkan senario ini, adakah benar  golongan sekular ini mahu  membanteras masalah sosial atau sebenrnya ini  adalah salah satu idea untuk mempromosikan seks. Kelihatan sangat  janggal apabila pendidikan seks dilaksanakan di sekolah-sekolah kononnya  sebagai langkah menyelesaikan masalah zina dan kes buang bayi, tetapi  dalam masa yang sama, penularan bahan lucah di internet terus dibiar.  Pemerintah Negara ini boleh menyekat sumber bahan lucah di internet jika  mereka benar-benar mahu melakukannya.
Jika  ditelusuri sejarah pendidikan seks yang telah lama diperkenalkan di  kebanyakan Negara Barat, sejarah ini telah membuktikan kegagalan  pendidikan seks dalam menyekat masalah zina dan pembungan bayi. “Setelah  diperkenalkan pelajaran seks di sekolah-sekolah dan kolej, kadar  penyakit dan kematian akibat berpunca dari gejala seks meningkat  mendadak. Ini kerana berkemungkinan setelah didedahkan di kelas,  pelajar-pelajar akan mempraktikkannya di luar kelas. Kesannya mereka  semakin ‘maju’ mengamalkan seks bebas kerana masyarakat barat  sememangnya tidak bermoral dan menyanjung tinggi kebebasan  bertingkahlaku. Satu kajian terbaru yang diadakan di UK mendedahkan  kehamilan dikalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat  aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks”[LifeSiteNews.com 15  Mac 2004].
British Medical Journal  pula mengatakan bahawa pendidikan seks sebaiknya dimulakan secepat  mungkin, misalnya seawal usia lima tahun. Menurut Journal tersebut,  walau bagaimanapun pendidikan seks sebenarnya gagal mencegah kehamilan  remaja, malah pendidikan seks tidak mengurangi kadar kehamilan remaja  menurut hasil kajian berbeza yang dilakukan di Britain dan Kanada.
Menurut Adam Marcus, seorang wartawan berita kesihatan, dalam artikelnya yang bertajuk Teen Sex Education A Total Failure Study telah  mengupas bahawa pendidikan seks yang dilaksanakan telah gagal  melambatkan aktiviti seksual remaja, gagal meningkatkan penggunaan  kontrasepsi dan gagal mengurangkan kadar kelahiran sebelum nikah di  Kanada.
Ironinya,  sangat aneh apabila masyarakat di negara yang majoriti muslim seperti di  Malaysia masih lagi terikut-ikut dengan segala percubaan penyelesaian  yang telah dijalankan di barat walaupun ternyata gagal menyelesaikan  masalah ini. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda dalam hadis riwayat Abu Said al-Khudri: 
“Kamu  akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi  sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang  biawak pun, kamu akan mengikuti mereka”, Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah Yahudi dan Nasrani yang kamu maksudkan?’. Jawab Nabi: “Siapa lagi kalau bukan mereka?”. (HR Muslim) 
Ternyata  benar, segala yang datang dari Barat kita ikuti walaupun ternyata barat  sebagai sang pencipta idea pendidikan seks ini sendiri gagal memastikan  objektif pendidikan seks ini dapat dipenuhi. Namun, barat sangat berjaya  membuatkan umat Islam hari ini terpaksa memilih idea bobrok mereka  sehingga umat Umat Islam tidak sedar penyelesaian sebenar yang sudah ada  di depan mata. Umat Islam terus berkiblatkan barat dan mengenepikan  al-Quran dan sunnah. Nah, racun liberalism kapitalisme sememangnya telah  menyerap masuk dalam sendi umat Islam dan sedang memamah-mamah setiap  inci daging umat Islam dan hanya menanti untuk rebah. Betapa berjayanya  propaganda kapitlisme ini!
Islam sebagai Penyelesaian
Islam telah  menetapkan bahawa tanggungjawab utama untuk mendidik anak-anak terletak  di atas bahu ibu bapa. Ini meliputi juga tanggungjawab pendidikan seks  kepada anak-anak. Maka, adalah sangat penting untuk ibu bapa, khasnya  para wanita muslimah yang merupakan madrasah pertama bagi anak-anak  mereka untuk memahami hakikat pendidikan seks menurut Islam. sebagaimana  sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang bermaksud:
“Tidak  ada seorang anakpun yang baru lahir kecuali dilahirkan dalam keadaan  suci. Kedua orang tuanyalah yang menyebabkan anak itu menjadi Yahudi,  Nasrani atau Musyrik”.[HR Muslim].
‘Pendidikan  seks’ yang dimaksudkan di dalam Islam bukanlah sesempit kefahaman  masyarakat barat yang hanya memfokuskan kepada aspek hubungan jenis,  atau masalah kesihatan reproduksi. Islam mengatur hubungan lelaki dan  wanita bukan mahram melalui sistem pergaulan (Nizhamul Ijtimaie) yang  merangkumi asas akidah, pembentukan akhlak (contohnya sifat malu), aspek  aurat dan cara berpakaian, sehinggalah ke isu ikhtilat, perkahwinan dan  perceraian, nasab keturunan serta kewajiban suami isteri. Penyelesaian  masalah sosial menurut Islam tidak meletakkan sistem pendidikan sebagai  sasaran utama untuk diperbaiki, tetapi melalui penerapan hukum Islam  secara kaffah dalam sesebuah Negara. Negara, masyarakat dan individu itu  sendiri mempunyai peranan masing-masing yang wajib dipenuhi dan  sekaligus dapat mencegah segala perilaku yang bertenatangan dengan  syarak.
Khatimah
Kegagalan  sistem Kapitalisme dalam menyelesaikan masalah seksual (seperti yang  termaktub di atas) seharusnya membuatkan umat Islam bertindak segera  untuk tidak mengambil hukum dengan merujuk kepada barat serta  menghancurkan serangan pemikiran kapitalis dan sekular yang hanya  menimbulkan kerosakan kehidupan manusia. Firman Allah swt:
“Tidakkah  kamu melihat orang-orang yang mengira dirinya beriman kepada apa sahaja  yang diturunkan kepadamu serta apa sahaja yang diturunkan sebelummu?  Mereka ingin berhukum kepada ‘Taghut’, sedangkan mereka diperintahkan  agar menolaknya. Dan sesungguhnya syaitan ingin menyesatkan mereka  dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya” [ TMQ An-Nisa’ : 60]
Berhukum  kepada ‘Taghut’ di dalam terjemahan ayat di atas bermaksud berhukum  dengan hukum selain Allah. Iaitu selain daripada apa yang telah  diajarkan di dalam Al Quran dan Sunnah. Dalil di atas dengan jelas  mengecam orang-orang yang menggantikan hukum Allah swt dengan yang lain.
Penyelesaian masalah sosial yang melibatkan zina dan pembuangan bayi menurut Islam akan dibincangkan panjang lebar pada keluaran.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan