Bumi
            ini harus terlepas dari belenggu penjajah, itulah tekad penduduk
            Tanah Melayu Apabila bendera 'Union Jack' diturunkan diiringi lagu
            God Save The Queen dan bendera Persekutuan dinaikkan, perasaan
            gembira dan terharu rakyat yang berhimpun di Padang Kelab Selangor
            Kuala Lumpur pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan
            kata-kata. Acara bersejarah yang menandakan berakhirnya era
            penjajahan di negara ini dan lahirlah sebuah negara yang merdeka dan
            berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957. Tarikh kemerdekaan Persekutuan
            Tanah Melayu (pada 31 Ogos 1957) telah diisytiharkan oleh Tunku
            Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956 di Padang Pahlawan,
            Bandar Hilir, Melaka. 
            
            
            
Pemimpin
            yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan kepada negara tidak lain
            Tunku yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'. Kemerdekaan negara
            sememangnya dirintis oleh Tunku yang memulakan usahanya melalui
            rundingan dengan kerajaan British pada Januari 1956. Rundingan
            tersebut berlangsung selama 3 minggu daripada 18 Januari hingga 8
            Februari 1956. Kemudiannya pada 9 Mei 1957 Tunku sekali lagi pergi
            ke London bersama Datuk Abdul Razak Hussain, Ong Yoke Lin dan V.T.
            Sambanthan untuk meneruskan rundingan. Kata sepakat dicapai dan
            British bersedia memberikan kemerdekaan. Peranan Tunku, Perdana
            Menteri yang pertama dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu
            sememangnya bukan sedikit.
            
            
            
Namun
            sebelum kemerdekaan dicapai oleh rakyat, pelbagai rintangan dan
            cabaran telah di harungi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Segalanya
            perjuangan terakhir telah bermula setelah Jepun menyerah kalah.
            Selepas British menguasai semula Tanah Melayu, cadangan menubuhkan
            Malayan Union dikemukakan pada Oktober 1945. Sir Harold MacMichael
            telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan
            supaya menyerahkan kuasa politik mereka kepada British. Pada 29 dan
            30 Mac 1946 satu persidangan khas anjuran Kongres Melayu Se-Malaya
            diadakan di Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya dalam sejarah
            nasionalisme Melayu, orang Melayu telah dengan lantang mengetepikan
            kepentingan kenegerian dan bersatu padu menentang rancangan Malayan
            Union. Kongres tersebut telah berjaya menggabungkan 41 pertubuhan
            Melayu pada masa itu dan kata sepakat diambil untuk tidak menerima
            cadangan Malayan Union. 
            
            
            
Maka
            pada 1 April 1946 iaitu tarikh asal penubuhan Malayan Union, tidak
            seorang pun raja Melayu hadir di istiadat pelantikan Gabenornya, Sir
            Edward Gent. Ini menimbulkan kesedaran kerajaan British bahawa orang
            Melayu menentang rancangan politik tersebut dan akhirnya cadangan
            Malayan Union dibatalkan. Dengan pembatalan penubuhan Malayan Union,
            British sedar bahawa tanpa sokongan orang Melayu rancangan untuk
            mengadakan satu bentuk pemerintahan di negeri Melayu tidak akan
            berjaya. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan
            melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 21 Januari 1946
            yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. 
            
            
            
Dalam
            masa yang sama gerakan nasionalis semakin berkembang. Pada 11 Mei
            1946 Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Johor Bahru berikutan
            resolusi yang dipersetujui di Kuala Lumpur (untuk menubuhkan satu
            parti politik). Dalam kongres tersebut UMNO ditubuhkan. Selain UMNO,
            Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga wujud sebagai parti yang
            berpengaruh dalam mendaulatkan bangsa Melayu. Pemimpin-pemimpinya
            termasuklah Ahmad Boestamam, Mohtaruddin Laso, Dahari Ali dan Dr.
            Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Mohamad. Terdapat juga kumpulan
            politik bercorak lebih keislaman dikenali sebagai Hizbul Muslimin
            yang bermaksud Pertubuhan Kaum Muslimin. Dasar pertubuhan itu ialah
            menubuhkan sebuah 'Negara Islam'. Golongan ini mengasaskan satu
            pertubuhan politik iaitu Parti Islam Se-Malaya atau Pas dalam tahun
            1951. UMNO diterima oleh British sebagai parti Melayu. Dalam tahun
            1949 seorang pemimpin Cina, Tan Cheng Lock telah menubuhkan
            Persatuan Cina Tanah Melayu (Malayan Chinese Association) iaitu MCA.
            Pada 1952 MCA diterima oleh UMNO. MCA dan UMNO bersetuju bekerjasama
            dan menubuhkan Perikatan. Kemudiannya Kongres India Tanah Melayu
            (Malayan Indian Congress) iaitu MIC ditubuhkan dan terus menyertai
            Perikatan. 
            
            
            
Bagi
            Sabah dan Sarawak perkembangan politiknya agak berbeza daripada
            negeri-negeri di Semenanjung. Sebelum 1841 kedua-dua negeri
            merupakan jajahan takluk kerajaan Brunei. Disebabkan beberapa
            pertimbangan dan keadaan politik, kerajaan Brunei telah menggadaikan
            Sarawak kepada James Brooke. Dalam tahun 1946 Vyner Brooke telah
            menyerahkan Sarawak kepada British yang menjadi jajahan British
            sehingga 1963. Sabah juga digadaikan oleh kerajaan Brunei kepada
            sebuah syarikat dinamakan The British North Borneo Chartered
            Company. Syarikat itu memerintah Sabah dari 1881 hingga 1946 sebelum
            diserahkan kepada kerajaan British. Sabah dan Sarawak kemudiannya
            menyertai Rancangan Malaysia pada 1963.
            



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan