Tidak dinafikan bahawa media mempunyai pengaruh yang besar 
dalam suatu masyarakat. Peranannya bukanlah sekadar menyampaikan berita 
dan maklumat kepada umum tetapi juga mempengaruhi 
pandangan atau sikap masyarakat, melalui laporan dan tulisan. Oleh yang 
demikian wartawan dianggap agen perubahan masyarakat.
Dalam konteks 
konflik politik di Selatan( Patani ) media utama ( dalam bahasa Thai) 
telah lama berperanan dalam pemberitaan. Pada pandangan kami sebagai 
pejuang Patani, didapati pandangan umum ( general opinion) dan cara 
pemberitaan yang dilakukan oleh para pengamal media dan wartawannya 
masih lagi berada di takok lama. Dengan kepesatan kemajuan di bidang 
penyebaran maklumat dalam dunia siber terkini tidak banyak perubahan 
yang dapat kita saksikan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa media Thai  TIDAK PERNAH  atau JARANG BENAR  berlaku adil kepada gerakan pejuang Patani dalam pemberitaannya. Dari tempuh masa 50 tahun lalu hingga sekarang masih lagi belum berubah.
Perkataan,panggilan
 atau istilah tertentu terhadap pejuang Patani seringkali membawa 
gambaran negatif apabila tersiar dalam media Thai. Satu daripada 
panggilan itu ialah "Penjahat atau Pengganas  Selatan" . Jelas sekali ia mencerminkan sikap prejudis yang melampau dan amat berat sebelah. Apakah
 wajar dilabelkan para pejuang yang membela nasib bangsanya sendiri 
sedemikian, hanya kerana semata-mata mereka menentang penguasaan Thai 
keatas mereka secara kekerasan? Kalau demikian apakah juga Raja Naresuan
 dan Raja Taksin itu Penjahat dan Pengganas kerana mereka juga bangkit 
menentang penguasaan Burma atas Ayutthaya pada masa lalu, juga secara 
kekerasan.?
Apabila Al-Marhum 
Tuan Guru Haji Sulong mengemukakan tuntutan 7 perkara pada tahun  1953 M
 beliau bukan sahaja ditangkap dan penjarakan, tapi juga dibunuh 
akhirnya atas tuduhan "memberontak " . Beliau hendak memberontak 
terhadap siapa? Apakah niat beliau mahu menukar kerjaan di Bangkok, atau
 hanya sekadar menuntut hak dan keadilan bagi Orang Melayu Islam di 
Selatan? Label ini masih lagi kekal sampai hari ini dan terus dijaja 
oleh pengamal media tertentu di Thailand tanpa mempedulikan sensitiviti 
rakyat Patani yang menyanjungi beliau sebagai seorang ulama besar.
Para pejuang juga dipanggil "Kumpulan/Gerakan Pemisah
 " . Perlu diperjelaskan bahawa KESEMUA gerakan perjuangan Patani adalah
 gerakan PEMBEBASAN (Liberation), bukan PEMISAH( Separatist). Dari segi 
ilmu sains politik ada perbezaan yang jelas antara gerakan pembebasan 
dengan gerakan pemisah .
Kesemua panggilan 
atau istilah tersebut dicipta secara sengaja oleh pemerintah Thai bagi 
memberi gambaran yang negatif terhadap para pejuang. Malangnya pihak 
media Thai , tanpa usul perikasa atau kajian secara objektif dan 
mendalam telah menelan bulat-bulat momokan itu, sekali gus meletakkan 
pihak pejuang pada keadaan yang dipandang serong oleh masyarakat awam 
Thai dan juga di mata dunia.
Berdasarkan perinsip utama kewartawanan "  Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar." Dalam
 konteks Patani  nampaknya tidak begitu. Wartawan Thai seringkali 
dilihat mengekori pasukan tentera atau polis, atau orang orang kerajaan 
ke suatu lokasi untuk membuat liputan. Ini sudah cukup bagi rakyat umum 
mengecap mereka sebagai "orang di pihak kerajaan" lalu tidak 
memberi kerjasama atau menyalurkan maklumat sebenar kepada mereka. 
Sedangkan maklumat sebenar adalah penting. Kerana halangan bahasa dan 
sikap tidak profesional , malas berusaha lebih, mereka mudah berpuas 
hati dengan maklumat dari sumber "second-hand", atau lebih malang lagi mereka catat apa sahaja yang "disuapkan"
 kepada mereka oleh pihak kerajaan. Lalu dapat disaksikan banyak lapuran
 berita yang selalunya berakhir secara "stereotype" begini : Pihak berkuasa masih lagi menyiasat kejadian itu, dipercayai dilakukan oleh para penjahat dari kawasan tersebut. 
Barangkali mereka lupa pada perinsip ini :To
 seek out and disseminate competing perspectives without being unduly 
influenced by those who would use their power or position counter to the
 public interest ,iaitu berusaha mencari dan menyampaikan pandangan 
 pandangan yang berbeza tanpa dipengaruhi oleh mereka yang (secara 
salah) menggunakan kuasa atau jawatan mereka bertentangan dengan 
kepentingan umum. Dalam melaksanakan tugasnya seorang wartawan 
menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta 
berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.
 Media
 Thai juga sedikit sekali memberi ruang kepada pihak pejuang menyuarakan
 pendapat untuk disampaikan kepada masyarakat umum seluruh Thailand, 
guna memberi penjelasan atas beberapa isu penting. Atau apakah sikap 
mereka itu seperti : mengapa mesti memberi ruang dan liputan kepada penjahat dan pengganas? 
 Sampai sekarang rakyat umum Thai masih lagi bertanya : mengapa orang 
Melayu di Selatan bangun menentang kerajaan ? Mengapa gunakan cara 
kekerasan ? Mengapa mahu berpisah dari Thailand ? Mengapa bom di sana 
sini melibatkan bukan sahaja pasukan bersenjata tetapi juga orang dan  
harta awam ? Mengapa guru ditembak mati ? ..dan beribu ribu soalan lagi
Perinsip kewartawanan : Give voice to the voiceless; document the unseen ( Berikan
 suara kepada yang tidak mampu bersuara ; rakamkan perkara terselindung 
),  ini menggesa supaya pihak media  membuka ruang dan peluang bagi 
pihak yang tertindas mengutarakan "suara" mereka. Pihak media Thai juga 
disarankan supaya mendokumenkan per kara
 perkara yang "diselindungi" secara sengaja, supaya apa yang benar akan 
terserlah. Jika tidak selama itulah khalayak umum Thai tidak akan 
mendapat maklumat sebenar dan orang Melayu Patani ,khususnya para 
pejuang ,akan terus dianggap sebagai penjahat, penentang kerajaan  atau 
lebih teruk lagi sebagai pengganas, sedangkan hakikatnya mereka berjuang
 untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas.
Berlainan pula 
dengan wartawan dan media asing. Mereka amat professional dengan 
pendekatan yang proaktif dan hasil pemberitaanya tidak berat sebelah. 
Mereka tidak mengharapkan sesuatu maklumat itu "disuapkan", tetapi 
berusaha keras untuk mendapat maklumat sebenar secara " Engaging the community"
 - berdamping dengan masyarakat. Meskipun mereka juga menghadapi 
kekangan bahasa dan budaya seperti wartawan Thai, akan tetapi sikap 
profesionalisma mereka yang  berpegang teguh dengan perinsip dan etika 
kewartawanan, mereka mudah sahaja memperolehi maklumat  dari sumber 
 asli yang boleh dipercayai(authentic) . Masyarakat Melayu Patani, 
terutama penduduk kampung, lebih mesra dengan wartawan asing berbanding 
wartawan Thai . 
Sebab itulah kita 
dapati berita dan maklumat yang di siarkan kepada khalayak umum oleh 
media asing jauh lebih baik dan bernilai daripada media Thai sendiri.  
Kadang kala terdapat perbezaan fakta dan maklumat , malah  bertentangan 
lansung dengan apa yang disiarkan oleh media Thai. Masyarakat dunia yang
 bilangan beribu juta, juga Bangsa Melayu di Nusantara seramai lebih 300
 juta, kini lebih memahami  penderitaan dan perjuang rakyat Patani jika 
dibandingkan dengan bilangan 60 juta rakyat Thai yang masih belum fahami
 konflik di Selatan .
Satu lagi isu penting dalam pemberitaan media Thai ialah fakta sejarah.
 Dalam konteks sejarah Patani, bermula dari era Empayar Langkasuka 
sampai kepada masa kini, media Thai lebih cenderung untuk merujuk kepada
 versi sejarah yang ditulis oleh bangsa mereka sendiri. Kedudukan dan 
perhubungan  negara bangsa pada masa lalu, khususnya melibatkan konflik 
Patani-Siam, hanya dilihat dari kaca mata sejarah Siam sahaja. Maka 
timbullah silap anggapan bahawa Patani itu asalnya milik Siam , 
negeri-negeri Melayu di Utara Semenanjung Melayu        ( Kelantan, 
Kedah, Terengganu dan Perlis )  adalah juga milik mereka. Sejarah Thai 
juga mendakwa sebahgian besar wilayah-wilayah yang kini berada dalam 
Negara negara jiran seperti Laos, Khmer  dan  Myanmar adalah pada 
asalnya miliki mereka. Pada hal jika dibaca sejarah versi negara-negara 
terbabit kita dapati mereka pula yang mendakwa kesemua kawasan tersebut 
itu adalah hak milik mereka tetapi ditakluki oleh Siam pada masa masa 
tertentu.
Jika kita rujuk 
kepada catitan sejarah yang direkodkan oleh bangsa bangsa asing yang 
pernah berhubung dengan Patani pada zaman dahulu seperti  China, Jepun ,
 Belanda , Portugis , Inggeris dan juga Arab, kita akan dapati catitan 
mereka amat jauh berbeza dan bertentangan dengan yang ditulis oleh orang
 Siam. Fakta inilah yang selalunya diabaikan oleh pengamal media Thai.
 Sudah begitu lama 
media Thai melabelkan pejuang Melayu Patani sebagai penjahat , pengganas
 dan pemberontak. Tetapi oleh kerana orang Melayu tidak ada saluran 
untuk bersuara, perasaan tidak puas hati itu terpendam begitu 
sahaja,berpuluh tahun lamanya. Ironisnya,baru baru ini, apabila pihak 
pejuang memanggil bangsa Thai sebagai "penjajah", mereka sangat 
terkejut dan terus melenting. Maka kita dapati media Thai mula 
berperanan membakar api kemarahan itu dalam siaran dan lapuran mereka. 
Sukar bagi mereka menerima hakikat bahawa mereka juga adalah satu kuasa 
penakluk atau penjajah di rantau ini. Padahal dalam sejarah bangsa 
Melayu di Nusantara sudah makruf bahawa bangsa Siam adalah satu kuasa 
penakluk dan penjajah seperti juga para penjajah dari benua Eropah.
 Proses Damai Kuala Lumpur  melalui Persetujuan Umum Berkenaan  Proses Dialog Perdamaian bertarikh 28 Febuari 2013 M
 telah membuka lembaran baru dalam memberi pengiktirafan kepada pihak 
pejuang. Mereka bukan lagi dirujuk sebagai penjahat atau pengganas 
tetapai secara rasmi digelar" mereka yang mempunyai pandangan dan ideologi berbeza daripada kerajaan
 (Thai). Hampir kesemua media asing utama dunia memberi perhatian yang 
serius dan bersikap optimistik terhadap  perjalanan proses ini ke arah 
perdamaian. Tetapi lain pula dengan setengah-setengah media Thai yang 
bukan sahaja bersikap dingin dan memandang serong usaha kerajaan mereka 
sendiri mahu mencarai penyelesaian secara damai, mereka menimbulkan 
banyak persoalan dan yang lebih teruk lagi ada yang bersikap anti proses
 damai. Kalau mereka tidak mahu konflik ini diselesaikan secara damai, 
apakah ada alternatif lain yang boleh mereka kemukakan ? Atau apakah 
media Thai mahu lihat pergolakan ini berterusan dengan korban jiwa dan 
harta benda yang lebih banyak, sama seperti sikap golongan tertentu yang
 akan hilang pengaruh dan perolehan dari imbuhan tertentu sekiranya 
berlakunya damai ? Apakah itu agenda mereka?
Di akhir-akhir ini 
kita dapati sebilangan kecil wartawan dan pengamal media Thai mula 
"celik mata" mahu melihat kebenaran untuk dihidangkan kepada masyarakat 
umum, bukan lagi "skrip" berat sebelah yang disudukan kepada mereka oleh
 pihak berkuasa. Mereka berusaha secara sendirian dengan gigih, membuat 
penyelidikan  dan siasatan teliti, berdamping dengan masyarakat yang 
berlainan bangsa, bahasa dan budaya . Apa yang mereka perolehi sebagai 
balasan ialah kepercaya rakyat yang dengan rela  membuka pintu hati  
meluahkan apa yang mereka ketahui dan apa yang terbuku di hati. Sebab 
itu kita dapat baca beberapa lapuran berbeza dari mereka ini,termasuk 
juga beberapa dokumentari, tentang beberapa peristiwa penting seperti 
kejadian Tragedi  Tak Bai yang diulas semula, kematian pejuang As Shahid
 Mat Rosol, pertempuran yang melibatkan syahidnya Ustaz Rahim atau "Pele
 Hitam" peristiwa tembak menembak di Paku, Thung Yang Deng dan yang 
terkini berkenaan dengan proses damai. Kesemua itu membawa perspektif 
baru dan seimbang bagi pemberitaan di Selatan. Melalui media seperti ini
 juga pandangan dari pihak pejuang mula boleh didengari. Malang sekali 
lapuran atau pandangan sedemikian kemudiannya dicap sebagai "suara BRN".
 Sesungguhnya tidak
 ada pilhan lain bagi wartawan atau pengamal media Thai selain daripada 
membuat anjakan paradigma ( Paradigm Shift ) dengan kembali menghayati 
Perinsip-perinsip Kewartawanan Sejagat ( The Universal Principles of Journalism ) dan juga  Perinsip-perinsip Panduan kepada Wartawan (Guiding Principles for Journalists),
 tanpa takut atau mengharapkan imbuhan tertentu. Dengan cara itu sahaja 
suara dari rakyat kerdil akan didengari  , kebenaran akan terserlah  dan
 keadilan akan terlaksana . Ia juga mampu meletakkan kerjaya 
kewartawanan dan media Thai pada satu tahap yang boleh dipercayai, 
diyakini dan dihurmati , bukan sahaja oleh masyarakat setempat , tetapi 
khalayak umum yang lain di seluruh Thailand dan Dunia 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan