Apabila tiba musim hujan, langit akan
mencurahkan airnya. Air pun mula melimpah di sana sini. Sehingga
mengakibatkan banjir di tempat-tempat tertentu. Apabila musim kemarau
melanda, bumi pun menjadi kering kontang.
Di sebalik kejadian yang dianggap lumrah
oleh manusia ini, ada satu persoalan yang perlu difikirkan bersama.
Mengapakah apabila tiba musim hujan, langit mencurahkan airnya tanpa
henti-henti sehingga berlaku banjir besar yang memusnahkan
segala-galanya. Akibatnya juga manusia yang tidak berdosa pun menjadi
mangsa dan binatang ternakan turut mati.
Mengapakah juga musim kemarau yang
berlaku berlarutan hingga segala parit dan anak sungai menjadi kering?
Sementara itu langit langsung tidak menurunkan airnya dalam masa yang
agak lama, panas membakar hingga tanaman dan tumbuhan di dunia musnah.
Akibatnya manusia hidup dalam kehausan dan terseksa.
Pernahkah kita terfikir mengapakah
apabila berlaku musim hujan di sana sini pada waktu yang sama ada
kawasan yang kering kontang tanpa hujan? Orang ramai di kawasan itu pula
hidup dalam kehausan kerana kemarau panjang terjadi secara tiba-tiba.
Apakah ini juga dianggap sebagai lumrah?
Sebenarnya apabila banjir sudah sampai
kepada had bahaya atau kemarau pula berlarutan sehingga bumi menjadi
kering kontang, atau terjadinya kemarau di musim hujan maka hal ini
tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa. Hal ini adalah musibah,
bala bencana dan keburukan, lebih-lebih lagi apabila sampai tahap
merosakkan dan memusnahkan jiwa dan harta benda.
Bala atau
bencana yang sering menimpa manusia sebenarnya adalah balasan daripada
Allah S.W.T terhadap kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Bala ialah
balasan di dunia sebelum manusia menerima balasan di akhirat.
Di dalam surah Asy Syura ayat 30, Allah berfirman yang membawa maksud;
“Dan apa jua yang menimpa kamu
daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan
apa yang kamu lakukan (akibat perbuatan-perbuatan yang salah dan
berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar
dosa-dosa kamu.”
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala
bala yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh dosa-dosa manusia.
Sekiranya Allah itu tidak mempunyai sifat pemurah dan penyayang, sudah
pasti setiap dosa yang dilakukan oleh anak Adam akan ditimpa bala dan
musibah yang tidak putus-putus. Tetapi kerana Allah itu bersifat Maha
Pengasih lagi Maha Pengampun maka banyak dosa-dosa manusia diampunkanNya
tanpa dibalas dengan bala.
Setiap bala yang diturunkan dan setiap
musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh dosa dan kesalahan
manusia itu sendiri. Apabila Allah menurunkan balaNya, bala ini bukan
sahaja menimpa mereka yang bersalah dan berdosa sahaja tetapi menimpa
keseluruhan manusia. Hal ini dijanjikan oleh Allah seperti firmanNya
dalam surah Al Anfal ayat 25 yang bermaksud:
“Dan jagalah diri kamu daripada
berlakunya dan (yang membawa bala dan bencana) yang bukan sahaja akan
menimpa orang-orang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan
menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab
seksaNya.”
Oleh itu apabila berlaku kemarau dan
seumpamanya, Islam menganjurkan supaya manusia memperbanyakkan
istighfar dan meminta ampun kepada Allah, berhenti dari melakukan dosa
dan kesalahan, setelah itu barulah boleh memohon kepada Allah supaya
diturunkan hujan.
Dalam surah Hud ayat 52, Allah berfirman yang bermaksud;
“Dan wahai kaumku, mintalah ampun
kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya supaya ia
menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di
samping kekuatan kamu yang tersedia ada, dan janganlah kamu
membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.”
Di dalam surah Nuh ayat 10 dan 11 Allah berfirman yang bermaksud;
“sehingga aku berkata (kepada mereka)
pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya ia adalah maha
pengampun (sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan
lebat yang mencurah-curah kepada kamu.
Di dalam dua ayat ini, dikaitkan soal
beristighfar kepada Allah dan meminta ampun di atas segala dosa dan
kesalahan. Setelah itu barulah Allah menurunkan hujan dari langit. Hal
ini menunjukkkan seolah-olah langit ditahan daripada menurunkan airnya
kerana dosa manusia yang terlalu banyak iaitu dosa meninggalkan apa yang
disuruh atau melakukan apa yang dilarang.
Di dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a yang bermaksud;
“Berkata Abdullah bin Umar, ketika
saya bersama sepuluh sahabat daripada Muhajirin di sisi Rasulullah S.A.W
tiba-tiba rasulullah S.A.W berpaling kepada kami lalu baginda bersabda,
menegah suatu kaum daripada mengeluarkan zakat harta mereka, bererti
mereka menegah langit daripada menurunkan hujannya, kalau lah tidak
kerana binatang (yang tidak berdosa yang hidup melata di bumi) tentu
hujan tidak akan turun ( sehinggalah mereka mengeluarkan zakat harta
mereka).”
Oleh yang demikian sebagai peringatan
kepada kita, jangan lah banyak melakukan dosa dan kesalahan andainya
kita tidak mahu ditimpa bala bencana. Oleh kerana kita juga terlibat
dengan bala bencana hasil daripada dosa dan kesalahan orang lain, maka
adalah baik kita juga beristighfar meminta ampun kepada Allah. Kalaupun
tidak dihilangkan terus bala itu, kita sekurang-kurangnya terhindar
daripada keburukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan