سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 5 membincangkan mengenai persoalan rasuah, 5 dosa-dosa besar iaitu mengambil riba, memakan harta anak yatim, lari daripada peperangan, derhaka kepada ibu bapa dan sumpah palsu, mewarnakan rambut, panjang angan-angan, khusyuk dalam solat, sebab-sebab doa tidak dimakbulkan, menghina ulama dan fadilat bersedekah.
Rasuah.
81.Apakah takrif rasuah dan perbuatan macamana yang termasuk dalam kategori rasuah?
Rasuah ialah “Memberikan apa jua bentuk pemberian seperti hadiah dan wang tunai untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan, pertolongan, diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan sebagainya dengan jalan yang salah."
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)”(Hadis Riwayat Abu Daud : 2943, Dinilai oleh Albani sebagai sahih)
82.Soalan: Apakah pengertian rasuah dalam konteks Islam pula?
Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT maksudnya : “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Baqarah ayat 188).
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani).
83.Soalan: Apakah punca punca dan kesan terjadinya rasuah ini?
Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja. Mereka yang memberi dan menerima rasuah adalah mereka yang lemah imannya dan tidak takut kepada kemurkaan Allah SWT.
Harta yang dimiliki bersumberkan rasuah tidak akan diberkati Allah SWT kerana kehidupan mereka dan keluarga tidak akan tenang untuk mengecapi kebahagiaan hidup.
Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, buruh kasar dan kumpulan dhaif yang lain .
84.Soalan: Apakah hukumnya jika kita terlibat dalam gejala rasuah tersebut?
Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita. Sedekah dan ibadah haji juga tidak akan diterima oleh Allah SWT. Alangkah ruginya mereka yang melakukan perbuatan rasuah ini kerana ibadah dan doa mereka menjadi sia-sia, dan tidak akan mendapat rahmat Allah SWT.
85.Soalan: Apakah akibat jika kita tidak menghindarkan gejala ini dari kehidupan kita?
Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.” (surah Ali Imran ayat 112)
Riba
86.Soalan: Apakah hukum mengambil riba?
Riba adalah salah satu dosa besar yang di laknat oleh Allah SWT . Di bawah ini di nyatakan dalili-dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW mengenai pengharaman riba.
Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman". ( Surah Al-Baqarah ayat 278)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah melaknat pemakan riba, pembayarnya, penulisnya dan dua orang saksinya." (Hadis Riwayat Daraqutni daripada Abdullah bin Handullah)
87.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Riba Nasi`ah?
Riba Nasi'ah. Menurut Qatadah, riba al-nasi'ah adalah riba kaum jahiliyyah dimana seorang menjual sesuatu hingga tempoh waktu tertentu. Apabila tempoh waktu itu tamat sedangkan pembelinya belum mampu melunasi pembayarannya maka harganya dinaikkan dan tempohya dilanjutkan lagi.
Mujahid mengatakan bahawa pada zaman jahiliyyah ada orang yang mempunyai hutang kepada orang lain, lalu yang berhutang berkata kepada pemberi hutang, "Hutang saya akan saya bayar "sekian (lebih)" dengan syarat anda melanjutkan tempohnya kepada saya". Lalu orang itu melanjutkan waktunya.
88.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Riba Fadhl?
Riba ini terjadi apabila seseorang menjual sesuatu dengan sejenisnya dengan tambahan, seperti menjual emas dengan emas, mata wang dirham dengan dirham, gandum dengan gandum dan seterusnya.
Dari Abu Said Al-Khudari, katanya, "Bilal datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa kurma kualitas Barni. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Dari mana kurma itu ?". Ia menjawab , "Kami punya kurma yang buruk lalu kami tukar beli dua liter dengan satu liter". Maka Rasulullah bersabda (maksudnya) : "Masya Allah, itu juga adalah perbuatan riba. Jangan kau lakukan. Jika kamu mahu membeli, juallah dahulu kurmamu itu kemudian kamu beli kurma yang kamu inginkan". (Muttafaq 'alaih)
89.Soalan: Zaman kini banyak bank yang menawarkan pinjaman yang ada unsur unsur riba seperti pinjaman rumah,kereta dan sebagainya. Bagaimanakah untuk kita menghindari perkara ini?
Untuk meninggalkan riba maka perlulah kita kembali kepada sistem perbankan Islam yang telah diperkenalkan oleh Bank Islam, Bank Muamalat , Bank Rakyat dan Perbankan Islam yang terdapat di dalam bank-bank yang lain.
Bagi membolehkan sistem perbankan yang diamalkan selaras dengan hukum Islam, urusniaga faedah (riba) adalah diharamkan sama sekali. Sebaliknya, bank masih boleh menjana keuntungan walaupun tanpa urusniaga riba melalui konsep-konsep berikut:-
* Mudharabah (perkongsian keuntungan)
* Wadiah (simpanan amanah)
* Musyarakah (usaha sama)
* Murabahan (kos tambahan)
* Ijarah (pajakan)
Harta Anak Yatim
90.Soalan: Apakah hukumnya jika kita diamanahkan menjaga harta anak yatim tetapi kita menggunakan dan memakan harta tersebut untuk kepentingan peribadi?
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan meraka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)." (Surah An-Nisa’ ayat 10).
Dalam ayat ini ada ancaman neraka bagi orang yang memakan harta anak yatim sehingga perbuatan ini hukumnya dosa besar.
Lari dari medan pertempuran
91.Soalan: Apakah hukumnya jika kita diberi tanggungjawab untuk menyertai suatu pertempuran untuk menyelamatkan negara tetapi kita lari dari menyertainya?
Berdosa besar bagi mereka yang lari dari peperangan kerana takut, tetapi tidak berdosa bagi mereka yang lari kerana ia adalah sebahagian taktik peperangan dan bagi mereka yang mencari perlindungan sebelum meneruskan peperangan tersebut.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah kamu tujuh dosa dosa besar yang membinasakan! Lalu para sahabat bertanya: Apakah dia wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Syirik kepada Allah, sihir,membunuh diri yang diharamkan, melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik berzina.” (Hadis Riwayat Bukhari (5/294), Muslim (90), Abu Daud (2874) dan an-Nasaie (6/257).
Derhaka kepada ibu bapa.
92.Soalan: Apakah hukum apabila kita menyakiti hati ibu bapa kita?
Berdosa besar sekiranya kita menyakiti hati ibu dan bapa kita. Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Keredaan Allah terletak pada keredaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi )
Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan orang beriman agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah al-Luqman ayat 14)
Bagaimana di dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya bersyukur kepada-Nya setelah itu bersyukur kepada kedua ibubapanya. Menunjukkan betapa penting seorang anak itu berterima kasih dan menyayangi ibu bapanya yang telah banyak berjasa kepada dirinya.
Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi. Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan muslim. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami."(Hadis riwayat Tabrani).
Sumpah Palsu
93.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Sumpah Palsu dan apakah hukum melakukannya?
Sumpah palsu iaitu jika seseorang bersumpah untuk melakukan sesuatu perbuatan, namun ternyata ia tidak melakukan perbuatan itu atau ia bersumpah tidak akan melakukan sesuatu perbuatan, namun nyatanya ia kemudian melakukan perbuatan tersebut.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang orang yang menukar janjinya dengan Allah dan sumpah sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata- kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak pula akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih. (Surah Ali Imran ayat 77)
Mewarnakan Rambut
94.Soalan: Apakah hukum jika kita mewarnakan rambut?
Terdapat beberapa hukum mengenai mewarnakan rambut :
1. Sunat :
Mewarnakan rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam.
2. Harus :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad.
b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.
3. Makruh :
a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh.
b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.
4. Haram :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b).
b) Mewarna rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.
Pewarna tersebut tidak mengandungi bahan yang tidak dibenarkan seperti najis dan menutupi air daripada kena kepada rambut serta tidak bertujuan menunjukkan kecantikan kepada orang lain.
Dengan syarat pewarna tersebut bukanlah dari jenis yang kekal yang bermaksud tidak mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan. Mereka juga hendaklah menggunakan perwarna yang suci dan halal dan tidak memudaratkan kesihatan individu seperti kanser,kekeringan rambut, alergik ataupun memudaratkan terhadap janin yang dikandung akibat bahan kimia pewarna.
Sifat Berangan-angan.
95.Soalan: Saya sering berangan angan sebelum tidur. Apakah hukum jika kita berangan–angan?
Jauhkan diri daripada panjang angan angan atau berangan kerana sifat ini adalah satu sifat peribadi yang tidak disukai oleh nabi SAW, mereka yang memiliki sifat ini sebenarnya malas berusaha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.
Meninggalkan (angan-angan) tentang masa depan yang belum pasti, tidak menyibukkan diri atau memaksa diri dengannya, tidak terlalu mengharapkannya, tidak larut dalam penantian terhadapnya dan tidak mengkhuatirkannya. Kehidupan harus ditumpukan kepada apa yang kita hadapi hari ini sahaja.
Ali berkata: “Jauhi oleh kamu panjang angan-angan, kerana hal tersebut boleh membuat kamu lupa (lalai).”
Rasulullah SAW mengajar kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud: "Ya Allah sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketakwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak dikabulkan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Khusyuk dalam solat
96.Soalan: Bagaimanakah mahu khusyuk dalam solat kerana saya sering terfikir perkara lain ketika mengerjakan solat?
Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadah solat. Apabila di dalam solat sesorang itu hendaklah merasai bahawa Allah SWT sering mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muqarabah. Nabi SAW di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajjud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah SWT. .Khusyuk dalam solat amatlah dituntut dalam Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al mukminun ayat 1-2).
Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar
Doa Tidak dimakbulkan.
97.Soalan: Apakah ciri ciri doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT?
Mengapakah doa-doa kita tidak memberi sebarang kesan dan dimakbulkan. Di manakah silapnya? Padahal kita telah berdoa dan meminta setiap hari. Sesungguhnya yakin dan percayalah bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan membiarkan dan menghampakan hamba-Nya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati kepada-Nya; Sebagaimana firman-Nya;
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya : “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Daku perkenankan permohonanmu itu.” (Surah Mukmin ayat 60)
Namun begitu seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah di Iraq. “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT pada hal kami selalu berdoa?”
Ibrahim Adham menjawab, “Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”
Lalu ditanyakan lagi, “Apa yang boleh mematikan hati?”.
Beliau menjawab, “Ada sepuluh perkara, iaitu:
1. Kamu mengetahui hak Allah SWT tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
2. Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak berusaha beramal dengannya.
3. Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah SAW tetapi kamu tinggalkan sunahnya.
4. Kamu mengecapi nikmat Allah SWT tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
5. Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya
6. Kamu mengaku adanya syurga tetapi kamu tidak beramal untuknya.
7. Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak menghindari darinya.
8. Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
9. Kamu sibuk mencari dan memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain, tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri
10. Kamu kebumikan jenazah saudaramu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya
Jika begitu, bagaimana mungkin Allah Ta’ala dapat mengkabulkan doa kamu?” .
Daripada sepuluh sebab itu, tersimpul satu sifat bahawa kebanyakan kita tidak menjalankan tugas sebagai hamba Allah yang sebenarnya. Sewajarnyalah kita tidak mendapat apa yang dihajatkan . Oleh itu perbaikailah hubungan kita dengan Allah SWT dan perhubungan kita sesama manusia.
Nasihat Daripada Ulama dan Orang Soleh.
98.Soalan: Apakah hukum jika kita menghina ulama atau orang soleh yang memberi ilmu dan menyebarkannya?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak. (Hadis riwayat Abu Daud dan At Tarmizi).
Menghina dan mengenepikan ulama serta menghalang mereka daripada menyampaikan ilmu malah membunuh mereka adalah satu kejahatan dan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa besar.
Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang mengingkari ayat ayat keterangan Allah, membunuh nabi nabi tanpa alas an yang benar dan membunuh orang yang menyuruh berlaku adil di kalangan manusia, maka sampaikanlah (berita menggembirakan) kepada mereka azab yang pedih. Mereka itulah orang yang terbatal amal perbuatannya di dunia dan di akhirat. Mereka tidak akan peroleh sesiapapun yang dapat member pertolongan.” (surah Ali Imran, ayat 21-22)
Sedekah
99.Soalan: Apakah balasan bagi orang yang suka bersedekah?
Islam menggalakkan sedekah dari golongan kaya kepada golongan miskin supaya jurang perbezaan di antara mereka dapat dikurangkan.
Firman Allah SWT maksudnya : “Apa-apa yang kamu belanjakan daripada perkara yang baik, memberi sumbangan harta benda dengan tujuan dan nilai yang baik dimana kebaikan itu akan kembali kepada diri kamu. Dan apa-apa yang kamu belanjakan kerana mencari keredaan Allah” (Surah al-Baqarah ayat 272)
Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis di atas menjelaskan bahawa selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.
100. soalan : Jika saya tidak berkemampuan bersedekah dengan harta, apakah yang boleh saya lakukan untuk mendapat ganjaran sedekah?
Jika saudara tidak berkemampuan dan tidak berharta untuk bersedekah dengan harta, saudara masih boleh bersedekah iaitu melalui hati (niat), lisan dan perbuatan.
Rasulullah SAW ada menyatakan dalam hadis-hadisnya bahawa sedekah itu boleh di bahagikan kepada tiga jenis iaitu sedekah dengan hati, lisan dan perbuatan.
Pertama sedekah dengan hati :
Niat yang ikhlas dalam apa jua pekerjaan.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).
Nabi SAW bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "
Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Setakat lintasan hati kita untuk membuat kebaikan belum dikira mendapat pahala disisi Allah s.w.t. selagi kita tak merancang dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Hadis diatas menjelaskan keazaman seseorang yang ingin bersedekah sekiranya ditakdirkan memiliki harta seperti orang kaya tersebut.
Kedua sedekah dengan lisan :
Berzikir seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah..."
(Hadis Riwayat Muslim)
Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud, "Perkataan yang baik adalah sedekah."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Antara ucapan yang baik yang dianggap sebagai sedekah adalah memberi salam, mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak menguris hati orang lain.
Ketiga sedekah dengan perbuatan :
1. Senyuman, sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah."
2. Solat : Solat adalah sedekah untuk diri sendiri. Berjalan ke masjid juga merupakan sedekah.
3. Puasa sunat : Puasa sunat adalah sedekah untuk diri sendiri.
4. Tidak mampu menunaikan haji dan umrah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Barangsiap yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Duha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah."
(Hadis Riwayat Abu Daud).
5. Manusia mempunyai sebanyak 360 sendi dan sedekahnya ialah solat Duha dua rekaat setiap hari.
6. Membuang atau mengalihkan sesuatu yang menghalangi jalan.
7. Membersihkan masjid dan menjaga kebersihannya.
8. Menolong insan yang memerlukan dan mendamaikan antara dua orang.
9. Memberi tumpang seseorang atau barang-barang dengan kenderaan.
10. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat serta membantu orang buta.
11. Memberi minum kepada sesama makhluk tidak kira samaada manusia atau binatang.
12. Memberi pinjaman wang atau menangguhkan bayaran balik pinjaman sekiranya orang yang meminjam tidak mampu membayar dalam tempoh yang sepatutnya dilangsaikan hutang tersebut.
13. Mengajarkan ilmu.
14. Menanam apa jua pokok atau tanaman, kemudian dimakan oleh makhluk Allah..
Oleh itu janganlah bertangguh-tangguh untuk bersedekah, walau pun dengan sumbangan seringgit, dengan niat yang baik, dengan kata-kata yang baik dan senyuman kerana sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam dari melaksanakan amalan sedekah ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan