Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah
melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya
dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya
masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Berdasarkan hadis di
atas jelaslah kepada kita bahawa Allah s.w.t Yang Maha Pengasih dan Maha
Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang
beriman bahawa untuk memasuki Syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah
melalui empat syarat sahaja.
Sedangkan seorang lelaki
yang beriman ia kena melalui banyak halangan dan dugaan dan
melaksanakan beberapa tanggung jawab kepada Allah s.w.t. terlebih dahulu
barulah ia layak memasuki Syurga Allah s.w.t melainkan para syuhada
yang syahid di jalan Allah s.w.t.
Empat syarat tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Melakukan solat lima waktu.
Solat merupakan pemisahan antara keimanan dan kekufuran yang haq dan yang bathil. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:”Maka
dirikankanlah solat itu (sebagaimana biasa)sesungguhnya solat itu
adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman ”
(Surah An-Nissa’ ayat 103)
Diriwayatkan dari Jabir
r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Perumpamaan solah
lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang
dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali
sehari.”(Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Puasa di bulan Ramadhan.
Dari Abu Hurairah
r.a. bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :: “Setiap amanalan anak Adam
(manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya
hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :” Kecuali
puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia
menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku” Bagi orang yang
puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau
berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau
mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi.” (Hadis
Riwayat Muslim )
Ketiga : Menjaga maruahnya.
Wanita solehah yang
menjaga maruahnya adalah wanita yang sentiasa menghiasi diri dengan
akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari
kemurkaan Allah s.w.t. Bila ia keluar rumah sentiasa menutup aurat dan
menjaga perhiasan diri tidak bersolek berlebih-lebihan dan
berwangi–wangian hingga menimbulkan fitnah, menjaga pergaulannya,
menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba. Dia adalah wanita
yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam,
mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan
tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi
seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang
tahajjud dan berdo’a kepada Allah hingga menitiskan air mata.
Sabda Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud :”Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah
perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”(Hadis
Riwayat Muslim)
Keempat : Mentaati perintah suami.
Rasulullah s.a.w.
bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat
menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila
disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan
dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.”(Riwayat Thabrani)
Seorang lelaki perlu
pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta
menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala
seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat
senjata.
Sahabat yang dimuliakan,
Wanita yang layak untuk
memiliki peluang dan jalan yang mudah ini adalah khusus untuk wanita
yang berkahwin kerana dengan perkahwinan ini barulah teruji kesetiaannya
menjadi isteri dan ibu yang solehah. Barulah segala kelebihan dan
pahala yang berlipat ganda akan diperolehi semasa berkhidmat sebagai
isteri dan ibu yang penuh bertanggungjawab.
Kekurangan untuk wanita
yang tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak
berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu Syurga
lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan
anak-anak. Bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam solehah dan menjadi
ahli Syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan hadis
Nabi s.a.w di atas.
Sekiranya seorang wanita
itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada
maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang,
berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan
mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati
suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha
Allah pun bergantung kepada redha suami.
Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin akan memiliki pahala yang besar seperti berikut :
1. Bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah di kala mengandung.
2. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan.
3. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba.
4. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada Neraka.
5. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa.
6. Lebih istimewa lagi
ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan
dapat tinggal bersama-sama Rasulullah s.a.w di Syurga kelak.
7. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala .
8. Lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.
Semua
kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang
menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah
dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Sekiranya seorang wanita
belum bertemu jodoh ia tidaklah termasuk dikalangan yang rugi kerana
soal jodoh adalah urusan Allah s.w.t.
Oleh itu wanita
dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang
dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, taqwa, berilmu
walaupun lelaki tersebut telah berkahwin dan bukan seorang hartawan.
Sabda Rasulullah s.a.w.
maksudnya : “Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan
berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan
kebinasaan. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau ia telah berkahwin?”
Jawab baginda, “Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).”
Maksudnya disini bukanlah menjadi satu masaalah bagi lelaki yang telah
berkahwin untuk melamar dan mengawini seorang wanita. (berpoligami)
Begitulah besarnya
pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk
keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan
wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan
ibu sudah memperolehi banyak pahala.
Kalau suami redha dengan
perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk Syurga tanpa melalui
kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang
menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita
solehah yang berada di bawah naungan suami.
Sahabat yang dikasihi,
Kenapakah Nabi s.a.w ada
mengatakan ramai ahli Neraka adalah wanita? Apakah salah silapnya yang
menjadikan penghuni Neraka majoritinya adalah wanita.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut :
1. Wanita sering tidak
bersyukur dengan nikmat rezeki yang dibawa balik oleh suaminya. Suka
kepada kemewahan dan perhiasan yang hebat-hebat dan cantik.
2. Wanita sering
menderhakai pada suaminya. Suka berbantah-bantah dan sentiasa menegakkan
pendapatnya tanpa menghiraukan perasaan suami. Wanita yang meminta
cerai kerana suaminya bercadang berpoligami adalah satu dosa kerana hak
berpoligami adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada kaum lelaki.
3. Wanita sering tidak
menjaga kehormatan diri seperti suka membuka aurat (tidak bertudung
kepala) dan suka berhias-hias untuk memperlihatkan kecantikannya kepada
yang bukan mahram atau suami dan tidak dapat menjaga batas pergaulan
yang ditetapkan syariat.
4. Wanita sukar untuk
menjaga lidahnya daripada mengumpat dan mengadu domba. Dan sering
menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suami dan orang lain. Terdapat
juga sebahagian wanita yang fasik tidak dapat mengawal nafsunya hingga
sanggup melakukan zina.
Sahabat,
Oleh itu wahai
sahabat-sahabatku wanita yang beriman! Jauhlah diri kalian daripada
amalan dan perbuatan yang mendatangkan dosa besar dan akan mengheret
kalian ke Neraka Jahannam. Rebutlah peluang keemasan ini iaitu melakukan
ketaatan kepada empat perkara yang dinyatakan di atas. Ini adalah
tawaran Allah s.w.t yang paling mudah untuk kalian memasuki Syurga Allah
s.w.t melalui mana-mana pintu Syurga yang kalian pilih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan