
Telah dijelaskan sebelum
 ini menjelangnya kemunuculan Dajjal, kaum muslim mempunyai kekuatan 
yang besar dan terlibat dalam peperangan dan berjaya. Dajjal muncu untuk
 menghancurkan kekuatan Islam yang telah berjaya mengalahkan negara 
terkuat pada masa itu, yakni bangsa Rom. Kaum muslim juga berjaya 
merebut kembali Konstantinopel. 
Pada saat itu, syaitan 
berteriak bahawa dia telah menjamin (harta) anak keturunan kaum muslim, 
sehingga mereka meninggalkan harta ganimah dan kembali ke kampung 
halaman mereka. Kemudian Dajjal muncul, maka kaum muslim tidak 
meletakkan senjata mereka. Ketika Nabi Isa turun, dia melihat kaum 
muslim "bersiap sedia untuk berperang dan merapatkan barisan." Tidak 
ragu lagi, pada ketika itu, setiap muslim bergabung dengan kekuatan 
Islam yang memikul bendera jihad fisabilillah dan berpegang teguh di 
atas kebenaran walaupun apa jua ujian yang menimpa. Inilah yang 
diwasiatkan oleh Rasulullah SAW yang menceritakan kemunculan 
Dajjal, "Dajjal keluar di daerah antara Syam dan Iraq. Kemudian dia 
membuat kerosakan di sebelah kanan dan kirinya. Wahai hamba Allah! 
Kuatkan iman kalian!" (HR. Muslim 2937 dan Ibn Majah 4075).
Setiap muslim tidak 
dibenarkan mendatangi Dajjal, walau pun dia percaya pada dirinya 
sendiri. Sebab, Dajjal mempunyai tipu daya yang boleh menggoncangkan 
iman. Dalam hadis Abi Dawud diriwayatkan dengan sanad sahih daripada 
Imran ibn Husain bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Siapa mendengar ada 
Dajjal, hendaklah dia menjauhi dirinya. Demi Allah, seorang lelaki 
mendatanginya dengan rasa percaya diri sebagai seorang mukmin, namun 
akhirnya dia mengikuti Dajjal, kerana tipu daya yang dilakukannya. "
Orang yang tidak mampu 
melawannya boleh lari. Inilah yang dilakukan oleh kebanyakan orang pada 
masa itu. Dalam Shahih Muslim diriwayatkan bahawa Ummu Syarik berkata, 
"Aku mendengar Nabi SAW bersabda, 'Orang-orang akan lari ke gunung 
kerana (takut) Dajjal'."
Bila seorang mukmin 
terpaksa menghadapinya, dia harus melawan dengan kebenaran dan hujjah 
(argumentasi yang kuat). Dalam hadis disebutkan, "Bila dia (Dajjal) 
muncul dan aku bersama kalian, aku akan berdebat dengannya. Bila dia 
muncul ketika aku tidak bersama kalian, seseorang akan berdebat 
dengannya, dan Allah menjadi penggantiku atas setiap muslim. "
Rasulullah SAW 
memberikan pengetahuan tentang Dajjal. Dajjal mempunyai fizikal yang 
boleh melihat, makan, minum, sedangkan Allah tidak dapat dilihat di 
dunia, suci dari makan dan minum. Dajjal mempunyai cacat di matanya. 
Dalam hadis dinyatakan, "Dia adalah pemuda berambut keriting pendek, 
matanya menonjol seolah-olah dia mirip dengan Abdul 'Uzza ibn Quthn. 
Oleh itu, tuntutan orang
 yang demikian sebagai Tuhan merupakan dusta dan bohong. Rasulullah SAW 
memerintahkan orang yang bertemu dengannya agar membaca surah al-Kahfi. 
Sabda Rasul SAW, "Siapa yang menemuinya, hendaklah dia membaca surat 
al-Kahfi." 
Dalam hadis Abu Umamah 
dinyatakan, "Sesungguhnya di antara fitnahnya, dia (Dajjal) mempunyai 
syurga dan neraka. Nerakanya adalah syurga, surganya adalah neraka. 
Siapa diuji dengan nerakanya, hendaklah ia mohon pertolongan kepada 
Allah dan membaca awal surat al-Kahfi..."
Dalam hadis sahih disebutkan, "Orang yang hafal sepuluh ayat dari surat al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal." 
Menurut sebahagian 
hadith, diterangkan bahawa yang dimaksudkan adalah surah awal al-Kahfi 
dan menurut sebahagian lagi adalah akhir surat al-Kahfi. 
Kenapa membaca awal dan 
akhir surat al-Kahfi boleh melindungi kita dari Dajjal? Sebahagian ulama
 menjawab: Itu kerana Allah memberitahu di awal surah ini bahawa Allah 
melindungi para pemuda al-Kahfi dari penguasa zalim yang hendak 
membinasakan mereka. Jadi, Allah menyambung bahawa keadaan orang yang 
membaca ayat-ayat ini sama seperti keadaan para pemuda itu, yakni 
diselamatkan dari Allah. 
Ada lagi pendapat yang 
menyatakan bahawa itu kerana di awal surah al-Kahfi ada 
keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda yang meneguhkan hati orang yang 
membacanya, sehingga dia tidak terkena fitnah Dajjal, serta tidak merasa
 aneh, tidak tertipu dan tidak terpengaruh dengan apa yang di bawa 
Dajjal. 
Di antara perkara yang 
dapat melindungi kaum muslim dari Dajjal adalah berlindung ke Mekah atau
 Madinah, kerana Dajjal tidak boleh masuk ke dalam bandar tersebut. 
Rasulullah SAW telah 
menyebutkan kepada kita bagaimana orang lelaki yang soleh menghadapi 
Dajjal dengan kebenaran dan dia bersikap dan berkata tegas kepada 
Dajjal, sebagaimana dijelaskan dalam hadis di atas. 
Hal lain yang dapat 
menyelamatkan diri dari Dajjal adalah berlindung kepada Allah dari 
fitnah Dajjal. Hadis-hadis nabi memerintahkan seorang muslim untuk 
berlindung kepada Allah dari fitnah Dajjal. Dalam Sahih al-Bukhari 
diriwayatkan bahawa Aisyah berkata, "Aku mendengar Rasulullah berlindung
 dalam solatnya dari fitnah Dajjal." 
Rasulullah SAW selalu 
bertaawuz dari fitnah Dajjal setelah tasyahud. Beliau berdoa: "Ya Allah,
 sesungguhnya kami berlindung kepadaMu dari azab jahannam, azab kubur, 
fitnah hidup dan mati, serta fitnah Almasih Dajjal." 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan