Abdullah ibn Umar berkata, Rasulullah s.a.w. telah menghampiri kami lalu bersabda: “Wahai
 Muhajirin, kamu akan ditimpa 5 bencana; semoga Allah tidak mengizinkan 
kamu hidup untuk menyaksikannya: (1) Apabila zina berleluasa, ketahuilah
 bahawa ia tidak berlaku tanpa ditimpa penyakit-penyakit baru yang tidak
 pernah diketahui/dialami oleh manusia sebelumnya.


(2)
 Apabila manusia menipu dalam timbangan, ia tidak berlaku tanpa ditimpa 
kemarau dan kebuluran ke atas orang ramai serta ditindas oleh pemerintah
 mereka.

(3) Apabila manusia tidak memberi zakat, ketahuilah bahawa hujan akan tertahan ke atas mereka.

(4)
 Apabila manusia memutuskan perjanjian mereka dengan Allah dan RasulNya,
 ketahuilah bahawa Allah akan menghantar musuh kepada mereka untuk 
merampas kepunyaan mereka.

(5)
 Apabila pemerintah mereka tidak memerintah mengikut Kitabullah, 
ketahuilah bahawa Allah SWT akan pecah-belahkan mereka dan menjadikan 
mereka berbalahan sesama mereka.”

;- (Riwayat Ibn Majah, Kitab al-Fitan (Hadith 4019), 2/ 1332)
Daripada
 Abu Hurairah r.a. ia berkata; suatu ketika Rasulullah s.a.w. nampak di 
tengah-tengah orang ramai. Lalu baginda didatangi oleh seseorang yang 
menanyakan kepadanya: "Wahai Rasulullah s.a.w. bilakah terjadinya kiamat?" Nabi s.a.w. menjawab
 dengan bersabda: "Tidaklah orang yang ditanya mengenai masalah itu 
lebih mengetahui daripada yang bertanya. Akan tetapi aku akan 
memberitahukan kepadamu tentang tanda-tandanya. Iaitu, jika seorang 
ammah (hamba perempuan) melahirkan majikannya, itulah yang termasuk di 
antara tanda-tandanya. Juga apabila orang-orang yang tidak beralas kaki 
dan tidak berpakaian menjadi pemimpin masyarakat, maka itu juga di 
antara tanda-tandanya. Demikian pula apabila para pengembala domba 
berlumba-lumba meninggikan bangunan, maka itulah salah satu tandanya di 
antara tanda-tanda yang lima, yang mana tidak mengetahui yang 
sesungguhnya selain Allah SWT." Kemudian baginda membacakan ayat berikut
 ini: "Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan 
tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, serta mengetahui
 apa yang ada di dalam rahim";- (Riwayat Ibn Majah).
Anas ibn Malik berkata, “Nabi
 s.a.w. bersabda: “Zaman Dajjal adalah zaman kekeliruan. Manusia akan 
percaya pendusta dan tidak percaya orang yang berkata benar. Manusia 
tidak percaya orang yang amanah dan mempercayai orang yang khianat. Dan 
Ruwaibidhah akan diberi perhatian.” Sahabat bertanya “Siapakah 
Ruwaibidhah itu?” Sabda Baginda, “Orang-orang yang menentang Allah yang 
diberi penghargaan untuk berucap kepada masyarakat.”;- [Musnad Ahmad, 3/220].
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak akan tiba hari kiamat, sehingga manusia bermegah-megah dan berlebih-lebihan dalam urusan masjid";- (Riwayat Abu Dawud).
Daripada Anas r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kelak, di akhir zaman, akan ada ahli ibadah yang bodoh dan para qari yang fasik";- (Riwayat Ibnu 'Adi).
Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Akan
 muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang 
muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak 
mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), 
tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar 
agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu 
dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat 
menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat.";-(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah s.a.w, bersabda: "Akan
 tampil di akhir zaman manusia-manusia yang melakukan tipu daya dengan 
memakai topeng agama. Mereka menyuruh manusia memakai pakaian yang 
dibuat dari bulu domba (bulu kambing) yang halus, lidah mereka lebih 
manis berbanding gula, sedang hati mereka laksana hati serigala.”;- (Riwayat Tirmidzi).
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan
 timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan 
menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat 
daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat 
simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. 
Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang 
jahat). Allah s.w.t. berfirman kepada mereka: "Apakah kamu tertipu 
dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada 
Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang 
akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( 
cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)";- (Riwayat Tirmidzi).
Banyak
 lagi hadith-hadith Sahih yang menggambarkan fitnah-fitnah dunia akhir 
zaman. Berdo'alah kita agar sentiasa terselamat dari bencana akhir zaman
 dan tidak tergolong di antara orang-orang yang menzalimi diri sendiri 
dan orang lain. Kesemuanya telah berlaku di zaman kita 
ini...Wallahua'lam
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan