Isnin, 27 April 2015

KHATIB KHUTBAH JUMAAT

Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa-Taala, dengan melaksanakan segala perintah serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. 
 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Subhanahu wa-Taala Manusia yang hidup di dunia ini tidak dapat lari daripada menerima qada' dan qadar Allah Subhanahu wa-Taala  seperti musibah yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan sebagai cabaran dan ujian daripada Allah Subhanahu wa-Taala  dan harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Firman Allah Subhanahu wa-Taala  dalam surah al-Baqarah, ayat 155 
 Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. 
 
 Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah seperti bala bencana amat perlu kepada seorang hamba Allah Subhanahu wa-Taala. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang redha terhadap qada' dan qadar Allah Subhanahu wa-Taala, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita daripada bersikap marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi musibah yang dialami. 
 Baru-baru ini, beberapa negeri di Malaysia  telah berlaku kejadian banjir yang menyebabkan kehilangan rumah, kerugian harta benda dan pendapatan. Negara kita juga sering berdepan dengan beberapa kejadian yang dikatakan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan ombak besar Tsunami. Negara kita juga sering berdepan dengan gegaran kecil terutamanya di bangunan-bangunan tinggi, akibat kejadian gempa yang berlaku di negara jiran. 
 
 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Subhanahu wa-Taala Dalam Al-Quran, Allah Subhanahu wa-Taala   menceritakan banyak tamadun manusia dimusnahkan oleh Allah Subhanahu wa-Taala  melalui bala bencana. Antaranya kaum Nabi Nuh AS dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth AS dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bala bencana yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah Subhanahu wa-Taala atas kekufuran dan kemungkaran mereka. 
 Perlu difahami bahawa bala bencana juga boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Demi wang ringgit, bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem keseimbangan alam semesta tergugat. Insafilah peringatan Allah dalam surah al-Rum ayat 41: 
 Yang bermaksud: Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). 
 
 Ayat ini menjelaskan, bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam semesta. Tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan kitaran alam, adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat. Adalah menjadi kewajipan semua pihak memastikan kawasan atau tempat kediaman terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan kitaran alam sekitar. Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal. Dalam keadaan dilanda bala bencana setiap pemimpin masyarakat berkewajipan mengumpul maklumat mangsa untuk memudahkan tindakan menyelamat dijalankan. Manakala bagi pertubuhan bukan kerajaan pula perlulah mengadakan penyelarasan dengan agensi kerajaan dalam usaha membantu kebajikan mangsa-mangsa bencana, agar semua mangsa menerima kebajikan dan layanan yang sama rata. Mimbar hari ini menyeru kita semua agar bersama-sama berusaha meningkatkan amal soleh dan menunaikan segala perintah Allah Subhanahu wa- Taala   serta meninggalkan larangan-Nya, sesungguhnya bala bencana ini diturunkan sebagai ujian Allah Subhanahu wa-Taala antaranya kepada golongan yang tidak beriman, melakukan maksiat dan perpecahan di kalangan umat Islam. Allah Subhanahu wa-Taala  berfirman dalam surah al-Araf ayat 98 dan 99: 
 Yang bermaksud: Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu berasa aman (bersenang hati) daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka berasa aman akan balasan buruk daripada Allah? kerana (sebenarnya) tidak ada yang berasa aman daripada rancangan balasan buruk yang diatur oleh Allah itu melainkan orang yang rugi. 
 
 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Subhanahu wa-Taala Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa-Sallam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari : 
 Yang bermaksud: Tidak ada sesuatu pun yang menimpa seorang muslim berupa kelelahan, kesusahan, kesakitan, penganiayaan dan hal-hal yang dibenci, sehingga duri yang menyakitinya, kecuali Allah akan memberi ampunan terhadap dosa-dosanya oleh sebab hal-hal tersebut 
 
 Oleh itu, marilah kita bersama-sama bermuhasabah, redha dengan ketentuan Allah Subhanahu wa-Taala kerana musibah yang melanda diri kita akan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran di akhirat nanti. Marilah kita bersatu padu dalam memartabatkan syariat Islam dan jauhkan permusuhan sesama kita. Di samping itu, tingkatkanlah amal ibadah, iman, peningkatan ilmu pengetahuan dan kesabaran. 
 Allah Subhanahu wa-Taala berfirman dalam surah Al-Jaathiyah ayat 9 : 
 Yang bermaksud: Apabila dia mengetahui sesuatu daripada ayat-ayat Kami, maka ayat-ayat itu dijadikan bahan ejekan. Mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin