“Lelaki zina tidak boleh menikah kecuali dengan penzina perempuan atau dengan perempuan musyrik, dan perempuan zina tidak boleh menikah kecuali dengan lelaki penzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan bagi orang-orang mu’min” (an-Nur : 3)
Adakah sah perkahwinan dengan penzina?
Berdasarkan ayat 3 di dalam Surah an-Nur, ulama salaf telah berselisih pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:
- Diharamkan menikahi penzina, ia diriwayatkan daripada 'Ali, Al-Bara', 'Aisyah dan Ibn Mas'ud radhiallahu 'anhum ajma'in.
- Dibenarkan menikahi penzina. Ini diriwayatkan daripada Abu Bakar, 'Umar, Ibn 'Abbas, dan ini merupakan pendapat majoriti ulama'. Inilah jua pendapat ulama' mujtahid empat mazhab.
· Dalil pendapat pertama:
1. Mereka mengharamkan pernikahan dengan penzina berdasarkan zahir ayat
﴿الزاني لاَ يَنكِحُ إِلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً﴾. Mereka menerangkan: Sesungguhnya ayat ini pada zahir merupakan ayat keterangan dan pada hakikatnya ia menunjukkan larangan dan pengharaman (menikahi penzina) berdasarkan dalil pada penghujung ayat tersebut:
﴿ وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ﴾ “Hal ini diharamkan ke atas orang mukminin”.
﴿ وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ﴾ “Hal ini diharamkan ke atas orang mukminin”.
2. Diriwayatkan 'Ali radhiallahu 'anhu berkata: Apabila seorang suami berzina, maka dia hendaklah dipisahkan daripada isterinya, dan apabila seorang isteri berzina, dia hendaklah dipisahkan daripada suaminya. Mereka jua menggunakan hadis Marsad sebagai dalil.
Imam Ibn Kathir membawakan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal:
Daripada ayat ini, Imam Ahmad berpendapat bahawa tidak sah pernikahan seorang lelaki yang baik dengan perempuan zina selagi mana perempuan itu terus dengan sifat kejinya melainkan apabila dia telah bertaubat. Seandainya dia telah bertaubat, maka sah menikahinya, jika dia belum bertaubat, tidak sah menikahinya. Begitu juga, tidak sah pernikahan seorang wanita yang baik dengan lelaki penzina sehinggalah lelaki itu bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Ini berdasarkan firman Allah:” Diharamkan hal ini kepada orang beriman”.
· Dalil pendapat kedua (majoriti ulama'):
1. Dihikayatkan daripada 'Aisyah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ditanya tentang seorang lelaki yang telah berzina dan mahu menikahi perempuan yang telah dia zinai. Diriwayatkan baginda sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Awalnya adalah penzinaan, dan akhinya adalah pernikahan. Sesuatu yang haram tidak akan mengharamkan sesuatu yang halal.
[Takhrij al-Kasyaf : 2/419,pada sanadnya terdapat perawi bernama Uthman bin Abdul Rahman. Ibn Hibban berkata dia meriwayatkan riwayat palsu daripada perawi thiqah. Tidak boleh berhujah dengannya]
2. Diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas radhiallahu 'anhuma, beliau ditanya tentang hal tersebut lalu beliau menjawab: Awalnya ialah zina, dan akhirnya ialah nikah.
[Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan as-Saghir, Kitab an-Nikah: 1103]
Di dalam kitab-kitab tafsir dinukilkan pelbagai pendapat ulama’ dalam memahami ayat 3 dari Surah An-Nur ini. Secara ringkasnya, ia boleh dibahagikan kepada tiga pendapat yang besar iaitu:
· Pendapat pertama: Yang dimaksudkan “Tidak bernikah” dalam ayat di atas ialah seorang lelaki yang terus menerus berzinatiada kecenderungan untuk menikahi perempuan muslimah yang solehah, sebaliknya dia lebih tertarik kepada perempuan fasiq yang keji atau perempuan musyrik. Begitu juga, kebiasaannya, perempuan yang fasiq lagi keji tidak tertarik untuk menikahi lelaki yang soleh dan beriman, sebaliknya dia lebih tertarik untuk menikahi yang sepertinya jua ialah lelaki jahat dan musyrikin. Inilah yang biasa berlaku.
· Pendapat kedua: Yang dimaksudkan “Tidak bernikah” dalam ayat di atas ialah tidak melakukan persetubuhan haram.
Ia bermaksud seorang lelaki penzina tidak akan berzina melainkan dengan perempuan penzina atau pun perempuan musyrik. Ini merupakan pendapat yang dipegang oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma dan anak-anak muridnya.
· Pendapat ketiga: Yang dimaksudkan “Tidak bernikah” dalam ayat di atas bermaksud tidak berkahwin.
Antara ulama yang berpegang pada pendapat ini ialah Imam al-Qurthubi dan az-Zujaj. Imam al-Qurthubi membawakan perkataan az-Zujaj yang membantah pendapat kedua. Az-Zujaj berkata:
لا يعرف النكاح في كتاب الله تعالى إلا بمعنى التزويج.
“Tidaklah diketahui maksud perkataan nikah dalam kitab Allah melainkan ia bermaksud perkahwinan.”
Dalil:
Terdapat beberapa riwayat yang menyokong pendapat ketiga:
1. Riwayat pertama:.
‘Amru bin Syuaib meriwayatkan daripada ayahnya, daripada Marsad bin Abu Marsad al-Ghanawi. Marsad merupakan seorang lelaki yang gagah perkasa. Dia sering membawa banduan pergi dari Mekah ke Madinah. Satu hari, aku mahu membawa seorang lelaki pergi. Ketika itu di Mekah terdapat seorang pelacur bernama ‘Anaq’. Pelacur tersebut merupakan kawan kepada Marsad. Pelacur itu keluar dan melihat ada bayang-bayang pada dinding. Pelacur itu berkata: Siapa ini? Adakah ini Marsad. Selamat datang wahai Marsad. Wahai Marsad, datanglah dan tidur di tempat kami malam ini. Marsad menjawab: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan zina. Pelacur itu pun berkata: Wahai penghuni khemah! Inilah orang yang membawa lari banduan kamu dari Mekah ke Madinah. Aku pun terus melarikan diri ke bukit Khandamah. Lapan orang lelaki berusaha memburu aku. Mereka pun tiba (di tempat aku bersembunyi) sehingga mereka berdiri betul-betul di atas tempat aku bersembunyi. Mereka kencing sehingga air kencing itu terkena pada aku. Akan tetapi Allah telah membuatkan mereka tidak dapat melihat aku. Aku pun pergi kepada sahabat aku (iaitu banduan tersebut) dan membawanya ke (Madinah). Apabila aku tiba di Al-Arak, aku pun membuka rantai yang mengikatnya. Aku pergi menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: Ya Rasulullah, bolehkah aku menikahi ‘Anaq? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mendiamkan diri, lalu turunlah ayat: ((Perempuan zina tidaklah ada yang menikahinya kecuali lelaki penzina atau lelaki musyrik)) (an-Nur : 3)
[Riwayat Imam an-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra, Kitab an-Nikah, Bab Pengharaman Menikahi penzina : 5156. Shaikh al-Albani menyatakan isnadnya hasan, lihat Sahih an-Nasai'e]
2. Riwayat kedua:
'Abdullah bin 'Amru meriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada kaum Muslimin telah meminta keizinan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam untuk menikahi seorang perempuan bernama 'Ummu Mahzul'. Perempuan tersebut merupakan seorang perempuan zina, dan perempuan itu memberikan syarat agar dia diberikan nafkah. Lelaki itu pun memohon keizinan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ataupun menceritakan hal itu kepada baginda sallallahu 'alaihi wasallam? Lalu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pun membacakan ayat : Perempuan zina tidaklah ada yang menikahinya kecuali lelaki penzina atau lelaki musyrik (an-Nur : 3)
[Musnad Ahmad, Musnad 'Abdullah bin 'Amru: 6300. Ulama' hadis berbeza pendapat tentang status hadis ini. Shaikh Ahmad Syakir menyatakan: Isnadnya dhaif]
Sebahagian ulama' pula menyatakan ayat ini telah dimansukhkan oleh ayat surah an-Nur ayat 32. Ini merupakan pendapat Sa'id bin al-Musayyib rahimahullah.
Bagi mereka yang mahu menikahi seseorang yang pernah berzina dengan niat untuk membimbing mereka kembali ke jalan yang lurus..
1) Sebaiknya, hendaklah dipastikan pelaku zina tersebut benar-benar bertaubat, barulah dinikahinya.
2) Jika tidak seeloknya tidak dilakukan. Jalan dakwah sangat luas, jangan ditempuh jalan yang berisiko kepada diri kita dan keluarga kita. Mahukah kita melihat anak-anak kita dididik oleh ibu atau ayah yang terus melakukan kegiatan penzinaan itu? Ia akan memberikan impak yang sangat negatif khususnya kepada anak-anak.
Bagi pasangan yang bernikah, lalu mendapati bahawa sebenarnya pasangan mereka di masa lampau pernah berzina..
· Maka lihatlah siapa dia sekarang, dan bukan siapa dia di masa yang lalu. Kita menikahinya kerana kesolehannya, kebaikan agamanya sekarang, dan bukan kerana kisah-kisah yang lalu. Apa yang penting ialah siapa dia pada masa kini, sejarah hitamnya hendaklah dilupai. Tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan.
· Majlis Fatwa dibawah seliaan Dr. Abdullah Faqeh menyatakan:
Adalah haram menyebarkan khabar angin bahawa seorang perempuan itu pernah berzina. Ini kerana seorang Muslimah dikira suci melainkan terdapat bukti menunjukkan sebaliknya. Bahkan, jika terbukti dia pernah berzina, anda hendaklah menutup keaibannya.
· Seandainya dia mengaku pernah berzina, atau terdapat bukti-bukti yang kukuh dia pernah berzina, dan dia tidak memaklumkan hal itu kepada anda sebelum perkahwinan. Maka anda berhak memilih antara dua pilihan di bawah:
1. Menjaganya dengan elok, menasihatinya untuk bertaubat dan hendaklah menutup aibnya. Ini adalah pilihan yang lebih baik seandainya anda berharap untuk meneruskan kehidupan yang bahagia dengannya, dan melupakan semua yang telah berlaku. Apatah lagi jika anda yakin dia akan berubah menjadi lebih baik.
2. Berpisah dengan cara yang elok. Pilihan kedua ini lebih baik jika anda berasa bahawa anda akan asyik terfikir kisah-kisah lampaunya, ataupun jika anda melihat tiada harapan untuk dia bertaubat.
Jika seseorang pernah berzina di masa lalu, dan dia telah bertaubat. Perlukah dia memberitahu hal itu kepada calon suami atau isterinya?
Tidak perlu, sebaliknya dia hendaklah bertaubat, dan menutup keaibannya. Ini berdasarkan dalil di bawah:
Abu Hurairah radhiallahu 'anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Setiap umat ku akan dimaafkan kecuali golongan yang menyebarkan (tentang dosa-dosa yang mereka lakukan). Sesungguhnya antara perbuatan al-Mujaharah ialah seseorang melakukan dosa di waktu malam, dan Allah telah menutup dosanya (daripada diketahui orang lain), lalu orang tadi di waktu pagi berkata: Ya Fulan! Aku telah melakukan itu dan ini semalam. Sesungguhnya dia telah tidur dalam keadaan Tuhannya menutupkan dosanya itu, tetapi dia bangun pada waktu pagi lalu membuka apa yang telah Allah tutupkan. [Sahih al-Bukhari : 5721 dan Muslim : 2990]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan