
Oleh: HAFIZ JAMAIL
SUDAH
 tiba masanya, POLIS di Raja Malaysia menubuhkan Universiti Polis bagi 
mengatasi masalah kurang ajar dan salahguna kuasa polis bagi mendidik 
para pegawai polis yang sering bertindak ganas di luar batas 
kemanusiaan, terutama kepada rakyat biasa.
Pengerusi
 Police Watch Sabah, OKK Hassnar M.P.Ebrahim melahirkan saranan 
sedemikian bagi mengulas keganasan terbaru PDRM Kuching yang bertindak 
menyerang seorang pelajar Universiti Mansoura Mesir yang pulang bercuti 
hari raya di Kampung Senah Rayang, Padawan, Kuching Sarawak.
“Sekalipun
 pelajar tersebut melakukan sebarang kesalahan, polis tidak harus 
menyerang dan bertindak ganas dengan memukul dan mencederakan mangsa 
sehingga pengsan dan menyalahguna kuasa polis. Siapa yang bagi mereka 
lesen?,” tanya Hassnar yang beberapa kali ditangkap polis suatu masa 
lalu kerana membantu orang awam untuk mendapatkan pembelaan, namun 
perangai polis tidak pernah berubah.
Menurut
 Hassnar, beliau dimaklumkan polis melakukan kesilapan kerana memukul 
‘salah orang’ namun keegoan mereka menyebabkan mangsa terus didera 
sehingga ke dalam lokap dan mangsa menghubunginya untuk mendapatkan 
peguam menyaman polis yang menyerang, mencederakan dan menjatuhkan 
maruahnya dengan pertuduhan palsu yang tidak pernah dilakukannya.
“Jika
 orang awam tidak lagi selamat kerana boleh diserang dan dipukul sesuka 
hati, bagaimana polis boleh menjaga keselamatan. Apakah polis Malaysia 
sudah menjadi samseng jalanan?,” tanya Hassnar yang akan terbang ke 
Kuching selepas hari raya Aidil Fitri bagi membantu mangsa yang 
teraniaya.
Tegas
 Hassnar, walaupun setelah beliau menghadapkan ‘polis samseng’ ke 
Mahkamah Tinggi Sandakan kerana menangkapnya secara salah pada 2002, 
namun nampaknya ramai polis belum serik dan terus melakukan keganasan 
kepada orang awam.
“Mereka
 (polis) hanya berani kerana ada uniform atau berlindung di kad kuasa, 
tetapi apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah, barulah Nampak betapa 
pengecutnya mereka. Kita gambar pun mereka takut, inikah polis 
Malaysia,?” soal Hassnar yang kini masih dalam kes perbicaraan menyaman 
PDRM kerana melakukan jenayah salah tangkap terhadap beliau ketika 
membantu penduduk kampung BDC membuat laporan polis.
Tambah
 Hassnar lagi, ramai Pegawai Kanan Polis Sabah adalah ‘Mafia’ yang 
berlindung di sebalik Uniform terutama yang boleh diupah sebagai samseng
 untuk mneghalau penduduk kampung di tanah adat atau melakukan tangkapan
 bagi kesalahan yang tidak lazim ditangkap terutama berlaku ke atas 
beliau apabila dituduh di bawah Akta Kesalahan Kecil semata-mata untuk 
membalas dendam kerana beliau mengheret semua pegawai kanan polis ke 
Mahkamah.
“Mereka
 ini dayus. Mereka membuat tuduhan palsu dan kemudian memujuk saya 
membayar denda. Walaupun dendanya RM25 hingga RM100 sahaja, namun saya 
sanggup membelanjakan RM10,000 untuk mengupah peguam menentang mereka 
secara gentlemen di Mahkamah,” tegas Hassnar yang tidak akan tunduk 
kepada tekanan PDRM sekalipun mereka mencipta seberapa banyak tuduhan 
palsu atau memerangkap beliau dengan pelbagai cara.
Berbalik
 kepada kes serangan ke atas mangsa di Kuching, Hassnar amat kesal 
kerana rekod buruk Ketua Polis Negara Malaysia tambah tercemar dengan 
insiden ini dan beliau mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri 
Hishamuddin Tun Hussien yang selama ini digelar hero ‘Melayu’ agar 
berani bertanggung jawab menyiasat dan mendakwa polis yang terlibat 
dengan kejadian ini.

Kata
 Hassnar, kegagalan Hishamuddin menjaga perangai dan tata kelakuan polis
 semakin ketara apabila semakin banyak kes keganasan polis berlaku 
ketika Hishamuddin menjadi Menteri Dalam Negeri  terutama ketika insiden menahan pemimpin PKR, Gobalakrishnan Nagappan yang disebarkan secara meluas melalui Youtube. 
Jika seorang ahli parlimen diperlakukan sebegitu rupa di khalayak ramai seperti  ‘menangkap
 kambing’, kata Hassnar beliau tidak hairan jika Zainal yang baru pulang
 daripada Mesir mendapat layanan sebegitu rupa.
Dalam
 pada itu, Zainal yang dihubungi di Kuching teramat kesal kerana ketika 
kejadian berlaku beliau baru dua hari tiba daripada Mesir kerana masih 
belajar dalam jurusan kedoktoran di Universiti Mansoura, Mesir.
“Saya
 langsung tidak tahu apa-apa dan tidak pernah terfikir akan diserang dan
 dicederakan anggota polis. Saya sangka selama ini dalam filem Tamil 
saja berlaku kejadian seperti itu, tapi kini benar-benar terjadi kepada 
saya,” ujar Zainal yang mengakui menghubungi Hassnar setelah semua 
aduannya kepada pihak berwajib dipandang remeh.

Bagaimanapun Zainal enggan mengulas lanjut kerana akan memfailkan saman dalam waktu terdekat dengan bantuan Hassnar. 
Menurut
 kandungan laporan polis yang dibuat Zainal di Balai Polis Padungan, 
Kuching iaitu Padungan/004464/09 pada 14 September 2009, beliau mendakwa
 bahawa;
“Pada
 08/09/2009 jam lebih kurang 2100 hrs bertempat di Kedai 100 % Diskaun 
Store, Jalan Ang Cheng Hoo Padungan, saya telah ditahan oleh 4 orang (L)
 yang menyerupai seperti gangster dan meminta kad pengenalan saya. 
Mereka telah menahan saya dan menggari tangan. Semasa mereka menggari 
tangan saya di dalam kedai 100% Diskaun Store mereka tidak memberitahu 
kesalahan saya yang sebenar dan mereka menumbuk, menendang, menampar 
anggota badan saya dari dalam kedai 100 % hingga ke tempat letak kereta 
dan saya dimasukkan ke dalam kereta jenis Proton Saga. Warna tidak pasti
 dan cermin gelap dan apabila dalam kereta saya ditendang, dipukul 
dengan sebatang kayu, ditumbuk, ditampar seterusnya saya dibawa ke Balai
 Polis Sentral. Apabila sampai di Balai Polis Sentral, saya terus 
dibelasah tanpa soal siasat dan dimasukkan ke dalam lokap. Pada 
09/09/2009 jam lebih kurang 2200 hrs, saya telah dibawa ke Balai Polis 
One Stop Centre oleh Insp Nasrun untuk disoal siasat dan dibebaskan dari
 lokap. Saya buat laporan polis untuk siasatan pihak polis yang 
selanjutnya kerana saya tidak berpuas hati terhadap tindakan mereka 
semasa saya ditangkap. Sekianlah laporan saya.”
Mengikut
 semakan Sabahkini.net, dalam borang Polis 43, bagi aduan 4379/09 
dicatatkan Zainal dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 dan 
509 Kanun Keseksaan.

Di
 bawah Seksyen 186, Kanun Keseksaan, Zainal dituduh menghalang 
kakitangan kerajaan menjalankan tugas mereka, yang boleh dihukum denda 
sehingga RM1,000 dan sehingga tiga bulan penjara atau kedua-duanya.
Manakala
 di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan Seksyen atau Jenayah Seksual pula 
membawa maksud; “Mengeluarkan Perkataan atau isyarat yang bermaksud 
mengaibkan kehormatan seseorang” iaitu;
"Barang
 siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut 
apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukkan 
apa-apa benda dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, 
atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, hendaklah
 diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau 
dengan denda atau dengan kedua-duanya."
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan