Kita
pernah mendengar kata-kata sesetengah orang yang mendakwa “hidup ini
memang tidak adil”. Pada kebiasaannya kata-kata ini diucapkan oleh
mereka yang telah ditimpa dengan kesusahan atau mereka yang telah
berputus asa. Kata-kata berunsur negative seperti ini malangnya telah
menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Allah menjanjikan bahawa setiap
kebaikan akan diganti dengan kebaikan dan setiap keburukan akan dibalas
dengan keburukan, sesungguhnya Allah adalah Hakim Yang Maha Adil. Allah
telah menciptakan dunia ini dengan penuh keseimbangan dan Allah juga
telah menetapkan hukum-hukumya bagi mencapai keadilan yang pasti didunia
ini.
Sifat
sesetengah manusia kebanyakkannya sering ragu dengan janji Allah. Kita
sering dikaburi dengan khabar angin tentang kehidupan tidak adil.
Malah, cerita seperti ini digembar gemburkan lagi di dada-dada akhbar.
Kisah mereka yang tidak berdosa ditimpa malang dan bencana. Kita
seolah-olah dibasuh oleh media untuk memikirkan bahawa kehidupan yang
sebenar ini tiada keadilannya. Minda manusia sekiranya diterapkan setiap
hari dengan sesuatu yang seharusnya bukanlah kebiasaan lama kelamaan ia
akan menjadi perkara yang dianggap normal bagi kita. Oleh itu,
kehidupan sebenar didunia ini adalah tidak adil menjadi sesuatu yang
dianggap benar. Bukankah hidup didunia ini dengan satu kemungkinan
bahawa ketidakadilan mungkin boleh berlaku kepada diri kita adalah
sesuatu yang menyedihkan? Kita akan hidup dengan perasaan takut dan kita
akan sering berasa tidak selamat.
Hakikatnya,
hidup didunia ini sememangnya adil. Apa sahaja yang kita terima dari
Allah adalah hasil daripada pekerjaan kita dan apa sahaja yang Allah
berikan kepada hambaNya adalah untuk kebaikan kita. Apa yang menyebabkan
kita sering merasa bahawa dunia ini tidak adil berpunca dari cara
pemikiran kita. Orang yang sentiasa berfikiran positif akan mendapati
bahawa keadilan itu sememangnya wujud manakala pemikiran negative akan
menyebabkan kita cepat berputus asa dan bersedih. Samaada kita ingin
percaya atau tidak, keadilan itu sentiasa ada. Allah tidak pernah
berlaku tidak adil kepada hambaNya, namun manusia memang terang-terangan
mampu berlaku tidak adil. Tetapi perlukah kita risau sekiranya manusia
berlaku tidak adil kepada kita? Manusia yang tidak adil pasti akan
menerima balasan atas ketidakadilan yang dilakukan samaada didunia
ataupun di akhirat. Mereka yang teranaya juga diberi keistimewaan disisi
Allah kerana doa golongan orang teranaya adalah antara doa-doa yang
makbul, malahan doa mereka yang kufur sekalipun sekiranya teranaya juga
akan dikabulkan. Kita memang digalakkan bagi menuntut keadilan namun
kita perlu menggunakan cara yang baik bagi menuntut keadilan.
Ketidakadilan sekiranya dibalas dengan ketidakadilan, hasilnya pasti
sesuatu yang lebih buruk dari keadaan asal. Allah berfirman:
Serulah
(manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik,
dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya
Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya.
Dan Dialah yang mengetahui siapa yang mendapat petunjuk. Dan jika kamu
membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang
ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah
lebih baik bagi orang yang sabar. (An-Nahl;125-126)
Oleh
itu, balasan kepada mereka yang bersalah dibolehkan dengan syarat tidak
boleh melebihi dari apa yang kita terima. Tetapi, Allah juga menekankan
bahawa kesabaran itu adalah lebih baik dari membalas kesalahan orang
lain.
Sekiranya kita ditimpa musibah atau ketidakadilan kita perlu lihat pada beberapa aspek kepada masalah yang dihadapi.
1. Aspek
yang pertama adalah diri kita sendiri. Kita perlu percaya bahawa setiap
musibah itu adalah kebaikan bagi kita. Selain bagi memberi kesedaran
terhadap kesilapan, musibah memberi kita peluang untuk sabar. Seperti
yang kita ketahui, orang yang sabar adalah antara orang-orang yang
paling tinggi darjatnya disisi Allah dan pahala bagi orang yang sabar
adalah sangat besar. Musibah bukanlah hukuman kepada manusia tetapi ia
adalah peringatan dan antara cara yang Allah gunakan dengan harapan
hambaNya akan kembali ke jalanNya yang lurus. Terdapat sebuah analogi
yang digunakan oleh penulis buku “Bila Allah Menduga Kita” tentang
musibah. Ibarat dua orang rakan, seorang berada di atas bangunan yang
tinggi yang cuba memanggil rakannya seorang lagi yang berada dibawah
bangunan. Apabila dijerit dari atas sudah pasti tidak didengarinya. Maka
rakan yang berada diatas membaling duit syiling ke awah. Rakannya di
bawah tanpa berfikir panjang hanya mengambil duit tersebut dengan
gembira tanpa memandang atas. Dibaling lagi syiling yang lebih besar dan
tinggi harganya tapi masih tidak disedari. Rakannya yang diatas berasa
marah lalu memcampakkan batu yang terkena pada kepala rakannya dibawah.
Saat itu barulah rakannya yang berada dibawah menyedari rakannya yang
di atas. Manusia sifat mereka memang selalu melupakan Allah ketika
senang dan akan berpaling kepada Allah ketika susah. Sekiranya sesuatu
buruk menimpa, kita perlu mengingat kembali pekerjaan yang kita lakukan.
Kita perlu kembali pada Allah kerana Allah suka sekiranya hambaNya
berdoa kepadaNya. Kita juga perlu menyesali dosa yang kita pernah
lakukan dahulu dan bertaubat untuk melindungi diri kita dari terus
terdedah dengan bahaya ditimpa musibah dari Allah.
“…dia
mendapat kehinaan di dunia, dan pada hari kiamat Kami berikan kepadanya
rasa azab neraka yang membakar. “itu kerana perbuatan yang dilakukan
oleh kedua tanganmu” dan Allah sekali-kali tidak menzalimi
hamba-hambaNya. (Al-Hajj;9-10)
Musibah
juga kadangkala diberikan bagi membuka peluang yang lebih baik bagi
kita. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kesusahan pasti akan
disusuli dengan kebaikan. Maka bukankah adil sekiranya pada setiap
musibah itu ada perkara yang baik disebaliknya?
2. Aspek
kedua adalah orang sekeliling. Kadangkala, kita merasakan bahawa kita
menjadi mangsa kepada keburukan dan ketidakadilan orang disekeliling
kita. Perkara ini memang benar. Musibah pada diri kita juga
berkemungkinan adalah ujian juga bagi orang-orang yang berdekatan dengan
kita. Seperti kisah anak-anak kecil yang tidak berdosa dirogol dan
dibunuh, ini adalah ujian kepada ibu-bapanya. Maka kita juga perlu
memastikan bahawa orang disekeliling kita juga bebas dari melakukan
perkara yang boleh membawa kepada musibah dari Allah yang tertempias
kepada kita. Kita seharusnya mengambil pelajaran dari apa yang berlaku
dengan menyokong kearah kebaikan serta mengelakkan diri dan orang lain
dari keburukan. Kita juga perlu berhati-hati dalam pergaulan dan mencari
orang-orang yang baik untuk digauli. Perlulah sentiasa beringat bahawa
persekitaran yang tidak baik juga mampu memberi kesan pada kita. Konsep
mudah ini dikenali sebagai amar makruf dan nahi munkar. Jika hanya diri
kita sahaja yang baik, keselamatan kita tidak akan terjamin sekiranya
kita membiarkan kejahatan berleluasa. Apabila sesuatu keburukan berlaku,
orang yang berada disekeliling kita juga sebenarnya diuji. Mereka perlu
megambil iktibar dan berusaha bagi memperbaiki keadaan juga. Maka
bukankah adil sekiranya orang disekeliling juga diuji dan musibah itu
peringatan yang berpunca dari kelalaian?
3. Aspek
ketiga adalah dari sudut mereka yang berlaku tidak adil. Jika jelas
sekali tujuan ketidakadilan mereka adalah untuk memuaskan hawa nafsu
mereka, sudah pastinya, hidup mereka yang terus bergelumang dengan dosa
dan akan berakhir dengan kehinaan dan azab di akhirat kelak. Rezeki yang
diterima dari punca yang haram tidak akan diberkati. Manusia seperti
ini akan mealui hidup yang penuh dengan kesusahan dan mereka tidak akan
bertemu dengan ketenangan selagi mereka tidak bertaubat kepda Allah
dengan sepenuhnya. Itu merupakan janji Allah. Ini adalah golongan
manusia yang perlu kita bawa kepada jalan yang lurus kerana kejahatan
mereka akan memberi kesan kepada kita terutamanya jika mereka mempunyai
pengaruh yang besar. Kita juga perlu ingat, kadangkala kezaliman yang
dilakukan itu sendiri berkemungkinan adalah ujian bagi mereka.
Kadangkala kita pernah berlaku tidak adil dan menzalimi orang
disekeliling kita. Jika kita tersedar dari kesilapan itu kita mungkin
akan berasa bersalah dan malu mengahadapi masyarakat. Tetapi janganlah
kita terus bersedih kerana keadilan tetapa ada. Seperti kita sedia
maklum Allah menerima taubat hambaNya tidak kira apa pun kesilapan yang
kita lakukan, kita masih boleh kembali ke pangkal jalan selagi nyawa
masih ada dan selagi kiamat belum tiba. Maka bukankah adil sekiranya
orang yang berlaku zalim itu juga sedang diuji dan akan menerima
balasannya? Bukankah adil sekiranya setiap kesilapan itu mampu
dibersihkan dengan taubat?
Kesilapan
yang sering dilakukan adalah apabila kita melihat aspek-aspek kepada
musibah ini secara berasingan. Apabila sesuatu buruk berlaku,
ketiga-tiga aspek ini memainkan peranan. Kita tidak perlu merasakan
bahawa sesuatu ketidakadilan itu adalah berpunca dari diri kita sahaja
dan pengajarannya hanyalah untuk kita. Kita juga tidak boleh menyalahkan
orang yang berlaku tidak adil tersebut atau orang sekeliling sahaja.
Hasilnya kita tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari musibah itu.
Apabila ditimpa apa sahaja keburukan yang membuatkan kita berasa susah,
bukalah minda kita dan fikirkanlah kesemua aspek kepada sesuatu yang
buruk. Pengajaran dan kebaikan dari suatu musibah itu sebenarnya
melimpah ruah. Ada yang mengatakan “sekiranya tiada musibah, umat islam
ketika hari kiamat akan berada dalam kemiskinan”.
Jika
kita sering berfikiran positif dan mengharapkan yang terbaik dari apa
sahaja yang berlaku, Allah akan membukakan mata dan hati kita kepada
kebaikan-kebaikan ini. Sekiranya kita berfikiran negative, terus berasa
marah, sedih, dan benci, mata dan hati kita akan tertutup dari kebaikan
yang Allah ingin berikan pada kita. Kita akan menolak perkara yang baik
dan syaitan akan lebih mudah memperdayakan kita. Rugilah kita jika kita
gagal mendapatkan kebaikan dari apa sahaja ujian yang Allah berikan
kepada kita dan lebih teruk lagi jika kita membalas ujian dari Allah
dengan keburukan, kesedihan, kemarahan atau kejahatan yang akhirnya
hanya akan memakan diri kita sendiri. Percayalah abhawa keadilan itu
sentiasa ada, kita perlu mencarinya, mewujudkannya supaya kita dapat
menikmati kehidupan yang serba indah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan