1.
Pengertian khurafat dalam Islam ialah semua cerita sama ada rekaan atau
khayalan, ajaran-ajaran., pantang-larang, adat istiadat,
ramalan-ramalan. pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran
Islam. Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita dan
perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta.
2. Di antara faktor-faktor yang mendorong berlakunya khurafat ialah :
a). Mudah mempercayai benda-benda tahyul
b). Kecetekan ilmu agama
c). Terpengaruh dengan kelebihan seseorang atau sesuatu benda
3.
Manakala jalan penyelesiannya ialah setiap umat Islam hendaklah
mendalami ilmu agama sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi S.A.W
yang bermaksud :
"
Aku telah tinggalkan kamu 2 perkara selama mana kamu berpegang teguh
dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku"PENJELASAN KHURAFAT KE 2:- (Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi)
AKIDAH
Islam adalah antara cabang ilmu Islam yang penting dalam kehidupan
setiap umat kerana ia berkaitan keimanan dan kepercayaan kepada Allah.
Malah, ilmu akidah, ilmu fardu ain yang wajib dituntut dan dipelajari.
Biarpun
konsep akidah Islam mudah difahami dan dihayati, masih ramai umat Islam
terpengaruh dengan kepercayaan khurafat yang karut-marut yang diwarisi
turun-temurun daripada nenek moyang terdahulu.
Pada
hal, amalan khurafat adalah bertentangan dengan akidah Islam sekali gus
menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada Allah, iaitu
salah satu dosa yang tidak diampuni Allah.
Firman
Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa
syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya
(menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa
besar." Surah al-Nisa’, ayat 48)
Oleh
demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati ketika menelusuri pentas
kehidupan global supaya tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat dengan
memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenal pasti ciri amalan
khurafat.
Khurafat
ditakrifkan sebagai cerita mempesonakan yang dicampur-adukkan dengan
perkataan dusta. Syeikh Idris al-Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai
cerita yang karut marut.
Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyimpulkan khurafat, semua
cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat
istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada
ajaran Islam.
Antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat, ia
tidak bersumberkan nas syarak sama ada daripada al-Quran mahu pun
hadis; cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut;
didasarkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan
Islam; berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk
tujuan memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam; mengguna
objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan tertentu
dan ada unsur negatif pada akidah dan syariat Islam.
Demikianlah
antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat jika dihalusi secara
mendalam, memang banyak berlaku dalam masyarakat Islam masa kini.
Bahkan, ia masih lagi menebal dalam tradisi dan kepercayaan umat Islam
dalam kehidupan seharian.
Contohnya, kepercayaan
kepada keramat seperti kubur, pokok kayu atau batu hikmat yang kononnya
boleh menyembuhkan sebarang penyakit, memuja objek tertentu, roh nenek
moyang, kubur wali keramat dan sebagainya.
Begitu
juga kepercayaan kepada sial seperti adat mandi Safar, adat mandi
membuang sial, bunyi burung hantu pada waktu malam dan nombor sial
seperti nombor empat.
Masih
ada orang Islam yang tergamak memohon bantuan dari jin seperti adat
memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat main pantai dan
seumpamanya.
Tidak
kurang petani dan nelayan yang masih percaya kepada bertambah dan
berkurangannya rezeki sehingga ada yang memuja semangat padi seperti
bersemah dan membuang ancak di sungai atau laut (nelayan).
Orang
Melayu pada dasarnya kaya dengan warisan pantang larang yang
sebahagiannya jelas bertentangan hukum syarak seperti anak gadis
dilarang menyapu pada waktu malam dikhuatiri menjadi andartu, tidak
boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi dan adat melenggang perut.
Itulah antara kepercayaan serta amalan khurafat yang masih wujud dan berakar umbi dalam setiap sendi masyarakat Islam.
Justeru,
Islam sebagai agama menitik beratkan aspek akidah dan syariah
menjelaskan bahawa segala amalan, adat, kepercayaan, perkataan dan
perbuatan tidak berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan Qias
dilarang sama sekali.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu
perkara dalam agama kami, yang tidak termasuk dalam ajaran Islam yang
suci, maka apa yang diamalkan itu tertolak (tidak diterima amalan
berkenaan oleh Allah dan tidak diberikan pahala)." (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim)
Dalam
bab akidah Islam, setiap Muslim hanya wajib beriman dan percaya kepada
Allah Yang Maha Berkuasa Mutlak menguasai dan mentadbir alam semesta
terbentang luas ini.
Tiada
tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa. Ini bermakna
kepercayaan kepada benda yang dijadikan keramat yang dipercayai
mempunyai kuasa selain daripada Allah, bertentangan dengan konsep
kepercayaan tauhid kepada Allah.
Selain
itu, kepercayaan kepada sial juga menjejaskan akidah seseorang dan
Rasulullah SAW melarang keras perbuatan itu melalui sabdanya yang
bermaksud:"Bukan dari golongan kami
sesiapa yang berasa sial atau meminta diramalkan kesialannya, ditenung
nasib atau minta ditenung nasibkan, menyihir atau minta disihirkan."
(Hadis riwayat Tabrani)
Amalan
memuja jin dan memohon pertolongan daripadanya seperti lazim dilakukan
oleh bomoh dan dukun adalah perbuatan syirik. Begitu juga bersahabat dan
menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tenung.
Oleh
demikian, setiap Muslim wajib mendalami ilmu akidah untuk memelihara
kesucian akidahnya, kepercayaannya, perkataannya, perbuatannya daripada
amalan khurafat yang menyesatkan.
Ilmu
akidah Islam adalah perisai utama yang boleh menyelamatkan seseorang
Muslim daripada lembah kesesatan dan seterusnya memimpinnya ke arah
keredaan Ilahi dan kesejahteraan hidup dunia akhirat.
Allah
berfirman bermaksud: "Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang
lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga
tidak mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang
demikian, maka jadilah engkau orang yang berlaku zalim (terhadap diri
sendiri dengan perbuatan syirik itu)." (Surah Yunus, ayat 106)
Rasulullah
SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menemui tukang tilik dan
menanyakan sesuatu kepadanya, lalu terus percaya terhadap apa yang
dikatakannya, maka dia telah mengkufurkan apa yang telah diturunkan
kepada Nabi Muhammad." (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)
Islam
melarang keras sebarang amalan khurafat sama ada melalui perkataan,
perbuatan, adat mahu pun kepercayaan yang tidak selari dengan konsep
akidah Islam.
Amalan
khurafat boleh membawa kepada syirik yang sudah tentu menjejaskan
akidah seseorang Muslim selain hanya mengakibatkan dosa yang tidak
terampun di sisi Allah.
Oleh
yang demikian, setiap Muslim wajib mendalami ilmu akidah untuk
memelihara kesucian akidahnya, kepercayaannya, perkataannya,
perbuatannya daripada amalan khurafat yang menyesatkan.
Ilmu
akidah Islam adalah perisai utama yang boleh menyelamatkan seseorang
Muslim daripada lembah kesesatan dan seterusnya memimpinnya ke arah
keredaan Ilahi dan kesejahteraan hidup dunia akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan