Pengenalan
Rumah merupakan salah satu peralatan 
budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan
 pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang 
mendiaminya.
Rumah Melayu tradisional adalah 
sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah
 direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan 
kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.
Reka bentuk tersebut memaparkan 
kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan 
semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah 
tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang 
Melayu itu sendiri.
Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka 
yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Seni bina
 Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah 
mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau, 
Siam, Cina dan Barat.
Pada peringkat awal, rumah Melayu 
tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. 
Bentuk ini kemudiannya berubah mengikut arus perubahan zaman.
Ciri-ciri Rumah Melayu
1. Bumbung
Rumah tradisional Melayu terdiri dari 
bumbung tetap, tetapi berubah kepada bentuk limas atau 
dipanggil’  Bumbung Belanda’ selepas kedatangan penjajah. Bumbung 
sentiasa condong untuk kesesuaian cuaca panas tropika. Di sepanjang 
tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap atau papan cantik berukir 
melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.
2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan 
berbincang bagi kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di 
luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat 
mementingkan adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka 
dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti. Tambahan, 
ini bertujuan mengelakkan fitnah, di mana tetamu lelaki hanya dipelawa 
naik hingga ke anjung sahaja.
3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu 
sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri 
keluarga. Sesuai dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat 
berkumpul ahli keluarga untuk beristirehat dan bersantai bersama-sama.
4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah 
dan ahli keluarga. Kebiasaannya anak lelaki dan perempuan akan 
diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan ajaran Islam 
dalam kehidupan mereka.
5. Dapur
Dibatasi dinding antara ruang utama 
dengan dapur. Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu 
perempuan, menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.
6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga, 
dinding beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu 
kaya dengan seni tersendiri. Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai 
seni perhiasaan, malah menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk 
untuk menceriakan rumah.
Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh faktor-faktor di bawah;
1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam 
reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk 
atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada 
reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, 
berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah 
rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.
2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan,
 akar, buluh, dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi 
tunjang kepada struktur bangunan, manakala rotan dan akar menjadi 
pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia 
atau nipah menjadi dinding dan atap.
3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan 
peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya 
kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke 
kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan 
adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.
4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi 
alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan
 atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen 
telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku 
menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat.
Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.
Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang 
diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk 
seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya
 dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tetapi sayang, 
tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa 
Melayu kerana amat sukar mendapati tukang yang mahir dewasa ini.



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan