1. Isu penggunaan kalimah Allah SWT oleh orang bukan Islam kembali hangat di Malaysia.
 Sama ada sengaja dijadikan isu kerana kepentingan politik atau tidak 
sengaja, ia tetap isu yang masih diperkatakan. Ditambah pula yang suka 
memberikan komen adalah dalam kalangan mereka yang bukan ahlinya.  
 
 2. Sebahagian mengatakan ia bersangkutan persoalan akidah, dan sebahagian yang lain mengkategorikan sebagai perkara cabang dalam feqh. Lebih malang mereka yang hanya menggunakan lojik akal tanpa sebarang sandaran dalil, tetapi banyak mengaitkan dengan kepentingan (maslahat) agama Islam.
3.
 Saya dan rakan-rakan dalam Jabatan Pengajian Islam UPSI pernah diminta 
untuk berbincang tentang hukum orang bukan Islam menggunakan kalimah 
Allah Azza wa Jalla untuk dibentangkan dalam satu program umum peringkat
 universiti di Auditorium Besar. Letih juga menelaah beberapa kitab 
dalam masa yang singkat, tetapi yang dijemput bercakap tentang hukum ini
 adalah seorang professor bidang sejarah yang hanya menggunakan akal dan
 lojik, untuk istinbat hukum tidak boleh. Ini boleh mematikan akademik! 
Perlu hormati bidang dan disiplin ilmu kepada ahlinya.
Hukum orang bukan Islam guna kalimah Allah
4.
 Walaupun perkara yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah SWT adalah
 perkara akidah, tetapi apabila kita berbincang tentang hukum ia sudah 
masuk ke dalam bidang feqh dan usulnya. Hukum ada lima
 mengikut jumhur ulama’ iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. 
Setiap hukum kepada sesuatu mesti berdiri di atas dalil. Dalil ini pula 
sama ada yang disepakati iaitu al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma’ dan Qias, 
atau dalil yang tidak disepakati seperti istihsan, masolih mursalah, 
istishab dan lain-lain. Dari satu aspek lain, sebahagian besar dalil ini
 pendalilannya (dalalah) adalah tidak putus (dzonni).
5.
 Meneliti beberapa ayat al-Quran, Allah SWT menjelaskan perihal 
orang-orang musyrik yang apabila ditanya pencipta langit dan bumi 
nescaya mereka akan menjawab bahawa yang mencipta adalah Allah. 
Antaranya firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Zumar ayat 38 
bermaksud:
Dan
 demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka 
(yang musyrik) itu: Siapakah yang mencipta langit dan bumi? sudah tentu 
mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah (kepada mereka): Kalau demikian,
 bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah 
itu? 
6.
 Juga dalam beberapa surah yang lain terdapat ayat yang hampir serupa. 
Allah SWT menerusi ayat ini menyatakan bahawa orang musyrik menyebut dan
 menggunakan perkataan Allah dalam jawapan mereka. Iaitu perkataan yang 
sama disebut oleh nabi SAW dan umat Islam, yang berbeza adalah keyakinan
 mereka terhadap maksud Allah yang mereka sebutkan. 
7.
 Di dalam hadith pula terdapat riwayat yang menyatakan seorang musyrik 
menyebut dan menggunakan kalimah Allah SWT ketika memetrai perjanjian 
Sulh Hudaibiyah. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya:
Sesungguhnya
 orang Quraysh membuat perdamaian dengan nabi SAW, di antara mereka 
adalah Suhail bin Amru. Nabi SAW berkata kepada Ali: Tuliskan bismillahi
 al-rahman al-rahim. Suhail berkata: Adapun bismillahi, kami tidak tahu 
apa itu bismillahi al-rahman al-rahim, tetapi tulislah apa yang kami 
tahu iaitu bismika Allahumma. (Riwayat Muslim) 
8.
 Selain itu, diriwayatkan juga daripada Anas bin Malik bahawa ketika 
para sahabat duduk bersama nabi SAW di masjid, datang seorang lelaki 
bernama Dhimam bin Tha’labah lalu bertanya nabi SAW, katanya:
Aku
 ingin bertanya engkau tentang tuhan engkau dan tuhan orang sebelum 
engkau, adakah Allah yang mengutuskan engkau kepada seluruh manusia? 
Nabi SAW menjawab: Allahumma ya. (Riwayat al-Bukhari) 
9.
 Daripada kedua-dua hadith di atas, Suhail dan Dhimam telah menggunakan 
dan menyebut kalimah Allah Azza wa Jalla. Kedua-duanya adalah orang 
bukan Islam dalam istilah kita sekarang. Nabi SAW tidak melarang dan 
membiarkan kedua-dua orang bukan Islam ini menyebut kalimah Allah Azza 
wa Jalla secara tepat dan jelas. Oleh itu hukum orang bukan Islam 
menggunakan kalimah Allah adalah harus berdasarkan dalil al-Qur’an dan 
al-Sunnah. Jika dilarang dan diharamkan nescaya wujud penjelasan 
daripada nabi SAW ketika peristiwa itu berlaku. Kaedah feqh ada 
menyatakan: tidak harus melewatkan penjelasan ketika waktu ia 
diperlukan. 
10.
 Ketika saya diminta untuk mewakili pihak universiti dalam satu 
Muzakarah Fatwa Negeri Perak yang berlangsung di Ipoh pada 2009, saya 
bangun  bertanya pembentang yang merupakan pegawai Jabatan Kemajuan 
Islam Malaysia (JAKIM) merupakan kenalan saya, berdasarkan nas hadith 
riwayat Muslim di atas. Beliau sendiri memulangkan kepada peserta yang 
kefahaman beliau sama dengan saya bahawa hukumnya adalah harus.
11. Ada
 pandangan yang menolak hukum harus berdasarkan pendalilan ini dengan 
menyatakan bahawa penggunaan orang musyrik tersebut kerana budaya orang 
Arab. Mereka juga berhujjah bahawa kalimah Allah merupakan perkataan 
Arab. Ini juga yang disebut oleh professor sejarah tadi. Ingin 
ditegaskan di sini, orang Arab mempunyai tuhan mereka tersendiri yang 
mereka sembah sebelum kedatangan Islam. Firman Allah SWT dalam surah 
al-Najm ayat 19-22 bermaksud:
Maka
 adakah kamu nampak bahawa al-Laat dan al-Uzza, serta Manaat yang ketiga
 (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? 
Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki dan untuk 
Allah anak perempuan? Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu 
pembahagian yang tidak adil.
12.
 Sepatutnya mereka perlu menjawab dengan menyebut salah satu atau 
ketiga-tiga tuhan ini jika ada kaitan dengan budaya Arab, bukannya 
memilih untuk menggunakan perkataan Allah SWT. Begitu juga jika ia 
berkaitan dengan budaya Arab, maka kenapa kita yang melayu di Malaysia 
sangat sibuk dengan budaya orang, kita bukan Arab dan orang bukan Islam 
di Malaysia juga bukan Arab, maka tidak perlu sibuk dengan budaya orang!
 Mengapa perlu hingga keluar fatwa berkaitan perkataan ini semata-mata 
menjaga budaya Arab? Tiada maknanya. Jadi budaya Arab bukan hujjah dalam
 hal ini.
13.
 Hakikatnya perkataan Allah Azza wa Jalla adalah perkataan yang dikongsi
 oleh seluruh makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan 
lain-lain. Kerana Allah SWT yang mencipta seluruh makhluk. Manusia pula 
ada yang beriman dan ada yang kufur, ada yang Islam dan ada yang bukan 
Islam. Mengkhususkan perkataan ini hanya untuk orang Islam di Malaysia 
sahaja akan mengecilkan kekuasaan Allah Azza wa Jalla. Maha suci Allah 
SWT daripada sebarang kekurangan. Adapun makna perkataan Allah SWT, ini 
yang berbeza di antara kita dan orang bukan Islam
Dalil Maslahat
14.
 Tidak dinafikan wujud kebimbangan jika kalimah Allah Azza wa Jalla ini 
digunakan oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kekeliruan dalam 
kalangan rakyat Malaysia,
 hingga tidak dapat dibezakan di antara Allah SWT dengan tuhan yang 
bukan Allah SWT. Juga kebimbangan disalahguna oleh mereka. Maka pada 
waktu ini ada kepentingan (maslahat) untuk tidak membenarkan ia 
digunakan oleh orang bukan Islam dengan syarat kebimbangan itu diyakini 
bakal terjadi bukan kebimbangan kosong. 
15.
 Adakah maslahat ini boleh mengubah status hukum asal iaitu harus kepada
 hukum lain? Dalam hal ini kita boleh menggunakan dalil yang tidak 
disepakati oleh para ulama’ seperti masolih mursalah (maslahat yang tiada dalil) dan sadd al-zaro’ie
 (tutup jalan) dalam perkara yang tiada nas. Bahkan jika ada nas sekali 
pun ia boleh mengkhususkan umumnya hukum asal yang berdiri di atas nas 
dalil. Walaupun masolih mursalah menjadi dalil bagi ulama’ 
al-Malikiah, namun tiga mazhab yang lain juga menerima pakai dalil ini. 
Syeikh kami Dr. Mustafa al-Bugha menjelaskan: 
Sesungguhnya
 sesiapa yang menjejaki feqh para imam yang tiga (selain Imam Malik) dan
 ijtihad mereka dalam karya-karya mereka yang asal akan mendapati bahawa
 mereka semua membina hukum-hakam yang bersifat ijtihadiyah berdasarkan 
masalih mursalah. (Dr. Mustafa al-Bugha, Athar al-Adillah al-Mukhtalaf 
Fiha fi al-Fiqh al-Islami) 
16. Saidina Umar al-Khattab RA ketika menjadi khalifah tidak memberikan bahagian zakat mu’allafah qulubuhum
 (dijinakkan hati) atas dasar maslahat sedangkan nas dalil al-Qur’an 
menyebut dengan jelas asnaf ini sebagaimana ayat 60 surah al-Taubah. 
Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata:
Sesungguhnya
 Allah SWT telah memuliakan Islam dan mencukupkan bagi kamu. Sekiranya 
kamu teguh di atasnya, jika tidak maka di antara kami dan kamu adalah 
pedang. (al-Zaila’ie, Tabyiin al-Haqa’iq) 
17.
 Tindakan Umar al-Khattab RA ini tidak bercanggah dengan nas al-Qur’an 
daripada surah al-Taubah, tidak menyalahi roh syari’at dan kaedah umum 
hukum. Kerana tujuan pemberian asnaf ini pada asalnya ketika umat Islam 
lemah serta pada awal Islam, dan Umar RA melihat keperluan dan maslahat 
itu telah tiada pada zamannya, kerana Islam dan umatnya telah kuat. Maka
 maslahat boleh mengkhususkan umumnya nas dalil yang boleh mengubah 
kepada hukum yang lain. Dan hukum ini tidak kekal selama-lamanya, akan 
kembali kepada hukum asal apabila sudah tiada lagi keperluan dan 
maslahat yang dinyatakan.
18. Oleh itu, boleh bagi kerajaan Malaysia
 untuk tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah 
Azza wa Jalla berdasarkan dalil maslahat, sebagaimana boleh juga pihak 
kerajaan membenarkannya atas dasar maslahat. Tetapi dengan syarat hukum 
ini tidak kekal selama-lamanya. Pada masa yang sama hukum asal juga 
perlu diketahui.
19.
 Sebenarnya isu ini berada di peringkat ini. Namun oleh kerana di 
Malaysia ini semua orang adalah ‘ustaz’ feqh’ sama ada bidang sosiologi,
 sastera, perubatan dan lain-lain, maka isu ini menjadi hangat kerana 
memberi komen tanpa mengikut kaedah yang sebenar. Ketika satu pihak 
menyatakan hukum asal dan belum sampai kepada maslahat, pihak lain pula 
terus melompat ke peringkat maslahat tanpa membincangkan hukum asal. 
Ketika dibincangkan peringkat maslahat pula, pihak lain menyatakan hukum
 Islam tidak konsisten, dan sebagainya. 
20.
 Memang ada hukum yang berubah dan tidak tetap kerana ia berdiri di atas
 dalil maslahat, uruf dan lain-lain yang tidak bercanggah dengan roh 
syari’ah. Apabila maslahat dan uruf ini berubah maka hukum turut 
berubah. Pada zaman nabi SAW tidak dibenarkan menetapkan harga siling (tas’iir)
 dalam mua’malat kerana ada nas hadith menyebut, tetapi pada zaman 
tabi’in membenarkannya. Pada zaman Rasulullah SAW tidak boleh mengambil 
unta yang terlepas lari (dhollatu al-ibil), ada nas hadith yang
 menyebut, tetapi Uthman bin Affan RA pada zamannya memerintahkan 
sebaliknya, boleh ditangkap bahkan dijual dan hasil jualan perlu 
diserahkan kepada kerajaan. Ini lah bukti keanjalan syari’at Islam yang 
sesuai dan terus sesuai pada setiap zaman. Hanya manusia yang jahil dan 
sombong tidak memahaminya lalu menuduh syari’at Islam tidak konsisten. 
21.
 Marah kepada orang yang membuat cadangan dan meminta juga satu tindakan
 yang tidak cerdik. Pemerintah boleh sahaja memberi atau menolak kerana 
kuasa terletak di tangannya. Tidak cerdik kita marah orang yeng meminta 
sedekah daripada kita, duit berada di tangan kita, boleh memilih sama 
ada ingin memberi kepadanya sedekah atau tidak. Tidak cerdik juga orang 
lain yang melihat kejadian ini, menghebohkan kisah peminta sedekah tadi 
yang meminta lalu menuduhnya dengan pelbagai tuduhan dan cemuhan. Bahkan
 lebih tidak cerdik lagi mereka yang membaca dan mempercayainya, kerana 
ia bukannya isu pun.
22.
 Kesimpulannya, orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah Azz Wa Jalla
 sebenarnya bukan isu. Isunya ialah mengisukan tajuk ini, sedangkan 
hukumnya boleh diketahui dengan kaedah feqh yang betul termasuk kajian 
aspek akidah menerusi orang yang ahlinya.
 Adakah sistem pendidikan kita dan semua Jabatan Agama Islam belum mampu
 melahirkan muslim yang kuat akidahnya dan baik kefahaman feqhnya tanpa 
mudah terpengaruh dengan sebarang isu? 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan