Kriteria permulaan remaja ialah pencapaian kematangan seksual atau akil 
baligh iaitu masa dalam hidup individu apabila organ pembiakan mula 
berfungsi dan individu tersebut sudah berupaya melahirkan zuriat (Rahil 
Mahyuddin, Marina Chong Abdullah & Habibah Elias, (2000). Kehidupan 
remaja berkait rapat dengan perkembangan seksualiti di mana zaman remaja
 merupakan zaman eksplorasi dan eksperimentasi, fantasi  dan realiti seksualiti (Santrock, 2000).  Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa isu kesihatan  seksualiti
 remaja telah menjadi isu yang diberi perhatian di Asia berdasarkan 
trend demografi di Asia iaitu jurang yamg makin luas antara kematangan 
seksual dengan umur perkahwinan dan kadar penggunaan kontraseptif yang 
rendah semasa remaja ( Gubhaju, 2002).
             Menurut  Gubhaju (2002), terdapat   beberapa  faktor
 yang menyumbang kepada masalah tingkah laku seksual di kalangan remaja.
 Faktor pertama ialah peluang mendapatkan maklumat berkaitan seksualiti 
yang terhad menyebabkan mereka kurang pengetahuan dan tidak mengetahui 
sama ada maklumat yang diperolehi adalah tepat atau tidak. Maklumat 
berkaitan seksualiti yang betul bagi golongan remaja amat penting untuk 
mengelakkan berlakunya masalah-masalah  seperti
 hubungan seks sebelum kahwin, kehamilan dan penyakit kelamin. Faktor 
kedua ialah tekanan daripada rakan sebaya kerana rakan sebaya memainkan 
peranan sebagai sumber maklumat utama berkaitan  seksualiti.
 Walaupun ibu bapa dilihat sebagai sumber utama dalam menyampaikan 
maklumat berkaitan seksualiti tetapi mereka agak tertutup dalam 
membincangkan isu ini. Faktor ketiga ialah terhadnya perkhidmatan 
berkaitan kesihatan seksualiti yang disediakan khas untuk golongan 
remaja. Kebanyakan golongan ibubapa dan pembuat polisi bimbang dengan 
maklumat yang diberikan akan menggalakkan remaja terlibat dalam hubungan
 seks sebelum kahwin. Tetapi menurut Gubhaju (2002), tinjauan ke atas 
program pendidikan seks ke atas beberapa negara menunjukkan pendidikan 
seks tidak menggalakkan aktiviti seksual bahkan dapat melewatkan umur 
mula mengadakan hubungan seks dan menjurus kepada tingkah laku yang 
lebih bertanggungjawab terhadap seksualiti.
            Dengan maklumat yang 
terbatas dan perkembangan emosi yang masih belum kukuh, remaja sudah 
dihadapkan pula pada berbagai godaan seperti filem-filem Barat yang 
menawarkan nilai-nilai yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai 
budaya Timur. Akibatnya remaja mungkin akan terjerumus dengan tingkah 
laku yang menyalahi nilai agama dan budaya. Perkembangan teknologi masa 
kini pula secara tidak langsung memperluaskan peluang remaja memperolehi
 bahan-bahan lucah di mana menurut Ahmad Rizal (2005) pada era teknologi
 maklumat kini menyaksikan seks menjadi  bidang
 yang amat popular di kalangan pengguna internet . Mereka yang melayari 
internet terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk remaja. Ini  kerana
 capaian ke laman web berkaitan seks amat mudah dan pantas. Hal ini 
menjadi serius bila banyak masalah sosial wujud akibat pengaruh laman 
web berunsurkan seks. Bagi memastikan anak-anak ini tidak terikut-ikut 
dengan gaya 
hidup seks bebas seperti yang dipertontonkan, maka pendidikan seks 
adalah perlu untuk memastikan anak-anak ini mendapat mesej yang positif 
dan maklumat yang betul tentang seks. 
      Menurut Tepper (2001) 
remaja berkeperluan khas mempunyai perasaan, keperluan dan naluri sama 
seperti remaja yang normal. Mereka turut melalui proses yang sama dalam 
perkembangan seksualiti. Dalam proses mencapai akil baligh tubuh badan 
mengalami beberapa perubahan yang disebabkan oleh perubahan hormon. 
Perubahan ini dialami oleh remaja secara sejagat dengan kadar yang 
berbeza bagi setiap individu. Bagi golongan remaja bermasalah 
pembelajaran keupayaan mental mereka lebih rendah dari umur kronologi di
 mana walaupun fizikalnya menunjukkan ciri-ciri remaja tetapi 
pemikirannya masih seperti kanak-kanak. Dalam hal ini pendidikan seks 
adalah perlu bagi membimbing remaja bermasalah pembelajaran dalam 
menangani masalah seksualiti mereka dengan cara yang positif dan  bukan semata-mata  memenuhi tuntutan naluri.
            Menurut  Jawatankuasa
 Belia International Planned Parenthood Federation, IPPF dalam 
Persekutuan Persatuan- persatuan Perancangan Keluarga Malaysia (2003) 
semua orang muda di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, warna 
kulit, orientasi seksual atau keupayaan mental dan fizikal mempunyai 
hak-hak berkaitan kesejahteraan seksualiti. Berdasarkan kepada 
pernyataan hak-hak tersebut menunjukkan golongan remaja sama ada 
golongan normal atau golongan berkeperluan khas mempunyai hak untuk 
mendapat maklumat yang sewajarnya berkaitan pendidikan seks. Walaupun 
mempunyai hak-hak seperti dinyatakan dalam pernyataan tersebut  sebagai
 seorang individu yang hidup dalam masyarakat beberapa pernyataan hak 
tersebut perlu disemak dan diselaraskan mengikut perspektif agama, 
budaya dan sosio politik negara Malaysia. 
Walaupun golongan remaja adalah golongan yang mewakili nisbah yang besar
 dalam populasi dunia, keperluan seksualiti mereka sering diabaikan 
(Warwick & Aggelton, 2002). Menurut mereka lagi walaupun ada 
perkhidmatan kesihatan seksual yang disediakan, remaja sukar mengakses 
perkhidmatan tersebut kerana tidak digalakkan oleh ibu bapa atau para 
profesional yang terlibat. Sebenarnya
 ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami pemikiran dan perasaan remaja 
dan belia dengan mengamalkan komunikasi secara terbuka, menjadi rakan 
yang sanggup melayan masalah remaja, menghormati idea dan paling penting
 memberikan bimbingan mengikut kepercayaan, budaya dan agama.
Pendidikan yang diterima 
di sekolah secara formal menjadi alat yang penting untuk menyiapkan diri
 remaja menghadapi masa depan tetapi bila menyentuh hal seksualiti, 
remaja didapati amat kurang atau tidak berinformasi mengenainya. Isu 
pendidikan seks juga masih tidak dapat diterima sepenuhnya oleh 
masyarakat di mana masih timbul keraguan dalam melaksanakannya. Ada 
pihak yang masih berpandangan sempit dalam hal pendidikan seks. Bahkan 
ada di kalangan guru sendiri yang mempersoalkan wajarkah pendidikan seks
 dimulakan seawal umur 4 tahun. Justeru itu   pembentukan
 kurikulum dan modul pendidikan seks perlu melibatkan semua pihak agar 
kefahaman mengenainya dapat disebarkan dan dapat mengelakkan tanggapan 
negatif mengenainya.
2.0 Pendidikan seks
Pendidikan seks adalah 
proses memberi pengajaran, kesedaran dan penerangan tentang 
masalah-masalah seksual kepada anak bermula dari masa anak tersebut 
memahami tentang masalah berkenaan seks, naluri perkahwinan sehinggalah 
mereka dewasa serta dapat memahami urusan kehidupan serta memahami 
persoalan-persoalan yang dihalalkan dan yang diharamkan dalam Islam 
(Abdullah Nasih Ulwan, 2002). Menurut pandangan Islam manusia yang 
dilahirkan di dunia ini telah dibekali dengan berbagai fitrah termasuk 
fitrah seks (Hanafi Mohamed, 1994). Fitrah manusia terhadap seks adalah 
salah satu fitrah yang terpendam yang ada dalam diri manusia yang dibawa
 sejak lahir. Seks dikenali sebagai nafsu syahwat iaitu suatu kekuatan 
pendorong hidup yang dimiliki oleh manusia secara fitrah dan ianya 
merupakan kekuatan naluri yang paling dominan. Ini dapat dilihat dalam 
Al- Quran yang telah menjelaskan bahawa keinginan utama dan pertama 
seseorang manusia lelaki adalah wanita. Kenyataan ini  disokong oleh firman Allah yang bermaksud seperti berikut:
“ Dihiaskan kepada manusia mencintai syahwat(keinginan nafsu) seperti  wanita-wanita,
 anak-anak dan harta-benda yang banyak dari emas, perak, kuda yang 
bagus, binatang ternakan dan tanam-tanaman. Demikian itulah kesukaan 
hidup di dunia dan di sisi  Allah tempat yang sebaik-baiknya.”
                                                                                                                           ( Ali-Imran: 14 )
            Secara fitrahnya 
naluri seks manusia berkembang dalam usia tertentu iaitu bagi lelaki 
naluri seksnya timbul dalam lingkungan umur 16 tahun manakala perempuan 
pula dalam lingkungan 12 tahun. Ini menunjukkan dalam  hayat manusia, dorongan seksual memuncak pada peringkat zaman remaja. Kejahilan  umat
 manusia melestarikan keinginan dan keperluan seksual akan menimbulkan 
berbagai gejala yang menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam 
seperti hubungan seks sebelum kahwin, pelacuran, kehamilan luar nikah 
dan lain-lain lagi. Justeru itu dalam hal ini pendidikan seks kepada 
golongan remaja amat penting untuk membimbing mereka ke jalan yang betul
 menurut syariaat agama Islam. Islam memandang pendidikan seks secara 
universal di mana pendidikan seks adalah sebahagian daripada pendidikan 
akhlak iaitu mendidik manusia supaya mematuhi segala perintah dan 
sebaliknya menjauhi larangan Allah. Jelas di sini Islam mementingkan 
pendidikan seks kepada anak-anak agar mereka dapat membina peribadi 
sebagai insan yang mulia dan mengelakkan penyelewengan dalam hal-hal 
berkaitan seks. Pandangan Islam ini adalah universal di mana ia adalah 
sejajar dengan pandangan agama-agama lain tentang pendidikan seks. 
Pengetahuan mengenai akil
 baligh dan perkembangan seksualiti adalah penting untuk kesejahteraan 
dan perkembangan remaja secara positif dan sihat. Menurut Winn, Roker 
dan Coleman, (1998)  terdapat empat kepentingan pengetahuan berkaitan seksualiti di kalangan remaja iaitu:
i. pengetahuan amat penting untuk penyesuaian psikologikal semasa remaja kerana  mengetahui  perubahan yang terjadi pada tubuh badan sendiri membolehkan remaja membuat penyesuaian diri.
ii. Pengetahuan adalah 
menjadi pra-syarat untuk tingkah laku yang selamat di mana remaja patut 
tahu cara melindungi diri daripada sebarang ancaman.
iii. Memahami apa yang 
diketahui oleh remaja tentang akil baligh dan perkembangan seksual amat 
penting untuk merekabentuk dan menilai program pendidikan seks di 
sekolah.
iv. Pengetahuan penting kerana ia membolehkan remaja mengetahui apa yang berlaku dalam dunia seksualiti remaja.
Pendidikan seks perlu didedahkan kepada anak atau murid  bagi memperlihatkan nilai akhlak yang  terkandung
 di dalamnya dan institusi yang boleh menerapkan nilai ini adalah 
keluarga dan sekolah (Raja Yusoff Ariffin, 2005). Justeru itu ibu bapa 
dan guru  memainkan peranan 
penting sebagai agen penyampai maklumat kepada anak atau murid. Setiap 
ibu bapa dan guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan 
seksualiti agar mereka lebih yakin dan bersedia dalam menjalankan tugas 
mendidik.
Menurut Haffner (1992), 
pendidikan seks telah mula wujud pada tahun 1880- an di Amerika Syarikat
 . Sekitar tahun 1900-an antara aspek pendidikan seks yang diperkenalkan
 ialah kepentingan kebersihan seksual dan persediaan untuk perkahwinan 
dan  menjadi ibu bapa. 
Seterusnya pada sekitar tahun 1919 pengajaran dan pembelajaran 
pendidikan seks telah dimulakan di sekolah-sekolah. US Public Health 
Services melabelkan pendidikan seks untuk sekolah sebagai suatu 
keperluan yang mendesak dan pada tahun 1953 American Medical Association
 dan American Education  Association menerbitkan lima risalah dalam siri   pendidikan seks. Tahun
 1980 an dunia dikejutkan dengan sindrom kurang daya tahan penyakit 
(AIDS) menyebabkan keperluan terhadap pendidikan seks semakin meningkat.  Pada
 ketika ini negara-negara Barat seperti Amerika dan United Kingdom telah
 menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks secara 
formal bermula dari peringkat sekolah rendah.
The Planned Parenthood 
Federation of America (PPFA) telah menggesa pendidikan seks dijalankan 
di sekolah sejak tahun 1970. Pada tahun  1986
 kenyataan dikeluarkan oleh presiden persatuan tersebut supaya 
pendidikan seks dijalankan bermula dari peringkat tadika 
(lizditz.typepad.com, 2006). Di Britain pula satu forum diadakan di mana
 hasilnya ibu bapa, guru dan pekerja kesihatan mahu murid-murid menerima
 pendidikan seks yang berkesan di sekolah dengan mencakupi aspek nilai 
moral dan kepercayaan (BBC News, 2006). Pendidikan seks diwajibkan 
sebagai sebahagian daripada PSE iaitu Personal and Social Education 
dalam kurikulum kebangsaan Britain. Subjek pendidikan seks di Singapura 
juga telah dijalankan secara formal di sekolah sebagai satu subjek 
berasingan. Bagi  murid Islam di
 Singapura yang mengikuti pendidikan agama di masjid atau pusat swasta ,
 mereka mendapat sebuah buku teks pendidikan seks yang dikategorikan 
sebagai X-rated . Buku ini digubal sebagai sebagai satu bahagian dalam  kurikulum sekolah agama (www.adnki.com, 2006).          
Tinjauan yang dijalankan 
melalui internet pada tahun 2005 ke atas 317,000 responden daripada 41 
buah negara menunjukkan kebanyakan orang mahu pendidikan seks dimulakan 
pada umur 11.7 tahun dan umur purata orang mula menerima pendidikan seks
 ialah 13.2 tahun (Durex, 2006). Menurut tinjauan itu responden Malaysia
 adalah yang ke empat dari 41 negara yang paling lewat menerima 
pendidikan seks iaitu pada usia 14.9 tahun. Tinjauan bagi cara-cara 
untuk meningkatkan kesedaran tentang seks menunjukkan  responden
 Malaysia mahukan kerajaan melaburkan wang untuk pendidikan seks (31 %),
 bahan pengajaran disediakan di sekolah (36 %) dan perbincangan tentang 
seks yang selamat (22 %). Berdasarkan tinjauan ini penulis berpendapat 
rakyat Malaysia mahukan pendidikan tentang seksualiti dan pendidikan 
seks dijalankan di sekolah. 
Kurikulum dan modul 
pendidikan seks yang khusus untuk murid bermasalah pembelajaran perlu 
disediakan bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran 
pendidikan seks. Mendidik dan berbincang tentang seksualiti anak-anak 
remaja yang normal adalah sukar kerana ibu bapa mungkin kurang arif 
dalam aspek bahasa yang patut digunakan atau alat bantu mengajar dan 
sumber yang mana sesuai digunakan. Apatah lagi bila berhadapan dengan 
anak-anak bermasalah pembelajaran. Begitu juga bagi guru-guru  kerana
 mendidik murid bermasalah pembelajaran adalah sangat mencabar. Menurut 
Hallahan dan Kauffman (1986), guru-guru ini mesti ada kemahiran dalam 
bidang pengajaran seperti strategi pengajaran untuk murid yang terdiri 
daripada pelbagai jenis ketidakupayaan, pengurusan tingkah laku murid, 
penggunaan teknologi dan juga pengetahuan tentang undang-undang murid 
berkeperluan khas.
2.1 Pendidikan seks dan di Malaysia
Pendidikan seks di 
Malaysia setakat ini telah dijalankan secara merentasi kurikulum dalam 
beberapa matapelajaran. Buat masa ini belum ada kurikulum atau modul 
pendidikan seks yang khas disediakan sebagai panduan guru-guru. Namun 
begitu dalam mata matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan 
terdapat banyak aspek pendidikan seks yang diterapkan seperti isu 
perkahwinan, peranan dan tanggungjawab dalam keluarga, isu-isu remaja 
seperti pembuangan bayi, isu-isu kekeluargaan, seks abnormal, penyakit 
kelamin dan lain-lain.
Pada tahun 2003, 
Persekutuan Persatuan-Persatuan Perancang Keluarga Malaysia telah 
menyediakan Modul Kesihatan Reproduktif Remaja dengan dibiayai oleh 
United Nation Population Fund (UNFPA). Kementerian
 Pendidikan Malaysia turut menyokong modul ini yang digunakan untuk 
memantapkan Program Pendidikan Kesihatan Keluarga. Modul ini disediakan 
khusus untuk golongan pendidik dan jurulatih termasuk pendidik rakan 
sebaya di Persatuan-Persatuan Perancangan Keluarga Negeri dan 
agensi-agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang terlibat menggalakkan 
kesihatan, tumbesaran dan perkembangan positif remaja. Modul ini terdiri
 daripada dua komponen iaitu Manual Jurulatih dan panduan jurulatih. 
Modul Kesihatan Reprodudktif Remaja ini didapati tidak meliputi 
perspektif Islam termasuk pengaruh yang khusus dalam akil baligh dan 
tumbesaran, pendidikan seksualiti serta larangan pengamalan seks sebelum
 perkahwinan. 
Senario di Malaysia 
menunjukkan bahawa golongan remaja bukan sahaja terlibat dalam gejala 
sosial malah turut terdedah kepada penganiayaan seksual di mana mengikut
 perangkaan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 menunjukkan dari tahun
 2000 hingga 2004 terdapat sejumlah 11, 596 kes rogol di mana mangsa 
rogol kebanyakannya iaitu lebih 50 peratus adalah gadis di bawah umur 
enam belas tahun. Kes sumbang mahram juga semakin meningkat dari tahun 
2000 hingga tahun 2004 iaitu berjumlah 1353 kes. Kebanyakan mangsa dalam
 kes ini adalah yang berumur awal remaja. Pada saat ia terjadi mereka 
tidak menyedari atau tahu itu ialah satu kesalahan yang dinamakan 
sumbang mahram. Akibatnya ada yang mendiamkan diri dan berusaha 
melupakankannya, namun lazimnya insiden sumbang mahram ini akan berulang
 (Siti Zubaidah Ismail & Muhamad Zahiri Awang Mat, 2005).
Menurut Lee dalam Gubhaju
 (2002), dapatan kajian ke atas remaja di Malaysia yang berumur antara 
13 hingga 19 tahun menunjukkan bahawa 40 % responden telah mula keluar 
berpacaran dengan pasangan pada seawal umur 13 tahun. Pada umur 18 
tahun, 84 % sudah mula berpegangan tangan, 85 % bercium dan mencium 
leher dan 83 % meraba. Manakala dalam tinjauan ke atas isirumah, 1 % 
mengaku telah mengadakan hubungan seks sementara dalam tinjauan media 
mendapati 24 % telah mengadakan hubungan seks di mana 18.4 % daripadanya
 mula mengadakan hubungan seks semasa berumur antara 15 hingga 18 tahun.
 Menurutnya lagi dalam satu kajian lain didapati 45 % responden berumur 
15 hingga 21 tahun telah mula keluar berdua-duaan dan 9% dilaporkan 
telah mengadakan hubungan seks sebelum kahwin.
Kajian yang dijalankan 
oleh Lembaga Penduduk Dan Perancang Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan 
80 % remaja berumur 13 hingga 18 tahun telah terdedah kepada bahan lucah
 . Sebanyak 50% remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun mengaku telah 
membaca buku lucah dan 44 % lagi mengaku telah melihat bahan lucah 
seperti majalah dan menonton video lucah (Utusan Malaysia, 1996). Seks 
merupakan bidang yang amat popular di kalangan pengguna internet (Ahmad 
Rizal, 2005). Mereka yang melayari internet terdiri daripada pelbagai 
peringkat umur termasuk remaja. Ini  kerana
 capaian ke laman web berkaitan seks amat mudah dan pantas. Hal ini 
menjadi serius bila banyak masalah sosial wujud akibat pengaruh laman 
web berunsurkan seks. 
            Seksualiti adalah suatu perkara yang integral dan merupakan bahagian pengalaman  semulajadi manusia di mana ianya bermula sejak lahir hingga ke hari  tua seseorang. Seksualiti bukan hanya sekadar membicarakan hal-hal tentang hubungan seks sahaja. Ia  merangkumi
 aspek yang lebih luas seperti perkembangan fizikal dan akil baligh, 
perkembangan emosi, perhubungan dengan rakan berlainan jantina, 
keintiman dan perasaan kasih sayang serta lain-lain lagi. Bagi ibu bapa 
yang mempunyai anak-anak istimewa persoalan mengenai seksualiti 
anak-anak menjadi suatu cabaran yang besar. Ramai ibu bapa atau penjaga 
bimbang mengenai keselamatan anak kurang upaya kerana mereka lebih 
berisiko menghadapi penganiayaan seksual. Anak-anak ini juga akan 
mengalami perubahan fizikal dalam mencapai akil baligh. Pengetahuan 
mengenai seksualiti dapat membantu dalam memahami dan menangani tingkah 
laku seksual anak-anak istimewa dan memberi ruang untuk berbincang 
mengenai perasaan dan tingkah laku seksual bila ianya berlaku. Adalah 
penting untuk memastikan anak-anak menerima mesej yang positif tentang 
seksualiti. Ibu bapa dan sekolah terutamanya guru boleh bersama-sama 
dalam usaha memperkenalkan isu seks ke  arah yang positif.
2.2 Pendidikan seks daripada aspek agama
            Menurut dali-dalil syara’ dalam Islam  hukum
 menyampaikan atau berterus terang dengan anak-anak berkaitan seks dan 
keinginan batin adalah harus. Di dalam al-Quran pula terdapat hukum 
halal atau haram atau perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan 
ketika memuaskan batin atau syahwat (Abdullah Nasil Ulwan, 2002). 
Menurut beliau lagi pendidikan seks  boleh berjaya dengan pengawasan dan pemerhatian pendidik dan pengisian masa lapang anak-anak dengan perkara yang berfaedah.
Antara ayat-ayat al-Quran yang berkaitan seksualiti ialah :
- Al-mukmininun : ayat 5 – 7
“ Dan yang menjaga kehormatannya (tidak melepaskan syahwat). Melainkan
 kepada isterinya atau kepada kepunyaan tangan kanannya. Maka 
sesungguhnya mereka itu tiada tercela. Tetapi orang-orang yang mencari 
selain dari itu, maka merekalah orang-orang yang melanggar batas.”
- Al-Baqarah : ayat 222
“ Mereka menanyakan kepada engkau tentang haid (kedatangan bulan bagi 
perempuan). Katakan : itu agak kotor sebab itulah, jarakilah perempuan 
itu selama masa haid dan janganlah dekati mereka sebelum suci. Dan bila 
mana mereka telah mensucikan diri darinya, datangilah mereka sebagai 
yang diperintahkan Allah kepadamu; sesungguhnya Allah itu menyukai 
orang-orang yang kembali (taubat) kepadaNya dan Tuhan menyukai 
orang-orang yang membersihkan diri”.
- Al-Dahr : ayat 2
“Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dari setitis air mani yang 
bercampur. Kami akan mengujinya, lalu dia Kami jadikan orang yang dapat 
melihat dan mendengar.”
- Al-Isra : ayat 32
“ Dan janganlah kamu dekati perzinaan kerana sesungguhnya  perzinaan itu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.”
- An-Nur : ayat 3
“  Laki-laki yang berzina hanya 
mengahwini perempuan yang berzina(pula) atau perempuan yang musyrik. Dan
 perempuan yang berzina hanya dikahwini oleh laki-laki yang berzina atau
 laki-laki musyrik. Dan yang demikian itu  dilarang untuk orang-orang yang beriman.”
- Al-A’raf : ayat 80-81
“ Dan Kami mengutus Luth. Ingatlah ketika  dia
 mengatakan kepada kaumnya. Mengapa kamu kerjakan kekejian (pelanggaran 
kesopanan) yang belum pernah diperbuat oleh seorang pun dari 
bangsa-bangsa. Bahawa kamu melepaskan syahwatmu kepada orang laki-laki, 
bukan kepada perempuan. Bahkan kamu ini kaum yang melampaui batas.”
            Berdasarkan ayat-ayat
 al-Quran di atas jelas menunjukkan Islam mementingkan adab dan tata 
susila dalam merealisasikan naluri seks manusia. Islam
 memberikan panduan mengenai seksualiti yang boleh didapati daripada 
al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Sebenarnya pendidikan seks telah 
diterapkan dalam ajaran agama Islam sejak dari awal kejadian manusia 
lagi. Umat Islam dibimbing dari pelbagai aspek seksualiti bertujuan 
melahirkan insan yang baik akhlak dan budi pekerti dengan mengerjakan 
segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.
            Dari sudut agama Kristian terdapat beberapa pernyataan berkaitan seks seperti: 
- Sex used to be the glue that held our marriages togethers ( 1 Corinthians 7 : 5)
- A Christian’s body belongs to God ( 1 Corintihians 6:19), and He will send fornicators to hell ( 1 Corinthians 6:9-10)
- Because if you rebel against God, he will allow you to become possessed by urges that will enslave you ( Romans 1 : 28 – 32)
- Because if you allow your nature to rule, you will receive back like a growing cancer, sickness and pain (Galatians 6: 7-8)
- Because you are made in the image of God and as such have power to stop the curse that possess our dying nation. When you received the Holy Spirit at salvation, He gave you strength and wisdom to overcome the world and it’s lusts ( 1 Johan 4:)
- Because God put sexual power in you to help you fall in love and stay in love with your future spouse and create and mentor a healthy family.
- Because satan uses that same sexual power to enslave and destroy the lives of the foolish
            (dipetik dari :http://www.christianebooks.com/christiansexeducation.htm)
Kesimpulannya menurut 
ajaran Kristian, seks adalah anugerah Tuhan untuk cinta sejati dan 
kejujuran. Seks dilihat sebagai agen yang dapat mengukuhkan sesuatu 
perkahwinan atau sebaliknya sebagai asid yang memusnahkannya. Naluri 
anugerah tuhan ini perlu dihormati dan dilindungi dengan kata lain seks 
di luar perkahwinan adalah dilarang. Seks dicipta Tuhan untuk 
mengekalkan keseronokan dan keindahan sesuatu perkahwinan. Seks bukan 
semata-mata tindakan atau hubungan fizikal tatapi merangkumi satu set 
pemikiran, hati, keluarga dan masyarakat. Jadi sepatutnya remaja perlu 
menjauhi amalan seks yang salah seperti hubungan seks sebelum kahwin.
Penulis menyimpulkan 
bahawa ajaran agama adalah untuk membawa kebaikan kepada semua 
penganutnya. Jelas menunjukkan seks sebelum kahwin adalah dilarang 
kerana darinya akan wujud pelbagai masalah sosial seperti kehamilan luar
 nikah dan pembuangan bayi. Pendidikan seks adalah penting untuk 
membimbing manusia dalam melayari kehidupan yang penuh godaan dan 
cabaran. Panduan dan bimbingan agama dalam aspek seksualiti dapat 
membantu manusia menangani naluri seks mengikut cara yang betul 
seterusnya dapat mengelakkan perkara-perkara yang buruk seperti masalah 
sosial yang berlaku sekarang.
Namun jika manusia 
membelakangkan agama dan tidak menerapkan nilai-nilai murni dalam 
melestarikan naluri seks mereka, nescaya mereka akan terjerumus dalam 
pelbagai masalah sosial. Sebab itulah pendidikan seks yang berasaskan 
nilai lebih baik berbanding pendekatan yang bebas dari nilai. Ini kerana
 pemikiran remaja yang masih belum sepenuhnya dapat membezakan baik atau
 buruk sesuatu perkara memerlukan bimbingan dan panduan. Tambahan lagi 
dengan pengaruh rakan sebaya, media dan persekitaran menguatkan lagi 
sebab kenapa mereka ini perlu diberikan panduan dai aspek agama dan 
nilai.
2.3 Pendidikan  seks remaja bermasalah pembelajaran
Kanak-kanak khas 
bermasalah pembelajaran di Malaysia adalah daripada kategori Sindrom 
Down, Autisme ringan, Attention Deficit Hyperactive Disorder, terencat 
akal minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik seperti Disleksia. 
Kementerian Pelajaran Malaysia bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan
 pendidikan bagi golongan murid ini  dengan kerjasama  Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Perpaduan Negara dan  Pembangunan  Masyarakat.
 Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran menunjukkan masalah 
tingkah laku, masalah neurologikal, fizikal, psikologikal dan masalah 
persekitaran.
            Penekanan diberikan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya murid khas  dapat
 memaksimumkan pencapaian bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan
 hidup berdikari. Program yang dijalankan adalah berdasarkan Akta 
Pendidikan 1996, Bab 8, Akta Pendidikan Pindaan (2002) dan  keputusan Jawatankuasa dari Kementerian atau Jabatan yang terlibat  di Malaysia. 
Program PKBP di Malaysia juga mengambilkira dasar-dasar peringkat antarabangsa meliputi :
·        United Nation’s  World Programme of Action Concerning Disabilities Person (1983)
·        The World’s Declaration on Education for All (1990)
·        The United Nation’s Standard rules on The Equalisation of Opportunities for Person with disabilities (1983)
·        The Framework for Action on Special Needs Education ( Salamanca Statement) 1994
·        Biwako
 Millennium Framework for Action towards an Inclusive Barrier Free and 
Rights-Based Society for Person with Disabilities in Asia and in Pacific (2002)
      ( dipetik dari : Buku Maklumat Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, 2005)
            Penubuhan Program Pendidikan Khas  adalah
 selaras dengan Akta Pendidikan 1996 di mana murid-murid berkeperluan 
khas berhak mengikuti dan menerima pendidikan bersesuaian dengan 
keperluan mereka.  Peraturan 
Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, mengkategorikan murid pendidikan khas
 Kementerian Pelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah deria atau 
kognitif atau kedua-duanya iaitu :
i.                     penglihatan
ii.                   pendengaran
iii.                  pembelajaran ( yang boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain)
            Murid dengan masalah 
penglihatan dan pendengaran umumnya mempunyai keupayaan kognitif yang 
normal dan boleh mengikuti Kurikulum Kebangsaan dengan beberapa 
perubahan dibuat selaras dengan keadaan kecacatan yang dihadapi oleh 
mereka. Bagi murid bermasalah pembelajaran pula mereka ini mempunyai 
keupayaan kognitif yang jauh lebih rendah daripada murid biasa. 
Berasaskan model perubatan, murid bermasalah pembelajaran KPM adalah 
terdiri dari Sindrom Down, Autistik ringan, kurang upaya mental minimum 
dan bermasalah pembelajaran spesifik dan/atau bermasalah tingkah laku.
Dalam konteks Malaysia murid bermasalah pembelajaran yang ditempatkan 
dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP), 
Kementerian Pelajaran Malaysia  adalah
 dari kategori Sindrom down, autisme ringan, Attention Deficit 
Hyperactive Disorder, terencat akal minimum dan bermasalah pembelajaran 
spesifik seperti disleksia. Murid-murid ini mengikuti kurikulum 
alternatif yang dibentuk untuk memenuhi keperluan golongan ini iaitu 
menyediakan  ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui  melalui
 proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi 
keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan 
bermakna. 
Kurikulum alternatif untuk murid berkeperluan khas dibina dengan 
rekabentuk yang fleksibel dan berlandaskan tiga konsep utama iaitu:
- pendidikan menyeluruh dan bersepadu bertujuan memberi fokus kepada potensi individu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan social
- Pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna merujuk kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang meransang dan mengekalkan minat murid. Suasana pembelajaran yang kondusif perlu diberi penekanan agar murid dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan untuk keperluan diri dan kehidupan bermasyarakat. Ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan berfikiran terbuka
- Pendidikan sepanjang hayat merupakan pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran di alam persekolahan yang dapat menjana peluasan ilmu secara berterusan untuk digunakan dalam kehidupan seharian.
Prinsip-prinsip di atas perlu dilaksanakan melibatkan tiga aspek iaitu 
pembelajaran, pendekatan pembelajaran dan pengajaran, dan penilaian 
berteraskan kepada keperluan individu. Perhubungan antara ketiga-tiga 
aspek ini adalah bersifat interaktif dan dalam keadaan fleksibel di mana
 bentuk pengajaran adalah tidak terikat dan boleh dibentuk mengikut 
keperluan murid yang berbeza. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran boleh
 dibentuk mengikut keperluan murid melalui empat bidang iaitu :
i. bidang pengurusan kehidupan, ( komponen – pengurusan diri, kemahiran 
manipulatif, pengurusan tingkah laku dan kemahiran hidup)
ii. bidang akademik berfungsi, ( komponen-  Bahasa Melayu, Matematik , Bahasa Inggeris, Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
iii.bidang kerohanian dan niali-nilai murni dan ( Komponen – pendidikan agama Islam dan pendidikan Moral)
iv. bidang sosial, riadah dan kreativiti ( komponen- Pendidikan Jasmani,
 Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik, gerakan dan drama, Pendidikan sains,
 Sosial dan alam sekitar
            Elemen pendidikan 
seks diterapkan dalam ke empat-empat bidang ini di mana pelaksanaannya 
bergantung sepenuhnya kepada kemahiran guru dalam menyampaikan 
pengajaran. Namun begitu guru-guru ini tidak menerima sebarang latihan 
khusus tentang strategi pengajaran pendidikan seks semasa dalam latihan 
perguruan. Melalui tinjauan awal penulis didapati sumber maklumat 
berkaitan pendidikan seks yang khusus kepada golongan remaja bermasalah 
pembelajaran juga kurang.
Sepertimana remaja normal, remaja kurang upaya termasuk golongan 
bermasalah pembelajaran tidak terkecuali daripada masalah-masalah 
seksualiti. Menurut  Schloss, Smith & Schloss (1995)  isu berkaitan seksualiti mesti diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi remaja kurang upaya disebabkan peluang untuk  peluahan seksual  terhad
 kerana kekurangan kemahiran interpersonal, kekurangan sumber, dan tiada
 model yang bersesuaian untuk menunjukkan tingkah laku yang dapat 
diterima. Beberapa kajian menunjukkan berlakunya penderaan seksual  di
 kalangan golongan bermasalah pembelajaran dan sebaliknya mereka juga 
boleh menjadi pesalah seks di mana mereka melakukan salahlaku seksual ke
 atas rakan-rakan kurang upaya yang lain .  
Menurut laporan Family Planning Queensland (2005)  kajian terhadap masyarakat Australia mendapati orang kurang upaya menghadapi 3 hingga 7 kali  risiko menjadi mangsa penganiayaan seksual  di
 mana 54 % lelaki dan 50 % perempuan cacat pendengaran mengalami 
penganiayaan seksual. Sebanyak 39% orang dengan kepelbagaian 
ketidakupayaan mengalami penganiayaan seksual. Kajian oleh Zuria Mahmud 
dan Norshidah Mohd Salleh (2004)  menunjukkan  masalah  tingkah
 laku seksual murid berlaku di kalangan murid khas . Program Pendidikan 
Khas Bermasalah Pembelajaran, PKBP ditubuhkan di sekolah harian biasa 
dengan berkongsi bangunan serta kemudahan infrastruktur yang sama. 
Secara tidak langsung tingkah laku seksual remaja PKBP akan memberi 
kesan bukan sahaja kepada guru khas malah turut melibatkan warga sekolah
 yang lain
Pendidikan seks juga 
merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang perlu diberi mengikut 
kesesuaian individu tetapi tidak ada suatu kurikulum atau modul 
pendidikan seks yang disediakan khas untuk golongan remaja bermasalah 
pembelajaran. Tidak hairanlah wujudnya masalah tingkah laku 
berkaitan seksualiti di kalangan remaja ini akibat peluang mendapat 
pengetahuan yang terhad berkaitan seksualiti dan kurangnya didikan 
tentang seksualiti yang tersusun sejak awal persekolahan.
Rekabentuk model kurikulum yang dibina untuk murid-murid bermasalah 
pembelajaran adalah bersifat fleksibel bagi membolehkan guru 
mengembangkan bakat dan potensi sedia ada murid. Namun dalam hal 
pendidikan seks, guru-guru ini tidak dilengkapkan dengan teknik atau 
strategi pengajaran pendidikan seks apatah lagi sumber-sumber untuk 
menyampaikan maklumat tentang seksualiti juga agak terhad. Keadaan ini 
akan menggugat keberkesanan dalam penyampaian maklumat berkaitan 
seksualiti. Ini di sokong oleh dapatan kajian Zuria Mahmud dan Norshidah
 Mohamad Salleh, (2004)  iaitu 
antara cabaran yang dihadapi oleh guru khas ialah sukar mengawal tingkah
 laku seksual murid, kurang pengetahuan dan kemahiran berkaitan murid 
khas kerana tiada kursus atau latihan tertentu dan kurangnya alat bantu 
mengajar yang sesuai dengan murid berkeperluan khas. 
Guru atau pendidik bagi pendidikan seks yang berkesan mestilah seorang 
yang percaya dengan program tersebut dan menerima latihan yang 
mencukupi. Latihan pula perlu diberi bukan sahaja tentang program 
pendidikan seks tetapi turut merangkumi strategi pengajaran (Kirby dalam
 WHO, 2001). Menurut  Kamn dalam
 WHO (2001) , kajian menunjukkan latihan guru untuk pelaksanaan 
kurikulum baru secara positifnya akan memberi kesan kepada kesediaan 
guru untuk mengajar seterusnya memberi kesan yang positif juga terhadap 
pelaksanaan kurikulum dan hasil pembelajaran murid. Namun terdapat 
halangan-halangan kepada kejayaan pendidikan seks iaitu kekurangan 
infrastruktur untuk latihan guru dan kurangnya bahan pengajaran yang 
berkualiti. Dapatan ini disokong oleh James-Traore, Finger , Ruland dan 
Savariaud (2004) di mana kajian mendapati latihan guru mempengaruhi 
sikap guru terhadap pendidik seks secara positif. Menurut mereka kajian 
ke atas 35 orang guru di Thailand yang menerima latihan menujukkan tahap
 pengetahuan yang lebih baik dan sikap yang positif terhadap pendidikan 
seks.
Menurut WHO (2001) penilaian terhadap pendidikan yang professional 
menunjukkan latihan kepada guru mesti disusuli dengan kaedah mengajar 
dan sokongan dari segi teknikal untuk memberi kesan dalam pengajaran 
dalam bilik darjah. Guru yang terlatih dapat melaksanakan pendidikan 
seks dari segi kandungan pelajaran dengan efektif dan  kaedah pengajaran  yang
 berkualiti. Di samping kelayakan profesional, guru juga perlu ada 
sifat-sifat yang tertentu bagi menjayakan pendidikan seks kerana 
peranannya sebagai role-model, orang yang berkemahiran dan cekap, boleh 
dipercayai dan boleh mengakses sumber serta sokongan. Oleh itu guru 
perlu ada pengetahuan yang tepat dan selesa dalam membincangkan 
perkara-perkara berkaitan seksualiti.
3.0 Penutup
Sejak kebelakangan ini isu pendidikan seks menjadi isu yang penting di 
mana menurut Rowe dan Savage, (1987) perhatian turut diberikan kepada 
golongan yang mengalami masalah ketidakupayaan mental yang diberi 
perakuan mempunyai hak  berkaitan
 seksualiti. Pendidikan seks adalah penting untuk perkembangan remaja 
dalam menyiapkan diri mereka menghadapi pelbagai cabaran  masa
 depan apatah lagi bagi golongan remaja bermasalah pembelajaran yang 
memerlukan lebih bimbingan disebabkan ketidakupayaan mereka dalam aspek 
kognitif atau keupayaan mental yang lebih rendah. 
Aspek amalan yang baik dalam pendidikan seks menurut The Working Group 
of sex education in Scottish schools (2002) ialah mengambilkira pendapat
 ibu bapa, guru dan masyarakat dan pembinaan program pendidikan secara 
menyeluruh dengan komitmen semua pihak. Garis panduan tentang kurikulum 
pendidikan seks mesti jelas dengan sumber-sumber yang bersesuaian 
mengikut acuan budaya Timur serta dapat diakses oleh para guru dan ibu 
bapa kerana dalam pendidikan khas kolaborasi antara ke dua pihak ini 
dapat menentukan kejayaan sesuatu program. Pendidikan seks harus 
dimulakan dari peringkat awal kanak-kanak mengikut topik-topik yang 
bersesuaian dan mesti ada kesinambungan pengajaran dan pembelajaran 
antara pihak ibu bapa dan guru.
Justeru itu kedua-dua pihak ibu bapa dan guru perlu mendalami kurikulum 
pendidikan seks dengan mengambilkira elemen agama dan budaya agar tidak 
timbul salah faham mengenai konsep pendidikan seks. Menurut Scottish 
Executive, (2000) di Scotland  pendidikan seks  dilihat
 sebagai satu elemen dalam pendidikan kesihatan dalam konteks yang lebih
 luas di mana ianya menyumbang kepada perkembangan fizikal, emosi, moral
 dan rohani. Mereka juga menyarankan pendidikan seks dimulakan pada 
peringkat awal kanak-kanak oleh ibu bapa dan penjaga dan berterusan 
hingga memasuki sekolah mengikut kesesuaian. Pendidikan seks yang 
diterapkan mesti berlatar belakangkan budaya dan agama terutamanya dalam
 konteks  Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya seiring dengan prinsip Rukun Negara.
            Pendidikan seks 
adalah penting untuk kesejahteraan remaja khasnya remaja bermasalah 
pembelajaran. Kurikulum dan modul pendidikan seks yang khusus kepada 
golongan ini perlu dibina dan dimandatkan agar semua pihak tidak ambil 
lewa dalam proses penyampaian maklumat seksualiti kepada remaja. 
Kurikulum ini tidak semestinya dijadikan satu matapelajaran tetapi boleh
 dijadikan sebagai salah satu topik dalam matapelajaran yang sedia ada. 
Matapelajaran yang sesuai bagi penulis ialah pendidikan agama dan moral 
kerana pendidikan seks yang dijalankan secara mengasingkan agama 
menunjukkan kegagalannya mencapai matlamat seperti di Amerika Syarikat.
            Dalam pembentukan 
kurikulum atau modul ini, pihak penggubal dasar perlu melibatkan 
wakil-wakil guru, ibu bapa, pakar agama dan para professional dalam 
bidang pendidikan khas. Pandangan guru dan ibu bapa amat penting kerana 
mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan anak-anak atau 
murid bermasalah pembelajaran. Kurikulum  yang dibina perlu dihebahkan kepada masyarakat agar tidak timbul lagi salah faham tentang pendidikan seks. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan