Ahad, 30 Jun 2013

PERKHAWINAN DALAM ISLAM

Di era manusia sekarang sedang sibuk membincangkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh seluruh masayarakat hari ini seperti perkahwinan sesama jenis, masalah sumbang mahram, perzinaan dan kelahiran anak luar nikah yang semakin banyak, Islam tampil sebagai solusi kepada semua masalah yang menimpa umat manusia waktu ini kerana Islam adalah suatu agama yang cukup ampuh dan bersedia untuk menghadapi segala jenis masalah di setiap zaman dan setiap keadaan masyarakat. Ini kerana, salah satu sifat Islam itu sendiri iaitu bersifat anjal atau murunah.
“Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti. “Sibghah” atau ciri ini memberikan Islam kebolehan berijtihad menyimpulkan hukum-hukum terhadap hal-hal yang tidak ada nas, samada melalui qias atau maslahah mursalah, ihtihsan dan sebagainya.”
Allah berfirman:
صِبۡغَةَ ٱللَّهِ‌ۖ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبۡغَةً۬‌ۖ
“ Itulah corak (celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik pencoraknya dari Allah.”
Jesteru, untuk memghadapi masalah-masalah yang umat Islam hadapi sekarang terutamanya di Malaysia iaitu seperti perzinaan, mencabul kehormatan dan pergaulan bebas, Islam telah menyediakan satu solusi yang cukup baik iaitu berkahwin kepada mereka yang sudah mampu.

Perkahwinan Menurut Perspektif Islam
Memang sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa dengan melalui perkahwinan sahajalah segala kehendak rohani dan jasmani, fizikal dan mental manusia yang berlainan jantina dapat disempurnakan mengikut jalan yang sah lagi diredhai Allah SWT. Inilah sunnatullah yang telah menjadikan perkahwinan sebagai jambatan untuk hamba-hambaNya yang berlainan jantina untuk menyempurnakan fitrah sebagai seorang manusia dengan satu matlamat iaitu mengharapkan keredhaanNya hasil dari perkahwinan yang sah.
Jesteru, perlulah kita mengetahui serba sedikit apakah keistimewaan perkahwinan pada perspektif Islam sehinggakan Nabi SAW pernah bersabda: “Jika seorang hamba telah menikah, bererti dia telah menyempurnakan setengah dari agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah lainnya.”
Perkahwinan adalah ibadah
Ibadah dalam Islam adalah sangat luas pegertian dan skopnya. Ibadah di dalam Islam bukanlah hanya tertumpu kepada ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja, tetapi konsep ibadah dalam Islam mencakupi seluruh hidup kita sebagai seorang Muslim. Suatu ibadah itu akan diterima oleh Allah sekiranya ibadah yang dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
Begitu juga dengan perkahwinan, ia juga dikira sebagai ibadah dalam Islam bahkan setiap suapan nasi yang diberikan suami kepada isterinya dengan ikhlas, rela dan senang hati akan memperoleh pahala sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas yang bermaksud:
“Nafkah apa yang engkau berikan dengan harapan memperolehi keredhaan Allah, pasti engkau akan mendapat pahalanya, bahkan apa yang engkau suapkan ke mulut isterimu.”
Perkahwinan Merupakan Cara Untuk Mendapatkan Pengampunan Allah, Peningkatan Darjat dan Istiqamah (Kemantapan Iman dan Kelurusan Sikap)
Abu Amamah Al-Bahili r.a mengatakan, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa membiayai penghidupannya sendiri dengan niat isti’faf ( tidak meminta-minta belas kasihan orang lain), itu adalah sedekah, dan barang siapa yang membiayai isteri, anak-anak dan sekalian ahli rumahnya juga adalah sedekah.”
Daripada hadith di atas dapatlah kita mengambil sedikit input bahawa perkahwinan merupakan salah satu jalan perjuangan bagi sang suami untuk melawan kehendak nafsu dengan mementingkan kehendak orang lain, ikhlas, sabar dalam mendidik anak-anak dan isteri supaya sentiasa berada di landasan Islam yang lurus, sentiasa berusasa mencari nafkah yang halal untuk keluarga dan sabar dengan kerenah anak-anak dan isteri.
Semua amal ini amat besar ganjaran pahalanya. Tetapi, amalan-amalan yang mulia ini hanya dapat dilaksanakan oleh mereka yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan menjadikan amalan-amalan ini sebagai medium untuk terus berubudiah kepada yang Maha Kuasa lagi Maha Perkasa. Hanya dengan cara ini sahaja, seseorang suami itu dapat menjadi pemimpi keluarga yang baik lagi adil.
Perkahwinan Merupakan Suatu Cara Untuk Memperbaiki Akhlak dan Budi Pekerti
Di dalam Islam, perkahwinan merupakan suatu cara yang mampu menyelamatkan orang Islam terutamanya golongan muda daripada terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan kerana antara fungsi utama perkahwinan ialah untuk menjadikan seseorang itu lebih bertaqwa.
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu menanggung beban rumah tangga hendaklah segea berkahwin, kerana hal ini lebih dapat memejamkan mata (yakni tidak memandang perempuan) dan lebih dapat menjaga kesuciaan diri ( dari perbuatan zina). Sesiapa yang belum mampu sebaiknya ia berpuasa, kerana puasa baginya adalah penjagaan diri.”
Perkahwinan Dari Sudut Kemasyarakatan
Menurut perspektif Islam, perkahwinan merupakan jambatan yang menghubaungkan antara dua keluarga. Sebagai contoh, apabila tiga orang lelaki yang bersaudara berkahwin dengan tiga orang wanita yang berasal dari keluarga yang berlainan, suku kaum yang berlainan atau mungkin dari negara yang berlainan, maka secara tidak lansung jaringan kekeluargaan semakin meluas dan dapat memberi peluang untuk berkenalan antara satu dengan yang lain.
Apa yang penting untuk kita ketahui ialah, selain dari ikatan silatulrahim dan persaudaraan antara ahli kerabat yang baru terjalin, ukhwah Islamiah antara sesama Islam juga semakin utuh dan kukuh dan ini dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara ahli masyarakat dan seterusnya melahirkan satu kelompok masyarakat yang saling sayang-menyayangi kerana Allah SWT.
Perkahwinan dari Sudut Kesihatan
Islam memandang serius proses membina rumah tangga yang berdasarkan jalan yang mengikut syarak kerana hanya dengan cara ini sahaja, ia dapat menyelamatkan kaum lelaki khasnya dari terjebak kepada keburukan dan bahaya yang tersembunyi, penyelewengan seks dan segala jenis kemaksiatan yang merosakkan fizikal, rohani dan jasmani.
Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umatnya khasnya kepada mereka yang ingin melakukan perbuatan keji dengan sabdanya: “Ada tujuh golongan orang yang pada hari kiamat kelak Allah SWT tidak sudi melihat mereka dan tidak akan membersihkan mereka dari dosa, bahkan kepada mereka Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang lain yang dimasukkan kedalamnya!” Tujuh golongan itu ialah: 1) Kaum homoseks, 2) Orang-orang yang melakukan melancap. 3) Orang-orang yang memuaskan nafsunya dengan haiwan. 4) Mereka yang menyetubuhi dubur isterinya. 5) Mereka yang mengahwini perempuan dengan anak tirinya. 6) Mereka yang berzina dengan perempuan jirannya. 7) Mereka yang menganggu tetangganya sehingga ia dikutuk olehnya.”
Ditambah pula dengan penemuan penyakit AIDS yang merebak akibat penzinaan menguatkan lagi hujah bahawa mereka yang mengamalkan perbuatan yang dilaknat oleh Allah ini pasti akan mendapat azab yang buruk walaupun masih di dunia lagi.

Perkahwinan Dari Sudut Politik
“Keutuhan dan kemuliaan suatu umat atau bangsa tidak mungkin tercapai kecuali jika umat atau bangsa itu memiliki persediaan dan kemampuan yang secukupnya sebagai suatu cara untuk mencapai kekuatan dan keutuhan tersebut. Kekuatan tersebut tidak akan terlepas dari dua bentuk asas, iaitu kekuatan spiritual dan kekuatan metarial. Umat atau bangsa yang memiliki dua kekuatan ini dengan sempurna maka umat atau bangsa itu pasti akan dapat menguasai dunia.”
Dengan kedatangan Islam, kekuatan spiritual itu lahir dari keiman kepada Allah SWT sedangkan unsure kekuatan material yang terpenting pula ialah kaum pemuada yang memiliki semangat perjuangan. Kerana itulah Rasulullah SAW menyeru umatnya supaya melaksanakan perkahwinan dan dapat melahirkan anak cucu keturunan yang soleh, sihat dan kuat jasmaninya, sanggup bekerja keras dan berjuang. Mereka itulah yang akan membela dan mempertahankan umat dan bangsanya, melindungi negerinya dari serangan musuh dan menyebar luaskan agama Allah.
Perkahwinan Adalah Sunnah Rasulullah SAW
Menolak dan mengabaikan perkahwinan merupakan suatu perkara yang menyimpang dari sunnah Rasulullah SAW kerana pada dasarnya perkahwinan merupakan sebahagian dari fitrah kejadian manusia yang ingin hidup berpasangan dan berkasih sayang antara satu sama lain. Perkahwinan juga merupakan sunnatullah (ketetapan Allah) di alam nyata ini.
Rasulullah SAW mencela orang yang menentang dan tidak menyukai sunnah baginda SAW dengan sabdanya: “Barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, ia bukan dari aku (yakni bukan dari umatku). Berkahwin adalah sunnahku kerana itu sesiapa yang mengasihiku hendaklah ia melaksanakan sunnah ku.”
Memang tidak dinafikan lagi bahawa orang yang lambat berkahwin dan yang membujang adalah golongan yang paling banyak melakukan penyelewengan terhadap larangan-larangan agama berbanding ornag yaang sudah beristeri. Amat jarang ditemui mereka yang membujang mempunyai hidup yang tenteram sekalipun seseorang itu menunaikan solat dan perintah Allah yang lain, namun kegagalannya menolak bisikan syaitan dan dorongan nafsu syahwat sedikit sebanyak membawanya melawan fitrah yang ditetapkan Allah SWT kepada hambanya.
Isu: Masalah Moral Remaja dan Belia
Zina
Diriwayatkan daripada Anas r.a, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Di antara tanda-tanda datangnya hari kiamat ialah 1) Ilmu agama akan diambil kembali (dengan meninggalnya para ulama’) 2) ketidaktahuan (terhadap agama) merajalela 3) Meminum minuman beralkohol (telah menjadi kebiasaan) 4) Zina dilakukan secara meluas dan terbuka.”


Di era globalisasi ini, perzinaan sudah merupakan fenomena yang biasa kita dengar dan lihat. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita yang terpapar di dada-dada akhbar arus perdana memaparkan kes-kes perzinaan ataupun lebih dikenali sebagai sumbang mahram. “Penyakit” ini bukan sahaja menyerang golongan remaja dan pemuda di kawasan bandar sahaja, malah sekarang penyakit ini sudah merebak ke setiap ceruk kawasan luar bandar.
Jika kita menyelidiki masalah-masalah yang menyebabkan berlakunya banyak kes-kes perzinaan yang melibatkan majoriti umat Islam di negara ini, maka kita akan menemui pelbagai punca berlakunya perzinaan seperti kemudahan mengekses bahan-bahan pornografi dari internet, penjualan video-video lucah di merata tempat dan persekitaran yang sudah kabur cahaya Islamnya. Ramai perempuan Islam memakai tudung tetapi tidak menutupi dada. Apabila berpakaian pula, ramai dari kalangan golongan hawa mengenakan pakaian yang ketat dan seksi dan ini telah menaikkan nafsu syahwat para pemuda yang kebanyakan belum berkahwin. Sedikit sebanyak, ia telah mendorang berlakunya kes seperti perempuan yang diperkosa dan sumbang mahram.
“Seks yang halal lagi mendamaikan mengikut Islam adalah seks yang berasaskan perkahwinan yang sah. Perkara ini dijelaskan oleh Nabi dalam hadis yang bermaksud, “Sahabat-sahabat nabi bertanya, ‘Wahai Nabi Muhammad, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal maka dia diganjarkan pahala?’ Kata nabi, ‘Tidakkah jika kamu memuaskan nafsumu secara haram maka kamu berdosa? Jesteru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperoleh pahala’.”
“Couple”
“Couple” ataupun dengan makna yang sinonim dengannya ialah bercinta sebelum berkhawin merupakan suatu perbuatan yang banyak membawa ke arah kemaksiatan walaupun orang yang terlibat dengan cinta jenis ini selalu memberi hujah atas nama fitrah sebagai seorang manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi, tetapi hujah ini tidaklah memadai untuk “menolak” perintah Allah dalam firmannya:
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬ (٣٢)
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”
Daripada ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa bukan perbuatan zina sahaja dilarang oleh Allah, tetapi perbuatan yang menghampirkannya kepada zina juga dilarang oleh Allah SWT.
Pada pandangan Islam bercinta sebelum berkahwin tidaklah salah di sisi Islam kerana kehendak untuk saling cinta-menyintai adalah sebahagian dari fitrah manusia. Firman Allah:
فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفً۬ا‌ۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡہَا‌ۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ (٣٠)
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Said Qutb telah mentafsirkan ayat ini seperti berikut di dalam tafsirnya iaitu Fi Zilaalil Quran: “Demikianlah Allah mengikatkan di antara fitrah manusia dengan fitrah agama Islam ini. kedua-duanya dari ciptaan Allah. Kedua-duanya sesuai dengan undang-undang alam al-wujud. Kedua-duanya bersesuaian antara satu sama lain, sama ada dari segi tabiat atau tujuannya. Allah yang telah menciptakan hati manusia itu. Dialah juga yang telah menurunkan agama ini untuk mengaturkan tindak-tanduknya, mengubati penyakitnya dan membetulkannya dari penyelewengan. Allah Maha Mengetahui kehendak-kehendak makhluk yang diciptaknNya.”
“Agama Islam memang sesuai dengan fitrah manusia. Ia menggalakkan perkahwinan, mengizinkan manusia menikmati keseronokan dunia, menekankan aspek jiwa dan ketenangan hati, mementingkan keharmonian keluarga, mengizinkan hiburan yang tidak melekakan.”
Tetapi yang menyebabkan cinta sebelum berkahwin ini menjadi haram apabila cinta “kelas kedua” ini telah terkeluar dari landasan cinta “kelas pertama” iaitu cinta Allah. Cukuplah dengan melihat kepada realiti masayarakat Islam di waktu ini, kebanyakan dari golongan yang bercinta sebelum berkahwin ini telah menterjemahkan cinta mereka dengan keluar berdua-duaan antara bukan mahram, duduk di tempat yang gelap lagi sunyi berdua-duaan tanpa ada rasa segan dan malu kepada yang Maha Melihat dan minum air dari gelas yang sama bagaikan orang yang sudah berkahwin.
Jika seseorang itu ingin bercinta sebelum berkahwin, pastikan cinta sesama hamba ini didasari dengan cinta “kelas pertama” iaitu cinta Allah. Apabila cinta kita berpaksikan kepada cinta Allah, maka jalan cinta sesama hamba yang kita bakal tempuhi itu akan terang dengan petunjuk dari nur hidayah Allah kerana matlamat atau ghayah cinta itu telah betul, maka jalan yang ditempuhi itu pasti akan betul juga. Dengan kata lain, cinta kelas kedua ini telah dinaikkan martabat kepada cinta “kelas pertama.”
Apabila pasangan yang membina rumah tangga atas nama cinta kerana Allah, maka rumah tangga yang dibina akan dipenuhi dengan mawaddah dan rahmat daripada Allah SWT. Suami isteri akan saling faham memahami dan yang lebih penting lagi ialah, perkahwinan ini akan sentiasa utuh sehingga ke akhirat sana walaupun ditimpa taufan dan badai.
Berbeza pula dengan mereka yang “berkahwin” sebelum berkahwin. Rumah tangga yang dibina tidak akan bertahan lama sebagaimana masjid yang dibina di atas tanah yang haram. Rumah tangga pasangan seperti ini dipenuhi dengan prasangka di antara suami isteri yang boleh membawa kepada kemusnahan sesebuah institusi kekeluargaan. Ini adalah azab Allah SWT di dunia lagi kepada mereka yang mempuat perkara yang tidak layak dibuat oleh mereka yang belum berkahwin.
Pergaulan Bebas
“Islam menjamin kesejahteraan kerana ia menghalalkan perkara yang baik dan mengharamkan segala yang keji. Arak dan judi, sebagai contohnya, diharamkan oleh Islam kerana ia merosakkan individu, keluarga serta masyarakat. Demikian juga dengan pergaulan bebas. Jalan alternatif yang dianjurkan Islam adalah meminum minuman yang berkhasiat, menjalankan peniagaan yang sihat serta melansungkan perkahwinan.”
Firman Allah:
وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَـٰٓٮِٕثَ
“Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.”
Sebenarnya, budaya pergaulan bebas ini bukanlah budaya yang sinonim dengan masayarat timur yang penuh dengan adab dan kesopanan. Jika kita membuka kembali lembaran sejarah kaum melayu pada suatu ketika dahulu, muda-mudi diajar supaya menjaga adab sebagai seorang anak dara. Seorang anak dara mestilah berteman jikalau hendak keluar ke mana-mana dan mereka sentiasa mengenakan kain batik sarung sebagai “tudung” yang menutup rambut mereka.
Tetapi semuanya berubah tatkala dunia semakin laju lariannya di era dunia tanpa sempadan mengejar kemewahan metarial dan kecantikan “luaran” berbanding kecantikan “dalaman” seperti yang dititik beratkan oleh Islam. Segala yang baik dan buruk yang ada di Barat dibawa masuk ke dalam negara yang penuh dengan adat ketimuran seperti Malaysia tanpa sebarang tapisan dan sekatan. Akibatnya, ramailah di kalangan remaja sekarang ini yang semakin “miskin” untuk membeli baju dan seluar yang longgar dan “malu” jika terus mengikut adab Melayu yang penuh dengan nilai Islamnya kerana tidak mahu ketinggalan zaman.
Amatlah banyak kesan negatif yang akan menimpa mereka yang terjebak dengan pergaulan bebas ini. Kemungkinan besar perempuan yang terlibat dengan pergaulan bebas ini pasti sudah tercemar maruahnya akibat perasaan malu yang sudah hilang dari dalam diri. Gejala tidak sihat seperti merokok, menghidu gam dan mengambil dadah sudah menjadi lumrah.
Semua ini hanyalah propaganda-propaganda Yahudi dan sekutunya untuk merosakkan umat Islam terutamanya golongan pemuda.
Menonton Aksi Lucah
Di era maklumat berada di hujung jari ini, banyak perkara-perkara yang befaedah boleh kita perolehi terutamanya melalui internet. Selari dengan banyaknya maklumat yang boleh kita perolehi dalam masa yang singkat dan mudah, terdapat juga banyak unsur negatif yang menyerang pemikiran-pemikiran pemuda dan remaja Islam pada waktu kini.
“Mengikut Internet Filter Reviews 2006, di bawah tajuk Internet Pornography Statistics, terdapat 4.2 juta laman web dengan 372 juta helaian keseluruhannya (pages) yang memaparkan adegan-adegan lucah di seluruh dunia. Dalam masa setahun, jumlah mereka yang menziarahi laman-laman web lucah ini mencecah 72 juta orang. Kebanyakan pelanggan yang menziarahi laman-laman iniadalah remaja dalam lingkungan umur 12 hinga 17 tahun.”
Kesan dari menonton gambar dan video pornografi ini, ramai dari golongan remaja dan belia “mengaplikasikan” apa yang mereka tonton dan lihat di alam nyata.
“Kajian yang dilakukan oleh i-Kon Berita Harian membabitkan 100 remaja di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam mendapati 31 peratus daripada mereka mengaku sudah melakukan seks dan 23 peratus daripada kelompok ini melakukan perbuatan itu sebelum mencecah usia 15 tahun. Hal ini dilaporkan di bharian.com.my pada 30 Julai 2005, di bawah tajuk Seks Luar Nikah oleh Diyanah Anuar.”
Amat benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Akan muncul daripada umatku mereka yang menghalalkan perbuatan zina, menghalalkan sutera bagi lelaki, meminum arak dan lagu-lagu yang melalaikan.”
Masalah Anak Luar Nikah
Anak luar nikah adalah anak yang lahir hasil dari persetubuhan pasangan yang belum bernikah secara sah. Sekarang, isu ini menjadi isu yang hangat diperkatakan dan dibincangkan oleh pelbagai pihak yang melihat masalah ini sebagai masalah yang menyentuh moral sebagai seorang manusia yang mempunyai perasaan dan hak asasi seorang anak yang dilahirkan dalam keadaan yang sebegitu rupa.
Jika masalah ini dilihat dari perspektif Islam, ia adalah masalah yang cukup bahaya kepada umat Islam kerana dengan lahirnya anak luar nikah ini bermakna, ia telah merosakkan salasilah keturunan kerana terdapat banyak kes yang melibatkan kes anak luar nikah ini, ramai lelaki melepaskan tanggungjawab sebagai seorang bapa terhadap anak hasil cinta terlarang itu.
Disebabkan inilah, aspek pemeliharaan keturunan adalah amat penting di sisi Islam. “Syariat Islam memeliharanya dengan mengizinkan pergaulan serta percampuran antara lelaki dan perempuan melalui perkahwinan yang sah. Sebaliknya mereka yang berzina dihukum dengan keras oleh agama.”
“ Sebenarnya, alat kelamin adalah amanah. Jesteru, ia perlu dipelihara berpandukan landasan syariat. Berhubung dengan ini sahabat Abdullah bin Amr bin al-As berkata, “Amanah adalah alat kelamin manusia. Sekiranya manusia mampu menjaga amanah ini Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya.”
Cabaran: Perihal Masalah yang Dihadapi oleh Remaja dan Belia yang Hendak Berkahwin Awal
Apabila kita menyelak kembali lembaran kitab sejarah Melayu dalam lingkungan 50 tahun sebelum ini, kita pasti selalu mendengar akan cerita dari orang-orang tua kita tentang perkahwinan mereka di usia yang cukup muda jika dibandingkan dengan budaya masa kini. Ada yang sudag berkahwin pada usia seawal 17 tahun. Apabila kita mendengar, terasa macam janggal jika remaja sekarang berkahwin pada usia seawal ini.
Inilah kekurangan zaman sekarang berbanding zaman dalam tahun 1950an dahulu. Remaja dan golongan muda sekarang rata-rata tidak mampu untuk berkahwin awal disebabkan pelbagai faktor yang menghalang. Disebabkan perkahwinan yang berlansung agak lambat, maka banyaklah perkara yang tidak diingini terjadi kepada golongan muda sekarang. Kes sumbang mahram, perzinaan dan kelahiran anak luar nikah semakin bertambah tahun ke tahun dan kaum yang banyak menyumbang kepada masalah sosial ini tidak lain ialah golongan Melayu yang maroritinya beragama Islam.
Bagaimana boleh terjadi perkara seperti ini? Adakah silap Islam yang syumul atau silap penganutnya yang tidak mengamalkan Islam yang syumul?

Masalah Ibu bapa yang Tidak Membenarkan
Pada waktu kini, negara kita semakin laju mengorak langkah ke hadapan supaya tidak menjadi sebuah negara yang ketinggalan dalam pelbagai bidang yang penting seperti industri berat dan akademik. Disebabkan bahana tuntutan realiti sekarang yang lebih menumpukan akademik dan kerjaya daripada perkahwinan, maka semakin ramai golongan remaja dan belia kini berkahwin pada usia yang agak lambat seperti dalam lingkungan umur 25 tahun.
Tetapi tanpa disedari, kita sekarang sedang menghadapi pelbagai kesan negatif disebabkan ramai remaja kini berkahwin lambat. Antara sebab yang menyebabkan ramai remaja dan belia berkahwin lambat kerana kebanyakan ibu bapa melarang berkahwin semasa belajar kerana takut akademik terabai. Boleh jadi betul dan salah. Untuk masalah seperti ini, kita perlulah berbincang dan beri kefahaman dengan kedua ibu-bapa kita mengapa kita hendak berkahwin awal.
“Jika anda tetap berada dalam suatu keadaan yang hanya perkahwinan jalan penyelesaiannya, maka bawalah berbincang dengan baik. Buktikan yang anda cukup dewasa untuk berumah tangga dengan mengambil langkah berdikusi dengan ibu bapa secara dewasa, atau mungkin juga dengan meminta bantuan orang tengah yang boleh membantu kepada rundingan.”
Tetapi, jika kedua ibu-bapa kita tidak membenarkan kita untuk berkahwin awal, maka janganlah sesekali kita melanggar perintah mereka kerana Rasulullah SAW bersabda: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
“Jika ibu bapa sudah memberi amaran bahawa perkahwinan adalah persoalan yang tiada ruang perbincangan hingga tergenggam ijazah di dalam tangan, maka hindarkanlah dari perbuatan menyeksa diri dengan mencari cinta di alam metrikulasi, atau tahun praklinikal bagi pelajar perubatan kerana anda mencari rasiko yang amat membebankan.”
“Jujurnya, saya melihat kebanyakan mereka yang berkahwin semasa belajar dapat mengekalkan prestasi cemerlang. Hanya segelintir yang kecundang.”
Masalah Kewangan dan Perancangan untuk Berkeluarga.
Ini adalah suatu masalah yang agak besar membelengu para remaja khususnya mereka yang masih belajar kerana perkahwinan bukanlah sekadar untuk mendapatkan “sijil halal” dari perkara-perkara yang sebelummya haram. Tetapi perkahwinan adalah sebuah institusi yang cukup besar peranannya dalam usaha untuk melahirkan anak yang soleh dan solehah.
Jika masalah seperti ini membelengu para belia yang hendak berkahwin, carilah jalan untuk mengatasi masalah-masalah ini. jika mampu bekerja sambilan semasa belajar, itu lebih baik.
“Keperluan mengadakan perbincangan tentang peraturan-peraturan kewangan, wajar dibincangkan bersama bakal suami dan bakal isteri yang bakal mendirikan rumah tangga. Terutamanya beban di pihak lelaki yang terpaksa menyediakan belanja yang besar dalam urusan perkahwinan. Bincanglah dengan baik untuk berpakat dan mencari penyeleaian. Jika bakal suami mahu membantu, berpakatlah dengan baik dan jaga maruahnya dengan tidak mengaibkan ketidakmampuannya mencapai ketetapan yang diputuskan.”
Bagi para belia khususnya pelajar yang ingin melangsungkan perkahwinan, “keperluan untuk berbincang secara jelas tentang perancangan untuk berkeluarga mesti dilakukan. Tanggungjawab utamanya pada si suami.”
Mungkin si bakal isteri malu-malu untuk membincangkan perkara ini, maka si bakal suamilah yang perlu memulakan dulu perbincangan perkara ini. adakah pasangan bersedia untuk mengandung dalam tempoh pembelajaran, atau setahun hendak final? Apakah kesan yang akan dihadapi oleh pasangan jika mendapat cahaya mata di waktu belajar? Semua ini eloklah dibincangkan.
“Jika mengandung pada situasi seperti ini terlalu berat untuk ditempuh, maka lanjutkanlah perbincangan kepada kaedah yang ingin diguna pakai untuk mencegah kehamilan. Ia boleh dicegah daripada pihak lelaki juga di pihak perempuan.”
Perbincangan perkara ini teramatlah penting kerana dibimbangi apabila pasangan dikejutkan dengan kehamilan si isteri dalam keadaan pasangan tidak mempunyai persediaan untuk menyambut cahaya mata di waktu belajar, situasi ini pasti mencetuskan pelbagai masalah bermula dengan masalah stres dan kemurungan sehingga membawa kepada masalah yang lebih serius seperti masalah kewangan dan masalah akademik.
Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga golongan orang yang wajib bagi Allah untuk menolong mereka: 1. Seorang mujahid (yang sedang berperang) di jalan Allah, 2. Orang yang menikah kerana ingin menjaga kehormatan, 3. Dan mukatab (hamba yang mempunyai perjanjian dengan tuannya untuk menebus dirinya sehingga merdeka) yang ingin membayar tebusan dirinya.”
Mas kahwin yang Mahal

Abdullah bin Mas’ud berkata: “Ketika kami muda, kami berada bersama-sama Nabi SAW dan kami tidak mempunyai apa-apa harta. Baginda berkata kepada kami: “Wahai para pemuda! Jika kamu mampu hendaklah kamu berkahwin, sesunguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah berpuasa kerana puasa itu adalah pendinding baginya.”
Daripada hadith ini, kita dapat memetik sedikit input bahawa Rasulullah SAW menggalakkan golongan muda sepaya berkahwin jika sudah mampu.
Malah, di dalam Islam perkahwinan itu adalah sunnah para nabi. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, ia bukan dari aku (yakni bukan dari umatku). Berkahwin adalah sunnahku kerana itu sesiapa yang mengasihiku hendaklah ia melaksanakan sunnahku.”
Tetapi keadaan semasa waktu kini mendesak para pasangan untuk membuat persediaan dari segi pembelanjaan yang secukupnya untuk menghadapi alam perkahwinan seperti pembelanjaan untuk kenduri. Tetapi hakikatnya sekarang, matlamat menganjurkan walimah sudah banyak menyimpang daripada syariat Islam.
Jika kita mengkaji fenomena ini dengan teliti, banyak “budaya membazir” yang sudah menjadi budaya masyarakat Islam sekarang. Banyak perbelanjaan untuk kenduri kahwin dihabiskan untuk menyewa baju pengantin, pelamin dan untuk hiasan. Malah ada yang lebih teruk dari itu, pendedahan aurat oleh si “raja sehari” juga selalu berlaku.
Matlamat kenduri yang asalnya untuk menghebahkan perkahwinan telah bertukar kepada untuk menunjuk-nunjuk akan gahnya kenduri perkahwinan yang mereka adakan itu. Semua ini hanyalah perkara yang menjauhkan berkatnya sesebuah institusi kekeluargaan yang hendak dibina. Malah menyusahkan para belia terutamanya yang miskin untuk berkahwin awal hanya kerana masih tidak mempunyai wang yang cukup untuk berkahwin disebabkan trend yang tersasar dari syariat Islam.
Jesturu, marilah kita kembali kepada Islam yang mudah dan memudahkan. Nabi SAW pernah bersabda mengenai mas kahwin;
“Sesungguhnya perkahwinan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah mas kahwinnya.”
“Apakah keberkatan yang diperolehi oleh mereka yang melipat gandakan mas kahwin?”
“Saidina Umar bin al-Khattab r.a berkata: Janganlah kamu melampau dalam meletakkan mas kahwin. Sekalipun mereka (perempuan) adalah orang yang dipandang tinggi di dunia, ataupun bertaqwa. Orang yang paling layak kamu contohi ialah Rasulullah SAW. baginda tidak pernah memberikan mas kahwin kepada isteri-isterinya dan meminta mas kahwin untuk anak-anak perempuannya lebih daripada 12 auqiah (480 dirham).”
Solusinya ialah meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi adalah makruh dari segi syarak. Memudahkannya adalah sunat dan menjadi sebab untuk lelaki, perempuan dan masyarkat mendapat keberkatan dan kebaikan.”
Kesimpulan
Daripada apa yang dibincangkan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa segala masalah sosial yang membelengu umat Islam terutama pemuda-pemudi Islam adalah disebabkan oleh kesilapan kita sendiri yang tidak mahu mengamalkan sistem Rabbaniah yang kamil lagi syamil iaitu sistem perkahwinan dan kekeluargaan Islam. Janganlah kita terhidu sedikit pun budaya-budaya Barat yang datang ke tanah umat Islam semata-mata untuk merosak dan memusnahkan umat Islam.
Penutup
Apa yang sedang berlaku ke atas umat Islam iaitu masalah-masalah yang membelengu umat Islam terutamanya masalah dari segi sosial sekarang adalah disebabkan oleh kealpaan dan kesilapan orang Islam sendiri yang tidak mahu mengamalkan Islam secara menyeluruh. Oleh itu, marilah kita kembali menghayati dan mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh kerana dengan cara ini sahaja kita dapat mengubati segala jenis penyakit yang sedang menyerang umat Islam sekarang. Wallahu a’lam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin